Jumaat, Disember 20, 2013

Hari pertama Sidang Kemuncak Sejarah 2013 - Dari sejarah inklusif ke realiti dunia filem

Meneruskan penulisan tentang aktiviti beberapa hari kebelakangan. Bersambung dari Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD.


Selepas menghantar kawan-kawan dari Aceh ke KLCC saya sampai ke rumah hampir tengah malam. Esoknya pagi Selasa 17 Disember perlu bergegas pula ke Wisma Sejarah di Kuala Lumpur untuk satu acara.









Ia adalah Sidang Kemuncak Sejarah 2013 anjuran PSM, Persatuan Sejarah Malaysia dan beberapa badan. Ketika masuk dewan pengerusi PSM, Tan Sri Omar Hashim sedang memberikan ucapan.




Kemudian naik mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Musa Hitam memberikan ucapan selaku perasmi majlis. Ketika beliau menceritakan zamannya aktif berpolitik saya teringat selalu terserempak dengan beliau bermain kuda dengan isteri berdarah Cina, zaman saya menjadi wartawan sukan 1999-2001. Teringat pesanan tertentu yang beliau minta sampaikan kepada boss tertinggi saya di NST ketika itu, seorang mantan timbalan menteri zaman Tun Razak. Pesanan yang disampaikan dalam nada gurauan itu rupanya telah membuat boss tersebut tersinggung lalu kelihatan menyimpan dendam terhadap saya sehingga akhirnya dibuang kerja...


Beginilah keadaan saya di majlis, setakat memakai baju biasa tetapi dengan keris tersisip di pinggang. Fikirnya ketika itu mahu santai sahaja kerana hari sebelumnya sudah sehari suntuk memakai busana tradisional (lihat Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD) begitu juga hari Sabtu (lihat Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana!). Tengok-tengok ada seorang rakan seperjuangan memakai busana penuh di majlis ini (saya tak ambil gambar). Timbul rasa malu disertai azam akan berpakaian begitu untuk hari seterusnya.


Untuk pengetahuan Sidang Kemuncak ini memakan masa dua hari. Selepas Tun Musa Hitam merasmikan, ada kudapan pagi. Sidang disambung dengan Profesor Ulung Dato' Dr. Shamsul Amri Baharuddin memberikan ucap utama bertajuk "Menggiat Fungsi Sosial Sejarah dalam Pembangunan Negara". Beliau menekankan bagaimana sejarah harus lebih inklusif untuk merangkumi sudut pandang semua pihak termasuk mereka yang kalah dan terpencil, bukan sekadar mereka yang menang dan berkuasa. Ini diikuti ucap tama Tan Sri Omar bertajuk "Memperkasa Sejarah dalam Masyarakat dan Pembangunan Negara : Melakar Hala Tuju Kegiatan Kesejarahan bagi Menghadapi Cabaran Masa Hadapan".


Makan tengah hari.


Selepas itu bermulalah sidang yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan menggunakan bilik seminar berlainan juga dewan. Peserta boleh memilih untuk mengikut mana yang mereka suka.


Ada 21 sesi atau sidang kesemuanya, setiap satu mengenengahkan 3 atau 4 pembentang berwibawa dalam bidang. Saya lihat dalam senarai hampir 40 pembentang adalah profesor dari pelbagai universiti sementara beberapa orang lagi menjadi pengerusi/moderator sidang. Ramai juga pensyarah kanan yang memiliki gelaran Dr falsafah (Dr.) terlibat sama selain golongan profesyional pelbagai latar belakang.


Ada 6 sesi/sidang untuk hari pertama/Selasa kerana ia dibuat petang sahaja. Selebihnya untuk hari kedua/Rabu pagi hingga petang.


Susah juga memilih sidang mana yang mahu diikuti kerana semua topik nampak menarik belaka. Selepas berehat sejam gitu di surau Perpustakaan Negara di sebelah Wisma Sejarah (saya terasa amat penat kerana membawa kawan-kawan Aceh berjalan ke Melaka hari Isnin), saya mengikut langkah kaki sahaja masuk ke dewan. Kelihatan Prof Madya Dr. Abdul Rahman Haji Ismail dari USM (dua dari kanan) sedang bercakap tentang "Nusa dan Bangsa Malaysia : Bertapak di Masa Lampau, Melangkah ke Masa Hadapan".


Ini diikuti  pembentangan Prof Madya Dr. Amir Hassan Dawi (UPSI) bertajuk "Pendidikan Sebagai Medium Pembinaan Bangsa : Perspektif Perbandingan Malaysia-Indonesia".


Ketika inilah saya dapat melihat terdapat satu macam trend atau aliran di kalangan sesetengah cendekiawan yang seperti mahu menghapuskan konsep kaum Melayu, Cina dan India lalu meleburkannya dalam satu definisi "Bangsa Malaysia". Sambil itu ada yang mahu mempertahankan teras keMelayuan, lalu apa-apa usaha yang dikira permodenan haruslah dibuat berteraskan itu. Teringat kata-kata seorang pembentang yang ditemui ketika makan tengah hari, pembentang yang terlibat dengan pembentukan kurikulum baru wajib lulus sejarah di sekolah. Katanya memang ada golongan modernis yang seperti sudah kurang keMelayuannya bergerak di segenap peringkat untuk membentuk persepsi sejarah baru yang memberikan lebih banyak ruang pada bangsa lain. Saya dapat merasakan ada yang terlalu idealistik sehingga mungkin tidak dapat merasa realiti cabaran sebenar di dunia nyata.

Misalnya memberikan contoh bagaimana Indonesia berjaya menerapkan konsep Bangsa Indonesia. Ia, benar, konsep itu berjaya memberikan satu definisi nasional yang tuntas. Tetapi bagaimana kedudukan Islam dalam perlembagaan negara itu? Bukankah ia dikira sama sahaja taraf dengan agama-agama lain? Dari segi agama memang begitu tapi dari segi hubungan antara kaum, apakah Indonesia begitu toleran atau bertolak-ansur? Hakikatnya tidak. Saya pernah diberitahu orang Cina Indonesia bukan sahaja tidak boleh menjadi wakil rakyat malah mengundi pun tidak. 

Di sana tidak ada sekolah aliran Cina mahupun India seperti di Malaysia. Di situ juga kalau ada pihak yang menerbitkan masalah kerajaan cukup senang menghantar tentera untuk menanganinya. Dan secara realitinya seluruh negara berada di bawah perintah etnik keturunan Jawa, wakil-wakil dihantar untuk memastikan etnik lain seperti Bugis, Aceh, Minang dan sebagainya tetap berada di bawah kawalan mereka. Apakah itu contoh terbaik untuk diikuti atau memang ada pihak dalam dunia cendekiawan yang samada sedar atau tidak mahu menurut acuan pihak-pihak tertentu yang mahu menghapuskan kepentingan Melayu di Malaysia?


Pembentang seterusnya Prof Mat Zin Mat Kib dari UiTM Sabah bercakap tentang masalah yang melanda persatuan sejarah sana.


Ketika itu saya rasa eloklah berjalan-jalan melihat keadaan di luar dewan...




Pembentangan di satu bilik seminar.


Saya masuk kembali ke dewan untuk sesi seterusnya.


Sutradara terkenal Datin Paduka Shuhaima Baba membentang kertas kerja bertajuk "Di Sebalik Penerbitan Filem Sejarah dan Tanggungjawab Siapa."


Beliau menyatakan cabaran dalam menerbitkan drama dan filem sejarah berdasarkan pengalaman sebenar seraya memberi contoh bagaimana medium ini boleh/telah digunakan untuk membentuk perspektif yang lari dari fakta sebenar sejarah untuk memenuhi kepentingan suatu pihak.


Sambil itu ada filem yang dibuat berdasarkan fakta yang tercatat oleh pihak berkuasa namun dipersoalkan pihak lain pula yang tidak senang kerana mendedahkan salah laku golongan tertentu.


Shuhaimi sempat memberikan tayangan preview satu produksi baru yang sedang diusahakannya. Walaupun sidang menyaksikan beberapa lagi pembentangan, saya lebih tertarik pada pembentangan beliau kerana mendedahkan pelbagai cabaran sebenar dalam industri perfileman juga dunia media massa, bukan setakat berteori dalam keselesaan kecendekiawanan menara gading.


2 ulasan:

  1. Anda memang hebat dan genius.... Saya kagum dengan semangat anda dalam mencapai cita2..... Teruskan usaha anda kerana ianya banyak memberi ilmu kepada saya dan tentunya juga pada para pembaca yang lain......Semoga anda sentiasa mendpat perlindungan Allah.....

    BalasPadam