OK. Masuk satu majlis ilmu baru ini.
Semalam saya naik motosikal meredah hujan lebat untuk ke majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka.
Saya diberitahu majlis bermula jam 2 petang sedangkan saya sampai 15 minit lewat. Rupa-rupanya saya sebenarnya awal kerana jam 2 itu baru bermula pendaftaran. Majlis sendiri bermula 2.30 lalu saya pergi minum di kantin sebentar.
Saya masuk ke dewan seminar hampir 2.45. Kelihatannya majlis telah bermula tetapi masih lagi peringkat pengenalan.
Kelihatan di atas pentas pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Profesor Dato' Seri Dr. Md. Salleh Yaapar (kanan) sebagai pembentang/penceramah dan pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Tuan Haji Khalik bin Sulaiman sebagai pengerusi majlis. Md Saleh juga adalah profesor Kesusasteraan Bandingan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan merangkap Ombudsman, Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah memegang banyak jawatan tinggi akademik, antaranya Kursi Eropah (European Chair) bagi Pengajian Melayu di Leiden University, Belanda (2003-2006) dan sebelum itu Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dan Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.
Majlis ini merupakan Siri Wacana Fikrah Ummah yang ke-9. Prof Saleh membentang tajuk "Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Ke Arah Pencerahan yang Dinantikan".
Jam 2.50 beliau pun memulakan bicara...
Secara rata apa yang beliau katakan serupa dengan apa yang terpapar pada slaid. Sekali sekala sahaja beliau memanjangkan lebih dari itu. Saya telah mengambil gambar semua slaid yang ada kecuali mungkin 1-2 sejurus selepas Prof Saleh memulakan bicara. Ini disebabkan saya harus keluar dewan untuk menjawab panggilan telefon Prof Dato' Dr Othman Yatim yang pada mulanya ingin berjumpa dengan saya pada majlis tetapi tidak dapat datang kerana ada saudara bertandang ke rumahnya...
Secara rata slaid-slaid yang ada sudah cukup untuk memberi faham. Namun biar saya memberikan penerangan ringkas mana yang patut. Selepas mukadimah untuk menyatakan hala tuju pembentangan beberapa contoh penggunaan nama Melayu yang terawal diketahui dalam sejarah pun diberi contoh. Paling awal diketahui menurut kajian beliau adalah ketika ilmuwan Yunani atau Greek, Ptolemy yang hidup 90-168 Masihi menyebut "Maleu-Kolon" yang bermaksud Melayu Barat dalam kitabnya Geographia merujuk pada satu bahagian Semenanjung Tanah Melayu.
Nama Melayu kemudian dilebarkan oleh empayar Srivijaya yang diasaskan sekitar 670 Masihi.
Ia benar-benar melonjak tinggi apabila Kesultanan Melaka mencapai kemakmuran abad ke-15 lalu Melaka menjadi penanda aras pada segala yang berkaitan Melayu.
Tetapi ada pihak mempertikaikan ini dengan mendakwa Melayu adalah satu perkataan baru yang dicipta pada zaman penjajahan Inggeris, bermula abad ke-19 Masihi.
Sedangkan ada bukti dari pihak Barat sendiri iaitu dari catatan Portugis menunjukkan ia sudah disebut mereka awal abad ke-16.
Masuk asal-usul Melayu yang ada kontroversinya sendiri...
Ramai masih terkeliru dengan teori lama yang mendakwa bangsa Melayu berasal dari selatan Cina sebelum berhijrah ke sini.
Ada pula mengambil kesempatan untuk mendakwa Melayu sebagai pendatang.
Ini dilanjutkan sebagai teori "Keluar dari Taiwan" - orang Melayu kononnya berasal dari leluhur sana yang bergerak ke selatan sebelum menyebar merata ke kawasan-kawasan kepulauan.
Walhal ada kajian menunjukkan ada ras-ras Melayu yang pernah menetap di tempat mereka dalam lingkungan Alam Melayu seawal 39,000 tahun lalu!
Sebenarnya teori "Keluar dari Taiwan" sudah lama disanggah sejumlah pengkaji. Malah ada yang telah membuktikan sebaliknya. Bukan Melayu yang keluar dari Taiwan tetapi leluhur orang Taiwan yang keluar dari Alam Melayu, ketika bumi di Asia Tenggara ini masih membentuk sebuah benua besar yang digelar pengkaji sebagai Sundaland.
Antaranya Dr. Stephen Oppenheimer dari University of Oxford, England. Beliau menyatakan bahawa 16,000 tahun lalu Asia Tenggara adalah sebuah daratan besar dengan saiz dua kali ganda India!
Namun berlaku banjir besar yang menenggalamkan daratan membentuk muka bumi seperti sekarang.
Inilah yang menyebabkan penduduk asal Alam Melayu berhijrah ke merata tempat membentuk pelbagai komuniti baru. Tetapi ramai masih membawa kenangan banjir besar dan tempat asal usul leluhur dalam bentuk mitos atau cerita-cerita rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan