Ahad, Disember 15, 2013

Faktor Aceh di majlis guru seni bela diri Malaysia - Mat Kilau adalah orang sana!

Penat. Baru balik dari keluar sehari suntuk, sampai rumah pun tengah malam. Tapi terasa harus melepaskan cerita...


Siang tadi Sabtu 14 Disember saya ke Ekspo Buku 1 Malaysia lagi di PWTC. Ia kelihatan sesak dan begitu meriah ramai orang, tidak seperti ketika datang Khamis malam Jumaat. Lihat Sekitar Ekspo Buku 1 Malaysia di PWTC.


Saya bukan hendak berlegar lama di situ. Saya ada temu janji dengan 7 orang warga Aceh yang sampai ke Kuala Lumpur petang Jumaat untuk berjalan-jalan di Malaysia. Bergambar sat.


Saya ingin membawa mereka ke satu acara yang berpaksikan silat di Kompleks Kraf Tangan di Jalan Conlay. Mereka telah bermalam di rumah rakan senegeri yang menetap di Sungai Penchala, pagi tadi melawat Muzium Negara. Rakan tersebut dan seorang lagi rakan senegeri, sedang belajar di UKM Bangi turut ikut sama. 7 orang itu, 5 laki-laki, 2 perempuan berbusana tradisional Aceh. Rakan senegeri mereka berpakaian moden biasa.


Ia adalah Majlis Konvensyen dan Konvokesyen oleh Persatuan Guru-guru Seni Bela Diri Malaysia. Persatuan ini lebih dikenali sebagai MAGMA, Malaysian Martial Arts Grandmaster Association.


Selain hal-hal berkenaan silat, pertunjukan dan sebagainya ia juga mengandungi perkongsian ilmu, antaranya tentang pemakanan sihat dan penggunaan herba.


Majlis ini mengandungi 4 pembentangan ilmu, bermula sekitar 3.15 dengan pembentangan mengenai pemakanan sihat menurut orang Melayu. Sebetulnya saya tidak ingat nama para pembentang kecuali seorang yang saya sudah kenal lama. Senarai ada diberikan ketika saya mendapat jemputan beberapa hari lalu. Tapi saya dapati ada perubahan 2 nama. Rasanya senarai terbaru ada diumumkan di Facebook sehari dua lalu tapi dah tak jumpa.


Pembentang kedua adalah cucu kepada pahlawan Pahang terkenal, Mat Kilau. Allah. Namanya Cikgu Muhammad Al-Mahamady gitu, saya tidak ingat dengan tepat. Kalau masih bekerja sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times tentu dah kena bambu. Tapi zaman itu memang saya ambil tahu segala butiran dan catat apa yang patut.


Sekarang saya tak rajin mencatat. Kalau ingat, ingatlah. Kalau terlupa sama ada saya tak cerita langsung bahagian yang terlupa, atau kalau cerita saya akan nyatakan seperti tadi... menyebut nama cucu Mat Kilau sebagai Muhammad Al-Mahamady. Yang saya betul-betul ingat adalah apabila cucu ini menayangkan video rencana televisyen tentang datuknya lalu menyatakan beliau berketurunan Aceh. Ini kerana apabila mendengarnya terus bulu roma saya meremang dan badan terasa seperti ada eletrik. 

Keadaan berlanjutan begitu sehinggakan apabila pembentangan tamat lalu sesi soal jawab dibuka saya terus bangkit bertanyakan bagaimana hubungan sebenar Mat Kilau dengan Aceh. Lalu dijawab pembentang, datuk Mat Kilau, Tengku Ali berasal dari kerajaan Panai Bilah di Sumatera dan ia berada di bawah kekuasaan Aceh. Tengku Ali ini adalah bapa kepada Imam Rasu @ Tok Gajah, bapa Mat Kilau.


Selepas pembentangan ada pertunjukan silat.


Tai Chi pun ada, seni bela diri dari Cina.


Pembentangan berikut bertajuk "Unity in the World Martial Arts - The hope of MAGMA" oleh Sifu Nigel Conan Sutton. Yang ini saya tahu kerana merujuk pada e-mail jemputan sebelum berlaku pertukaran nama 2 pembentang.


Ketika mengambil nafas sebentar di luar bangunan terserempak dengan cucu Mat Kilau. Beliau bercerita, orang lain ada menyatakan pejuang tersebut berasal dari suku kaum mereka, antaranya Rawa, Minang dan Bugis. Namun keluarga beliau sendiri menyebut Mat Kilau berketurunan Aceh. Saya bertanya kepadanya : "Kalau ikut rasa hati cikgu, Mat Kilau itu dari keturunan mana." Jawab beliau dengan penuh keyakinan : "Aceh..."

Sebetulnya sejak menziarahi makam Mat Kilau di Pulau Tawar, Jerantut, Pahang beberapa tahun lalu (lihat artikel Dari atas highway Karak hingga ke Pulau Tawar... singgah sebentar ke makam Mat Kilau) saya dapat merasakan pejuang besar Melayu ini berdarah Aceh. Tetapi saya tidak ada dalilnya kecuali rasa. Paling kuat saya boleh menyatakan hal ini serupa kes seorang sahabat yang berketurunan Haji Mustafa Raja Kamala, pembuka pekan Tanjung Malim. Haji Mustafa ini dikatakan orang Rawa dan menjadi salah satu contoh besar kebanggaan orang Rawa di Malaysia. Tetapi apabila sahabat ini menyelediki lebih mendalam sehingga pergi ke beberapa tempat di Sumatera termasuk Kota Raja Rao kebanggaan orang Rawa, dia mendapat petunjuk bahawa keturunan ke atas Haji Mustafa berasal dari Aceh.


Masuk kembali ke dalam ada persembahan Aikido, seni bela diri dari Jepun.


Kemudian sampai giliran saudara Khairul Azhar, Yang Dipertua Persatuan Perkerisan Kuala Lumpur (Pusaka KL) untuk bercerita tentang busana. Yang ni saya senang ingat kerana sudah biasa bertemu. Selain itu beliau juga pangkat sepapat sepupu dengan saya, sama-sama dari keluarga orang besar Perak, Laksamana Raja Mahkota, keluarga yang dahulu dikatakannya Bugis tetapi setelah beberapa lama bersetuju bahawa kami lebih kuat darah Aceh.


Ini adalah keris Mat Kilau yang diwarisi oleh cucunya.


Semasa pembentangan beliau menyebutnya sebagai keris warisan dari kerajaan Panai Bilah Aceh. Beliau menambah ini adalah kali pertama ia dibawa keluar begitu jauh dari lingkungan rumah dan keluarganya di Pahang...


Sungguh, saya terasa pengakuan cucu Mat Kilau bahawa pejuang itu berdarah Aceh seperti berkait rapat dengan kedatangan 7 orang tetamu dari sana. Mereka datang berbusana tradisional dalam rangka kerja mahu menghidupkan kembali pemakaian lama Aceh yang sudah dilupakan orang mereka sendiri kecuali pada majlis kahwin. Hal ini serupa di Malaysia di mana busana tradisional masih dianggap pakaian pengantin, tak pun baju membuat persembahan silat. Cuma kita sudah melangkah lebih ke hadapan menghidupkan busana tradisional apabila ramai ahli NGO Melayu rajin memakainya pada majlis-majlis melibatkan Melayu, bukan sekadar perkahwinan. 

Seorang ahli rombongan kecil Aceh ini pernah dibawa menghadiri acara kedua HIKMAH iaitu di Melaka 25 Nov 2012. Beliau kagum dengan usaha mahu mendaulatkan Melayu dan Islam lalu berazam mahu menjayakan hal serupa di Aceh. Lihat artikel Wacana Ilmu Memartabatkan Kembali Kegemilangan Tamadun Melayu - Faktor Aceh dan sokongan kerajaan Melaka di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Kelihatan dalam gambar mereka sedang ditemuramah oleh wartawan dari majalah Seni Bela Diri. Rombongan ini sebenarnya berhajat untuk menghadiri acara ke-7 HIKMAH (kebetulan diadakan di negeri Melaka juga) 30 Nov 2013 tapi tak dapat kerana tidak kena dengan jadual mahu mendapatkan tambang termurah. Lalu sebagai gantinya saya bawa ke majlis MAGMA...


Sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati suasana hampir serupa di HIKMAH kerana majlis ini turut mengadakan pembentangan ilmu. Bergambar bersama pengasas MAGMA, Cikgu Azlan Ghanie (berdiri dua dari kiri). Beliau juga adalah pengasas majalah Seni Bela Diri dan perguruan Silat Lok 9.


Bergambar lagi sebelum meninggalkan majlis dengan sejumlah tetamu penting. Hampir semua yang datang adalah guru silat.


Oh. Saya merasakan faktor Aceh yang timbul kuat siang Sabtu itu seperti ada kena-mengena dengan artikel terbaru di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Dibuat malam sebelumnya ia menjadi artikel ke-100 di situ. Artikel itu mengenang bagaimana HIKMAH timbul sebagai semacam lanjutan dari 2 buah ceramah yang pernah dibuat berbulan sebelum itu. Ceramah-ceramah ini memiliki faktor Aceh yang sangat kuat. Lihat  Ceramah di masjid diikuti di muzium yang menerbitkan HIKMAH - Faktor Jumaat 13 yang berulang

Selepas meninggalkan majlis lalu singgah di PWTC timbul rasa untuk bergambar dengan isteri. Oh, lupa nak cakap. Saya telah memandu kereta milik kawan sementara isteri memandu kereta sendiri untuk membawa 7 orang Aceh berbusana campur 2 orang Aceh yang sedang bermastautin di sekitar Lembah Klang (tidak memakai busana) berserta 2 orang anak kecil kami ke majlis tadi. Tu dia, 13 orang naik 2 kereta Kenari yang tak sebesar mana tapi cukuplah untuk memuliakan tetamu ke sana ke mari.

Ketika gambar ini diambil 7 + 2 orang Aceh itu sudah diturunkan di Chow Kit untuk bertemu seorang saudara. Tiba-tiba terfikir sudah berapa banyak majlis keMelayuan kami hadiri sejak setahun lebih ini dengan masing-masing memakai busana tradisional. Tapi beberapa kali pernah bergambar suami isteri kerana selalu disibukkan dengan acara? Kali terakhir kami bergambar berdua adalah ketika menghadiri majlis busana dan pendekar di Melaka 2 Dis 2012. Lihat Berbusana tradisi melaksanakan misi di Istana Kesultanan Melaka.


2 ulasan:

  1. Assalamualaikum w wbtuh!Makam Panglima Pidie di puncak Bukit Gedung di Bukit Cina itu-nama gelaran beliau ialah Tok Sura dan beliau adalah yang kedua dari lima beradik dari Aceh yang terdiri daripada Tok Besit,Tok Sura,Tok Wira,Tok Bongkok dan Tok Suboh.Mereka adalah keturunan daripada Sultan Malikusaleh dan mereka datang ke Melaka kerana berjihad menentang penjajah kafir dari barat.Wassalam

    BalasPadam
  2. Wassalam. Terima kasih. Sila tambah lagi maklumat jika ada...

    BalasPadam