Merujuk pada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap yang dipersembahkan Rabu minggu lepas. Ada disebut bahawa siri syarahan "Classification of Knowledge in Islam" oleh Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) telah dimulakan kembali setelah 'berehat' lama dan ia dialih daripada pagi Isnin ke petang Rabu. Ini adalah perkongsian bagi siri seterusnya...
Petang Rabu semalam 9 September 2019 saya bergerak dari rumah untuk mengikuti syarahan ke-9 "Classification of Knowledge in Islam" di ISTAC 40 km perjalanan.
Saya bertolak dari rumah sekitar jam 4.40. Agak lewat untuk mengejar syarahan yang dijadualkan bermula jam 5. Kena pula hujan sepanjang perjalanan. Ia semakin lebat semakin menghampiri Kuala Lumpur.
Kemudian jalan raya sesak di beberapa tempat. Dan saya sebenarnya sedang kepenatan badan dan fikiran selepas menyiapkan artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Banda Aceh dan lanjutan acara ke-21 HIKMAH jam 2.30 petang . Sebelum dapat mempersembahkan artikel tersebut harus disiapkan dahulu 5 artikel sokongan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan 3 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Harus disiapkan juga satu artikel boleh tahan panjang di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) untuk menunjukkan perjalanan satu acara yang saya anjurkan bersama rakan-rakan aktivis peminat sejarah di Aceh pada 3 September lalu. Lihat Acara HIKMAH ke-21 - Aceh sebagai tempat masuk Islam terawal sebelum tersebar ke merata pelusuk Alam Melayu.
Daripada waktu Subuh saya menulis sambil harus melakukan perkara-perkara lain seperti hantar dan ambil anak ke sekolah. Jam 3.30 baru ada masa untuk berehat lalu melelapkan mata. Itu yang membuatkan saya kemudian berkejar ke ISTAC.
Sesungguhnya sebulan kebelakangan ini saya sangat sarat dengan membuat penulisan sambil hadir ke majlis-majlis ilmu. Siri cerita tentang pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 September hingga 4 Ogos belum lagi selesai dah pergi pula pusing Perak 15-18 September disebabkan harus memberikan syarahan/pembentangan di Ipoh tentang hubungan Aceh-Perak. Dah jadi dua set perjalanan perlu ditulis secara bersiri tentangnya. Di celah-celah itu hadir majlis-majlis ilmu lain lalu harus menulis/mengulas juga tentangnya.
Sudah menjadi kebiasaan kalau tidak dilepaskan cerita tak senang duduk saya. Dan dalam tempoh seminggu ini sahaja sudah dua kali saya menginap di masjid/surau selepas menghadiri majlis ilmu kerana tidak mahu terlepas majlis seterusnya pada pagi keesokannya.
Begitulah saya sejak beberapa lama. Ketika berjalan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos - 4 September ada 2 malam menginap di masjid, 1 malam dalam kereta, 1 malam di pondok madrasah. Ketika berjalan pusing Perak 15-18 September satu malam sahaja menginap di hotel, 2 malam lagi di masjid atau surau di mana saya juga menulis kerana begitu banyak perkara perlu diluahkan/dikongsikan/diselesaikan. Sasaran saya sekarang adalah hendak bagi siap semua yang perlu dilepaskan terutama siri cerita pengembaraan pusing Aceh dan utara Sumatera. Semoga selepas itu dapat memberikan tumpuan penuh pada penulisan tesis di ISTAC yang sudah hampir setengah tahun tidak disentuh. Ini akibat hilang rentak setelah memberikan tumpuan penuh pada penulisan dan penerbitan buku ke-13 saya (keluar dari kilang cetak penghujung Jun lalu). Lihat Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian.
Jam 5.23 sampai ke ISTAC. Fikir saya ketika itu tentu telah terlepas lebih 20 minit syarahan.
Masuk ke bilik persidangan untuk syarahan jam 5.28 rupa-rupanya ia baru hendak bermula. Ini kerana Osman menunggu supaya lebih ramai datang. Kelihatan banyak kerusi kosong, mungkin kerana hadirin yang pernah memenuhi bilik minggu lepas terhalang oleh keadaan, hujan lebat, kesesakan jalan raya dan sebagainya...
Tak mengapa. Kita teruskan pada syarahan berdasarkan apa yang dapat diingati dan sedikit yang dapat ditaipkan ke dalam komputer riba (saya buat dalam bahasa Inggeris kerana syarahan dalam bahasa itu). Sesungguhnya tidak dapat dicatatkan kesemuanya kerana tidak dapat menaip cukup laju untuk mengikuti syarahan dengan lancar. Dan menaip itu sebenarnya menganggu pencernaan ilmu.
Sesungguhnya saya ini jenis orang yang mencerna ilmu ibarat menikmati santapan. Ilmu yang dicerna menjadi zat yang membentuk tubuh badan lalu tidak sama lagi rupa dengan apa yng dihidangkan semasa santapan. Namun hasilnya menzahir dalam bentuk tubuh badan juga tenaga pergerakan yang dikeluarkan. Kebiasaan saya adalah mendengar sahaja tanpa membuat catatan... tetap dapat mencerna ilmu tetapi seperti hal tadi, tidak akan sama lagi rupa dengan santapan. Cuma keperluan untuk menyatakan kepada umum bagaimanakah rupanya hidangan santapan itu yang memerlukan agar dibuat catatan, Sekali lagi, biar dikongsikan berdasarkan apa yang ingat juga apa yang dapat ditaipkan.
Osman memberitahu semasa belajar di London (penghujung tahun 60an hingga awal 70an) dahulu dia ada membaca buku Seyyed Hossein Nasr tentang Islam dan sains. Ini menimbulkan minat untuk mengkaji kenapa ramai sarjana Islam menulis tentang klasifikasi ilmu pengetahuan. Sesungguhnya hirarki ilmu memerlukan klasifikasi menurut kepentingan dan keutamaan. Paling rendah adalah ilmu berdasarkan deria biasa atau pancaindera (apa boleh dilihat, disentuh dan sebagainya), paling tinggi adalah ilmu wahyu seperti disampaikan kepada para Nabi.
Untuk makluman Hossein yang kini berumur 83 tahun adalah cendekiawan besar peringkat dunia kelahiran Iran yang sudah melahirkan banyak buku-buku bersifat pemikiran tinggi tentang Islam, falsafah, ketamadunan dan keSufian sejak tahun 60an (atau mungkin lebih awal). Osman pernah memberitahu dalam syarahan minggu lepas bahawa beliau menyambung pengajian dalam bidang falsafah Islam di Temple University, Amerika Syarikat tahun 80an semata-mata untuk berguru dengan Hossein. Dalam syarahan petang semalam seorang pelajar UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) dari Nigeria yang menuntut dalam bidang usul fiqh bertanya tentang kepentingan hirarki ilmu. Osman pun memberikan misalan - usul fiqh yang merupakan prinsip dalam bidang feqah adalah lebih penting dan tinggi daripada ilmu fiqh atau feqah itu sendiri. Daripada prinsip ilmu baru dapat diterbitkan dan dihuraikan suatu ilmu..
Ditanya tentang berapakah tingkat kesedaran ada atau wujud (how many levels of consciousness) Osman menjawab banyak. Misalnya ketika sedang bertafakur kita boleh tidak sedar orang lalu di hadapan. Itu adalah satu tingkat kesedaran tetapi bukan pada objek nyata di hadapan mata tetapi pada sesuatu yang tidak nampak secara fizikal.Tingkat-tingkat kesedaran diperlukan menurut keadaannya. Sedangkan binatang pun ada kesedaran tentang perkara-perkara tak nampak (intangible objects). Contohnya gajah di Aceh lari masuk jauh ke dalam hutan sebelum berlaku Tsunami (yang meragut nyawa lebih 200,000 orang penduduk di sana). Bagaimana gajah boleh tahu akan berlaku malapetaka?
Para malaikat pula cuma ada satu sahaja tingkat kesedaran. Itulah yang menyebabkan mereka sentiasa berada dalam ketaatan. Sedangkan manusia diuji dengan nafsu rendah kehaiwanan sambil wujud 'panggilan' untuk naik menggapai makna keTuhanan. Ditanya tentang Marxism (pemikiran daripada Karl Max) yang membawa pada sosialisma dan komunisma Osman memberitahu itu semua hasil pemikiran reductionism di mana skop pemikiran Barat menjadi semakin kecil jiwa. Tuhan telah 'ditendang' keluar, agama dianggap candu bagi masyakat. Penghujungnya segalanya dinilai menurut apa yang nampak, dapat dirasai dengan deria dan sebagainya. Inilah yang membawa kepada keadaan dunia sekarang.
