Salam petang Jumaat 1 Zulhijjah 1440 Hijriah. Ada sedikit perkongsian daripada hujung minggu lepas.
Pagi Sabtu 27 Julai 2019 bersamaan 24 Zulkaedah 1440 Hijriah. Tiba-tiba muncul mood nak keluar tunggang motosikal besar seorang diri jauh sedikit dari rumah. Lama dah tak buat begini. Bangun Tahajud lewat terus bertahan hingga ke Subuh. Baca Quran beberapa Surah kemudian muncul mood untuk keluar.
Gambar ini diambil ketika berhenti untuk bersarapan di simpang Sungai Choh, Rawang. Semasa bersarapan itu tak pasti lagi hendak ke mana... saya main keluar sahaja. Adapun disebabkan urusan harian selain menulis dari rumah jarang saya dapat berpeluang menunggang motosikal di luar kawasan. Selalunya kalau hendak keluar sudah difikirkan dan dirancang ke manakah arah tujuan sekurang-kurangnya pada malam sebelum keluar...
Selepas bersarapan baru buat keputusan untuk mengambil jalan pintas Rawang (Rawang bypass) menghala ke selatan. Fikirnya ketika itu mahu meneruskan ke arah bandar raya Kuala Lumpur. Tetapi disebabkan rasa tidak puas hati terlepas atau tak nampak papan tanda menunjukkan lokasi tepat jambatan tertinggi di Malaysia (ya, ada di jalan pintas yang memotong dari selatan Serendah tanpa perlu masuk pekan Rawang terus melepasi Hutan Lipur Kanching ke arah Selayang) saya berpatah balik selepas membuat u-turn di satu bahagian hadapan. Naik balik jalan pintas tetapi menghala ke Serendah baru terjumpa papan tanda berkenaan.
Beberapa hari selepas itu baru dapat tahu papan tanda serupa di belah jalan menghala ke selatan rupa-rupanya sudah hilang. Apapun disebabkan hal papan tanda itulah saya meneruskan perjalanan ke arah utara pula. Masuk jalan lama ke Ipoh terus melepasi Serendah menghala ke Batang Kali. Sampai satu bahagian kelihatan papan tanda ini.
Selepas masuk ke kawasan kampung berkenaan untuk melihat apakah yang 'tersorok' di sana masuk kembali ke jalan besar untuk menuju satu kawasan lain berdekatan.
Kalau di bandar diraja Kuala Kangsar di Perak ada Bukit Chandan di Batang Kali ini pula ada Bukit Chandang. Dah lama saya menyimpan hajat untuk naik ke puncaknya. Kali ini baru dibuat. Lihat artikel Going up Bukit Chandang in Batang Kali di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
Puas memanjat bukit saya masuk ke pekan Batang Kali kemudian ikut jalan belakang ke Hulu Yam lama. Singgah iktikaf di masjid lama sana selepas itu tergerak untuk mengambil jalan masuk hutan ke Sungai Sendat di mana terdapat air terjun ini.
Ada 2-3 air terjun lagi di kawasan ini tetapi semuanya sudah ditutup kepada orang awam sebab sudah berlaku beberapa kes kematian lemas. Kalau nak mandi harus ke hilir sedikit kawasan sungai berjeram. Tapi saya masuk bukan hendak mandi. Saya mahu menikmati suasana dan pemandangan. Boleh leka ooo duduk lama kat sini. Sempat le ambil gambar atas hantar ke Facebook berserta teks berikut :-
Celah2 ride solo spontan hari ini...
Naik jambatan tertinggi di Malaysia dah...
Hiking naik bukit dah...
Iktikaf masjid lama dah...
Layan air terjun pulak.
Memang dah terlajak lari masa. Ingatkan sebelum jam 10 pagi dah balik rumah..
Ini pula di satu kawasan lombong di Serendah. Saya ingat sekitar 20 tahun lalu kalau riding belah-belah sini mesti singgah kerana tasik lombong kelihatan begitu terserlah dari tepian jalan. Sekarang kena tengok betul-betul baru nampak disebabkan pemandangan dilindungi banyak pokok...
Akhirnya begini le perjalanan spontan yang berlaku hari itu. Sedar tak sedar lebih 90 km juga berjalan. Cadangnya konon sebelum jam 10 pagi dah balik. Tapi yang betulnya dekat jam 2 petang baru sampai rumah.
Itupun sebab ingat isteri dan anak-anak yang ditinggalkan di rumah. Kalau seorang diri entah ke mana lagi boleh terlajak. Orang berkeluarga ni bukan boleh main jalan suka-suka sahaja secara spontan pergi jauh tinggalkan rumah. Kalau nak pergi jauh kena pakat dahulu dengan isteri supaya tidak menyusahkan . Kena pastikan ada orang dapat menjaga anak-anak... kalau hari minggu kena ada persetujuan siapa yang menghantar dan mengambil di sekolah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan