Selasa, Mac 26, 2013

Berbusana tradisional membawa misi HIKMAH ke parlimen

Beberapa hari lalu setiausaha PESAWAD (Persatuan Sejarah  dan Warisan Melayu Duyong, Melaka) En. Hani menelefon saya bertanyakan jika saya ada mendapat jemputan untuk ke satu majlis berkenaan Melayu di parlimen hari Isnin. Saya jawab tidak malah tak tahu pun ada majlis sebegitu dalam waktu terdekat. Hati saya kemudian tertanya-tanya majlis apakah itu. Dalam sejam atau dua jam kemudian saya mendapat panggilan dari orang lain. Beliau menjemput saya ke satu forum yang katanya akan diadakan di Dewan Negara lalu meminta nama penuh dan nombor kad pengenalan. Nampaknya ia adalah majlis yang dimaksudkan oleh En. Hani.


Orang yang menjemput bernama Kamal, seorang peserta HIKMAH III di Lumut 27 Januari 2013. Menurutnya pihak beliau mendapat sejumlah jemputan atas nama Sahabat Ulil Amri kelolaan mahaguru Silat Kalam, Cikgu Zahalan Man (kata Kamal sudah bergelar Profesor Dr)  dan tinggal satu ruang untuk diisi lalu teringatkan saya. Saya kira ini adalah satu perhormatan atas nama HIKMAH. Bukannya saya tidak pernah berpeluang pergi ke parlimen sebelum ini kerana pernah ditawarkan untuk meliputi sidang Dewan Rakyat semasa masih bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Strait Times 1996-2001. Tetapi saya menolak kerana tidak gemar melihat dress codenya yang ketat selain kurang berminat dengan dunia politik. Kemudian saya semakin suka berpakaian santai ke tempat kerja lalu dialih ke meja sukan. Dengan itu niat masuk ke parlimen terus tidak terlintas dan tidak terasa relevan sampailah baru-baru ini.


Mereka yang selalu mengikuti penulisan saya tahu bagaimana pendirian peribadi saya terhadap sistem demokrasi dan parlimen. Sebagai seorang yang banyak menentang sistem demokrasi kerana percaya ia adalah alat Yahudi Zionis memecah-belahkan masyarakat saya amat berharap agar sistem khalifah dapat berdiri kembali menerajui umat Islam sedunia lalu melihat sistem pemerintahan beraja sebagai mata rantaian yang perlu demi menzahirkan impian besar ini. Namun kali ini saya rasa teruja untuk ke parlimen kerana merasakan majlis satu peluang keemasan untuk mengenengahkan HIKMAH kepada khalayak yang lebih berpengaruh. Majlis bernama "Forum Negara : Membina Peradaban Bangsa Melayu Berteraskan Tamadun Islam" ini mengenengahkan sejumlah tokoh-tokoh pemimpin terbesar di persada tanah air. Dianjurkan oleh MPM iaitu Majlis Perundingan Melayu ia juga dihadiri ramai cendekiawan, aktivitis budaya dan agama juga para peneraju NGO.


Seingat saya seumur hidup saya pernah masuk ke parlimen sekali sahaja iaitu semasa zaman kanak-kanak menghadiri majlis konvokesyen ayah yang menyambung pelajaran ke universiti setelah beberapa tahun bertugas sebagai guru. Walaupun saya agak jemu berada dalam dewan menunggu nama-nama dipanggil untuk menerima ijazah saya seronok memikirkan bentuk bangunan parlimen yang agak unik dan cukup tinggi awal 1970an. Saya masih ingat pernah menganggap bangunan parlimen sebagai yang tertinggi di Malaysia, bangunan yang saya fikir hingga mencapai awan. Konvokesyen diadakan di tingkat bawah lalu saya cuma dapat berangan naik ke tingkat atas keluar dari tingkap untuk menjejakkan kaki ke atas awan, salah satu fantasi yang selalu bermain di fikiran zaman anak-anak.


Sarapan bersama isteri sementara menunggu majlis bermula. Datang seorang aktivis budaya bernama Datuk Hamzah yang saya mula kenali semasa HIKMAH III bersama saudara Kamal yang menjemput saya ke majlis. Kemudian muncul pengarah filem terkenal Datin Paduka Shuhaimi Baba yang mula saya kenali setelah beliau terlihat video "Wasiat Raja Haji" yang disampaikan oleh sahabat HIKMAH, Raja Syukri dari Pulau Bentan semasa HIKMAH I di Shah Alam 4 November (lihat Arka - Satu tribute untuk pejuang bangsa, Raja Haji Fi Sabilillah). Majlis ini memang penuh dengan orang-orang terkemuka. Saya pula terserlah atas sebab yang berkaitan dengan HIKMAH juga.


Adapun apabila ada orang memberitahu untuk masuk ke parlimen perlu memakai kot lengkap bertali leher saya rasa agak keberatan kerana tidak beberapa suka berpakaian begitu. Lagipun sejak seronok memakai busana tradisional bermula dari HIKMAH II di Melaka 25 November 2012 saya akan cuba berpakaian begitu setiap kali menghadiri majlis yang melibatkan ketamadunan Melayu dan Islam. Kemudian saya diberitahu boleh berbaju Melayu tetapi harus berwarna hitam, bersongkok, memakai sampin berasaskan warna hitam, berkasut dan stokin hitam. Kalau dapat memakai begini pun sudah cukup terserlah keMelayuannya. 

Tidak lama selepas itu ada kawan jurugambar yang biasa meliputi acara di parlimen menambah dress code ketat berkot bertali leher atau berbaju Melayu seperti itu adalah jika kita harus masuk ke Dewan Rakyat atau Dewan Negara itu sendiri. Kalau di ruang lain misalnya di Dewan Bankuet atau dewan makan, syaratnya lebih longgar, bolehlah memakai baju Melayu lain-lain warna. Namun sebagai langkah berjaga-jaga saya datang ke majlis siang tadi memakai satu set baju Melayu hitam dengan sampin berwarna hitam membawa kasut dan stokin hitam berserta songkok. Saya juga membawa sepasang capal putih. tanjak. bengkung dan pending. Apabila mendapati hadirin memakai warna-warni saya pun terus berbusana tradisional.


Majlis dimulakan dengan taklimat tentang keselamatan negara oleh Mejar Jeneral (B) Dato' Mohd Yunos Long. Beliau menyentuh tentang cabaran menjaga sempadan negara yang kadangkala memeningkan kepala apabila terpaksa berurusan dengan negara jiran yang keras kepala seperti Singapura, sebelum membawa ke kes Lahad Datu. Nama beliau sebagai pembentang tidak ada dalam atur cara. Nampaknya Mohd Yunos mengisi masa sebelum pembentang tersenarai, mantan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Rahman bin Hamid muncul lalu melanjutkan penerangan (saya terlupa ambil gambar).


Seterusnya naik ke pentas mantan Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohamad Said menambah perisa tentang kes Lahad Datu. Beliau yang terkenal kerana kejayaannya menangani krisi bersenjata di Sauk banyak menyentuh hal risikan dan penggunaan aset ketenteraan juga aset umum negara dalam menjayakan sesuatu misi.


Zaini juga tiada dalam senarai asal pembentang. Beliau diminta untuk mengisi masa sementara menunggu tetamu utama majlis, mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir sampai 10.30.


Apabila Tun sampai baru acara betul-betul rasminya bermula.


Taklimat-taklimat keselamatan tadi dikira sesi khas. Forum Negara ini sendiri bermula dengan kata-kata aluan oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang asalnya dijadualkan pada jam 10. Mengikut atur cara yang saya terima beberapa hari lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar pula dijadualkan memberi taklimat keselamatan. Namun saya tidak nampak beliau pada majlis. Kemudian baru saya tahu Isnin juga ada sambutan Hari Polis maka rasanya Tun Hanif harus menghadiri sambutan itu.


Ucapan oleh pengerusi penganjur, Setiausaha Agung MPM, Dr Hassan bin Mad. Beliau kemudian turut bertindak sebagai moderator forum menggantikan tokoh wartawan Datuk Johan Jaafar yang tidak dapat datang. Panelis terdiri dari Tun Mahathir, tokoh korporat Johor Tan Sri Muhammad Ali Hashim dan mantan Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohammad.


Muhammad Ali membentang dengan menceritakan misi memajukan perniagaan Melayu sebagai jihad demi kelangsungan dan memartabatkan agama dan bangsa.


Inilah kali pertama saya mendengar beliau membentang dan saya dapati kata-kata beliau begitu jujur mahu menaikkan kita.




Tun Abdul Hamid pula mengupas bagaimana undang-undang yang kita lihat datang dari Barat itu ada yang boleh dikira berunsur Islam kerana menepati prinsip-prinsip keadilan. Jika Muhammad Ali berucap dengan sokongan slaid, beliau pula menggunakan teks sahaja.


Lagi hebat adalah negarawan ulung, Tun Mahathir yang nampaknya boleh bercakap terus tentang apa sahaja perkara tanpa memerlukan apa-apa rujukan. Beliau bercakap tentang bagaimana perpecahan dalam ummah boleh merugikan agama, bangsa dan tanah air lalu meminta semua kembali pada perpaduan berdasarkan penafsiran Al-Quran dan hadis Nabi yang sesuai dengan keadaan. Tamat ucapan dan pembentangan majlis pun dibuka untuk soalan dari peserta. Saya mengambil peluang untuk memberi pengenalan ringkas tentang HIKMAH lalu bertanya tentang rancangan masa hadapan untuk menghidupkan penggunaan matawang dinar dan dirham juga peranan raja-raja dalam mengatasi kemelut politik yang melanda bangsa Melayu. 

Sebagai satu-satunya peserta berbusana penuh tradisional Melayu, penampilan pada majlis apalagi ketika berdiri melontarkan soalan boleh dikira satu usaha membawa misi HIKMAH ke khalayak yang lebih berpengaruh. Ditambah soalan mengenai dinar dirham dan peranan dan raja-raja ia menepati misi HIKMAH yang sebahagiannya telah disusun berdasarkan maklum balas peserta dari HIKMAH I dan HIKMAH II. Lihat artikel Pernyataan HIKMAH Melaka - Blue print kebangkitan Islam akhir zaman di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Selepas itu majlis disajikan dengan persembahan nyanyian oleh penyanyi terkenal Jamal Abdillah. Ini diikuti pemberian cendera mata dan peserta pun beredar untuk makan.


Seronok juga dapat merasa makan di ruangan atas iaitu di ruang legar Dewan Rakyat. Gambar ini diambil 1.48 petang. Rasanya ada dekat setengah jam saya dan isteri duduk makan sambil/kemudian bersembang.


Sekitar 2.20 saya dan isteri bersedia untuk meninggalkan majlis lalu menuju ke tempat letak kereta. Dah sampai ke kereta baru terfikir alangkah ruginya tidak bergambar memakai busana tradisional di dalam bangunan. Adapun ketika beredar ke tempat makan saya sempat mengambil gambar isteri bersama Tun Dr Mahathir juga Tan Sri Ali Hashim. Kami pun berpatah balik ke dewan, terserempak lagi dengan Tun Dr Siti Hasmah yang sedang menunggu keretanya lalu isteri teringin hendak bergambar sama. Apabila hendak bergambar elok-elok je Tun M muncul lalu jadilah gambar ini pula...


Kembali ke dalam bangunan. Beginilah saya berpakaian...


Naik ke tingkat atas tempat kami makan.


Ketika hampir keluar meninggalkan kawasan tergerak pula untuk beraksi di hadapan bangunan tinggi parlimen, bangunan yang pernah saya anggap tertinggi di Malaysia hingga mencapai awan lalu saya berangan-angan mahu naik ke awan dari tingkat atasnya...


Bergambar bersama isteri. Nah. Penyertaan kami ke majlis di parlimen ini boleh dikira satu lagi bukti bahawa HIKMAH yang saya asaskan 5 bulan lalu bukan satu badan picisan malah semakin meningkat pengaruh dan daya capainya dalam misi untuk mendaulatkan Melayu dan Islam. Untuk pengetahuan HIKMAH sekali lagi telah muncul di kaca televisyen iaitu dalam rancangan Islamic Finance Today di Capital TV, Channel 127, Unifi Ahad malam Isnin iaitu jam 10 semalam. Sebelum ini ia telah muncul pada waktu dan hari yang sama 3 minggu lalu. Di bawah adalah sedutan rakaman dari rancangan Islamic Finance Today di Capital TV, Channel 127, Unifi 3 Mac. Ini diikuti sedutan dari malam semalam...







Oh. Saya juga sempat menghadiahkan satu set buku "Berpetualang ke Aceh" kepada Tun M bersama satu salinan butiran tentang HIKMAH diikuti Pernyataan HIKMAH Melaka seperti diberikan pada peserta di HIKMAH IV di Kelantan 16 Mac. Harap Tun sudi membaca semuanya sehingga selesai dan memanjangkan mana yang patut.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan