Jumaat, September 21, 2018

Menyambung/memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan sempena Ma'al Hijrah tahun 1440

Salam hari Jumaat. Demi melepaskan gerak lagi hendak meringankan kepala agar dapat menangani beberapa perkara dan tuntutan akan datang biar dilepaskan satu cerita daripada perjalanan hampir 2 minggu lalu.



Petang Isnin 10 September 2018 saya dan keluarga berlepas ke Perak untuk memenuhi satu panggilan kebatinan demi menyambung atau lebih tepat, memperbarui wasilah keluarga di Teluk Intan.



Hari itu adalah hari terakhir tahun 1439 Hijriah. Sampai ke pinggir bandar Teluk Intan kami membelok ke arah Kampung Gajah untuk sampai ke makam seorang moyang awal yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.



Untuk makluman inilah makam lama pertama pernah saya tuju demi menyambung wasilah keluarga. Ini berlaku selepas mendapat mimpi-mimpi dan petunjuk tertentu penghujung tahun 2001. Cerita berkenaan ada dipanjangkan dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006.



Kami singgah bersolat di Masjid Kampung Bahagia yang terletak berdekatan. Inilah masjid pertama tempat saya menginap dalam rangka kerja menjejak salasilah keluarga dengan cara menziarahi makam-makam lama.



Dah sampai Teluk Intan terasa mesti pergi ke Menara Condong di tengah bandar. Oh. Sebelum itu kami singgah di masjid utama bandar. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Sultan Idris II, Teluk Intan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas itu baru ke tujuan utama kami berjalan ke Perak iaitu ke masjid lama Batak Rabit yang didirikan dalam tanah wakaf keluarga sebelah bapa iaitu keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak. Saya mahu menunaikan niat bermalam 1 Muharram atau Ma'al Hijrah di masjid yang mungkin paling tua masih wujud di Perak.



Di sebelah masjid terdapat tanah perkuburan Islam yang dikhaskan untuk kaum kerabat kami sahaja, orang luar tak boleh masuk. Terperanjat kami apabila mendapati ada satu bahagian telah dibina bangunan cantik berbumbung. Difahamkan Raja Muda Perak, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa ada melawat masjid dan tanah perkuburan kerana ada hubungan kekeluargaan lalu memberitahu mahu mendirikan bangunan. Tak pasti apakah ia memang peruntukan daripada baginda atau pihak lain.



Cuma yang menjadi kemusykilan kenapa ia dinyatakan sebagai makam seorang moyang utama kami yang dikenali sebagai Nakhoda Hitam? Setahu saya juga pakcik-pakcik (mereka membesar di Batak Rabit, ayah saya pula mengikut ayahnya berhijrah ke Pahang) makam Laksamana pertama Perak ini atau lebih tepat Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam Tok Kuala Bidor terletak di suatu tempat lebih 10 km ke arah timur laut. Lihat Makam baru (New tomb of) Laksamana Nakhoda Hitam?.



Apapun kami dapat tidur dalam masjid dengan nyenyak dan nyaman. Esoknya siang awal pagi 1 Muharram tahun 1440 Hijriah saya meninjau-ninjau persekitaran Sungai Perak di hadapan masjid. Tengok-tengok dah jadi tempat sewa bot untuk orang memancing udang galah. Lihat artikel The boating area at Batak Rabit di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Saya pun mengajak isteri dan anak-anak menikmati suasana pagi tepian sungai. Tengok-tengok seorang pemilik atau pengusaha perkhidmatan bot mengajak kami berjalan-jalan dengan bot. Nampaknya beliau cuba mengambil hati saya setelah mendapat tahu kami adalah ahli waris pemilik tanah wakaf. Sebelum itu saya ada memberitahu datang daripada keluarga Laksamana. Ini kerana pakcik-pakcik saya ada menyatakan rasa kurang senang tanah keluarga kami dijadikan tempat orang turun memancing. Sedangkan ia asalnya diwakafkan untuk aktiviti-aktiviti keagamaan seputar masjid yang turut didirikan nenek moyang kami yang bersemenda dengan keluarga Sultan ke-26 Perak, Sultan Abdullah (yang dibuang ke Pulau Seychelles oleh British tahun 1875) juga keluarga adinda baginda, Raja Muda Musa, moyang kepada Raja Muda Perak sekarang, Raja Jaafar ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Abdul Aziz (Sultan ke-31 Perak) ibni Raja Muda Musa ibni Sultan Jaafar (Sultan ke-23). 



Saya sebagai generasi yang lebih muda boleh faham ada bagusnya terdapat tempat bot dan memancing di hadapan masjid dalam kawasan keluarga kami itu. Sekurang-kurangnya ada kemeriahan menaikkan perniagaan dan aktiviti orang tempatan sambil mereka menyumbang kepada tabung masjid. Pengusaha membawa kami sekitar satu kilometer ke hulu menghampiri satu kawasan yang dipanggil Sungai Durian di seberang. Ia adalah kawasan kaum kerabat saya daripada satu cabang lain.



Di situ ada makam seorang moyang utama yang dikenali sebagai Laksamana Toh Jambu Keramat Sungai Durian. Walaupun terletak dalam kawasan hutan belukar berduri berpaya bagai ia boleh dicapai kalau sanggup meredah sampai ke pangkal dua batang pokok kelapa yang kelihatan seperti berkembar. Terperanjat saya dan isteri apabila mendapati kedua-dua pohon tidak ada lagi pucuk atau daun akibat disambar petir 3-4 bulan lalu. Entah apa petandakah ini. Yang nyata batang pokok yang tinggal seperti menjadi nesan tinggi menandakan kedudukan makam...






Tanpa dipinta kami dibawa berjalan lagi lebih jauh beberapa kilometer tapi ke hilir sehingga sampai ke jambatan menyeberangi Sungai Perak ke Lumut. Kami juga ditunjukkan satu tapak di mana dikatakan pernah berdiri sebuah kota Belanda hampir tiga abad lalu. Lihat artikel A boat trip of Perak river from Batak Rabit dan Down the bridge at Batu Lima Teluk Intan-Lumut route.



Tengah hari itu kami pergi ke Sungai Durian dengan menaiki kereta sekitar 15 km perjalanan darat untuk menziarahi makam kaum kerabat belah sana.




Dalam perjalanan kembali ke Bandar Sungai Buaya singgah ke rumah seorang kenalan di Sungkai lalu dibawa ke makam seorang tokoh tempatan yang dipercayai ada kena mengena dengan keluarga Laksamana. Lihat Makam (Tomb of) Tok Raja Tua, Sungkai.


Nota tambahan : Sekitar jam 9 malam seorang saudara telah menghubungi saya untuk memberitahu bahawa memang benar jasad Nakhoda Hitam telah dipindahkan ke Batak Rabit. Menurut beliau ini berlaku sekitar tahun 1940an atau 50an. Memang saudara ini patut tahu kerana lebih dekat dengan pejabat Laksamana. Bapa beliau pernah memegang jawatan tersebut, begitu juga datuk dan moyangnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan