Jumaat, April 10, 2015

Gambus : Manifestasi Budaya Melayu - Seni yang Terpinggir

Salam Jumaat. Ini ada cerita daripada 3 hari lalu...


Selasa 7 April 2015. Saya pergi ke Muzium Negara untuk satu acara...





Lalu di kawasan ini kelihatan satu pameran yang saya fikir sudah tamat sebulan lalu tapi dipanjangkan lagi tempoh.


Tapi saya bukan mahu ke situ.


Ada acara lain di auditorium bawah.



Sambil berjalan ke auditorium teringat saya pernah membuat pembentangan tertutup untuk kaki tangan muzium dalam bangunan utama pejabat hampir 3 tahun lalu. Lihat artikel lama Ceramah "Batu Nesan Aceh" di Muzium Negara.


Acara yang saya pergi ini dipanggil Bicara Gambus II. Topiknya adalah "Gambus : Manifestasi Budaya Melayu - Seni yang Terpinggir". Dipengerusikan oleh sahabat lama saya semasa zaman bersekolah rendah juga menengah di Muar, Raja Zulkarnain bin Raja Yusof yang sedang menerajui persatuan gambus tanah air, ia menonjolkan 3 orang panelis. Mereka ialah Mohd, Nizam Attan daripada Universiti Malaysia Kelantan (berbicara tentang "Tradisi Persembahan Kumpulan Gambus di Johor"), Abd Aziz bin Abdul Rashid daripada Muzium Seni Asia Universiti Malaya ("Proses Pembuatan Gambus Masyarakat Brunei Sabah") dan Saat bin Awang Damit ("Gambus dan Masyarakat Brunei : Instrumen Perpaduan").


Walaupun apa yang dikongsikan agak menarik dengan paparan-paparan slaid yang penuh maklumat saya tidak tergerak untuk mengambil gambar. Sebaliknya saya memilih untuk duduk diam dan mendengar. Selesai bicara dan soal jawab ada sedikit persembahan. Teringat acara-acara terdahulu berkenaan gambus yang turut diselenggarakan Raja Zulkarnain Lihat Layan festival gambus.dan Filem di UKM, gambus di UM dan kamera yang berkabus - Sedikit aktiviti untuk rakan aktivis Aceh.


Sebetulnya saya datang dalam keadaan malas hendak berfikir kerana sudah begitu kepenatan menganjurkan acara sendiri hujung minggu sebelumnya diikuti perjalanan ke Pulau Pinang hari Isnin untuk mengikuti acara lain. Lihat Sekitar HIKMAH Seri Menanti diikuti Ke Pulau Pinang untuk mendengar pembentangan Oppenheimer, Raja Zulkarnain memberitahu, ketika membuka sesi soal jawab dia mengharapkan saya akan bertanyakan sesuatu kerana tahu selalunya saya akan bertanya pada mana-mana majlis yang ada perkongsian ilmu. Saya cuma tersenyum sahaja. Kalau tidak kerana menyokong kawan kemungkinan besar saya tidak akan datang kerana amat kepenatan.

Walaupun masih mampu mencerna ilmu, sebetulnya saya lebih mengharapkan hiburan petikan gambus yang memiliki irama yang kadangkala seperti boleh mengangkat kesedaran dalam dunia keSufian. Saya mengikuti pembentangan dalam keadaan mamai, kadangkala terlelap tetapi masih dapat mencerna hampir keseluruhan yang didengar. Bila selesai bicara dan soal jawab, persembahan yang dibuat pula terlalu singkat. Nasib baik ada lagi persembahan ketika makan tengah hari di luar auditorium...


Sebetulnya juga, walaupun kemungkinan besar saya tidak akan datang kalau tidak kerana mahu menyokong acara kawan, saya sedang mencari elemen yang sesuai dalam persembahan gambus yang mungkin boleh diselitkan dalam projek dokumentari "Daulah Melayu" di mana saya terlibat sebagai penyelidik dan hos. Macam tahu-tahu je, persembahan dimulakan dengan gurindam yang bersifat Sufi atau Tasawuf, ada bab mengenal diri. Meremang bulu roma saya, terus merasakan ini elemen yang sangat sesuai untuk dimasukkan ke dalam dokumentari. Fikir saya ketika itu ia harus daripada koleksi syair Hamzah Fansuri, wali besar dan pujangga Aceh, Rupa-rupanya gurindam daripada Raja Ali Haji, penulis kitab Tuhfat al-Nafis, cucu kepada pejuang besar berdarah Bugis, Raja Haji Fi Sabilillah ibni Daeng Chelak. Ini diikuti oleh satu lagu Melayu asli yang terus dapat saya 'tangkap' kerana irama yang begitu terasa keMelayuannya. Nah. Dua elemen ini, bab Sufi diikuti jiwa keMelayuan sudah cukup rencah jika mahu memasukkan persembahan gambus dalam dokumentari nanti...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan