Rabu, September 26, 2018

Majlis Baca Puisi di ISTAC

OK. Ni siang tadi punya. Baru je 4 jam lebih habis majlisnya.


Sekitar 2-3 hari lalu saya menerima poster mempromosikan acara "Majlis Baca Puisi : Menghayati Kemerdekaan" mahu diadakan di ISTAC siang Rabu 26 September 2018.


Malam tadi baru menerima atur cara. Pengisian nampak menarik...


Saya pun bergegas ke lokasi pagi tadi. Kebetulan memang saya ada kelas di ISTAC petang ini.


Cuma saya sampai sejam lambat kerana ada urusan di rumah tadi.


Kelihatan suasana santai, tenang namun mengujakan.


Tak perlulah dipanjangkan siapa nama-nama mereka yang membaca puisi ya. Kat poster ada tertulis nama, begitu juga dalam atur cara.








Yang nyata banyak nama-nama hebat dalam dunia budaya tanah air.





Menariknya ini adalah acara pertama sebegini diadakan di ISTAC. Kalau Dewan Bahasa dan Pustaka atau Rumah PENA tu dah biasa...





Siap ada sejumlah pelajar pengajian bahasa Melayu daripada beberapa universiti Cina menyanyikan lagu patriotik Melayu. Nak tengok video boleh masuk sini.



Isnin, September 24, 2018

Muar, Bukit Kepong dan Pulau Besar sekitar awal Muharram

Merujuk pada artikel Menyambung/memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan sempena Ma'al Hijrah tahun 1440 yang dipersembahkan 3 hari dahulu. Ada disebut ia dibuat "demi melepaskan gerak lagi hendak meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang". Malam ini malam 15 Muharram biar dipersembahkan cerita penutup gerak. Ia masih sekitar tuntutan memperbarui atau memperbaharui wasilah keluarga sekitar awal bulan Muharram tetapi di Muar.


Adapun Teluk Intan adalah tempat asal dan membesarnya ayahanda saya sebelum berhijrah ke Raub, Pahang. Selepas berkahwin dengan ibu di Muar beliau mula menetap di sana tahun 1970 gitu. Jumaat malam Sabtu 10 hari lalu saya membawa isteri dan anak-anak balik kampung ke rumah mereka di Kampung Temiang. Esoknya pagi Sabtu 15 September 2018 saya membawa keluarga bersarapan di bandar Muar. 



Niat asalnya hendak makan nasi beringin di stesyen bas lama Muar. Tetapi semua kedai di situ tutup kerana ada gotong royong menteri hendak datang katanya. Tak mengapa. Kami tukar sarapan satay di kedai berdekatan. Selepas itu ronda-ronda pusing bandar Muar.


Timbul gerak untuk membawa ibu bapa melihat bandar universiti yang baru dibuka 2-3 tahun lalu di Pagoh Ia menempatkan kampus cawangan tiga buah universiti dan sebuah politeknik tempatan. Walaupun letaknya 20 km ke timur rumah mereka di Kampung Temiang ibu bapa tak pernah sampai. Alang-alang dah ke sana timbul rasa untuk membawa mereka lebih jauh ke arah timur. Terus ke Bukit Kepong yang tertelak 60 km dari bandar Muar saja jalan-jalan kerana saya sendiri pun sudah lama tidak bertandang ke sana.


Adapun Bukit Kepong terkenal dengan tragedi serangan komunis tahun 1950 yang mengorbankan nyawa ramai anggota polis Melayu dan keluarga yang menetap di kawasan balai polis lama sana. Tengok-tengok ada satu bangunan baru telah dibina bersambung dengan bangunan balai lama.


Telah didirikan satu macam galeri seperti muzium untuk mengenangkan tragedi.



Dibuka sekitar satu setengah tahun lalu ia memaparkan banyak maklumat tentang sejarah polis. Lihat artikel Galeri Darurat Bukit Kepong (Bukit Kepong Emergency Gallery), Muar di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Tepian Sungai Muar dan jeti di sebelah bangunan balai lama juga sudah dicantikkan untuk menerima lebih ramai pengunjung. Lihat artikel New look of Muar river from gallery built over the Bukit Kepong old police station di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Malam itu kami semua makan di luar kemudian berjalan-jalan lagi di bandar Muar.


Esoknya pagi Ahad 16 September dekat jam 11 pagi saya, membawa isteri dan anak-anak bertolak meninggalkan rumah ibu bapa untuk kembali ke rumah kami di Selangor.


Oleh kerana perjalanan melalui Melaka kami ambil peluang untuk menaik feri dari Anjung Batu masuk ke Pulau Besar.


Sudah dua tahun saya tidak membawa isteri dan anak-anak masuk ke pulau yang dikenali dengan makam-makam keramat itu. Sudah setahun juga saya sendiri tidak masuk ke sana.


Selalunya kami memberikan tumpuan kepada lawatan makam-makam. Tapi kali ini lebih banyak masa dihabiskan mandi laut sambil melayan permintaan dan kerenah anak-anak. Lihat Enjoying the beach at Pulau Besar, Melaka.


Kami keluar dari pulau lewat petang. Timbul gerak untuk melewati bandar raya Melaka melalui jalan paling hilir yang dibuat atas tanah tambak hingga ke Pantai Klebang.


Di Klebang timbul rasa untuk melawat Muzium Kapal Selam...





Cuma ia telah ditutup ketika itu. Cukuplah dapat melihat dari luar.


Alhamdulillah. Dengan ini selesailah proses melepaskan gerak untuk meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang. Selepas ini saya harus memberikan tumpuan untuk menyiapkan beberapa kerja 'sekolah' terutama mengarang proposal awal thesis untuk subjek penyelarasan masa yang belum pernah dibuat orang. Rujuk artikel Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan berserta Menyahut Panggilan Andalusia setelah 30 tahun ia menjelma - Qada' dan Qadar seorang pelajar berusia.


Ahad, September 23, 2018

Apabila panggilan perjuangan nenek moyang kembali terngiang-ngiang dalam kepala



بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم


“Sepeninggal aku telah wafat kelak,
akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya.”
“Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera 

untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu,
serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,
serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat.
Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan menjadi wali Allah.”
“Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu,
hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri,
bawalah fakir itu bersama-sama belayar ke negeri Samudera itu.”


- Sabda Rasulullah SAW dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai.









Salam semua. Salam malam 13 Muharram. Saya belum dapat melelapkan mata kerana ada perkara terngiang-ngiang dalam kepala lalu perlu dilepaskan atau diluahkan sehingga terasa lega. 

Adapun komputer laptop saya telah menghadapi satu masalah lalu terpaksa diinstall kembali perisian Windows 7 ke dalamnya. Akibatnya ia kena total reset lalu nama panggilan saya Merah Silu sebagai pemilik dan pentadbir komputer harus dimasukkan kembali ke dalam sistem berserta passwordnya. Akibat daripada itu saya harus memakai satu gambar baru untuk dijadikan ikon pengguna. Timbul gerak untuk mencari satu lambang lama yang disebut pengkaji sebagai lambang kerajaan Samudera Pasai bermula lebih 700 tahun lalu.

Itulah gambar yang kelihatan di atas sana. Hal ini menyebabkan saya tergerak untuk berkongsi gambar di Facebook berserta ulasan berbunyi :  "Tiba-tiba tergerak untuk mencari melalui Google. Lambang kerajaan nenek moyangku 700 tahun lalu." Update tersebut mendapat sejumlah maklum balas termasuk beberapa menyatakan ia adalah gambar lambang kerajaan Samudera Pasai. Ada yang memanjangkan cerita menggunakan sumber daripada Youtube bagaimana lambang itu kemudian diolah balik menjadi lambang kerajaan Indonesia yang terkenal dengan simbol burung garuda itu. 

Dalam pada itu ada yang bertanya apakah pendapat saya tentang satu hadis mengenai Samudera. Saya faham apa yang dimaksudkan.  Itulah hadis yang tertera sebagai pembukaan artikel ini. Adapun ulasan panjang lebar tentang hadis pernah dinyatakan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006. Ia kemudian dikongsikan dalam blogspot ini melalui 5 buah artikel lebih 11 tahun lalu.





Saya pun tergerak untuk menjawab komen menggunakan pautan kepada artikel-artikel tersebut. Namun didapati perkongsian yang diambil terus daripada buku kurang mesra pembaca kerana tidak dilakukan perkara-perkara seperti justify, letak italics pada mana-mana perkataan yang patut juga tidak dibuat baris kosong selepas setiap perenggan kerana begitulah keadaannya dalam buku. Pada saya cukuplah orang yang betul-betul serius berusaha untuk membaca dan memahaminya. Mereka yang tidak cukup tegar untuk melepasi gangguan teks kurang mesra boleh pergi main jauh-jauh...  

Kelihatan dalam gambar atas bagaimana pautan bagi setiap artikel diabadikan pada satu ruang di bahagian kiri blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Kini, setelah beberapa lama timbul rasa agar isi setiap artikel dijadikan mesra pembaca. Pengubahsuaian reka letak teks yang patut pun dilakukan tadi apatah lagi isi buku telah dipersembahkan kembali dalam bentuk yang lebih menarik untuk pembaca sejak tahun 2015. Rujuk artikel Mencari Diri dan Erti : Menjejak Salasilah Kesultanan yang Hilang" dah keluar! diikuti Menelusuri Jejak Leluhur : Menyingkap Makna Wasiat Nabi. Setelah membuat pengubahsuaian terasa ada baiknya kesemua pautan dikumpulkan dalam satu artikel baru untuk memudahkan rujukan umum. 

Maka terbitlah artikel ini malam-malam buta. Bolehlah ulasan panjang lebar tentang hadis Samudera dibaca menurut turutan pada bila-bila masa. Semoga dengan ini bakal bersemarak kembali malah lebih cemerlang api perjuangan yang pernah meluap-luap muncul sehingga timbulnya buku pertama dalam siri trilogi novel unik "Berpetualang ke Aceh" lebih 12 tahun yang lampau. Dikongsikan pautan bagi artikel-artikel yang sudah dibuat pengubahsuaian seperti berikut :-