Salam hari Isnin 8 Safar. Dengan terbitnya artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam lewat petang Jumaat 4 hari lalu penceritaan bagi perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September itu tinggal 2 edisi sahaja iaitu bagi hari yang ke-7 dan hari ke-8 (hari akhir). Insyaallah penceritaan akan cuba diselesaikan dalam tempoh seminggu sahaja lagi. Namun ada majlis-majlis yang dihadiri baru ini juga bakal dihadiri dalam tempoh waktu tersebut mahu dilepaskan ceritanya. Kita bermula dengan ini.
Pagi Sabtu 5 Oktober 2019 saya keluar lagi dari kawasan rumah untuk satu acara.
Kali ini lokasinya adalah di Shah Alam.
Jam 9.55 sampailah ke ibu negeri Selangor itu. Lokasi tepat kampus utama UiTM (Universiti Institut Teknologi MARA) di Seksyen 1.
Kali terakhir saya ke situ untuk majlis ilmu adalah pada penghujung tahun lepas. Ada Persidangan Adab Pemerintahan Pesan Tamadun Melayu-Islam pada 5 Disember. Lihat artikel Rujukan daripada kitab-kitab Alam Melayu diikuti Rujukan daripada Asia Barat dan Timur Tengah.
Ketika itu saya baru 2 hari sahaja selesai membuat perjalanan pusing Cambodia bersama keluarga. Perjalanan yang memakan masa 12 hari 11 malam itu diakhiri dengan kami kembali melalui Thailand. Ia meliputi jarak darat sekitar 3,000 km menaiki pelbagai jenis kenderaan (tidak termasuk penerbangan). Lihat Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation.
Untuk acara terbaru di UiTM Shah Alam ini saya membawa 'aura' perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September yang penceritaannya belum siap sepenuhnya itu diikuti perjalanan pusing Perak 15-18 September (penceritaan dah siap tetapi belum dikumpulkan bagi rujukan mudah). Oh. Nama acara adalah Program Tempa Melayu.
Ini adalah poster bagi acara.
Senarai atur cara. Saya adalah salah seorang pembentang.
Hal ini ada persamaan dengan perjalanan pusing Perak. Ini kerana perjalanan tersebut berlaku atas asbab diundang ke Ipoh untuk membentang tentang sejarah hubungan Aceh-Perak. Lihat artikel Membawa semangat Aceh ke Perak - Menerangkan hubungan Aceh-Perak sejak tahun 1300an Masihi diikuti Membawa semangat Aceh ke Perak - Rumah tradisional dua negeri dan usaha-usaha untuk memartabatkan warisan.
Saya sebut ini kerana merasakan ada kesinambungan daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera membawa ke Perak kemudian ke UiTM Shah Alam. Hal ini akan dipanjangkan apabila sampai masa untuk berkongsi cerita pembentangan saya dalam Program Tempa Melayu. Untuk makluman saya membentang pada petang Ahad iaitu hari ke-2 program. Saya datang hari Sabtu untuk mengikuti acara daripada mula kerana kelihatan begitu menarik, antaranya adalah "Pemasyhuran Watikah Wasiat Raja-raja Melayu" oleh Profesor Dato' Dr Ibrahim Ghaffar, seorang budayawan negara.
Pun begitu saya sampai lambat lalu cuma sempat mendengar beliau membaca puisi tentang "Tak Melayu Hilang di Dunia". Ini terkenal sebagai ungkapan keramat pahlawan Melayu terkenal zaman Kesultanan Melaka iaitu Laksamana Hang Tuah. Isinya seperti pernah terbaca di Internet tapi tak ingat nama. Hmm... teringat pula acara berkenaan di Perpustakaan Negara 2 minggu lalu. Lihat Wacana Silat Hang Tuah di Perpustakaan Negara.
Ini diikuti oleh ucapan dasar oleh pengarah program, Profesor Dato' Dr Mohammad Fairus bin Khairuddin. Beliau yang pernah menjadi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang tahun 2008-2009 adalah presiden dan guru utama Persatuan Seni Silat Gayung Nusantara (PSSGN). Program dianjurkan oleh Pusaka Academy yang mana beliau adalah pengasas dan presiden.
Beliau menerangkan hala tujuan program mahu membentuk jiwa-jiwa kental anak Melayu agar dapat menghadapi cabaran akhir zaman dengan ilmu dan pengetahuan yang benar. Ini sangat penting dalam keadaan di mana orang Melayu dan Islam semakin dicabar dengan pelbagai kerenah pihak mahu menjatuhkan. Oleh itu telah diatur pengisian berupa pembentangan-pembentangan daripada panel yang cukup berpengetahuan dalam bidang.
Pembentang pertama adalah Profesor Datuk Dr. Sidek Baba daripada Universiti Islam Antrabangsa (UIAM). Beliau yang merupakan tokoh cendekiawan dan pendidikan yang tidak asing lagi membawa tajuk "Pendekatan Ketamadunan dalam Membangun Potensi Umat dan Pembinaan Budaya Ilmu" bermula jam 2.30 petang.
Disebut tentang faktor-faktor penting yang telah menyumbang kepada tamadun Islam terdahulu.
Oh. Saya dapat tahu Sidek yang kini berumur 73 tahun sedang mengalami masalah kesihatan. Baru sebulan dua harus berkerusi roda kerana mudah pusing kepala kalau berdiri.
Namun beliau tetap berusaha untuk datang agar dapat berkongsi ilmu pengetahuan yang dimiliki. Disebut pula keadaan umat Islam masa kini.
Disenaraikan kelemahan yang menghalang kemajuan umat Islam sekarang...
Diterangkan kepentingan untuk berjihad dalam keadaan jiwa yang sepatutnya.
Selesai pembentangan Sidek dianugerahkan sandang kehormat PSSGN...
Sekitar jam 4.15 dimulakan pembentangan kedua, oleh Profesor Dr Shahidan Radiman, pakar sains nanoteknologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tajuknya adalah "Dunia Mistik Alam Melayu dan Peranan Ilmu Tasawuf serta Tariqat dalam Pembinaan Ketamadunan Melayu Islam Beraja".
Shahidan yang merupakan seorang ilmuwan Sufi memulakan dengan memperkenalkan beberapa definisi Barat terhadap apa itu Melayu atau orang Melayu.
Selepas itu baru masuk bab kelebihan orang Melayu, antaranya adalah apabila melibatkan unsur-unsur mistik...
Dimasukkan pula tentang pentingnya institusi Melayu Islam Beraja berdasarkan sejarah keKhalifahan Islam terutama pada zaman 4 khalifah pertama, para Khulafah ar Rashidin.
Disebut bagaimana raja-raja dahulukala termasuk di Alam Melayu, para kerabat dan pejuang adalah pengikut tariqat ilmu keSufian dan siapakah guru-guru mereka...
Memutar kembali ke zaman kegemilangan Kesultana Melayu Melaka untuk dijadikan contoh...
Diberikan beberapa cadangan bagaimana hendak mengembalikan kegemilangan orang Melayu...
Selepas pembentangan Shahidan dipakaikan sandang kehormat PSSGN...
Sebagai penutup acara atau lebih tepat, penutup sesi hari Sabtu Fairus memberikan rumusan sambil memberikan gambaran apakah yang bakal dikongsikan esok hari...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan