Khamis, Julai 25, 2019

Panglima Awang sebagai lambang keunggulan jiwa dan ketamadunan Melayu

Salam malam Jumaat 23 Zulkaedah. Hari itu saya membuka siri cerita perjalanan kecil ke Jelai dengan sedikit perkongsian majlis ilmu yang diadakan di ISTAC pada hari Jumaat malam Sabtu 17 Zulkaedah. Lihat Perjalanan kecil ke Jelai - Membawa ilmu dan amal dalam pengembaraan sebenar. Sekarang saya mahu berkongsi cerita majlis ilmu yang diadakan di tempat sama tetapi pada siang Rabu 24 Julai 2019 bersamaan 21 Zulkaedah 1440 Hijriah.









Kali ini subjek yang mahu ditangani diminati ramai pengkaji sejarah Melayu. Tajuk berbahasa Inggeris, "Panglima Awang @ Enrique de Malacca : Melaka, Globalisation and Malay Civilisation" boleh diterjemahkan dengan mudah sebagai "Panglima Awang @ Enrique de Malacca : Melaka, Globalisasi dan Tamadun Melayu". Nama moderator dan ahli panelis jelas terpampang dalam poster atas. Kita terus ke majlis...


Saya masuk ke ruang wacana sudah jam 10.36 sedangkan majlis dijadualkan bermula jam 10.


Alhamdulillah saya cuma terlepas pengenalan dan kata-kata aluan oleh Sheikhul Kuliyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar (duduk tengah). Panelis pertama, Profesor Dato' Seri Dr Md. Salleh Yaapar (kiri gambar) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) baru hendak membuka bicara.

Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang baru sebulan dua memegang jawatan ketua unit Tamadun Melayu-Islam di ISTAC (menggantikan Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang berpindah ke UPSI atau Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk memegang Kursi Za'aba) berada di kanan gambar. Beliau adalah ahli panelis kedua...


Salleh membuka dengan menyorot sejarah ketamadunan Alam Melayu yang dikatakan sudah wujud selewatnya 9,000 tahun yang lampau. Kajian Stephen Oppenheimer (profesor di Universiti Oxford, penulis buku Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia) dan Arysios Santos (arwah, mantan profesor di Brazil, penulis buku Atlantis, The Lost Continent Finally Found) dirujuk.


Daripada tempoh masa itu sejarah Alam Melayu dibawa ke abad pertama selepas Masihi dan seterusnya. Apa yang Salleh sebut juga kajian Oppenheimer dan Santos ini telah membentuk sebahagian daripada buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" juga 'kembarnya', buku ke-12 saya "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" yang terbit Mac 2018. Rujuk artikel-artikel berikut :-







\
Seterusnya disorot zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 Masihi diikuti kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511.


Termasuk dalam angkatan Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque yang menyerang Melaka itu adalah seorang bernama Ferdinand Magellan. Orang inilah yang disebut sejarah Barat sebagai manusia pertama berjaya belayar mengelilingi dunia. Sedangkan beliau sebenarnya dibantu oleh seorang hamba berbangsa Melayu yang dibeli selepas kejatuhan Melaka.

Pencatat rasmi pelayaran Magellan, Antonio Pigafetta dari Itali merujuk kepada orang tersebut sebagai Henrique. Beliau menyebut hamba yang diambil ketika berusia 26 tahun itu berasal dari Sumatera. Namun surat wasiat Magellan bertarikh 24 Ogos 1519 menyebutnya sebagai berasal dari Melaka. Apapun sejarah mengenali anak Melayu ini sebagai Enrique de Malacca atau Enrique dari Melaka...


Nama sebenarnya tidak diketahui. Di Malaysia kita mengenalinya sebagai Panglima Awang. Menurut Pigafetta, Enrique atau Panglima Awang dibawa ke Lisbon, Portugal oleh Magellan pada tahun 1512. Magellan kemudian membawanya berpindah ke Sepanyol di mana dia menawarkan perkhidmatan kepada Raja Charles V. Pada tahun 1517 dia mencadangkan kepada raja agar dibuat misi pelayaran keliling dunia melalui jalan ke barat membawa ke Gugusan Kepulauan Melayu.


Untuk menguatkan cadangan Magellan memperkenalkan Enrique sebagai penterjemah bahasa kepercayaannya kepada raja. Raja kagum dengan pengalaman pelayaran Enrique, ilmu pengetahuannya juga kebolehan untuk bertutur dalam bahasa Melayu, Sepanyol dan Portugis. Ini membuat raja bersetuju dengan cadangan Magellan. Satu ekspedisi pelayaran terdiri daripada 5 buah kapal dan 270 anak kapal pun dimulakan pada 20 September 1519.


Kumpulan ekspedisi sampai ke kepulauan yang bakal membentuk Filipina pada 16 Mac 1521.  Ketika itu ia tinggal 4 buah kapal. Terjadilah perhubungan dengan Raja Humabon dari Pulau Limasawa...


Humabon meminta Magellan menghapuskan lawannya, kumpulan pimpinan Datu Lapu-lapu dari Pulau Mactan...


Berlakulah pertempuran membawa kepada kematian Magellan.


Menurut wasiat Magellan, Enrique harus dibebaskan selepas kematian beliau dan diberi sejumlah wang pampasan. Tetapi iparnya Duarte Barbosa tidak mematuhi wasiat malah mahu memukul Enrique dan memaksanya terus menjadi hamba. Pada 7 Mei 1522 kumpulan Sepanyol itu menerima undangan makan daripada Datu Humabon. Apa yang berlaku adalah sebaliknya... 27 orang pelayar termasuk Barbosa dibunuh. Lain-lain cepat-cepat meninggalkan pulau.


Enrique tiada bersama mereka. Boleh jadi dia kembali ke Melaka, boleh jadi terus berada di sekitar pulau. Setahun setengah kemudian iaitu pada September 1522 kapal terakhir ekspedisi sampai ke Sepanyol dipimpin kapten Juan Sebastian Elcano. Turut bersama adalah 18 orang anak kapal bersama Pigafetta sebagai pencatat.

Daripada cerita berkenaan terutama catatan Pigafetta jelaslah Magellan tidak melengkapkan satu pusingan. Begitu juga, Elcano bukanlah orang pertama mengelilingi dunia kerana sampai ke Sepanyol setahun setengah selepas kejadian di Mactan. Menurut Salleh, maka itu cerita kejayaan sepatutnya adalah milik Enrique. Kalaupun dia tidak kembali ke Melaka, kepulauan tempat dia diketahui berada iaitu di Cebu cuma 2,500 km sahaja jaraknya dari sana...


Pun begitu dunia (yang dipengaruhi penceritaan Barat) terus meletakkan Magellan sebagai orang pertama membuat pelayaran mengelilingi dunia. Rakan pelayarannya  Elcano diletakkan sebagai manusia pertama melengkapkan pelayaran sebegitu. Ini disebut dalam buku-buku teks sejarah termasuk di Malaysia. Sedangkan cerita Enrique senyap begitu sahaja...


Masuk penghujung abad lalu baru hal Enrique sebagai orang pertama yang sebenarnya berjaya belayar mengelilingi dunia disebut sesetengah pihak, Diangkat juga fakta bahawa dia berbangsa Melayu ...


Maka sudah sepatutnya Enrique ini diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Namun tidak banyak yang berubah secara rasminya. Kejayaan beliau cuma disebut dalam buku-buku cerita bersifat 'ringan' seperti novel "Panglima Awang" oleh Harun Aminurrashid (Singapura tahun 1958). Novel inilah yang memperkenalkan nama Panglima Awang untuk merujuk kepada Enrique. Kata Salleh nama Awang dipilih kerana bersifat umum bagi lelaki Melayu.


Selain itu cuma ada sedikit 'pengiktirafan' dalam bentuk patung yang diabadikan atas nama Enrique atau Panglima Awang di dua buah muzium, satu di Singapura, satu di Melaka.


Patung Panglima Awang yang terdapat di Melaka itupun cuma sebahagian daripada pameran dalam Muzium Maritim Melaka. Bangunan muzium pula adalah replika bagi kapal Flor de La Mar yang terlibat dalam serangan Portugis terhadap Melaka 1511. Apakah ini memartabatkan bangsa Melayu?


Secara rata pembentangan atau perkongsian Salleh berusaha untuk mengangkat martabat Enrique de Malacca @ Panglima Awang berlatarbelakangkan pencapaian tinggi tamadun Melayu terutama semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka.


Semoga Panglima Awang akan mendapat pengiktirafan sewajarnya.


Jam 11.15 panelis kedua Ahmad Murad mengambil tempat di hadapan komputer.


Beliau tidak menggunakan slaid Powerpoint sebaliknya teks yang disediakan dalam Microsoft Word untuk memandu perkongsian.


Memandangkan banyak latar belakang perkara sudah diutarakan Salleh, beliau mahu menumpukan kepada apa yang patut dibuat seterusnya demi memartabatkan Panglima Awang dan pencapaiannya...


Disenaraikan dahulu sejumlah tulisan yang telah dibuat terhadap sosok tubuh yang dikenali Barat sebagai Enrique itu...


Kemudian baru disenaraikan dan dipanjangkan wawasan besar ilmu yang boleh dikembangkan dan diteladani daripada sejarah sebenar beliau. Antaranya :-


1. Tentang pertemuan/perhubungan orang Melayu dengan bangsa Eropah

2. Propes 'pengEropahan' (memBaratkan) orang Melayu

3. Globalisasi Bahasa Melayu

4. Globalisasi tamadun Melayu dengan sejarah Melaka dalam konteks global

5. Penceritaan Harun Aminurrashid (dalam novel) mengenai Panglima Awang sebagai masa hadapan orang Melayu.



Secara rata banyak perkara boleh dikembangkan menjadikan Panglima Awang sebagai lambang keunggulan jiwa dan ketamadunan Melayu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan