Rabu, November 27, 2013

Sekitar Bukit Melaka ke Rumah Hang Jebat



Sabtu baru ini, selepas berehat di Kajang sehingga masuk Zuhur saya turun ke selatan lagi, kali ini memandu membawa bersama keluarga.



Sejurus selepas Seremban iaitu di Sungai Gadut baru berhenti makan tengah hari.


Makan cendol yang agak terkenal di sana.


Petangnya kami ke kaki Gunung Datuk.


Masuk hutan sikit untuk mandi-manda di sungai.


Lewat kemudian berhenti solat di Masjid Taboh Naning. Kelihatan anak-anak pergi sendiri menziarahi makam Dol Said.


Disebabkan kesesakan jalan raya ketika menghampiri bandar raya Melaka, kami sampai ke pusat sekitar 7.30. Terus check-in ke rumah penginapan Apa Kaba Guest House milik seorang kawan. Rujuk artikel Berbusana tradisi melaksanakan misi di Istana Kesultanan Melaka yang dibuat setahun lalu.


Selepas mandi dan solat kami berjalan kaki ke Banda Hilir. Selepas makan malam kami menaiki bot untuk menikmati pemandangan sepanjang Sungai Melaka.


Sekitar 11.30 malam kami berhenti di kaki Bukit Melaka yang kini lebih dikenali sebagai Bukit St. Paul melihat-lihat pintu gerbang lama kota A Famosa. Semua telah kepenatan tetapi Rasyid yang berumur 4 tahun masih begitu bersemangat mahu memanjat bukit lalu saya pun pergi bersama.


Ia adalah kali pertama saya naik turun bukit semenjak berlaku kecederaan patah kaki 7 bulan lalu. Selain menemani anak yang bersemangat saya sebenarnya rasa tercabar apabila isteri menyatakan seperti terasa kehadiran pasak sihir yang kuat. Saya tahu apa yang dimaksudkan kerana mula menimbulkan hal ini kepada umum sejurus sebelum mengadakan acara ketiga HIKMAH di Lumut 27 Januari lalu. Lihat artikel Hizb Bahr untuk membatalkan kesan negatif Perjanjian Pangkor diikuti Kemuncak HIKMAH III - Perarakan Maulidur Rasul dan pembatalan sihir Perjanjian Pangkor 1874 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Maka ada perkara saya lakukan di atas sana dengan niat membatalkan sihir yang saya kira dipasakkan oleh pihak Jesuit dan Illuminati apabila paderi besar mereka St. Paul datang sejurus selepas Portugis menakluki Kota Melaka tahun 1511.
.

Kami kembali ke rumah penginapan melalui jalan sama ketika keluar. Namun ketika kembali baru saya tersedar wujudnya sebuah rumah aktiviti kumpulan Freemason yang merupakan badan bawahan Illuminati tajaan Yahudi Zionis, dalam rangka kerja besar untuk menakluki dunia akhir zaman.



Esok pagi Ahad selepas sarapan kami ke kaki Bukit Melaka lagi.


Masuk melawat replika Istana Kesultanan Melaka yang merupakan sebuah muzium. Lihat artikel Istana Kesultanan Melaka (Melaka Sultanate Palace) di blogspot  SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Ketika berada di dalam 'istana' terlihat seorang anak muda mendaki lereng bukit di belakang. Kami pun mencuba jalan yang sama. 


Ternyata ia boleh membawa terus ke puncak. Lihat artikel A visit to Bukit Melaka with the family di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Kami turun melalui jalan yang membawa pada muzium-muzium di kaki barat bukit lalu kembali ke rumah penginapan. Selepas check-out, pusing Bandar Hilir menaiki kereta lalu meninggalkan bandar raya.


Destinasi seterusnya adalah di Kampung Duyong. Singgah makan asam pedas di sebuah restoran sana.


Selepas itu baru ke Hang Tuah Center tempat acara ke-7 HIKMAH akan diadakan Sabtu 30 Nov iaitu hujung minggu ini. Ada mesyuarat kecil untuk mengatur persiapan. Lihat Hang Tuah dan para sahabat bakal menjadi saksi.


Kami diajak pihak pengurusan untuk bertandang ke Rumah Hang Jebat, salah sebuah rumah yang dinamakan sempena 5 pahlawan bersahabat terkenal zaman kegemilangan Melayu Melaka. Saya diajak bergendang oleh seorang pengamal mistik bernama Pak Sheikh. Katanya senjata-senjata lama yang menghiasi rumah tersebut adalah milik peribadi beliau. Lihat Rumah (House of) Hang Jebat.
.



Selepas beberapa lama bergendang beliau menyuruh saya bersalam lalu mula membacakan sejumlah ayat. Tiba-tiba keluar batu merah dari mulutnya. "Merah, hmm... merah..." kata Pak Sheikh seperti tak menyangka itu yang akan keluar dari mulutnya. Batu itu dihadiahkan kepada saya berserta batu besi dua buah, satu katanya besi kursani satu lagi taik bintang di atas sekeping wang 1 Ringgit. Saya menerima sahaja untuk menghormati pemberian orang. Harapnya ada guna atau sekurang-kurangnya hikmah dari apa yang berlaku. Sekian gerak cerita yang timbul sempena semalam 26 Nov adalah hari ulang tahun saya yang ke-43 menurut kalendar Barat.

Oh. Kira-kira 9 jam lalu saya ada meletakkan link artikel Istana Kesultanan Melaka (Melaka Sultanate Palace) di Facebook lalu menyatakan ia sebagai artikel ke 1,212 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Secara automatik FB menyertakan gambar arca Hang Tuah yang terdapat dalam 'istana' tersebut walhal banyak lagi gambar boleh dipilih. Saya pun tergerak untuk mengira gambar yang dipakai lalu mendapati ada 26 kesemuanya, bersamaan tarikh artikel ditulis iaitu 26 Nov. Gambar arca Hang Tuah merupakan yang ke-21 dari 26. Ini membuat saya ingin melihat apakah ada menulis apa-apa artikel di mana-mana blogspots pada 21 Nov lalu mendapati cuma ada satu sahaja dan ia bertajuk Hang Tuah dan para sahabat bakal menjadi saksi. Apakah ini satu petunjuk?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan