Rabu, April 08, 2015

Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan Oppenheimer

Pada penghujung artikel Sekitar HIKMAH Seri Menanti yang dipersembahkan tengah malam tadi ada disebut bahawa  tengah hari Ahad saya meninggalkan Seri Menanti, tidak boleh lebih lama di sana kerana perlu berehat sebelum berkejar ke utara untuk satu majlis lain. Saya dan keluarga sampai ke rumah sekitar jam 5. Malam itu, selepas mendapat sedikit tidur bermulalah cerita seterusnya...


Awal pagi Isnin 6 April 2015, sekitar jam 3.40 pagi saya berlepas ke Pulau Pinang selepas diambil 2 orang rakan yang datang dari Kota Damansara, Kuala Lumpur. Mereka ialah direktor atau pengarah berserta produser atau penerbit bagi siri dokumentari "Daulah Melayu" yang mana saya terlibat sebagai penyelidik dan hos. Kami ke pulau kerana seorang cendekiawan terkenal Barat akan berkongsi ilmu dan beliau adalah antara orang yang kami perlukan untuk mengisi siri dokumentari 13 episod sepanjang sejam setiap satu itu.


Kami sampai ke pulau sekitar 7.15 pagi. Pembentangan pula bermula jam 10, ada masa untuk berjalan-jalan sedikit.


Kami pun ke Kampung Melayu, Air Itam.


Boleh agak apakah 'misi' kami di sini? Hehe...


Apa lagi? Biar gambar yang bercerita...


Selesai sarapan baru ke lokasi acara iaitu Universiti Sains Malaysia atau USM di Bayan Lepas.


Sempat singgah di masjid universiti melepaskan hajat, mandi dan bersiap (saya pakai busana penuh Melayu berkeris bertanjak, lupa pula nak ambil gambar) sebelum ke dewan tempat acara. Lihat artikel Masjid (Mosque of) USM, Pulau Pinang di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Nampak tak apa nama acara dan siapa pembentangnya? Sat. Saya cari poster yang telah diwar-warkan di Internet.



Nah. Ini harus cukup terang. Yang bercakap adalah Profesor (ikut ejaan Melayu cuma satu huruf 's') Dr. Stephen Oppenheimer. Beliau terkenal kerana menulis buku bertajuk "Eden of the East" (terbit 1998) menceritakan Asia Tenggara sebagai tempat asal usul pelbagai bangsa, dahulunya tanah besar dengan saiz dua kali ganda negara India tetapi kebanyakan tanahnya ditenggelami air akibat banjir besar sehingga terbentuk muka bumi yang kelihatan sekarang. Rujuk penerangan berkaitan dalam artikel Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Melacak kesan tanah tua di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Adapun hal tanah besar Asia Tenggara yang pernah wujud beribu tahun dahulu merupakan antara perkara yang mahu kami tonjolkan dalam dokumentari "Darah Melayu". Maka Oppenheimer termasuk dalam senarai orang-orang yang mahu diwawancara. Skop penyelidikan dan penggambaran akan meliputi beberapa negara, antaranya United Kingdom yang juga dikenali sebagai Great Britain. Fikir kami setelah beberapa hari di ibu kotanya iaitu London mahu ke Oxford, sekitar sejam perjalanan untuk bertemu Oppenheimer yang mengajar di sana. Siapa sangka tiba-tiba dapat berita beliau datang ke Pulau Pinang untuk membentang?


Rupa-rupanya beliau selalu ke Pulau Pinang, sekurang-kurangnya setahun sekali kerana isterinya yang berbangsa Cina berasal daripada sana. Sebelum syarahan atau perkongsian ilmu dimulakan kami sempat memperkenalkan diri  lalu memberitahu tujuan kami.


Beliau memulakan syarahan dengan bercerita tentang tanah besar yang dikenali pengkaji sebagai Sundaland... disebabkan semuanya terletak di atas plet bumi yang dipanggil Pentas Sunda.


Beliau seterusnya menyebut tentang penemuan satu bentuk kapak batu di Bukit Bunuh, Lenggong. Perak. Kapak itu telah didapati berusia 1.83 juta tahun.


Turut ditunjukkan adalah timbunan tanah yang dipercayai muncul akibat letupan gunung berapi gergasi di utara Sumatera, letupan yang membawa pada pembentukan Danau Toba lebih 70,000 tahun lalu. Profesor Dato' Dr Mokhtar Saidin daripada PPAG (Pusat Penyelidikan Arkeologi Global), USM kelihatan dalam gambar. PPAG adalah penganjur majlis ini dan Mokhtar hadir sama. Untuk pengetahuan beliau terlibat dalam kajian di Bukit Bunuh (lihat artikel lama Penemuan-penemuan menarik pada polemik sejarah di Arkib Negara 19 April 2011) dan pernah membentang pada acara ke-12 HIKMAH juga berkongsi ilmu di tapak penyelidikan. Lihat artikel HIKMAH Lembah Bujang - Tamadun purba Sungai Batu dan masjid abad ke-9 diikuti Dari rumah ibadah 110SM ke kompleks pentadbiran 487SM dan Tapak peleburan besi di Sungai Batu - Bukti Kedah sudah mengeksport besi sejak lebih 2000 tahun lalu!


Seterusnya Oppenheimer menerangkan bagaimana kenaikan paras air akibat pencairan ais di Hemisfera Utara dan Hemisfera Selatan membawa kepada perubahan muka bumi yang membentuk Asia Tenggara kini.


Kalau tak salah ingatan gambarajah-gambarajah sama atau serupa telah saya lihat dalam buku "Eden of East". Saya pernah memiliki versi PDF, diperolehi daripada seorang pengkaji amatur.





Sayangnya PDF itu hilang apabila komputer laptop lama saya rosak. Terlupa nak back up...


Masuk bab kebudayaan juga sedikit teknologi lama tempatan di beberapa tempat.


Sesungguhnya kaitan antara semua ini termasuk cerita-cerita rakyat yang menyebut tentang berlakunya banjir besar membawa kepada penemuan bahawa pelbagai suku bangsa yang menghuni Alam Melayu pernah menetap di satu tanah sama yang luas.








Banjir besar tersebut (Oppenheimer menyebut ia berlaku 3 kali berdasarkan penemuan ahli arkeologi dan ini telah ditunjukkan pada 3 slaid awal) menyebabkan bangsa yang asalnya duduk di atas sekeping tanah menyebar luas berhijrah ke pulau-pulau sejauh Madagascar di Afrika dan Hawaii di Lautan Pasifik.


Secara rata isi pembentangan sampai ke tahap ini telah dikongsikan dalam buku "Eden of the East" 17 tahun lalu. Selepas itu baru Oppenheimer berkongsi beberapa penemuan baru dan ini melibatkan banyak perkara teknikal tentang DNA yang mungkin susah dicerna pembaca awam.


Oleh itu kita pergi terus pada kesimpulan...


Secara rata ia menunjukkan bahawa Asia Tenggara semasa ia masih tanah besar dahulukala adalah pusat peranakan jika bukan pun peradaban untuk manusia. Bahawa manusia Melayu itu sudah lama, sedia wujud di sini, bukan datang daripada Taiwan atau selatan Cina seperti disebut sesetengah orang. Bahkan orang Cina itu yang asalnya datang dari Asia Tenggara!


Selesai pembentangan, soal jawab pun dibuka. Saya terus menerpa ke mikrofon. Ini kerana mahu meminta Oppenheimer berpatah balik menunjukkan slaid kedua kesimpulan yang ada tajuk "Conclusions contd." itu... kerana saya tak sempat mengambil gambar semasa ia dipaparkan. Selepas itu baru bertanyakan beberapa soalan malah mula berdialog dengan Oppenheimer.

Tak perlulah dipanjangkan apa yang diperkatakan ya. Semasa makan tengah hari kami sempat berbual lagi, begitu juga halnya apabila melawat muzium berdekatan... tak rancang pun, tengok-tengok beliau pergi sama. Lihat artikel Galeri Arkeologi (Archaeology Gallery of) USM, Pulau Pinang. Cukuplah dinyatakan di sini bahawa apabila diminta menunjukkan kembali slaid kedua kesimpulan lalu menyatakan saya mahu meletakkannya dalam blogspot Oppenheimer meminta agar pembentangannya tidak disebarkan. Katanya ia adalah untuk hadirin dalam dewan sahaja kerana ada banyak penemuan baru yang belum disebarkan lagi, cuma menunggu masa yang sesuai. Namun saya boleh memilih sedikit yang boleh dikongsikan, perkara-perkara yang pernah disebarkan sebelum ini terutama melalui buku "Eden of the East". Iulah yang dikongsikan dalam artikel ini. Dengan ini cukuplah penerangan...

2 ulasan:

  1. Salam Tuan, mengapa peta Australia tidak termasuk dlm kelompok Austronesian?

    BalasPadam
  2. Wassalam. Saya tak tahu jawaban tepat. Rasanya kerana bahasa orang asli Australia iaitu Aborigine tidak memiliki ciri serupa dengan bahasa orang Austranesia/Malayo-Poluynesia. Rupa paras pun lain ciri...

    BalasPadam