Sabtu, September 22, 2018

Persidangan ASAL - Daripada busana tradisional Melayu ke matawang Kesultanan Melaka

Meneruskan usaha melepaskan gerak sambil meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang. Pergi ke satu majlis ilmu yang berlangsung di Kuala Lumpur Selasa-Ribu 12-13 September lalu.


Pagi Rabu 13 September 2018. Saya pergi ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menghadiri acara yang dipanggil sebagai Persidangan ASAL.


ASAL adalah singkatan untuk "Agung Sejak Azali Lagi". Ia merujuk kepada ketamadunan Alam Melayu yang dipercayai sudah sedia gilang gemilang sejak beberapa lama.


Majlis ini dianjurkan oleh rangkaian televisyen Astroawani. Ia menggabungkan persembahan seni budaya berbentuk teatrikal dengan pembentangan-pembentangan ilmu.


Untuk membantu persembahan sebuah layar besar selebar 100 kaki didirikan atas pentas. Ada juga skrin digital besar di kiri dan kanan dewan selain kombinasi permainan lampu ala kegunaan konsert yang berwarna-warni.



Tak hairanlah jika tiket masuk untuk acara adalah RM200 untuk orang awam, RM50 untuk pelajar. Selepas persembahan tarian kebudayaan membuka penggunaan pentas Gurindam Dua Belas karangan pujangga terkenal Melayu-Riau abad ke-19 iaitu Raja Ali Haji pula dialunkan berlatarbelakangkan lakaran grafik istana agung Kesultanan Melayu Melaka.


Ini diikuti pengenalan majlis oleh pengacara serta paparan barisan pembentang. Selepas beberapa lama, pembentang pertama Puan Zubaidah Sual yang merupakan seorang pakar busana tradisional Melayu pun muncul bercerita.


Beliau berkongsi ilmu tentang sejarah perkembangan pemakaian busana tradisional menggunakan beberapa sumber bertulis terutama kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor Tun Sri Lanang.


Penerangan kemudian diiringi sejumlah pembantu merangkap pelakon/model memakai persalinan pakaian yang menggambarkan beberapa watak seperti raja dan para pembesar pada zaman kegemilangan Melaka,


Ciri-ciri dan komponen pemakaian bagi setiap pangkat dan kedudukan pun diterangkan dari hujung kaki sanpai hujung rambut.


Pembentang seterusnya Profesor Dr Siti Zainon juga merupakan seorang pakar busana selain pakar rujuk budaya warisan Melayu 


Oleh kerana perincian pemakaian telah diterangkan oleh Zubaidah, beliau memilih untuk memanjangkan perkara daripada segi sudut warisan, asal usul dan sejarah.






Pembentang ketiga, Profesor Madya Dr. Paitoon Masmintra Chaiyanara merupakan seorang pakar rujuk bahasa yang pernah berkhidmat di beberapa universiti di Malaysia. 


Beliau memberikan penerangan panjang lebar tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca atau bahasa perdagangan utama yang bukan sahaja dikenali di Alam Melayu tetapi di rantau sekeliling membawa ke tanah Arab, Parsi dan sebagainya.





Adapun pembentangan beliau dibuka dengan satu sketsa di mana beberapa orang pelakon memainkan watak orang Melayu yang kononnya menghadapi masalah mahu berdagang dengan bangsa asing yang datang ke Melaka disebabkan perbezaan bahasa. Paitoon pun memberitahu, seharusnya tiada muncul masalah kerana bahasa Melayu dikenali di serata dunia... semua yang datang berdagang wajib tahu bahasa kita itu. Pembentangan diakhiri dengan pelakon-pelakon tersebut berterima kasih kepada Paitoon setelah berjaya mendapatkan bahan dagang. Elemen-elemen teatrikal beginilah yang memberikan nilai tambah besar bagi persidangan ASAL,


Seterusnya hadirin diberikan gambaran tentang kesibukan dan kemeriahan dunia dagang di pelabuhan Melaka.


Ia menjadi pembuka bagi pembentangan keempat oleh Profesor Madrya Dr Ahmad Jelani Halimi, seorang pakar sejarah maritim tempatan. 



Beliau bercerita tentang kehebatan industri perkapalan Melayu yang menyemarakkan perdagangan di pelabuhan Melaka.


Seterusnya muncul Dr Ibrahim Bakar yang merupakan seorang pakar numismatik atau wang dan matawang.


Beliau bercerita tentang bentuk-bentuk matawang yang pernah digunakan beberapa kerajaan lama Alam Melayu terutama Kesultanan Melaka...





Tiada ulasan:

Catat Ulasan