Tadi selepas Isyak pemegang mohor besar raja-raja telah mengumumkan bahawa 1 Ramadhan 1435 Hijrah jatuh pada hari Ahad bersamaan 29 Jun 2014. Maka pada hari terakhir bulan Syaaban ini biar ditamatkan cerita kecil perjalanan hujung minggu lalu.
Sudah disebut pada artikel Bertandang ke Pulau Tawar - Jejak legasi Mat Kilau kami ingin bermalam di masjid lama Pulau Tawar. Alhamdulillah kami bukan sahaja dapat bermalam dengan selesa malah dihadiahkan 2 biji durian yang gugur dari pokok hadapan masjid.
Kami telah mendapat kebenaran untuk bermalam juga memakan durian.
Seronok suasana di sini. Sempatlah melepak lama termasuk bermain-main air di sungai.
Di hadapan masjid terdapat rumah dengan seni bina menarik. Buka pintu di hadapan mihrab boleh nampak. Lihat artikel Rumah di hadapan masjid lama Pulau Tawar (House in front of the old mosque of Pulau Tawar) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Selain durian kami dapat makan lagi ikan patin masak gulai tempoyak. Ini adalah baki kenduri malam sebelumnya di masjid jamek.
Ini pula adalah penanda yang kelihatan seperti batu nesan ke masjid.
Kalau tidak kerana jalan tar ia betul-betul kelihatan seperti makam panjang.
Selepas bersiap kami anak beranak menuju ke tanah perkuburan yang dikunjungi lewat petang Sabtu.
Kali ini baru dapat menemui makam lama yang dicari. Lihat Makam lama di Pulau Tawar (Old tomb at Pulau Tawar).
Sambil saya meneliti makam Rasyid dan Johan bermain-main di tanah perkuburan. Pandai pula mereka menemui batu ke kayu yang sangat sesuai untuk duduk.
Perjalanan diteruskan menghala ke bandar Jerantut sebelum masuk jalan ke Kuala Tahan. Sudah lama saya ingin mencuba jalan yang boleh membawa ke Taman Negara ini, baru kini berkesempatan...
Saya diberitahu ia dibuka 9 tahun lalu. Sebelum itu pengunjung harus mengambil bot dari Kuala Tembeling lalu menghulu hampir 2 jam ke Kuala Tahan sebelum boleh memasuki Taman Negara. Lihat artikel On to Kuala Tahan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Bandingkan dengan artikel lama Kuala Tembeling, the doorway to Taman Negara....
Tu dia, bersedia untuk masuk ke Taman Negara. Ia terletak di seberang Sungai Tembeling. Biar diberitahu inilah kali pertama saya, isteri juga anak-anak sampai ke sini. Sudah lama terfikir untuk masuk ke kawasan hutan yang merupakan Taman Negara pertama di Malaysia, baru kini ia terjadi.
Kami pun menyeberangi sungai. Lihat Crossing the Tembeling river at Kuala Tahan.
Jejak sahaja ke seberang sudah berada di dalam Taman Negara.
Untuk masuk lebih jauh perlu melaporkan diri di pejabat. Pengunjung perlu mendapat permit dengan membuat sedikit bayaran, selepas itu bolehlah masuk hutan... jika mahu boleh bermalam berhari-hari.
Kami sendiri tidak bercadang untuk masuk lama. Ini kerana keesokannya Isnin adalah hari bekerja. Kami sampai pun sudah 1.30 tengah hari. Cukuplah dapat menghabiskan masa sejam dua melihat apa yang ada. Lihat Enter Taman Negara.
Cukuplah kami 'memenuhi syarat' sampai ke Taman Negara dengan mencuba satu tarikan popular.
Ia adalah Canopy Walkway di mana kita boleh berjalan di atas pokok pada ketinggian 30 meter dari aras tanah atau lebih.
Ada sedikit rasa takut dan gayat apabila melihat ke bawah apalagi dari kedudukan yang agak terbuka. Namun sudah ramai berjaya melakukannya. Kenapa tidak kita?
Saya sebagai seorang bapa bangga melihat anak-anak yang masih kecil dapat melalui cabaran. Rasyid yang sudah berumur 4 tahun 8 bulan sungguh bersemangat, Johan yang berumur 2 tahun 4 bulan pula takut-takut tetapi masih sanggup mencuba. Lihat Up on the canopy walk.
Sampai satu peringkat ada tangga besi naik lebih tinggi.
Rasyid yang mulanya takut menjadi berani kembali apabila dipujuk.
Ketinggian pada sesetengah bahagian mencapai 45 meter dari aras tanah. Ada kepuasan tersendiri apabila dapat melepasi semua peringkat. Lihat On to the more difficult part.
Keluar dari Taman Negara kami singgah di masjid untuk mandi dan bersolat. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Kuala Tahan. Sebenarnya sebelum masuk taman pun kami ada singgah. Nasib baik tak duduk lama kerana Canopy Walkway cuma dibuka sehingga jam 3.30 petang, pintu masuk ditutup 15 minit lebih awal. Sedangkan untuk sampai dari pejabat taman pun memakan masa tidak kurang setengah jam apalagi bila perlu menjaga anak kecil. Kalau lambat melepas le nak naik Canopy Walk. Nak tunggu lain kali entah bila...
Sebelum meninggalkan Kuala Tahan kami sekali lagi pergi ke tepian Sungai Tembeling. Saya tak puas hati kerana belum melihat betul-betul kedudukan sungai yang menimbulkan nama tempat. Lihat Tahan river mouth. Di atas adalah salah satu gambar yang diambil. Entah kenapa apabila dimuatnaik ke blogspot begini pula jadinya...
Lewat petang kami terus ke Lebuh Raya Pantai Timur, setakat lalu di pinggir bandar Jerantut, berhenti pun untuk mengisi minyak sebelum masuk lebuh raya iaitu di Kuala Krau. Dengan ini tamatlah penceritaan kecil ini. Bolehlah penumpuan diberikan pada satu projek lain mengambil keberkatan bulan Ramadhan yang penuh keberkatan. Amin... :]
...Kuala Krau...
BalasPadamOoo. OK. Baru perasan. Typo tu. Mekasih...
BalasPadam