Dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah? yang dipersembahkan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) Jumaat malam Sabtu ada disebut bahawa sekali lagi saya akan bermalam di ISTAC bagi memudahkan mengikut majlis-majlis ilmu. Malam itu ada satu syarahan bersiri, esoknya pagi ada majlis akademik tentang keris. Sekarang biar dikongsikan cerita tentang syarahan tersebut.
Syarahan adalah yang ke-10 dalam siri "The Eternal Messages of Islam and Its Civilisation". ("Pesan Abadi Islam dan Tamadunnya"). Tajuk kecilnya "The Genesis of Islamic Civilisation" boleh diterjemahkan sebagai "Asal Usul Tamadun Islam : Asas Ideologinya di Mekah". Ini adalah sambungan bagi syarahan sebelumnya 2 minggu lalu. Syarahan terdahulu itu bercakap tentang sejarah spiritual Mekah daripada zaman Nabi Adam AS membawa ke zaman Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS sehingga mencapai suatu macam kesempurnaan pada zaman junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Lihat Kesucian dan kekotoran dalam sejarah spiritual Mekah : Muhammad dan kemenangan tamadun monoteistik.
Syarahan dimulakan dengan mengulangi beberapa konsep yang pernah disebut Osman dalam syarahan-syarahan terdahulu. Antaranya adalah antropologi spiritual berbanding antropologi biasa seperti difahami Barat yang cuma mengkaji dimensi fizikal atau zahir sahaja. Oh. Konsep ini saya pertama kali dengar disebut beliau melalui satu siri syarahan lain setiap petang Rabu. Lihat artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual yang dipersembahkan tepat sebulan lalu. Satu lagi konsep besar disebut adalah theomorphic man iaitu manusia sebagai makhluk yang boleh menzahirkan sifat-sifat keTuhanan dalam diri. Bukanlah ia bermaksud manusia menjadi Tuhan sebaliknya manusia sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi lalu pada dasarnya memiliki sifat-sifat keTuhanan tetapi pada skala kecil yang bersesuaian (mikro berbanding makro). Hal ini pernah dipanjangkan dalam artikel Seluruh alam yang boleh terbayang dalam diri manusia dan hati tempat 'bertakhtanya' Tuhan lebih 2 bulan lalu.
Konsep-konsep ini penting untuk memahami peranan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dalam membawa agama Islam. Sebelum itu harus ditekankan bahawa setiap nabi dan rasul sejak zaman manusia pertama iaitu Nabi Adam AS membawa ajaran Tauhid dan Islam. Tauhid merujuk pada penyembahan terhadap Tuhan yang Satu dan bagaimana kita mengEsakanNya. Islam berbalik pada kata asalnya Salam yang membawa makna aman dan penyerahan. Yang berbeza adalah cara mengzahirkan ajaran. Inilah yang dipanggil sebagai Syariah lalu boleh berbeza menurut keadaan zaman dan tempat.
Menurut Osman diri Nabi Muhamad SAW itu sendiri menggambarkan Tauhid. Ini boleh dilihat pada kalimah Lailahaillallah Muhammadarrasulullah. Kalimah pertama (Lailahaillallah yang membawa maksud tiada ilah iaitu yang disembah kecuali Allah) adalah pernyataan Tauhid yang boleh dikatakan bersifat teoritikal dan dalaman. Kalimah kedua (Muhammadarrasulullah yang membawa maksud Muhammad pesuruh Allah) adalah penzahiran atau unsur praktikal bagi pemahaman Tauhid itu.
Dalam konteks ini Nabi Muhammad SAW membawa Islam 'yang terbaru' (menyeluruh bagi seluruh alam dan terpakai sehingga akhir zaman). Asas penerimaan adalah keadaan Mekah pada zaman baginda, maka itu sejarah spiritual Mekah ditekankan pada syarahan sebelum ini dalam siri (rujuk kembali Kesucian dan kekotoran dalam sejarah spiritual Mekah : Muhammad dan kemenangan tamadun monoteistik). Selama 13 tahun di Mekah baginda menerima wahyu lalu mengembangkan ajaran dalam keadaan harus berhadapan dengan penentangan Arab Jahiliyah yang menyembah berhala. Dalam tempoh waktu ini ayat-ayat yang diturunkan semuanya menekankan Tauhid tetapi daripada pelbagai aspek. Belum ditekankan aspek-aspek hukum, ketatanegaraan, mualamat (jual beli) dan sebagainya seperti halnya setelah berhijrah ke Madinah.
Asas yang paling asas adalah wahyu pertama yang diterima di Gua Hira' dekat puncak bukit/gunung Jabal Nur. Inilah kali pertama setelah dewasa (baginda berumur 40 tahun ketika itu) bersua dengan malaikat Jibril (Barat menyebutnya sebagai Gabriel) lalu melihatnya dalam bentuk yang memenuhi seluruh pandangan mata sebelum menzahirkan diri dalam bentuk menyerupai manusia. Saya sebut pertama kali kerana seingat saya baginda pernah bersua dengan Jibril ketika zaman kanak-kanak tetapi tidak begitu menyedari apa yang berlaku. Seingat saya (betulkan kalau tersilap) ketika itulah baginda dibawa ke satu tempat lalu dibelah dada dan isinya dicuci dengan air zamzam.
Osman tidak menyebut hal ini tetapi saya harus menyebutnya kerana teringat ketika menulis perenggan tadi. Oh. Terasa ingin berkongsi bahawa alhamdulillah saya sudah 2 kali berpeluang bersolat dan beramal di Gua Hira'. Lihat artikel lama Umrah 2005 - Akhirnya Jabal Nur dan Gua Hira... diikuti Ziarah dan umrah 2013 - Ke Hudaibiyah sebelum bermalam di Gua Hira' dan Ziarah dan umrah 2013 - Keseronokan berada lama di Gua Hira' dan Jabal Nur. Berbalik pada apa yang disebut Osman. Wahyu pertama diterima baginda Rasulullah SAW adalah 5 potong ayat bermula dengan perkataan Iqra'...
Umum tahu ini adalah 5 ayat pertama dalam Surah al-Alaq. Di atas adalah ayat-ayat daripada surah ke-96 Al-Quran itu. Perkataan paling awal turun dalam bentuk wahyu iaitu Iqra' membawa makna baca. Umumnya kita disuruh membaca kitab terutama Al-Quran dan sebagainya. Tetapi baca juga membawa makna dapat mengambil manfaat, menafsirkan pergerakan alam, menduga suatu keadaan dan perubahan. Misalnya dengan melihat keadaan langit kita boleh 'membaca' hari akan hujan.
Osman mengingatkan kembali bagaimana seluruh alam ini boleh dibaca sebagai ayat-ayat Allah. Rujuk artikel Pesanan keTuhanan dalam Buku Alam Semulajadi : Penciptaan sebagai Wahyu yang dipersembahkan hampir sebulan setengah lalu. Disebut bahawa seruan Iqra' atau membaca dalam ayat pertama wahyu disertakan dengan nama Tuhan yang mencipta. Maka kita harus membaca dalam keadaan sedar hakikat Tuhan menciptakan segala sesuatu.
Ayat kedua saya lihat tidak dikupas Osman tapi kita harus sedia faham ia merujuk pada hakikat penciptaan zahir manusia yang merupakan makhluk berdaging dan berdarah (made from flesh and blood). Ayat ketiga pula cuma ditekankan perkataan Akram (kerana Iqra' pada awal ayat sudah diulas dan dipanjangkan). Terjemahan dalam bahasa Melayu menyebut ini sebagai pemurah. Osman menterjemahkan dengan perkataan bahasa Inggeris bountiful yang boleh dikatakan pemurah juga. Faham saya bounty ni seperti ada banyak hasil, hadiah. Bountiful bermakna ada begitu banyak hasil, hadiah yang boleh diberikan. Jadi memang pemurah le...
Ayat keempat diulas perkataan Qalam. Apa itu Qalam? Bahasa mudahnya adalah pen, pena, alat tulis. Ini boleh merujuk pada kitab bertulis lalu kita dapat membaca lalu belajar daripadanya. Tetapi ia boleh juga ditafsirkan sebagai pernyataan. Qalam adalah alat pernyataan seperti halnya seluruh takdir makhluk, qada' dan qadar dikatakan sudah tertulis dengan Qalam di Loh Mahfuz entah dalam bentuk apa (contoh saya ini). Yang penting faham apakah konsep besar Qalam. Maka kita harus mengambil pelajaran daripadanya.
Ayat kelima seingat saya tidak diulas Osman, Mungkin kerana sedia boleht difahami dalam konteks Qalam tadi. Apapun Osman mengatakan bahawa 5 ayat inilah yang menjadi asas ajaran Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW. Sesuai dengan tajuk kecil syarahan iaitu " Asal Usul Tamadun Islam : Asas Ideologinya di Mekah" perkataan pertama iaitu Iqra' boleh dikatakan asas bagi ketamadunan Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan