Salam semua. Ini ada perkongsian daripada majlis ilmu di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam pagi tadi. Saya mahu lepaskan secepat mungkin kerana petang ini harus bergerak ke Pantai Timur untuk menghadiri majlis hol almarhum Tok Pulau Manis @ Sheikh Abdul Malik iaitu wali besar Terengganu abad ke-18 di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu esok Jumaat hingga Sabtu 18-19 April.
Majlis kali ini adalah diskusi ke-4 buku. Sudah diberitahu dalam artikel-artikel berkenaan sebelum ini bahawa bermula tahun ini diskusi diadakan di ISTAC sebulan sekali berselang-seli antara buku bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu. Rujuk artikel-artikel berikut :-
1. Majlis 3 dalam 1 pelancaran buku, unit perbandingan agama dan diskusi buku - Penetapan arah baru ISTAC? (bulan Januari)
Kali ini saya datang bukan sekadar sebagai hadirin atau pelajar ISTAC semata.
Saya diminta menjadi salah seorang pengulas berdasarkan pengalaman suka mengkaji sejarah dan telah menghasilkan beberapa judul buku...
Buku yang hendak diulas bertajuk "Menjejak Alexander Zulqarnain di Bumi Khurasan".
Kebetulan ketika diminta mengulas iaitu hampir sebulan lalu saya telah habis membaca buku.
Buku dihadiahkan oleh penulisnya, saudara Khairuddin Muhammad, seorang guru agama, dalam satu majlis ilmu di ISTAC awal bulan Februari. Beliau menghadiahkan setelah mendapat tahu saya seorang penulis.
Orang yang mencadangkan agar saya menjadi pengulas adalah tokoh bahasa terkenal Profesor Datuk Dr Awang Sariyan. Beliau yang mengetuai Unit Tamadun Melayu Islam ISTAC menjadi pengerusi majlis. Kelihatan dalam gambar beliau sedang membuka kata-kata lalu memperkenalkan buku, penulis dan pengulas. Duduk memerhati pada kanan gambar adalah Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar...
Selepas beberapa lama, penulis buku iaitu Khairuddin membuka kata-kata.
Beliau memberitahu terpanggil untuk mengkaji tentang tokoh besar silam yang dikenali sebagai Iskandar Zulkarnain. Antara sebabnya adalah untuk membuktikan kebenaran al-Quran... kerana ada orang memperlekehkan kitab suci Islam dengan mempersoalkan kebenaran cerita tentang Zulkarnain di dalamnya.
Berdasarkan petunjuk-petunjuk dalam Surah al-Kahfi beliau dan beberapa orang telah turun ke lapangan di Asia Tengah untuk mencari jejak tokoh yang boleh dikaitkan dengan cerita di dalam al-Quran.
Beliau percaya Zulkarnain dalam al-Quran tidak lain tidak bukan merujuk kepada Alexander the Great atau Alexander Agung, raja Yunani (Greek) yang pernah memerintah sebahagian besar dunia bertamadun abad ke-4 Sebelum Masihi. Cerita dan tempat-tempat daripada sumber teks Yunani dipadankan dengan kisah dalam al-Quran untuk mencari jejak Alexander di bahagian Asia Tengah yang juga dikenali sebagai bumi Khurasan. Misalnya tempat matahari terbenam ke dalam tasik panas berlumpur (disebut ayat 86 Surah al-Kahfi) dipercayai adalah Tasik Aral di Uzbekistan dan Kazakhstan.
Dicari, dikenal pasti lalu dijejaki beberapa lagi tempat sehingga ke tinggalan kota lama yang dikenali sebagai Alexander Escharte, kota Alexander yang paling jauh ke timur...
Letaknya dalam kota Sughd di Tajikistan. Nama itu boleh dipadankan dengan nama lama Sogdiana dalam teks-teks lama Yunani juga Parsi. Namun beliau membangkitkan juga calon lain Iskandar Zulkarnain menurut sejumlah pihak. Ini adalah Cyrus the Great atau Raja Kurush Agung, seorang lagi penakluk besar zaman dahulukala.
Pengulas pertama Haji Mohd Shah Abdullah yang merupakan pensyarah bidang media di Manipal International University, Nilai, Negeri Sembilan membuka bicara dengan menyatakan tajuk buku iaitu "Menjejak Alexander Zulqarnain di bumi Khurasan" agak kontroversi. Ini kerana watak yang ingin diperkatakan dikenali dalam dunia Melayu juga dunia Islam sebagai Iskandar Zulkarnain. Kenapa terus memasukkan nama Alexander yang jelas keBaratan?
Pun begitu beliau memuji persembahan buku. Mohd Sah menghargai usaha penulis untuk mencari segala bukti berkenaaan lalu cuba mengesahkan dengan turun ke lapangan. Dengan itu dapat difahamilah kenapa tajuk dipilih sebegitu rupa. Kerana Iskandar Zulkarnain mahu disamakan dengan Alexander the Great.
Gambar ini diambil selepas saya selesai mengulas. Ketika memulakan tak dapat ambil gambar kerana perlu bersedia dengan bahan selepas bertukar tempat duduk dengan Khairuddin untuk menggunakan komputer.
Saya telah menyiapkan satu set slaid dengan tajuk yang kelihatan, Cuma saya menghadapi sedikit masalah menerangkan sambil merujuk pada komputer di hadapan mata. Ini kerana sejak setahun lalu saya mengalami rabun dekat, harus pakai kaca mata apabila membaca. Bila melihat atau memandang kepada hadirin pula saya harus melihat jauh. Saya tiada masalah melihat jauh tetapi harus membuka kaca mata kerana lens kaca mata adalah untuk rabut dekat sahaja, kalau lihat jauh boleh jadi kabur pula.
Saya membuka ulasan dengan menceritakan betapa hal Iskandar Zulkarnain ini penting bagi kajian ketamadunan Alam Melayu. Ini disebabkan raja-raja Melaka (bukan semua raja ya) dikatakan berasal daripada keturunan tokoh tersebut. Daripada situ saya mengajak hadirin meneliti sedikit Surah al-Qahfi, surah ke-18 al-Quran. Diceritakan sebab turun ayat iaitu untuk menjawab tiga soalan kaum kafir Quraish kepada Nabi Muhammad SAW, atas saranan para pendita Yahudi. Kemudian disebut sedikit bahagian-bahagian penting seperti cerita pemuda gua (yang memberikan nama al-Kahfi) diikuti kisah Nabi Musa dengan Nabi Khidir. Lalu masuklah bahagian tentang Zulkarnain yang mana tiga ayat pertama tentangnya adalah cukup untuk menerangkan kedudukan sebagai seorang raja pemerintah besar.
Selepas itu baru dibangkitkan siapakah tokoh dalam sejarah yang boleh dikaitkan dengan Zulkarnain dalam al-Quran. Disebutlah tentang Raja Kurush yang memerintah abad ke-6 Masihi dan keluasan jajahan takluk baginda.
Dibandingkan pula dengan jangkauan jajahan takluk Alexander yang hampir serupa, Melalui kedua-dua peta dapat ditunjukkan kawasan yang dijejaki oleh penulis buku.
Seterusnya dirujuk Iskandar Zulkarnain dalam teks-teks lama Melayu seperti kitab Sulalatus Salatin karangan Bendahara Johor, Tun Sri Lanang dan Hikayat Iskandar Zulkarnain yang tidak diketahui pengarangnya siapa. Kedua-dua teks dengan jelas menyebut tokoh sebagai berbangsa Rum dari Makaduniah iaitu merujuk kepada Alexander the Great, tidak lain daripada itu.
Berdasarkan teks lama saya menambah satu lagi kemungkinan. Bahawa Alexander yang dikatakan berbangsa Rum (merujuk kepada Yunani/Greek sebenarnya) adalah keturunan Raja Kurush yang berbangsa Parsi. Raja Kurush pula berasal daripada keturunan Nabi Sulaiman AS yang berbangsa Bani Israel. Ini berdasarkan sedutan berkenaan yang menceritakan asal-usul raja-raja Melayu yang turun di Bukit Siguntang di Palembang, moyang kepada raja-raja Melaka.
Masuk sesi soal jawab seorang hadirin menyatakan pendapat bahawa cerita raja-raja Melayu berketurunan Iskandar Zulkarnain adalah sesuatu yang dibuat-buat. Pengkaji terkenal Puan Zaharah Sulaiman (kanan dalam gambar) pula seperti tidak sabar untuk menegaskan Cyrus the Great adalah Iskandar Zulkarnain. Alexander bukan malah tidak layak menjadi tokoh dalam al-Quran kerana dikatakan suka berperang menghapuskan orang malah meminati jantina sendiri (gay)!
Khairuddin menjawab dengan memberikan hadis juga alasan kenapa beliau percaya Alexander adalah Zulkarnain. Tentang Alexander dituduh gay adalah dakwaan sejumlah pengkaji kemudian. Ditambah pula Cyrus yang tidak memenuhi ciri-ciri Zulkarnain kerana ada artifak lama menggambarkan baginda bukan beragama tauhid atau penyembah Tuhan yang satu.
Osman sendiri cenderung ke arah pendapat Alexander adalah Zulkarnain namun terbuka untuk segala kemungkinan. Tentang tuduhan gay, pada beliau besar kemungkinan itu adalah ciptaan golongan berkenaan kerana memang ada kempen pihak sebegitu di Barat untuk mengangkat amalan songsang dengan menuduh tokoh-tokoh besar silam turut sama mengamalkan perbuatan jijik tersebut. Seorang hadirin lain menyatakan pengkaji Islam silam al-Biruni ada menyebut Iskandar Zulkarnain adalah seorang raja kerajaan Assyria yang wujud lebih awal daripada Alexander mahupun Cyrus. Dengan ini dirumuskan bahawa lebih banyak kajian perlu dilakukan. Untuk itu insyaallah satu seminar khas akan diadakan untuk merungkai lebih mendalam.