Seperti bersambung pula daripada artikel sebelum ini, Peri Nama, Asal Usul dan Identiti Melayu : Sudah terang lagi bersuluh!. Selesai cerita dari Dewan Bahasa dan Pustaka masuk lagi satu majlis ilmu...
Semalam saya pergi ke bangunan Matrade dekat Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Ada kongres Warisan Melayu Sedunia 2014.
Selfie sat dalam lif. Seperti di DBP hari Isnin saya memakai baju Melayu walau tidak berbusana penuh tradisional seperti selalu dilakukan pada majlis-majlis berkenaan Melayu yang dihadiri sejak setahun dua kebelakangan. Kali ini saya tambah tengkolok, kemudian baru memakai keris.
Kongres 2 hari ini sebenarnya telah bermula pagi Selesa. Saya cuma datang hari Rabu itupun masuk tengah hari.
Sebenarnya selepas ke DBP 3 hari lalu saya malas nak masuk KL buat beberapa waktu. Tetapi saya harus ke sini kerana diajak seorang sahabat, Prof Dato Dr Othman Yatim untuk bertemu. Kemudian baru saya tahu beliau kembali aktif mendidik selepas pencen lagi (ya, beliau sebenarnya sudah pencen lama tetapi sering dipanggil jadi profesor kontrak). Prof Othman baru sebulan bekerja dengan Unimas (Universiti Malaysia Sarawak), sejak itu banyak menghabiskan masa di sana. Patutlah tiba-tiba menghubungi saya mengajak berjumpa. Sebab kebetulan ada di KL untuk membentang.
Mengikut jadual beliau akan membentang jam 12.15. Saya sampai awal sedikit ketika seorang pembentang lain sedang bercakap tentang busana Melayu.
Ketika saya masuk ke dewan seminar pembentang ini (bukan dalam gambar) sedang memberikan contoh pakaian dari kitab Hikayat Malim Dewa. Ah, macam tau-tau saja ini! Ini kerana saya masih dalam proses menyiapkan satu set slaid untuk pembentangan bertajuk "Malim Dewa dan Dinasti al-Kamil - Sambungan Aceh ke Muar". 8 November nanti Lihat artikel Masuk tahun baru Hijrah - 2 minggu lagi HIKMAH Pagoh di blogspot Himpunan Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Memang kitab ini salah satu rujukan yang mahu diketengahkan, Malah rangkap-rangkap sama seperti di atas memang mahu ditonjolkan kerana faktor dua nama di dalamnya yang sangat sinonim dengan warisan Ahlul Bait, anak cucu keturunan Nabi Muhammad SAW.
Saya duduk di belakang Prof Othman.
Menarik juga pembentangan tentang busana terutama apabila ditunjukkan gambar-gambar lama cara pemakaian orang Melayu pelbagai negeri dan lapisan masyarakat dulu-dulu.
Sampai giliran Prof Othman untuk bercakap.
Beliau membentang tentang kraf tangan, cabaran industri dan hala tuju. Sayang beliau tidak meletakkan gambar-gambar pada slaid. Kalau tidak pembentangan boleh menjadi lebih menarik lagi.
Selepas jam 1 ingatkan kami sudah boleh keluar makan tengah hari. Tengok-tengok harus menunggu dalam dewan untuk kedatangan seorang tetamu/pembentang terhormat.
Beliau adalah Menteri Kewangan Kedua, Dato' Seri Husni Hanadzlah. Ini adalah sesi luncheon talk.
Dah nama pun luncheon talk, patut diberikan sambil kami makan bukan? Apapun Husni memberikan pembentangan yang agak menarik. Beliau menggunakan paparan muzik video dan slaid gambar berwarna-warni. Gaya membentang santai seperti hos talk show mengingatkan pada program-program motivasi profesional seperti dilakukan ramai penceramah jemputan dari luar negara yang dibayar mahal. Gaya ini saya nampak mukadimahnya apabila menteri itu membuka kot ketika paparan video pertama bermula. Ia seperti gaya Presiden Amerika, Barrack Obama apabila mahu kelihatan lebih santai dan senang dihubungi rakyat. Begitu juga saya lihat gaya Jokowi, sama seperti Obama, dalam usaha untuk memenangi kerusi Presiden Indonesia baru-baru ini.
Husni juga memaparkan banyak stastik untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, antaranya rasionalisasi subsidi minyak dan GST. Sebetulnya banyak maklumat berguna telah beliau kongsikan. Sayangnya ia dilakukan dalam keadaan ramai daripada kami sedang lapar, menunggu-nunggu untuk makan.
Apanya tidak? Kami turun makan dah 2.30 petang, Lainlah kalau dah berniat untuk berpuasa. Ikut rancangan asal memang luncheon talk mahu dilakukan di bawah ini sambil kami makan. Tetapi ia harus ditukar ke dewan seminar apabila pihak penganjur baru tersedar kesilapan hari sebelumnya di mana bahagian bawah ini ternyata tidak sesuai untuk dibuat ceramah disebabkan kesan bunyi bergema menjadikan ceramah/syarahan kurang jelas. Ruang yang terletak di bawah bumbung lutcahaya juga terlalu terang mengakibatkan paparan slaid melalui projektor jadi tenggelam. Saya difahamkan kekurangan ini berlaku kerana perubahan lokasi acara yang berlaku agak mendadak. Difahamkan acara yang diadakan setelah 10 tahun menyepi (mereka pernah membuat kongres sama tahun 2005) asalnya mahu dijayakan di PWTC. Tetapi atas sebab yang tak pasti apa, mereka mendapat berita harus bertukar tempat baru 4 hari lalu.
Kelihatan menikmati juadah beberapa orang rakan aktivis budaya. Kongres atau seminar ini turut diiringi expo di tingkat bawah dan mereka ada membuka satu gerai. Lihat artikel An expo on Malay heritage at Matrade di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan