Isnin, November 24, 2014

Susulan HIKMAH Pagoh - Lawatan ke Bukit Treh dan Pulau Besar

Saya rasa ramai sudah sedia maklum tentang acara ke-11 HIKMAH yang sudah selamat diadakan dengan jayanya di Masjid Sultan Alauddin Riayat Shah 2 minggu lalu, di sebelah makam sultan tersebut di Kampung Raja, Pagoh, Muar. Cerita boleh disusuli pada artikel  Aturan komponen perjuangan demi kedaulatan Melayu dan Islam yang diilhamkan oleh Sultan Alauddin Melaka yang dibuat 8 hari lalu. Selepas acara ada lawatan susulan dibuat bersama rakan-rakan HIKMAH yang dapat meluangkan masa. Inilah ceritanya...


Pagi Ahad 9 November 2014, selepas cukup rehat di homestay kami bersedia untuk membuat satu perjalanan kecil. 



Pergi dahulu ke makam Sultan Alauddin untuk membuat ziarah perpisahan.



Turut bersama adalah saudara Fadhlan Amini dari Aceh mewakili kawan-kawan dari sana yang ingin menghadiri acara ke-11 HIKMAH di Pagoh tetapi tidak dapat akibat kesulitan tertentu. Cuma beliau sampai lambat iaitu jam 11 malam, 5 jam setelah acara tamat. Ini berlaku akibat tersilap informasi. Beliau menyangkakan acara diadakan hari Ahad sedangkan yang disebut mahu dilakukan hari itu adalah menghadiri satu acara silat di Melaka. 


Acara tersebut telah ditundakan ke satu tarikh yang belum pasti. Apapun adalah menjadi rancangan saya, selesai HIKMAH di Pagoh mahu membawa kawan-kawan dari Aceh masuk ke Pulau Besar yang penuh lagenda dan misteri itu. Sebelum ini saya telah 2 kali membawa sejumlah mereka berjalan di Melaka dan beberapa tempat lain. Lihat artikel lama Menyambung Melaka dengan Aceh - Misi menyelamatkan tapak kerajaan lama Lamuri dan Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD. Ini adalah gambar ketika menunggu sarapan di kedai makan tepi Sungai Muar. Lihat artikel Breakfast at Muar riverside di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas itu kami ke Bukit Treh, 5 km ke luar bandar Muar untuk melihat kesan-kesan sejarah/legenda yang ada. Ada cerita seperti sumpahan Si Tanggang kapal menjadi batu dan sebagainya. Lihat artikel Menghidupkan Bukit Treh di Muar sebagai tempat pelancongan legenda bersejarah.



Ketika itu satu kumpulan yang mengikut saya dan keluarga bersarapan telah berlepas terlebih dahulu ke Melaka untuk mendapatkan bot sewaan diskaun di Umbai. Namun 3 kumpulan lain pula muncul di Bukit Treh untuk bersama melihat apa yang ada. Lihat Exploring the legend of Bukit Treh.


Masuk ke Pulau Besar cuma satu kumpulan yang ikut berserta seorang sahabat yang datang bersendirian ke HIKMAH Pagoh dari KL lalu membawa kawan dari Aceh menumpang keretanya. Kami mengambil feri dari Anjung Batu.


Apapun saya dan keluarga tetap akan masuk ke pulau walau tanpa orang lain. Ini kerana kami sudah hampir 2 tahun tidak masuk ke sana. Rasanya eloklah bertandang selepas HIKMAH Pagoh yang turut menjadi majlis hol almarhum Sultan Alauddin Riayat Shah yang ke-550, pertama kali majlis sebegitu dibuat dalam sejarah yang diketahui. Lagipun kami ingin mengambil keberkatan bulan Muharram. Adalah bonus ziarah ini dapat dilakukan bersama sejumlah rakan HIKMAH yang mana seorang mewakili kawan-kawan dari Aceh.


Antara kami ini ada sejumlah belum pernah sampai ke Pulau Besar. Menaiki bot ke sana adalah satu pengalaman baru yang menyeronokkan buat mereka. Lihat Going to Pulau Besar after almost 2 years.


Di halaman surau dan perkarangan makam Sheikh Ismail kami bergabung kembali dengan kumpulan yang masuk lebih awal menyewa bot dari Umbai. Kemudian masing-masing 'melayan diri' pergi ke tempat yang mereka suka. Lihat Revisiting the island's sacred places.


Isteri dan anak-anak di hadapan makam Sheikh Ismail.



Meninjau-ninjau di kawasan makam Tujuh Beradik. Walaupun jasad atau apa yang tinggal dari kawasan ini katanya telah dialih ke dalam kompleks makam Sheikh Ismail ia tetap menjadi satu tempat tumpuan.


OK. Biasanya kalau dah sampai pulau saya akan berjalan ke merata tempat, sekurang-kurangnya menjangkau 1/3 pulau. Kalau isteri dan anak-anak tak larat saya suruh menunggu di surau atau makam Sheikh Ismail lalu saya pun pergi panjat bukit dan sebagainya. Kali ini saya setakat sampai ke makam Tujuh Beradik, nak pergi belakang sedikit ke kawasan makam dan perigi Nenek Kebayan pun rasa tak larat. Mungkin akibat kepenatan menjayakan acara ke-11 HIKMAH baru terasa, saya lebih banyak berehat di kawasan sekitar surau sambil melihat pantai.



Minum petang di kedai makan berdekatan. Anak-anak buat hal sendiri, jumpa pula lopak becak...


Mula-mula setakat main pijak-pijak air bagi mercik. Tengok-tengok dah berbaring dalam lumpur. Ah, biarkan sajalah budak-budak...


Tengok tu... kotor sungguh. Tapi lihatlah senyuman mereka!






Lepas tu main air laut pula. Tak pa. Bukan tak boleh basuh baju dan bilas...


Ini gambar keesokannya, selepas puas bermalam di chalet.


Kawan dari Aceh begitu puas pertama kali melihat suasana di pulau ini siang dan malam. Kalaulah tidak kerana kepenatan yang amat sangat tentu saya bawa dia masuk hutan memanjat bukit dan sebagainya.


Cukuplah satu malam di Pulau Besar kerana masing-masing ada urusan. Saya dan keluarga membawa kawan dari Aceh melawat beberapa lagi tempat di Melaka. Lihat Private tour for a friend from Aceh.



Selepas itu beliau harus berlepas ke Singapura sementara saya dan keluarga mengorak langkah kembali ke rumah di Selangor. Singgah sebentar makan hidangan asam pedas enak berdekatan Alor Gajah. Selesai cerita. Sebagai peringatan untuk diri saya sendiri ini adalah artikel ke-1,255 di blogspot ini. :]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan