Ahad, November 24, 2019

Teknologi pembuatan keris dalam Al-Quran - Apakah yang tersurat dan tersirat?

Masuk cerita majlis tentang keris yang dihadiri di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi Sabtu. Bersambung daripada artikel Iqra' sebagai asas ketamadunan Islam.


Dalam artikel Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China yang dipersembahkan Selasa lalu ada disebut - Sudah menjadi kebiasaan atau boleh dikatakan keistimewaan di ISTAC tiba-tiba boleh muncul suatu majlis ilmu tak dirancang. Keadaan ini ibarat hari ni bagi cadangan lusa dah jadi majlis. Ini bergantung pada kelapangan dan ruang juga pembicara/pensyarah yang dicadangkan berserta topik. Sudah beberapa kali berlaku seseorang ahli akademik dari luar datang ke Kuala Lumpur untuk tujuan lain. ISTAC dapat tahu lalu terus hubungi dan ajak berikan syarahan.  Setelah mendapat persetujuan dan komitmen terus keluar poster dengan tajuk itu ini. Tahu tahu je dah jadi majlis.

Majlis yang ditunjukkan dalam poster atas muncul dalam keadaan serupa. Cuma pembentang utamanya bukan orang luar tetapi seorang pelajar berusia yang memegang jawatan presiden Persatuan Pelajar ISTAC (ISTACSS). Menariknya ia diwar-warkan tak sampai seminggu selepas replika keris gergasi di bulatan utama kampus besar UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak dicabut lalu dialih ke tempat lain untuk memberikan laluan kepada replika baru berbentuk rehal dan kitab. Untuk pengetahuan UIAM adalah badan yang menaungi ISTAC. 


Buat suatu masa iaitu daripada tahun 2018 hingga awal 2019 ISTAC pernah menjadi singkatan bagi nama baru International Institute of Islamic Thought and Malay World (Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Dunia Melayu). Hal ini menarik beberapa orang aktivis yang mahu mengangkat hal-hal Melayu termasuk saya untuk menyambung pengajian peringkat pasca-siswazah di ISTAC. Pengalihan replika keris dilihat seperti memandang rendah lambang kebanggaan Melayu. Pembentang yang merupakan sahabat baik saya dalam dunia persilatan dan busana Melayu tradisional malah mengaku bahawa majlis diadakan sebagai reaksi kepada pengalihan keris itu. 

Pada beliau mereka yang memandang remeh lambang keris atau menuduh ia sebagai bersifat asobiyah Melayu tidak faham bahawa itulah lambang keTauhidan bagi orang Melayu. Tidak lama kemudian dikeluarkan poster baru yang kelihatan lebih jelas hendak menjawab kedudukan keris berbanding kitab. Ditambah sekali bahawa mahu diadakan perbincangan tentang satu majlis dipanggil Seloka Keris Kedah. Ini adalah susulan daripada kejayaan satu majlis sebelumnya yang mana sahabat tersebut adalah antara penggerak utama. Lihat artikel Seloka 1000 Keris - Satu majlis baru yang layak dijadikan acara tahunan negara yang dipersembahkan hampir 3 minggu lalu.


Saya pula lebih terbuka dalam menanggapi hal replika keris dialih itu. Pada saya tiada masalah ia digantikan dengan rehal dan kitab apa lagi itu memang ada pada lambang dan logo UIAM. Yang mengguris hati adalah apabila ada menyatakan kepada umum bahawa pengalihan itu melambangkan 'kemenangan' kitab terhadap keris. Walaupun saya bersetuju kitab lebih utama sebagai lambang bagi sebuah institusi pengajian tinggi antarabangsa yang mengatasnamakan ilmu tak perlulah dibuat kenyataan sebegitu rupa. Pada saya mungkin ini akibat keris sering dikaitkan dengan satu parti politik Melayu. Namun hakikatnya ia sebenarnya adalah satu lambang jiwa dan bangsa yang sangat bermakna bagi semua orang Melayu yang faham tak kira apakah kecenderungan politiknya.


Halnya inilah yang mahu ditegaskan oleh pembentang iaitu Tengku Ahmad Ridhaudin (kiri dalam gambar). Beliau sedang membuat tesis PhD tentang keris di ISTAC.


Beliau yang percaya keris adalah lambang keTauhidan bagi orang Melayu mahu menceritakan kehebatan keris melalui teknologi pembuatannya. Menurut beliau teknologi ini ada disebut di dalam Al-Quran lalu terkait dengan saranan dalam kitab jua.


Dikongsikan dahulu beberapa hal teknikal seperti jenis-jenis besi dan suhu pada mana ia boleh lebur lalu mudah dibentuk.


Ditunjukkan kedudukan beberapa jenis logam terutama Manganese dan Ferum (yang ini besi asli menurut ilmu kimia) dalam jadual yang kelihatan. Teringat ini ada saya pelajari semasa kelas kimia di Sekolah Menengah Sains Johor lebih 30 tahun lalu.


Diterangkan tentang jenis-jenis batu besi yang boleh ditemui secara semulajadi.


Batu-batu besi ini turut mengandungi bahan-bahan lain lalu perlu melalui beberapa proses melibatkan peleburan pada suhu-suhu tertentu sebelum dapat dijadikan besi semurni mungkin yang berguna kepada manusia.


Maka teknologi penghasilan besi melalui alatan lama yang terdapat di Sungai Batu, Kedah, tamadun yang didapati telah wujud seawal abad ke-8 Sebelum Masihi dirujuk...





Teknologi di Kedah yang sudah berusia 2,800 tahun itu didapati sama dengan teknologi pemprosesan besi masa kini. Cuma skalanya berbeza.


Di Sungai Batu relau-relau kecil digunakan dengan jumlah yang banyak untuk menghasilkan besi berbanding zaman sekarang di mana satu relau besar boleh melalukannya. Menurut Tengku Ahmad atau juga dipanggil sebagai Ku Din ini disebabkan dahulu teknologi blower atau alat peniup untuk menaikkan suhu api sehingga dapat mencapai tahap lebur besi tidak secanggih kini. Alatan dahulu kecil dan tidak kuat kuasa mampatan sehingga memerlukan 7 hari 7 malam untuk relau mencapai suhu lebur sekitar 1,500 Celsius berbanding 3-4 jam kini.


Ditunjukkan pula contoh-contoh pisau zaman dahulukala Eropah yang kelihatan memiliki ciri-ciri seperti keris.


Kata Ku Din ada yang didapati atau dibuat pentarikhan sudah wujud sejak tahun 1750 Sebelum Masihi (1,000 tahun lebih awal daripada Sungai Batu).







Namun kesan teknologi-teknologi ini di Eropah tidak lagi ditemui. Yang ada cuma barang yang sudah terhasil. Tidak seperti di Sungai Batu di mana ditemui relau, alat-alat peniup malah bijih-bijih besi pada skala yang besar menunjukkan wujudnya industri besi...



Ditunjukkan pula kajian moden telah mendapati begitu banyak jenis besi digunakan dalam pembuatan suatu bilah keris Melayu.





Hal ini menunjukkan teknologi tinggi dalam menghasilkan keris...


Disebut pula langkah-langkah pembuatan keris.


Oleh kerana keris sudah wujud di Alam Melayu sebelum Nabi Muhammad SAW diutus sebagai rasul akhir zaman sekitar 1,400 tahun lalu maka Ku Din percaya ia terkait dengan ajaran Tauhid rasul-rasul sebelum itu.


Ditegaskan keris sebagai pakaian ketamadunan orang Melayu bukannya senjata. Walaupun boleh digunakan sebagai senjata itu sebenarnya bukan fungsi utama. Sesungguhnya kaki tangan kita pun malah kain biasa pun boleh digunakan sebagai senjata walaupun itu bukan fungsi asalnya.


Tentang keris sebagai pakaian dikaitkan dengan satu ayat Quran yang sering diterjemahkan sebagai Nabi Daud diajar membuat baju-baju besi untuk menjaga keselamatan keluarga dan sebagainya. Pada Ku Din ia bukan membawa maksud sekadar baju tetapi pakaian. Lalu boleh dikaitkan dengan keris sebagai pakaian diri.


Sesungguhnya senjata untuk mempertahankan diri hanya disebut sedikit sahaja dalam Al-Quran. Itupun diingatkan supaya jangan menceroboh atau memulakan perang.


Diulas pula cerita tentang tokoh besar bernama Zulkarnain diminta membina tembok bagi menghalang makhluk perosak Yakjuj dan Makjuj.


Dikaitkan dengan kisah penggunaan besi dalam Surah al-Hadid (Hadid itu selalu diterjemahkan sebagai besi)


Masuk pula bab manusia dibangkitkan selepas mati. Menurut Ku Din ini boleh juga merujuk pada cara besi 'dihidupkan' daripada batu besi.








Kembali pada hal baju besi dibuat oleh Nabi Daud AS. Kali ini disebut bahawa ia harus sesuai dengan badan (seseorang). Dikaitkan dengan bagaimana suatu keris itu harus dibuat sesuai dengan pemakainya...


Sebetulnya cara melompat-lompat mengaitkan besi dan pembuatan keris Melayu ini saya lihat belum cukup mantap untuk dihadapkan kepada para akademik. Nasib baik kebanyakan yang datang adalah ahli persilatan yang lebih mudah menerima perkara-perkara mistik.





Tak mengapa. Ini boleh diperbaiki. Yang jelas Ku Din mahu menunjukkan cara pembuatan besi dan cara ia dijadikan sebagai 'baju' (pakaian) boleh dikaitkan dengan pembuatan keris Melayu dengan kewujudan industri purba pembuatan besi di Sungai Batu sebagai bukti bahawa kita sudah menguasai ilmu tersebut sejak sekian lama. Dan teknik sama masih dipakai dalam pembuatan keris sehingga ke hari ini.



2 ulasan:

  1. terimakasih atas maklumat diatas. Saya bercadang utk turut serta di ISTAC, tapi tiada rezeki. Saya ingin menambah, dimana idea mengaitkn pakaian dan keris dalam konteks Nabi Daud a.s amatlah longgar dan rapuh. Bagi saya ia adalah 'pembuaian minda' mistik.
    Jelas sekali, pakaian dari besi itu ialah baju besi, samaada baju perisai yg semestinya padan dgn saiz si pemakai.
    Kerajaan Nabi Daud adalah 'ruling power' yg di anugetahi oleh Allah swt. maka ketenteraan dan kelengkspan perang adalah keutamaan.
    Ilmu teknologi besi adalah 'divine knowledge'. Bukan kebetulan. Memang termaktub dalam Quran, dan memang ada hadith ttg ilmu besi ini diwahyukan pada Baginda.

    Namun besi ditemui lebih awal.Bezanya, Nabi Daud a.s di wahyukan bagaimana utk mengoptimumkan hasil dari besi utk mendapatkan "kekuatan" melalui proses, 'teknologi' dan tunjuk ajar wahyu.

    Keris sebagai identiti, saya setuju. Sebab tiap keris, walaupun sama rupa dan lok nya, namun pamornya tetap berlainan. Tambahan dengn seni ukir dan hiasan disarungnya. Ia umpama cap jari.(Bukan keris yg dipicit dengan jari).

    Jika ada keris yg seribu tahun lebih tua dari Sg Batu, besar kemungkinan ia bukan besi, kerana zaman besi betmula 1200 SM. Sebelum itu adalah zaman gangsa.

    Namun saya serah pada Allah yg Maha Menetahui
    Wallahualam

    Sword Hunter.

    BalasPadam
  2. Alhamdulillah. Terima kasih atas maklum balasnya.

    BalasPadam