Banyak perkara lagi diperkatakan termasuk tentang keadaan ilmu matematik Algebra pada zaman Al-Kindi (hidup 801-873 Masihi). Pada zaman itu Algebra yang merupakan ilmu memanipulasikan simbol dan huruf-huruf sebagai ganti nilai nombor dalam membuat kira-kira bukan satu disiplin ilmu. Pada zaman Al-Farabi (872-950) baru diasingkan menjadi ilmu tersendiri.
Sebetulnya syarahan petang semalam berkisar cuma pada muka surat pertama dan kedua bab pengenalan buku "Classification of Knowledge in Islam" tulisan Osman berdasarkan tesis PhD beliau di bawah penyeliaan Seyyed Hossein Nasr 1983-1988. Sudah diberitahu dalam artikel sebelum ini iaitu Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan berkenaan yang ke-8 selepas 5 bulan senyap bahawa siri syarahan yang dibuat tentang buku mahu dimulakan kembali daripada muka surat pertama kerana muncul ramai muka baru mahu mengikuti. Dengan itu dan berdasarkan rekod catatan saya syarahan semalam seharusnya boleh disamakan dengan syarahan pertama dan kedua siri 7 bulan lalu. Lihat artikel-artikel berikut :-
1. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan (pada 11 Mac bersamaan 4 Rejab)
2. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian (18 Mac @ 11 Rejab)
Namun hakikatnya tidak begitu. Walaupun terdapat perkara-perkara diulang banyak juga muncul perkara dan ilmu baru. Ini boleh berlaku secara spontan dalam menerangkan suatu ayat dalam buku juga sebagai maklum balas akibat proses soal jawab. Perkara atau lebih tepat, pendedahan paling menarik dalam syarahan semalam adalah apabila Osman bercerita bagaimana kajian untuk PhD melibatkan 3 orang tokoh besar silam Islam menyebabkan beliau makan tidur dengan pemikiran dan bacaan tentang mereka.
"Sampai saya bermimpi berjumpa dengan Imam Al-Ghazzali," kata Osman. "Saya belum pernah memberitahu ini kepada sesiapa," dia menambah.
Osman senyap seketika. Kelihatan ada air muka sayu mengenangkan perkara.
"Saya bermimpi cuma ada kami berdua di padang pasir kosong. Saya bersolat di belakang Imam Al-Ghazzali. Entah apakah maknanya?"
Saya faham ini kerana sudah mengalami banyak pengalaman mistik selain mimpi-mimpi bermakna, bukan sekadar mainan tidur. Dalam mengupas pemikiran Al-Ghazzali beliau ada menyebut bagaimana imam besar dunia Islam yang hidup tahun 1058-1111M itu dapat menguasai ilmu pemikiran rasional diikuti falsafah namun mengangkat lebih tinggi ilmu luar-rasional tanpa logik akal berdasarkan pengalaman mistik ataupun spiritual yang biasa dialami kaum Sufi, pengamal ilmu Tawasuf. Ini adalah hasil selalu melakukan penyucian diri. Ia bukan ilmu akal biasa yang terbit daripada penaakulan atau kekuatan fikiran tetapi ilmu yang disampaikan atau diberi faham tanpa proses fikir pun kerana usaha mendekatkan diri kepada Ilahi.
Merujuk pada hal ini mimpi boleh sahaja membawa makna Osman sudah mengikut manhaj atau jalan al-Ghazzali lalu ini diiktiraf atau diterima. Bersolat berduaan di padang pasir tanpa ada orang lain dan kosong pada saya menunjukkan ia kerja sepi. Tidak ada orang lain melakukannya (mengikuti manhaj al-Ghazzali)... sekurang-kurangnya pada waktu itu dan dalam lingkungan pandangan mata kasarnya. Untuk pengetahuan Osman yang merupakan Sheikhul Kuliyyah di ISTAC adalah pemegang kedua kursi al-Ghazzali di institusi ini. Pemegang pertama adalah Profesor Tan Sri Syed Naquib al-Attas iaitu pengasas ISTAC. Lihat Gagasan baru ISTAC - Memajukan perbandingan epistemologi, ketamadunan dan pengajian masa hadapan. Cukup perkongsian daripada saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan