OK. Semalam saya telah membawa seorang anak pusing keliling Batu Pahat untuk mengambil gambar Sungai Batu Pahat daripada beberapa sudut di beberapa tempat. Tadi saya teringat pemandangan satu cabang utama sungai yang melalui pekan Parit Sulong, pemandangan yang terasa seperti ada panggilan aura mistik dari arah pendalaman di mana terdapat sebuah bukit bernama Bukit Inas. Katanya di bukit itu ada makam-makam berbatu nesan Aceh tapi saya belum sampai. Bacaan di Internet menunjukkan sebuah makam adalah milik seorang pembesar Melaka bernama Tun Ahmad juga dikenali sebagai Tun Mamat yang membuka penempatan baru di Bukit Inas selepas Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511.
Saya pun meletakkan gambar pemandangan tersebut di Facebook seraya bertanya : "Apa ada di Parit Sulong dan Bukit Inas?". Selepas mendapat beberapa maklum balas melalui ruangan komen, entah kenapa teringat tentang batu bersurat yang katanya pernah ditemui di Beruas tetapi hilang. Berlakulah rentetan perkara yang membuatkan saya terasa harus menulis artikel ini...
Ini adalah sajak atau puisi yang terpapar di wall FB Profesor Dato' Dr Othman Yatim, seorang cendekiawan besar yang disegani di negara ini. Buku "Batu Aceh: Early Islamic gravestones in Peninsular Malaysia" tulisan beliau terbitan 1988, buku yang katanya dibuat berdasarkan thesis PhD di England beberapa tahun sebelum itu pernah menjadi salah satu rujukan utama saya ketika mula-mula menjejak salasilah keluarga belah bapa yang terkait ke Aceh penghujung 2001. Kami mula berkenalan tahun 2011, apabila saya menunjukkan satu penemuan batu Aceh di Sentul, Kuala Lumpur. Lihat Penemuan-penemuan menarik pada polemik sejarah di Arkib Negara 19 April 2011 Sejak itu kami sering berhubung dan menjadi rapat.
Disebabkan hubungan rapat inilah Prof Othman merasmikan dua acara HIKMAH. Lihat artikel Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 dan Acara keenam HIKMAH di Galeri Shah Alam 7 Sept 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Walaupun beliau cendekiawan bertaraf dunia, saya cuma pengkaji sejarah amatur sahaja, profesor kelahiran Perak ini tidak segan memberitahu khalayak ramai waima di tengah majlis besar seperti satu kongres antarabangsa baru-baru ini bahawa saya adalah sahabatnya. Lihat artikel Kongres Warisan Melayu Sedunia 2014 - Antara busana, kraf tangan dan GST yang dibuat kurang sebulan lalu.
Terlihat paparan puisi/sajak beliau di FB 3 minggu lalu saya jadi teruja kerana teringatkan sesuatu. Terus saya membuat update tentang itu. Biar dicopy paste isinya di bawah...
--------------------
RAHSIA AKHIR ZAMAN PADA BATU BERSURAT BERUAS?
Terlihat sajak lama karangan Prof Othman Yatim (ditulis 1986) tadi teringat kisah Batu Bersurat Beruas yang entah kenapa hilang begitu sahaja. Hal penemuan batu bersurat malah tertulis pada papan maklumat muzium di Beruas, saya masih ada gambarnya diambil 8 tahun lalu. Ini saya paparkan dan tonjolkan bahagian berkaitan. Kebetulan batu itu ditemui 1986, sama tahun Prof Othman menulis sajak yang dilihat sebentar tadi. Namun saya diberitahu orang Muzium Beruas batu tersebut telah diambil oleh sejumlah pengkaji katanya dari Kuala Lumpur, tak ingat daripada muzium atau universiti. Entah kenapa sampai sekarang tidak ada lagi khabar berita.
Nasib baik ada gambar ini sebagai bukti bahawa hal batu bersurat ini pernah mencuri perhatian masyarakat hampir 30 tahun lalu. Saya letak dalam artikel yang ditulis tahun 2008. Lihat sini. http://berpetualangkeaceh.blogspot.com/2008/09/exploring-happenings-around-1874_12.html. Kebetulan awal tahun itu muncul dalam suratkhabar satu cerita menyebut tentang Batu Bersurat Beruas mengandungi rahsia akhir zaman. Cuma apabila dilihat lebih teliti ternyata ia cuma sebuah iklan syarikat telekomunikasi. Saya ada tulis tentangnya di sini... http://berpetualangkeaceh.blogspot.com/2008/03/short-stop-in-beruas-and-talk-on-beruas.html.
Sayangnya saya terlupa hendak mengambil gambar cerita dalam suratkhabar itu. Walaupun sekadar iklan ia tetap menerbitkan persoalan. Bagaimana hal Batu Bersurat Beruas yang sudah lama dilupakan itu boleh timbul menjadi bahan iklan? Apakah ada suatu petunjuk yang tersirat? Sekarang terlihat pula sajak Prof Othman Yatim yang katanya ditemui ketika menyelongkar barang2 lama untuk mencari surat beranak. Kebetulan beliau pernah menulis buku bertajuk "Beruas : Kerajaan Kuno di Perak". Apakah ini menandakan sesuatu?
--------------------------------
Update ini mendapat beberapa maklum balas yang berguna. Saya copy paste beberapa...
Daripada Puan Kay Shahar : Tuan Merah Silu.... Batu itu belum ada sesiapa yang mengambilnya, dan yang pernah melihat batu tersebut pun hanya beberapa orang pencari rotan di sekitar Kampong Pulau Meranti Beruas. Menurut pencari rotan tu, batu tersebut agak tinggi (lebih kurang 9 kaki tinggi dan 4 kaki lebar...berbentuk piramid, tulisan yang terdapat di permukaan batu -dlm bentuk tulisan yang tak pernah ditemui - Prof Dr Nik Hassan mengatakan mungkin menggunakan bahasa palava ...penemuan itu berlaku sebelum ladang Gula Perak Berhad beroperasi...Bila Persatuan Pengkaji Sejarah Beruas - Manjung ke lokasi tersebut, keadaan ditempat itu telah berubah gara2 penerokaan tanah utk dijadikan ladang tebu GPB...dan lokasi batu bersurat telah bertukar menjadi aliran taliair...Menurut mereka2 yang terlibat dlm kerja2 pengalian taliair itu memang mengesahkan pernah melihat batu tersebut...Menurut mereka, kapal korek juga tak mampu untuk mengalihkan batu tersebut, ia hanya mampu menumbang dan menimbus kembali batu itu...yang kini masih kekal tertanam di situ (Kampong Pulau Meranti Beruas)...
Daripada Kay Shahar juga : Jika benar berminat... memang ada yang tahu ttg lokasi tersebut...malah boleh meninjau bekas tinggalan Kerajaan Gangga Negara yang lain.. yang masih wujud...(tak ramai yang tahu)...
Lagi : Alhamdulillah banyak yang memberikan perhatian...dulu usaha kami terbengkalai, Kerajaan Negeri Perak tak memberikan kerjasama...tambahan budget tak ada waktu tu...
Semasa batu itu ditemukan memanglah masih hutan rimba, tempat orang mencari rotan, dan sekarang ini, kawasan tersebut telah bertukar kepada ladang tebu kepunyaan Gula Perak Berhad...laluan ke situ taklah susah...
Beruas masih banyak menyimpan misterinya...InsyaAllah masih ramai di Beruas yang boleh memandu...
... dalam tahun 1650 pekan Beruas tu dulu masih merupakan sebuah pelabuhan. Sekarang bekas pelabuhan tinggal seperti kolam ikan yang kecil..yang dikenali sebagai `Kolam Mani Dendang'...Menurut sejarah, Kerajaan Gangga Negara ini sangat luas__keluasannya diibaratkan jika seekor kucing berlari di atas bumbung di kota @GN ini selama 3 bulan, masih belum habis kota tersebut di lawati...cuba bayangkan!!...Semasa JPS Manjung membuat kerja2 utk mendalam dan membersihkan Sungai Beruas, banyak artifak2 sejarah yang ditemui seperti meriam, keris, barangan tembikar, pinggan mangkuk, wang tampang dari bijih timah dll...dan di Kampong Cik Putih Beruas banyak tertanam artifak2 bersejarah...tapi bagaimana nak menggalinya ??..diatasnya sudah terdiri rumah2 penduduk tempatan...dan lebih sulit lagi, orang2 lama tempatan sangat kuat menyimpan rahsia....
-----------------------
Hal ini membuatkan saya terfikir mahu mengadakan ekspedisi mencari Batu Bersurat Beruas nanti. Selepas berkongsi rancangan di FB ramai juga menyatakan minat mahu bersama lalu saya fikir ada baiknya dibuat satu acara HIKMAH di Beruas, mungkin di Masjid Kampung Kota bersambung ke Muzium Beruas. Acara boleh dijadikan sesi taklimat untuk ekspedisi. Selepas seharian menyerap ilmu hari Sabtu sambil berkongsi maklum balas bagaimana mahu menangani misi, esoknya Ahad bolehlah semua turun ke lapangan untuk mencari.
Namun atas gerak tertentu saya diilhamkan agar membuat satu acara di Lembah Bujang, Kedah terlebih dahulu. Ini adalah berdasarkan petunjuk daripada kitab Hikayat Merong Mahawangsa yang mana selepas kerajaan lama Kedah dibuka oleh Merong Mahawangsa, seorang cucu baginda membuka kerajaan di Perak. Alhamdulillah selepas memberitahu itu ada menawarkan tempat dan persediaan logistik di Lembah Bujang menjadikan ia acara ke-12 HIKMAH, insyaallah pertengahan Januari 2015. Dengan itu bolehlah acara ke-13 diadakan di Beruas, insyaallah penghujung Februari.
Berbalik pada hal Bukit Inas mengingatkan pada Batu Bersurat Beruas tadi. Oleh kerana ada menyebut ia pernah dilihat di Pulau Meranti saya pun cuba mencari lokasi. Cari punya cari tak jumpa dalam Internet... dalam peta Google Map mahupun Google Earth pun tak keluar nama kampung atau lokasi itu. Saya pun meletakkan pertanyaan di dalam FB. Terus mendapat beberapa jawaban, antaranya lokasi yang ditanda seperti dalam gambar atas...
Selain itu ada kawan FB menyertakan gambar-gambar muka surat berkaitan daripada majalah Variasari...
Ia menunjukkan beberapa penemuan barangan lama yang dibuat oleh penduduk tempatan di Pulau Meranti.
Menariknya ia adalah daripada edisi bulan Mei 1986, tahun di mana Batu Bersurat Beruas dikatakan ditemui, tahun di mana Prof Othman Yatim membuat puisi/sajak yang mencetus gerak rasa untuk cuba mencari batu itu kembali.
Nampaknya ada petanda di sebalik semua ini. Semoga ekspedisi yang dicadangkan mahu diadakan sebagai misi susulan acara ke-13 HIKMAH di Beruas penghujung Februari mendapat restu, keberkatan dan kejayaan. Amin... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan