Jumaat, Ogos 23, 2019

Neokolonisma kini dalam dunia Melayu - Apakah kita sudah belajar daripada sejarah?

Salam petang Jumaat 22 Zulhijjah. Merujuk pada artikel Sekitar Aidil Adha 1440 Hijriah dan kelesuan fikiran sebulan kebelakangan yang dipersembahkan petang Isnin 19 Ogos iaitu 4 hari lalu. Pada penghujung artikel ada disebut bahawa saya tidak hadir beberapa wacana ilmu dalam tempoh sebulan kebelakangan kerana terasa lesu dan begitulah nampaknya sehingga suatu waktu. Tengok-tengok esoknya petang Selasa 20 Ogos datang pula gerak untuk ke satu wacana ilmu. Maka dikongsikan sedikit cerita tentangnya...


Tajuk wacana ilmu seperti kelihatan dalam poster boleh diterjemahkan sebagai "Neokolonisma kini dalam dunia Melayu - Apakah kita sudah belajar daripada sejarah?". Diadakan di tempat saya belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam), ia menonjolkan perkongsian ilmu daripada Profesor Madya Dr Farish Noor yang sedang berkhidmat di Singapura. Beliau merupakan seorang intelektual yang cukup dikenali di Malaysia. Namun atas sebab tertentu saya sebenarnya kurang berminat dengan pemikiran beliau. 

Dahulu, sekitar 25 tahun lalu saya suka membaca tulisan-tulisan Farish yang biasa keluar dalam akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The New Straits Times kerana merasakan ia begitu intelektual. Cuma sejak beberapa tahun kebelakangan saya kurang minat mendengar apa-apa syarahan daripada golongan yang pada saya bersikap liberal. Namun atas nama akademik dan ilmu seringkali juga digagahkan diri untuk menghadiri agar tidak menjadi orang yang suka menilai sesuatu tanpa melihat atau meneliti dengan mata kepala sendiri. Kalau tidak disebabkan rasa lesu selain komitmen harus menghantar anak-anak dan mengambil dari sekolah kemungkinan besar saya akan hadir walau sekadar untuk mendengar apakah buah fikiran Farish kali ini.


Melihat pada atur cara pun agak menarik. Cuma saya dalam mood kurang mahu bercampur orang. Akhirnya dibuat keputusan untuk pergi kerana atur cara ada menyebut tentang ISTAC Teaching Museum (saya terjemahkan sebagai Muzium Pendidikan ISTAC). Ini kerana tahu sejak lebih setahun kebelakangan usaha berjalan untuk mendirikan satu muzium yang setahu saya akan banyak mengenengahkan artifak-artifak yang mengangkat dunia dan ketamadunan Melayu.


Bila disebut ada pameran atas nama muzium pendidikan itu saya fikir... aaah... akhirnya muzium dibuka dan rasmikan. Melihat pada petangnya juga ada forum elok juga bergerak ke ISTAC 40 km dari rumah setelah menghantar anak-anak ke sekolah agama jam 2.30. Isteri yang bekerja di bandar Rawang 13 km dari rumah boleh mengambil mereka setelah tamat waktu pejabat jam 5.30...


Maka pergilah saya ke ISTAC setelah lebih 3 minggu tidak bertandang...








Masuk ruang forum kedengaranlah perbincangan tentang makna neokolonisma susulan daripada syarhan Farish belah pagi yang saya tak datang.


Disebutlah tentang beberapa perkara, antaranya kepentingan melihat kembali takrif-takrif dalam menyatakan sesuatu. Dalam konteks neokolonisma yang membawa makna kekangan-kekangan seperti gaya pemikiran yang menekan masyarakat sekarang walau tidak ada lagi kolonisma atau penjajahan secara langsung dan terang-terangan seperti dilakukan oleh kuasa-kuasa besar Barat pada masa lampau kita harus melihat daripada kaca mata orang zaman itu, bukan kaca mata zaman sekarang untuk menilai perkara yang sudah berlaku lama dahulu.


Selesai forum baru melihat perkembangan tentang muzium.


Rupa-rupanya belum siap lagi muzium di tingkat bawah bangunan. Yang ada cuma pameran atas nama muzium di ruang legar tingkat pertengahan...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan