Masuk ke aktiviti rasmi susulan untuk HIKMAH Lembah Bujang. Bersambung daripada Menjayakan acara di Lembah Bujang sebelum ke runtuhan dipercayai masjid purba.
Pagi Ahad 18 Januari 2015. Kami berkumpul di Pos A, Tapak Arkeologi Sungai Batu.
Di sini, Profesor Dato' Dr Mokhtar Saidin, pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) membuka aktiviti rasmi lawatan lapangan HIKMAH Lembah Bujang dengan taklimat tentang penemuan-penemuan arkeologi di Sungai Batu.
Kami dibawa melihat rumah ibadah berusia 2,100 tahuni juga runtuhan kompleks-kompleks jeti yang pernah menghiasi kiri kanan sebuah sungai purba yang sudah lama kering. Selain itu ada tinggalan bangunan pentadbiran berusia 2,500 tahun. Lihat artikel Dari rumah ibadah 110SM ke kompleks pentadbiran 487SM di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).
Paling mengujakan adalah kewujudan tapak-tapak yang menunjukkan industri peleburan besi telah wujud malah berkembang luas di sini seawal 2,400 tahun lalu.
Alatan sokongan untuk melakukan kerja-kerja peleburan sudah dihasilkan dengan banyaknya pada kadar ketepatan piawaian yang menakjubkan. Ini menunjukkan orang Melayu sudah memiliki tahap ketamadunan yang tinggi sejak sekian lama.
Hebat tak hebat tamadun orang kita dahulukala. Besi berkualiti daripada Kedah pernah dieksport jauh hingga ke India, Jepun dan Korea (kalau tak salah ingatan dan pendengaran saya begitulah kata Prof). Lihat Tapak peleburan besi di Sungai Batu - Bukti Kedah sudah mengeksport besi sejak lebih 2000 tahun lalu!.
Ini disusuli ziarah dan tahlil di makam Sultan Muzaffar Syah Kedah, raja Kedah yang dikatakan pertama memeluk Islam (memerintah 1136-1179 Masihi).
Sebelum betul-betul berpisah haluan untuk kembali ke rumah masing-masing beberapa orang daripada kami sempat bergambar bersama tuan rumah HIKMAH Lembah Bujang di ruang legar homestay. Lihat Bergambar beramai-ramai dan tahlil di makam Sultan Muzaffar Syah I Kedah. Dengan ini tamatlah cerita aktiviti sekitar acara ke-12 HIKMAH yang diadakan hujung minggu lepas.