Rabu, November 15, 2017

Himpunan Ilmuwan Warisan dan Peradaban Melayu - Menjana teknologi dan peradaban tinggi melalui asas yang benar

Salam semua. Masuk penceritaan hari kedua majlis ilmu di Universiti Islam Malaysia (UIM). Bersambung daripada artikel Himpunan Ilmuwan Warisan dan Peradaban Melayu - Dari bahasa dan nilai ke kesejahteraan dan sejarah bersama negara.


Pagi Khamis 9 November 2017 saya ke UIM lagi untuk pembentangan-pembentangan seterusnya.


Kali ini saya tidak perlu bergegas jauh 80 km daripada rumah kerana telah bermalam di Masjid Raja Haji Fisabilillah cuma 1.5 km dari universiti. Pun begitu saya masuk ke bilik majlis sedikit lewat iaitu pada jam 9.24. Tengok-tengok sesi pembentangan pagi yang dijadualkan bermula jam 9 belum berlangsung lagi.


Saya pun berjalan-jalan melihat jualan dan pameran di ruang legar. Dah terleka berbual dengan kawan-kawan.


Apabila masuk kembali ke bilik majlis jam 9.46 pembentangan pertama oleh Prof Dr Che Husna Azhari, Profesor Adjung dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang berlangsung.


Membawa tajuk "Sains dan Teknologi dalam Warisan Peradaban Melayu" beliau menyangkal pendapat popular yang sudah lama dianuti ramai bahawa dunia Melayu Islam sentiasa ketinggalan dalam sains dan teknologi sejak zaman berzaman.


Pakar kejuruteraan dan teknologi tinggi yang menerima didikan ijazah sehingga peringkat PhD di London ini menyatakan kita sudah bergerak maju sekian lama seiring dengan perkembangan ilmu pengetahuan yang berlaku di pusat perkembangan Islam di Timur Tengah. Cuma bermula 'kekenduran' sekitar 300 tahun lalu akibat perubahan zaman dan faktor-faktor tertentu.


Saya tertarik dengan cara beliau berbicara penuh semangat pro-Melayu dan Islam. Semangat ini turut digambarkan dengan cara pemakaian beliau berbusana tradisional Melayu dengan sebilah senjata tersisip di pinggang.


Malah sepanjang majlis ilmu selama dua hari ini saya lihat beliau sahaja cendekiawan membentang yang ada berpakaian begitu. Nampaknya Che Husna begitu bersemangat untuk menghidupkan kembali nilai-nilai peradaban tinggi yang pernah dikecapi Alam Melayu suatu masa dahulu...





Pembentang kedua Dr Zaharani Ahmad pula membawa tajuk "Perancangan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Peradaban di Malaysia".


Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka ini menghuraikan sejarah tahap penggunaan Bahasa Melayu di Malaysia sejak era kemerdekaan negara.


Diceritakan bagaimana berlaku usaha untuk memperkasaskan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sehingga terbitnya Dewan Bahasa dan Pustakaan sebagai badan utama pemerkasaan.








Namun timbul pelbagai cabaran yang meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu, antaranya disebabkan satu dasar kerajaan yang lebih mementingkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam mengejar kemajuan teknologi dan sains.


Maka berlakulah polemik-polemik tentang kepentingan bahasa ibunda dalam menjana kejayaan.


Pembentang ketiga Profesor Dr Ishak Saat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) membawa tajuk "Transformasi Politik Melayu dari Raja ke Rakyat dalam Peradaban Melayu".








Secara rata beliau menyorot bagaimana sistem pemerintahan Alam Melayu yang dahulu menonjolkan peranan raja-raja berubah disebabkan faktor-faktor tertentu menjadi pemerintahan yang lebih menonjolkan peranan rakyat. 











Pun begitu jelas pada saya sudut pandang beliau lebih menyokong kebangkitan kembali institusi raja-raja. Ini kerana beliau dapat melihat institusi sangat penting untuk mengangkat kembali nilai-nilai luhur peradaban sebenar Melayu yang kini teruk diasak nilai-nilai sekular Barat.


Masuk pembentangan keempat oleh Dato' Dr. Rahman Shaari tidak ada lagi pembentang sesi pagi memakai slaid. Semuanya bercakap terus berdasarkan ingatan tanpa rujukan seperti teks atas kertas...


Tidak dinyatakan dalam atur cara yang saya terima Rahman membawa nama mana-mana institusi. Namun beliau cukup dikenali dalam kalangan cendekiawan bidang sastera dan sains sosial. Beliau menangani tajuk "Penulisan Sastera Kreatif dalam Warisan Peradaban Melayu" dengan membaca atau lebih tepat, mendeklamasikan sejumlah sajak, antaranya ciptaan sendiri. Menurut beliau dia menghafal lebih 300 sajak,


Pembentang kelima, Prof Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali juga tidak dinyatakan dari institusi mana sedangkan saya sudah lama mengenali beliau sebagai orang lama di Jabatan Sejarah Universiti Malaya (UM). Kalau tak salah baru-baru ini saya ada terlihat nama beliau (lupa di mana) diletakkan sebagai bersama menara gading lain, mungkin UIM. Apapun, sebagai seorang bergelar Prof Emeritus melalui anugerah daripada UM beliau tetap memiliki satu bilik pejabat sendiri di sana sehingga akhir hayat...


Abdullah yang membawa tajuk "Peranan Institusi Raja Melayu dalam Peradaban Melayu Serumpun" secara berseloroh membuka dengan memberikan komen tentang sajak dan pembentangan sahabatnya Rahman Shaari. Kemudian disebut tentang hal raja-raja yang telah  disentuh pembentang seterusnya  iaitu Ishak. Baru disebut pendirian beliau sendiri tentang betapa pentingnya institusi raja-raja dikekalkan. Raja boleh ditukar tetapi institusi harus kekal. 

Seterusnya dihuraikan kenapa kedudukan dan sejarah Kesultanan Melayu Melaka sangat penting dan utama bagi orang Melayu walaupun Kesultanan Kedah lebih tua dan lebih awal Islam. Ini kerana pengaruh Melaka meliputi kedua-dua kiri kanan Selat Melaka malah melangkau jauh sehingga ke Tidore dan Ternate di Kepulauan Melaka. Namanya malah disebut-sebut sampai ke Eropah.  Pengaruh Kedah pula tidak sampai ke selatan tapi lebih ke utara sampai ke Ranong di Segenting Kra. Malah berbanding empayar-empayar seperti Srivijaya dan Majapahit pun Melaka lebih unggul sebagai penanda arah yang menetap apa itu Melayu dan peradabannya.


Pembentang keenam dan terakhir sesi pagi, Profesor Dr Kang Kyoung Seok dari Korea membawa tajuk "Tulisan Jawi dalam Peradaban Melayu". 


Beliau yang sudah menetap lama di Malaysia menyatakan kepentingan tulisan Jawi dan kecintaan beliau sendiri terhadap tulisan itu dengan memberikan beberapa contoh penulisan Jawi menggunakan pen marker dan papan putih. Walaupun cara bercakap Bahasa Melayu beliau agak pelat dan kadangkala kedengaran membingungkan semangat sayangkan Jawi malah peradaban Melayu itu amat terserlah dalam pembentangan beliau...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan