Sabtu, Disember 21, 2013

Hari kedua Sidang Kemuncak Sejarah 2013 - Membawa kombinasi Melayu-Aceh ke majlis



Esoknya Rabu saya ke Wisma Sejarah lagi untuk mengikuti hari kedua Sidang Kemuncak Sejarah 2013.


Saya sampai agak lambat, sekitar 10.50 pagi. Terus menuju ke dewan lalu mendapati ia telah dijadikan tempat makan.




Sidang diadakan di 4 bilik seminar berbanding 2 + 1 dewan semalam. Jika pada hari pertama 2 bilik seminar di aras bawah telah digabungkan menjadi tempat makan, hari kedua menyaksikan ia kembali berfungsi sebagai bilik seminar. Saya masuk ke satu bilik aras atas iaitu separas dengan dewan. Ketika itu sudah terlepas sesi pagi 9-10.30. Sesi atau sidang baru 11-12.45 baru hendak bermula...


Kelihatan dari kiri, pembentang Mohd Azmi Yusof dari Muzium Melaka, Dr. Kamarul Afizi Kosman dari UKM, Prof Dato' Dr Abu Talib Ahmad dari USM dan Prof Dr. Zakaria Mohd Ali berserta Puan Harleny Abdul Arif dari UPSI. Paling kanan adalah pengerusi, Dato' Jumaat Mohd Noor dari PSM, Persatuan Sejarah Malaysia, penganjur utama majlis.


Sedia menunggu pembentangan adalah pelakon senior, Zaidi Omar. Beliau sebenarnya sudah mengikuti acara sejak awal hari pertama.


Prof Abu Talib memulakan dengan kertas kerja bertajuk "Muzium dan Penghayatan Sejarah Negara" lalu menyatakan muzium kurang maklumat tentang bangsa selain Melayu dan padanya ia adalah satu kekurangan.


Ini diikuti Mohd. Azmi bercakap tentang "Menggiatkan Fungsi Muzium dan Upaya Pemupukan Minat Terhadap Sejarah dalam Kalangan Masyarakat Awam". 


Ketika itu sudah ramai mengikuti sidang.




Saya melihat sebentar ke bilik sebelah. Nampaknya ia lebih meriah.


Mungkin kerana tajuk-tajuk pembentangan lebih hangat dengan senarai seperti berikut :-

1. Dr. Masnah Ali Muda (Bahagian Pembanguna Kurikulum) - "Perkembangan Kurikulum Sejarah Sekolah Rendah di Malaysia:

2. Dr. Lee Kuok Tiung (UMS) & Prof. Dr. Mohd Safar Hashim (UKM) - "Media Berbahasa Cina : Artikulasi Isu Sejarah dan Pembinaan Bangsa"

3. Dr. Helen Ting (UKM) - "History Teaching - Education for Patriotic Citizenship and National Unity"

4. Prof. Dr. Adnan Hussein (USM) - "Media, Sejarah dan Pergelutan Politik di Malaysia"


Kembali ke bilik awal, Azmi masih membentang.


Kemudian tiba giliran Dr. Kamarul bercakap tentang "Peranan Sejarah dalam Pembentukan Identiti Seni Bina".




Pembentang terakhir Prof Dr. Zakaria bin Mohd Ali (UPSI) memilih tajuk "Ukiran Mimbar sebagai Sumber Pengetahuan Sejarah". Harleny yang bertanggungjawab membuat kajian lapangan melihat sahaja...


Selepas itu sidang dibuka untuk soal jawab. Rakan seperjuangan yang ada memakai busana tradisional sejak hari pertama paling awal tampil ke hadapan.


Ramai juga berbaris mahu bertanya atau memberikan pandangan termasuk saya. Harleny yang pernah membentang pada beberapa acara HIKMAH turut menjawab.


Saudara Zahamri yang merupakan seorang aktivis seni dan ahli khat juga melontarkan soalan. Beliau yang pernah membentang beberapa kali di HIKMAH selain menolong menganjurkan acara turut membantu membawa kawan-kawan dari Aceh berjalan. Lihat artikel Membawa kawan-kawan Aceh ke Melaka - Antara Pidie dan PD.


Adapun sekembalinya ke KL dari Melaka, kawan-kawan tersebut telah menghadiahkan kami topi tradisional Aceh seorang satu. Saya menerima topi tinggi yang dipanggil meuketop lalu menggabungkannya dengan tanjak untuk hari kedua Sidang Kemuncak ini.


Turut dipakai adalah senjata tradisional Aceh yang dipanggil rencong, digandingkan dengan keris... saya beli sebagai ole-ole dari Aceh suatu masa dahulu.


Selepas makan tengah hari saya menyertai sidang di satu bilik seminar bawah.


Kelihatan dari kiri adalah pembentang, Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali dari UM diikuti... hmm saya tak pasti dan terlupa namanya kerana dalam senarai tertulis 3 nama membentang kertas kerja yang sama tetapi seorang sahaja muncul. Dua pembentang di sebelahnya saya ingat, Prof Dr. Ding Choo Ming dari UKM dan Dr Nadzran Haron dari PSM. Paling kanan adalah pengerusi sidang Haji Mohd Zaini Othman.


Prof Abdullah yang kalau tak salah masih memegang jawatan ketua pengarang PSM selain bersyarah di UM memulakan dengan tajuk "Penerbitan Jurnal Sejarah di luar IPT".


Ini diikuti Prof Ding yang suka berseloroh sambil menceritakan minatnya yang begitu mendalam mengkaji manuskrip Melayu sehingga sanggup mabuk laut naik bot berjam-jam pergi ke pulau-pulau terpencil.




Di bilik sebelah peserta tak berapa ramai.


Naik ke bilik atas, ia kelihatan sesak. Rupa-rupanya ada pembentang tidak dapat muncul lalu sidang dari dua bilik atas digabungkan menjadi satu.


Selepas jam 5 bermulalah penutupan majlis.




Ketika itu saya dapat melihat sekitar 60-70 orang sahaja yang tinggal berbanding anggaran 300 lebih orang, mungkin 400 yang muncul semasa pembukaan. Keadaan ini disertai pemerhatian terhadap majlis lain yang dihadiri 4 hari sebelumnya (rujuk Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana!) juga majlis-majlis sebelumnya menunjukkan acara ilmiah sebegini bukan senang hendak mendapatkan penyertaan ramai orang. Yang saya lihat kalau ramai pun adalah apabila kakitangan kerajaan dikerah melalui arahan pekeliling wajib pergi, bukan kerana rela hati mahu ke majlis. 

Kesimpulan yang dapat dibuat adalah Sidang Kemuncak Sejarah yang dianjurkan badan besar seperi PSM dengan beberapa badan lain juga majlis hari Sabtu yang dianjurkan satu persatuan bernama dan berpengaruh besar pun menghadapi masalah menarik penyertaan, apatah lagi badan-badan kecil yang tidak memiliki nama gah juga dana besar. Saya tersenyum lebar. Nampaknya apabila diambil kira pelbagai faktor cabaran, HIKMAH yang diasaskan saya dan terus dipimpin hingga kini sangat berjaya. Lihat sahaja kehadiran peserta setiap majlis jika dibandingkan dengan 3 gambar di atas. Klik Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Saya meninggalkan majlis dengan keris dan rencong masih tersisip di pinggang menaiki motosikal besar kesayangan. Singgah sebentar santai di hadapan KLCC.


Sampai di rumah baru tergerak untuk mengambil gambar elok tanjak yang digabung-pakai dengan meukotop. Terasa sajak sungguh kombinasi pakaian Melayu-Aceh ini. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 1,166 di blogspot ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan