Salam petang Isnin 18 Zulhijjah 1440 Hijriah. Sekadar memecahkan kesunyian setelah lebih 2 minggu tidak mengemaskinikan blogspot.
Gambar ini diambil pada pagi Ahad 11 Ogos 2019 bersamaan 10 Zulhijjah iaitu pada 8 hari lalu. Ketika itu saya baru selesai menunaikan solat sunat Aidil Adha berjemaah di Masjid Jamek, Muar.
Turut bersama adalah dua orang anak laki-laki. Kami datang ke masjid dengan berbusana tradisional Melayu penuh.
Ini pula di sebuah bukit dekat Pagoh pada petangnya.
Selepas membawa isteri dan anak-anak memanjat bukit kami ziarah makam Sultan Alauddin Riayat Shah (Melaka) di Kampung Raja kemudian makan mee bandung udang galah di tepi Sungai Muar di sebuah kedai di Panchor.
Esoknya pagi Isnin 12 Ogos bersamaan 11 Zulhijjah kami membawa ibu bapa saya berjalan-jalan di beberapa tempat di Muar, antaranya Parit Jawa, Bukit Pasir dan Jorak sebelum meninggalkan mereka di kampung untuk kembali ke rumah kami di Selangor. Dalam perjalanan itu singgah di kawasan air terjun Gunung Ledang dekat Sagil, Tangkak. Ketika itu sudah lewat petang...
Sekadar meluahkan rasa. Adapun dalam tempoh sebulan kebelakangan ada semacam kelesuan melanda fikiran sehingga terlupa hendak menghadiri satu majlis ilmu berupa syarahan tentang konsep manusia dan insan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pada 2 Ogos. Kali terakhir menjejakkan kaki di tempat saya belajar itu adalah untuk satu majlis ilmu tertutup pagi Ahad 28 Julai. Sebelum itu hadir majlis terbuka pada Rabu 24 Julai. Lihat Panglima Awang sebagai lambang keunggulan jiwa dan ketamadunan Melayu.
Mungkin ini berlaku akibat menunaikan puasa sunat 1 hingga 9 Zulhijjah. Yang ingat saya juga terasa amat letih dan malas untuk menulis. Namun digagahkan juga siang 2 Ogos yang tarikhnya bersamaan 1 Zulhijjah itu untuk berkongsi sesuatu berdasarkan apa yang telah berlaku seminggu sebelumnya. Lihat artikel Tunggangan spontan motosikal besar pagi Sabtu 24 Zulkaedah diikuti Ulasan buku KEMBARA EROPAH 1995 dalam akhbar Berita Harian.
Petang Jumaat 16 Ogos baru teringat tentang majlis ilmu 2 Ogos kerana ada sambungan syarahan tentang manusia dan insan itu pada malamnya. Tapi rasa lesu pula hendak bergerak 40 km ke ISTAC dari rumah. Di celah-celah itu ada beberapa majlis ilmu juga terlepas akibat kelesuan tersebut termasuk di tempat-tempat lain. Nampaknya begitu juga halnya untuk beberapa majlis berkaitan yang dijadualkan berlangsung esok, lusa dan tulat.
Adapun pada petang Rabu hadapan 28 Ogos saya dan keluarga dijadualkan terbang ke Banda Aceh lalu akan memulakan satu perjalanan darat pusing Aceh dan utara Sumatera hingga Rabu selepasnya 4 September. Mungkin selepas itu baru akan kembali menjengok ke ISTAC dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Semoga cerita ringkas ini dapat membantu menghilangkan mood kelesuan fikiran... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan