Khamis, Jun 19, 2014

Perjalanan kecil ke Kelantan : Jejak wasilah kuala ke teluk

Salam. Sampai masa untuk menamatkan siri kecil ini. Bersambung dari Perjalanan kecil ke Kelantan : Tolak Kota Bahru untuk ke Rantau Panjang dan Perak.


Isnin 2 Jun 2014. Setelah bermalam di surau berdekatan kami menziarahi makam watak legenda yang dipanggil Tok Temong, pemimpin perempuan yang bertanggungjawab menabalkan sultan pertama Perak tahun 1528.


Kelihatan bangunan makam di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar ini telah diperbaiki begitu cantik. Mungkin untuk menerima pertabalan sultan baru Perak. Lihat artikel Rupa baru makam Tok Temong (New look of the tomb of Tok Temong) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Seperti biasa kalau dah sampai di sini rasa tak sah kalau tak melepak sebentar di Sungai Perak berdekatan makam.


Dan kalau dah berada di Kuala Kangsar mesti makan laksa kegemaran di sebuah kedai di Kota Lama Kanan. Mesti juga ziarah masjid lama di mana terdapat batu nesan menandakan tempat ghaibnya sultan kedua Perak.


Perjalanan diteruskan menyusuri Sungai Perak melalui laluan kampung ke Sayong...






Kemudian baru masuk ke pekan.



Naik Bukit Chandan singgah le ke istana hinggap lama yang telah dijadikan muzium. Masih lagi tak buka-buka kerana proses baik-pulih. Entah baik-pulih apa, dah 10 tahun gitu tak siap-siap.


Dah naik Bukit Chandan mesti singgah Masjid Ubudiyah.


Kelihatan di sisi tandu yang digunakan untuk membawa jenazah Sultan Perak ke-34 Sultan Azlan Syah dari istana ke tanah perkuburan. Untuk pengetahuan baginda mangkat beberapa hari sebelum kami sampai.


Kali ini saya berpeluang untuk naik ke menara masjid sampai ke bahagian paling atas. Walhal seingat saya tidak pernah pun terfikir hendak berbuat begitu walaupun dah pergi ke masjid ini entah berapa kali. Entah bagaimana peluang boleh muncul lalu gerak hati menyuruh ikut sahaja. Kelihatan tanah perkuburan diraja Perak di sebelah. Lihat artikel Views from minaret of Masjid Ubudiyah, Kuala Kangsar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Tentunya kami juga menziarahi makam Sultan Azlan. Al-Fatihah. Lihat Visiting the Perak royal mausoleum after demise of a Sultan.


Anak-anak pula seronok bermain dengan rama-rama yang ditemui di masjid.


Musim mengawan ke hapa, rama-rama ini katanya muncul dengan banyaknya ketika Sultan Azlan dikebumikan Khamis 29 Mei. Seekor rama-rama serupa masuk ke rumah kami hari sebelumnya lalu melekap pada dinding sehingga keesokan hari. Apakah ada kena-mengena dengan kemangkatan sultan selepas Zuhur hari Rabu?


Tempat seterusnya dituju adalah Hulu Kenas untuk bermandi-manda.


Kemudian ke Kampung Semat di Manong memberi salam kepada sultan ke-4 Perak yang dimakamkan di Pulau Semat yang terletak di tengah Sungai Perak.


Perjalanan diteruskan ke Teluk Intan, singgah ke makam watak legenda Keramat Kuala Bidor di Kampung Bahagia.


Masuk bandar Teluk Intan kami ke Kampung Terengganu pula untuk menziarahi makam sultan ke-22 Perak.


Berdekatan situ ada pokok besar yang menjadi semacam penanda arah di sekitar ini.


Singgahlah makan minum. Sempat melihat aliran Sungai Perak berdekatan. Lihat Perak river near junction to Kampung Terengganu.


Untuk menutup perjalanan hari itu yang lebih merupakan ziarah wasilah tokoh-tokoh yang ada kaitan darah dengan keluarga sebelah bapa, kami singgah di masjid lama Kampung Batak Rabit. Tengok-tengok ada pula poster ini.


Kalau menurut apa yang tertera pada atap genting menara masjid ini sudah berdiri sejak tahun 1865. Namun di sebelahnya terdapat tapak untuk masjid yang lebih lama bersama tanah perkuburan keluarga bapa.


Saya tertarik melihat kayu-kayu lama yang dilonggokkan di tapak masjid tersebut. Kalau tak salah ia dicabut dari bangunan masjid sedia ada, setelah sebahagian besar bangunan yang asalnya kayu digantikan dengan binaan batu. Tergerak untuk mengambil sekeping dua kayu buat kenangan. Itulah yang ada terpapar dalam artikel Penambahan hiasan rumahku syurga. Sekian siri kecil ini. :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan