Jumaat, Disember 20, 2013

Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD

Salam malam Jumaat. Pada 5 hari lalu telah diceritakan bahawa ada sekumpulan anak muda dari Aceh datang berbusana ke Kuala Lumpur lalu saya bawa ke satu majlis hari Sabtu. Lihat Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana!. Pada hari Isnin mereka dibawa jalan ke Melaka demi memenuhi satu hajat. Sambil itu tergerak membawa ke tempat lain yang terasa ada kena-mengena. Ini ceritanya.


Pagi Isnin 16 Disember. Selepas solat Subuh dan bersiap saya bergegas ke barat KL.


Pergi ke masjid di Sungai Penchala. Janjinya mahu berjumpa kawan-kawan dari Aceh yang menginap di rumah kawan mereka berdekatan pada jam 7 pagi. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Tengku Abdul Aziz Shah, Sungai Penchala di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
.


Apabila mereka belum muncul juga saya sarapan di warung hadapan masjid. Oh, turut bersama adalah saudara Zam (kanan) dan adiknya Hamzah. Zam membawa satu kereta untuk memuatkan tetamu dari Aceh.


Setelah beberapa lama muncullah mereka dengan busana tradisional sana. Mereka turut bersarapan sekali.


Hampir 8.30 pagi baru kami memulakan perjalanan ke selatan.


Fikir saya mahu menggunakan lebuh raya PLUS yang memotong ke Nilai. Tapi sedar-sedar je dah masuk lebuh raya lain melepasi kawasan antara Putrajaya dan Cyberjaya menghala ke KLIA. Saya mengambil ini sebagai tanda supaya singgah di suatu tempat. Cadangan asal mahu melalui bandar Seremban sebelum mengambil jalan lama ke selatan bertukar menjadi perjalanan melalui pekan Sepang ke Lukut.


Di Lukut kami singgah di makam diraja yang berada di bawah seliaan kerajaan Selangor. Kebetulan penjaga makam ada lalu membuka laluan.


Singgah di makam Raja Jumaat yang pernah mengusahakan bijih timah di sini 200 tahun lalu.


Penjaga makam turut menunjukkan satu makam terserlah di luar. Dia tidak ingat milik siapa tetapi menyatakan ia berumur 400 tahun.


Selepas itu baru kami ke pantai peranginan Port Dickson atau lebih dikenali sebagai PD. Kami berhenti minum dan menikmati angin laut di Teluk Kemang.


Tadi sudah disebut perjalanan yang tak sengaja mengambil lebuh raya bukan PLUS menyebabkan saya membuat keputusan untuk singgah di suatu tempat. Ia adalah PD kerana saya juga memikirkan semua tetamu dari Aceh ini berasal dari tempat bernama Pidie, sekitar 2 jam perjalanan dari Banda Aceh. Biar mereka rasa keadaan PD di Malaysia pula. Lihat artikel Looking at Teluk Kemang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH


Perjalanan ke selatan/Melaka diteruskan melalui laluan pantai. Lari sebentar ke darat untuk menziarahi makam lama dan melihat batu-batu megalith di Pengkalan Kempas. Lihat Bringing the Aceh guys to Pengkalan Kempas.


Masuk ke Melaka melalui Kuala Linggi sebelum makan tengah hari di Pantai Puteri.


Kemudian ziarah ke apa yang dikatakan makam Hang Tuah. Mungkin berkat kedatangan orang Aceh kami dapat menemukan batu nesan Aceh di sini. Lihat Batu nesan Aceh di makam Hang Tuah (Aceh tombstones at tomb of Hang Tuah).


Laluan pantai juga mengharuskan kami singgah di Masjid Tengkera dan melawat makam Sultan Singapura, Sultan Hussin Shah di belakangnya.


Kemudian baru ke Masjid Kampung Hulu untuk bersolat dan berehat sebentar.


Kalau ikut rancangan asal, selepas Seremban saya mahu membawa mereka singgah ke Taboh Naning dan Alor Gajah sebelum ke sini. Fikirnya jam 10.30 atau paling lewat pun 11 sudah berada di masjid ini. Ini tidak, dekat jam 3 baru sampai...


Dari masjid kami berjalan kaki ke makam Sheikh Shamsuddin as-Sumatrani, pegawai agama tertinggi di Aceh semasa Sultan Iskandar Muda memerintah 400 tahun lalu. Di sini, setelah diambil kira faktor masa yang semakin suntuk sedangkan ada tempat lebih penting mahu dilawati kami membuat keputusan tidak perlu pergi ke A Famosa, Bukit Melaka atau lebih dikenali dengan nama St. Paul juga replika Istana Kesultanan Melaka di kaki bukit.


Kami sekadar berhenti sebentar di tempat tarikan pelancong ini sebelum lalu sahaja melihat tempat-tempat menarik di sekitar dari dalam kereta.

Kami perlu bergegas ke Bukit Cina lalu mendaki ke satu puncaknya.


Di sini terdapat makam Panglima Pidi dari Aceh, panglima dari daerah tempat semua tetamu Aceh ini berasal. Puaslah hati mereka kerana sudah terpenuhi hajat utama ke Melaka iaitu mahu menziarahi makam 2 tokoh besar dari Aceh, Sheikh Shamsuddin dan Panglima Pidi. Lawatan selain itu dikira bonus.


Saya membawa mereka ke Hang Tuah Center di Kampung Duyong pula. Masuklah ke rumah utama yang dijadikan pejabat kerana mahu menghadiahkan 2 naskah buku Jejak Keluarga Yakin kepada kurator muzium, En. Nurman dan pengurus besar PERZIM, Dato' Khamis. Lihat Rumah (house of) Hang Tuah. Ia adalah penghargaan kerana mereka membantu menjayakan acara ke-7 HIKMAH di tempat ini 30 Nov selain membenarkan penggunaan premis. Sepatutnya saya menghadiahkan buku selepas acara tetapi kesibukan membuatkan saya terlupa. Lihat artikel Acara ketujuh HIKMAH di Hang Tuah Center, Kampung Duyong, Melaka 30 Nov 2013 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH.


Atas asbab itu dapatlah juga saya membawa kawan-kawan dari Aceh bertandang.


Mereka sebenarnya berhajat untuk menghadiri HIKMAH VII. Tetapi tiket tambang termurah kapal terbang untuk penerbangan dari Aceh sekitar itu jatuh pada tempoh waktu yang menyebabkan mereka cuma dapat berada di Malaysia 13-18 Disember. Jadi cukuplah dapat singgah dalam perjalanan ini. Selain itu sempat juga ke Perigi Hang Tuah dan membeli buah tangan di sana.


Lawatan ke Melaka ditutup dengan ziarah ke makam-makam berbatu nesan Aceh di Bukit Beruang. Sungguh gembira mereka melihat begitu banyak batu nesan Aceh ada di situ. Lihat artikel The Aceh tombstones at Bukit Beruang dan Muzium kecil (Small museum of) Dato' Aroom.


Kalau ikutkan saya masih mahu membawa mereka berjalan-jalan di Melaka melihat suasana malam terutama di sekitar Sungai Melaka dan Kampung Morten. Tetapi mereka berhajat untuk berjalan-jalan di KLCC sebelum harus kembali ke Aceh dengan penerbangan pagi keesokan harinya. Maka saya pun berkejar membawa mereka ke KL, sehingga tertinggal kereta lagi satu. Sementara menunggu kereta itu sampai kami masuk dahulu berjalan-jalan.


Seronok sungguh berjalan-jalan berbusana begini apalagi saya sudah lama tidak masuk ke KLCC. Rasa puas dapat masuk ke dalam gedung yang terkenal moden lagi keBaratan ini berpakaian tradisional Melayu (walau tak cukup lengkap kerana tak bercapal) apalagi dengan keris tersisip di pinggang... berserta sebilah rencong Aceh yang dibeli dari sana. Tu yang terasa ingin berposing seorang. Terasa begitu teguh melawan arus semasa zaman yang nampaknya dilambangkan oleh pokok-pokok krismas di belakang...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan