Sebetulnya saya telah merancang untuk kembali ke rumah selepas makan tengah hari. Ini kerana selain membuat kerja-kerja penulisan dan merancang aktiviti kedaulatan Melayu Islam dari rumah, sejak berpindah ke Sungai Buaya, Rawang awal tahun saya juga menjaga seorang anak berumur 5 tahun menghantarnya ke sekolah tadika dan mengambil pulang sementara isteri bekerja di pejabat. Sejak 2 bulan kebelakangan pula saya menghantar anak mengaji Mukadam di kawasan perumahan. Apabila harus membuat kerja di luar, menghadiri majlis dan sebagainya baru isteri mengambil anak, ada masa menumpangkannya di rumah asuhan di mana seorang anak kecil kami berusia 2 tahun setengah diletakkan sepanjang hari, ada masanya dibawa kembali ke pejabat selepas selesai waktu rehat makan tengah hari.
Kali ini isteri membawa ke pejabat. Ikut rancangan sekitar jam 3, paling lewat pun 4.30 saya akan mengambil anak pulang ke rumah sebelum menyiapkannya untuk kelas mengaji. Tetapi semalam saya dilewatkan oleh beberapa faktor. Bermula makan tengah hari lewat 2.30 gitu akibat luncheon talk oleh Menteri Kewangan Kedua, Dato Seri Husni Hanadzlah ditukar ke dewan seminar (rujuk balik Kongres Warisan Melayu Sedunia 2014 - Antara busana, kraf tangan dan GST) terserempak pula seorang kawan lama daripada zaman saya aktif bertukar-tukar fikiran di forum Internet tahun 2006. Rasanya dah 8 tahun tidak berjumpa. Rupa-rupanya beliau sudah beberapa lama bekerja di MITI (Kementerian Perdagangan) dan pejabatnya adalah di bangunan Matrade ini.
Selepas makan kami berjanji untuk berjumpa di surau lalu berbual lama. Kebetulan hujan turun sedangkan saya naik motosikal, malaslah nak meredah hujan berkejar ke pejabat isteri, Isnin lalu dah puas redah masa nak pergi majlis di DBP. Saya pun membuat keputusan untuk masuk ke dewan seminar. Ketika itu seminar sedang disambung dengan sesi forum mengenengahkan beberapa orang wakil dari luar negara.
Ketika saya masuk jam 4.09 gitu wakil dari Patani sedang menunjukkan gambar beberapa bangunan lama seperti istana-istana warisan Kesultanan Patani dan kerajaan-kerajaan bawahannya seperti Legeh, Wilayah-wilayah itu kini membentuk selatan Thailand. Bangunan yang ditunjukkan masih wujud walaupun kurang terjaga. Untuk pengetahuan Kesultanan Patani pernah menjadi kerajaan Melayu besar yang disegani sebelum ia dikalahkan oleh Siam (kemudian dipanggil Thailand) lalu diserap masuk ke dalam negara majoriti Buddha itu sambil pemerintahan Islam berajanya diluputkan. Patani pernah membentuk persekutuan besar dengan Kelantan dan Terengganu di Malaysia berada di bawahnya.
Patani turut terkenal sebagai pusat ilmu dah dakwah Islamiah serantau. Reputasinya hampir seperti Aceh yang lebih dikenali sebagai bumi Serambi Mekah. Ulamak-ulamak Patani pernah mewarnai istana beberapa kerajaan Melayu lain menjadi mufti dan sebagainya.
Kealiman ulamak Patani begitu diperakui ramai sehingga ada yang bermastautin di Arab Saudi memegang jawatan-jawatan besar mempengaruhi kerajaan itu.
Turut ditunjukkan makam ulamak Melayu besar Sheikh Abdus Samad al-Falimbani (Palembang). Kitab-kitab beliau terkenal merata ceruk rantai termasuk di Malaysia. Beliau berayahkan seorang ulamak besar di Kedah. Lihat Makam Datuk Maharaja Khadi Sheikh Abdul Jalil. Namun atas sebab tertentu, kalau tak salah berperang dengan puak kafir Siam beliau syahid lalu dimakamkan di satu kawasan terpencil di Patani.
Berbalik pada ulamak Patani di Arab Saudi. Seperti lain-lain ulamak sana yang pernah menyebar ke serata negara-negara Islam, mereka selalu menambah perkataan al-Fatani atau al-Fathoni pada nama. Misalnya Sheikh Daud dan Sheikh Ahmad al-Fathoni yang menjadi sumber rujukan utama sebuah badan penerbitan kitab dan makalah tentang ulama-ulamak Islam, badan bernama Khazanah Fataniyah di Malaysia. Suka pula saya untuk memberitahu pernah melancarkan siri buku/novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) di tempat mereka. Lihat artikel lama Kenangan pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Khazanah Fathaniyah 2 bulan lalu....
Menurut wakil dari Patani, seorang ulamak situ malah pernah diberi tanggungjawab menerbitkan wang syiling Arab Saudi suatu masa dahulu. Hmm. Mungkin fikiran saya separuh melayang ke tempat lain semasa hal ini dinyatakan. Saya sudah lupa nama penuh ulamak tersebut. Yang saya ingat (kalau salah sila tegur dan ingatkan) wakil itu memberitahu pihak Arab Saudi telah memberikan pilihan untuk meletakkan namanya pada wang tetapi tidak nama penuh, harus pilih satu perkataan. Ulamak itu memilih al-Fathoni pada belakang nama. Hasilnya terbit wang-wang syiling Arab Saudi yang tertulis perkataan Fathoni.
Turut dikongsikan adalah keadaan ekonomi umat Melayu Patani di selatan Thailand. Orang Melayu sana tidak menghadapi masalah tentang itu. Malah ramai hidup senang hasil perniagaan di Malaysia. Ini dibuktikan oleh kewujudan begitu banyak kedai tomyam di negara kita dimiliki orang sana. Masalah Patani bukan sangat masalah ekonomi tapi masalah kehilangan nilai dan identiti asli disebabkan pemerintahan kafir yang mengikis jati diri. Hal halal haram tidak dijaga kecuali oleh golongan kuat agama menyebabkan restoran Kentucky Fried Chicken di sana tidak harus dikunjungi orang Islam yang taat agama. Sebagai gantinya ada anak Patani yang pernah belajar tinggi di Malaysia membuka sendiri rangkaian restoran ayam goreng yang dipanggil Bagus Chicken! :]
Hampir jam 4.30 sampai giliran wakil dari Bugis berkongsi keadaan berserta pemerhatian beliau tentang warisan Melayu. Nampaknya saya tidak dapat meninggalkan dewan seminar seperti dirancang awal (paling lewat mahu keluar 4.30 konon). Forum ternyata menarik memberikan banyak maklumat berguna sekurang-kurangnya buat pengkaji seperti saya.
Maaf ya jika saya tidak menyebut nama. Biar ditulis apa yang diingati tanpa terlalu memerah otak. Kalau mahu perincian nama pembentang/wakil/peserta forum dan lain-lain sila masuk ke blogspot acara di sini...
Perkara paling awal ditangani adalah kewujudan hubungan sejak ratusan tahun antara Semenanjung dan Tanah Bugis. Untuk pengetahuan wilayah asal Bugis itu terletak di selatan Pulau Sulawesi (kini di dalam negara Indonesia).
Yang ramai tahu adalah orang Bugis mula menempa nama di Semenanjung dengan kedatangan Opu Daeng Lima Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi - sekitar 1720 gitu. Sedangkan sudah wujud hubungan lebih awal Melayu dengan Bugis. Oh, Makassar adalah satu kerajaan dan wilayah besar di Sulawesi Selatan yang memiliki nilai etnik tersendiri. Di sana mereka dianggap lain dari suku Bugis tapi di Semenanjung baik orang Bugis mahupun Makassar dikenali sebagai Bugis semuanya.
Wakil seterusnya adalah seorang anak Malaysia yang sudah lama menjadi penduduk tetap di Afrika Selatan.
Beliau masuk ke sana tahun 1991 ketika Malaysia masih belum menjalinkan hubungan diplomatik dengan Afrika Selatan. Ini akibat ia mengamalkan dasar apartheid yang menindas orang bukan berkulit putih. Maka itu beliau yang bermula sebagai seorang jurugambar menghadapi masalah untuk hidup. Keadaan cuma berubah apabila dasar itu berjaya dimansuhkan tahun itu juga, setelah bertahun-tahun pejuang tempatan seperti Nelson Mandela melawan. Afrika Selatan pun mula diperintah orang berkulit hitam. Tiada lagi dasar menindas orang bukan berkulit putih.
Di Afrika Selatan memang wujud komuniti orang Melayu sejak abad ke-17 akibat dijadikan tempat membuang tawanan perang oleh Belanda. Ketika itu kuasa besar penjajah Barat ini sedang gigih berusaha untuk menguasai belahan Alam Melayu yang bakal membentuk Indonesia. Anak kelahiran Malaysia itu mula membina kejayaan berniaga batu permata (senang dan banyak terdapat di sana). Beliau menggunakan batu pertama utnuk membentuk bunga telur dan sebagainya khas untuk kegunaan majlis komuniti Melayu.
Ini berkembang menjadi perniagaan permata yang dihormati ramai sehingga ke peringkat negara. Namun saya tidak boleh duduk lama mendengar cerita. Jam 5:08 saya pun keluar dari dewan seminar, singgah sebentar tempat ekspo di bawah sebelum bergegas kembali ke rumah. Tamat cerita... :]
Di Pattani ..sepanjang 10 tahun,lebih 6000 org telah tekorban akibat kekejam Kerajaan Thailand..
BalasPadam