Khamis, Ogos 30, 2018

Kongres Sejarah Malaysia ke-3 - Sejarah Malaysia Pasak Masa Hadapan Negara



Semasa di Muzium Negara seorang rakan memberitahu ada majlis lain ilmu sedang berlangsung di bangunan Wisma Sejarah, Jalan Tun Abdul Razak. Jam 2 petang saya dan isteri pun bergegas ke sana. Majlis yang dimaksudkan adalah Kongres Sejarah Malaysia yang ke-3.


Kongres ini telah diadakan secara tahunan sejak 2016. Ia melibatkan ramai pakar dalam bidang sejarah. Tema untuk tahun ini adalah "Sejarah Malaysia : Pasak Masa Hadapan Negara". Kelihatan tajuk diberikan begitu akibat perubahan kerajaan yang diterajui pihak yang diketahui ramai sering mempersoalkan kedudukan hak istimewa orang Melayu.


Majlis sepanjang dua hari Selasa hingga Rabu 28-29 Ogos ini terdiri daripada beberapa sesi. Ada yang dijalankan serentak menurut pembahagian topik di bilik-bilik dan/atau dewan berlainan. Kami memilih untuk ke Bilik Buyong Adil. Buku atur cara menyebut jam 2.30 bermula satu sesi dengan tema "Politik & Pentadbiran". Mereka yang terlibat adalah seperti berikut :-

Pembentang 1 : Puan Shuwaibah binti Rosidi membawa tajuk "Sempadan Perak-Kedah : Satu Kajian Usaha dan Peranan British"

Pembentang 2 : Puan Zubaidah VP Hamzah & Encik Mohd Adib Akmal Ahmad - "Nasionalisma Pascakolonial dan Wacana Sejarah Awam : Analisis Pengalaman Malaysia"

Pembentang 3 : Dr Noor Ain binti Mat Nor, Pn. Faezah Kassim & Pn Faridah Che Husain - "Isu-isu dan Permasalahan di Penjara Kedah 1905-1941"

Moderator : Prof Susanto Zuhdi


Apabila sesi bermula baru diberitahu pembentang 1 tidak dapat hadir lalu digantikan oleh En Mohd Shazwan bin Mokhtar yang asalnya dijadualkan menjadi pembentang ke-3 sesi tengah hari Rabu (esoknya) di Bilik Abdul Hadi Hassan. Beliau membawa tajuk "Keutamaan Imperial Dalam Pembangunan Perdagangan Antara Empayar British di Tanah Melayu, 1921-1926".

Dalm sesi ini saya paling tertarik dengan tajuk "Nasionalisma Pascakolonial dan Wacana Sejarah Awam : Analisis Pengalaman Malaysia" yang dibawa dengan penuh yakin oleh Mohd Adib Akmal berseorangan, bukan berdua seperti disebut dalam atur cara. Beliau menyorot realiti sebenar hubungan antara kaum di Malaysia dalam membentuk naratif negara bangsa dan pensejarahan tempatan menggunakan bahasa bertapis penuh terma-terma akademik yang kedengaran agak neutral namun tersirat keinginan kuat untuk menyelamatkan kepentingan orang Melayu daripada ditelan sikap tamak haloba bukan Melayu yang mahu menuntut macam-macam. Apapun, banyak tema dan tajuk menarik disenaraikan untuk kongres selama dua hari ini. Sayang saya tidak boleh bersama untuk hari Rabu kerana ada perkara penting perlu dilakukan dalam menghadapi satu fasa besar perubahan hidup. Insyaallah tentang itu akan dikongsikan dalam artikel akan datang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan