OK. Ini ada sesuatu untuk difikirkan. Keluar sebentar dari mood penceritaan pengembaraan perjalanan ke Pantai Timur 26 Mac-4 April juga perjalanan pusing Pulau Jawa 1-14 Mei.
Tadi siang selepas Zuhur saya ke Balai Seni Visual Negara di Kuala Lumpur.
Itulah kali pertama saya dan/atau isteri pernah menjejakkan kaki ke sana walaupun sudah berkali-kali lalu di hadapannya. Kelihatan di kanan sahabat kami, Encik Sahak yang datang dari Putrajaya untuk melihat acara yang diadakan.
Acara utama adalah pameran lukisan yang diberi tajuk "Pameran lukisan Sulalatus Salatin : Empayar Kesultanan Melayu Melaka". Berlangsung hari ini sehingga 30 Jun, ia akan dirasmikan jam 4.
Maka itu belum ramai orang semasa kami sampai.
Kami mahu menghadiri dahulu sesi bicara yang bermula jam 2.
Sesi ini menonjolkan kertas kerja/wacana dua orang cendekiawan tempatan.
Kelihatan di kanan Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Mohd. Rosli Saludin membentangkan wacana bertajuk "Adat Istiadat dan Budaya Dalam Sejarah Melayu". Beliau yang banyak berpantun dengan lancar menyebut beberapa hal tentang adat istiadat Melayu yang harus diberikan perhatian oleh generasi sekarang terutama perlambangan dari segi berpakaian tradisional yang menunjukkan kedudukan dalam masyarakat. Penekanan diberikan kepada raja-raja sebagai simbol kedaulatan tertinggi suatu bangsa dan negara yang harus dipertahankan demi kesinambungan bangsa dan negara itu sendiri. Tetapi lebih menarik adalah apabila beliau menyebut tentang senjata-senjata api yang pernah dimiliki orang Melayu Melaka sebelum kedatangan Portugis yang kemudian menakluki Kota Melaka 1511.
Prof. Emeritus Dato' Dr Mohd. Yusoff Hasan kemudian membentangkan wacana bertajuk "Pemikiran Global Dalam Sejarah Melayu." Hmm... keliru juga saya kerana dalam paparan jemputan yang diperolehi melalui FaceBook, disebut bahawa selain Prof. Rosli Saludin pembentang adalah Prof. Dato' Dr . Yusoff Hashim dan tajuk kertasnya adalah "Sejarah Melayu Sebagai Sumber Sejarah Dalam Pelbagai Tafsiran". Itu juga yang terpapar pada kad di luar pintu masuk dewan.
Apapun Prof.Yusoff memberikan beberapa contoh bagaimana bangsa Melayu itu bersifat global berdasarkan apa yang tertulis di dalam kitab Sulalatus Salatin karangan Bendahara Tun Sri Lanang, kitab besar Melayu yang tajuknya bermakna "Perteturun (salasilah) Segala Raja-raja" tetapi lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu. Beliau memulakan dengan asal-usul Raja-raja Melayu Melaka yang dikatakan berasal daripada keturunan Iskandar Zulkarnain daripada Benua Rum di Eropah, satu peradaban besar dunia. Kemudian dari Iskandar Zulkarnain muncul Raja Suran yang merajai kerajaan besar di India, satu lagi pusat peradaban besar dan daripada baginda terbit pula Raja-raja Melayu.
Seperti biasa pembentangan diikuti sesi soal jawab. Kelihatan dalam gambar Prof. Nurhayati yang berasal dari Makkasar, Sulawesi Selatan, seorang pemikir yang mula saya kenali dalam satu wacana berkenaan orang Bugis. Lihat artikel lama
La
Galigo dan makna Daeng buat orang Bugis. Sebelum itu saya lebih awal berkongsi pandangan tentang kewujudan senjata api milik orang Melayu 500 tahun lalu. Memperkenalkan diri sebagai penulis siri novel "Berpetualang ke Aceh", saya menyatakan telah diilhamkan untuk bercerita bab senjata api di Melaka ini dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" yang terbit Jun 2006.
Sedutan berkenaan pernah diletakkan di Internet, dalam beberapa buah forum selain blogspot saya sendiri lalu digunapakai orang lain di merata tempat. Saya rasa hal persenjataan api orang Melayu zaman itu tidak pernah dibincangkan secara meluas dalam apa-apa bentuk media sebelum itu... selepasnya baru topik ini menarik minat ramai terutama generasi muda yang mahu mencari jati diri dan sejarah sebenar yang telah digelapkan terutama oleh penjajah. Selepas membuat 'mukadimah' baru saya mengemukakan soalan... tentang isi muka surat tertentu dalam kitab Sulalatus Salatin yang seolah-olah menolak pemilikan senjata api di kalangan orang Melayu Melaka. Tapi malas saya hendak panjangkan di sini. Polemik yang mungkin timbul boleh jadi rumit nanti.
Selepas Prof. Nurhayati mengemukakan buah fikirannya pentas pertanyaan dibuka kembali tetapi orang lambat menyahut. Saya pun membuat satu soalan ringkas yang maksudnya lebih kurang begini - untuk orang yang skeptik susah nak percaya kerajaan Melaka benar-benar wujud kerana tidak wujud artifak seperti halnya Candi Borobudur di Pulau Jawa dan Angkor Wat di Indo-China bagaimana mahu membuktikan bahawa Melaka memang benar-benar wujud dan ia adalah kerajaan besar yang hebat? Selepas itu baru ada seorang pelukis muncul untuk berkongsi dan bertanyakan satu interpretasi atau tafsiran tentang kematian Hang Jebat. Para pembentang pun memberikan jawaban.
Fasilitator/pemudah acara, Prof Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar (duduk tengah) memilih untuk menjawab soalan terakhir saya. Sebagai orang asal Melaka beliau terasa wajib memperbetulkan persepsi salah tentang kewujudan kerajaan lama yang pernah berpusat di negerinya itu. Beliau memberikan dua contoh yang ringkas tapi padat dan bernas. Katanya dalam peta-peta lama Eropah, seluruh Semenanjung Melaka disebut sebagai Melaka. Kemudian selat terpanjang di dunia, selat yang diketahui sebagai laluan kapal paling sibuk di planet ini bernama Selat Melaka. Bukankah ini bukti yang kuat?
Sesi bicara dan soal jawab tamat 3.30 petang. Kami pun keluar untuk acara utama iaitu perasmian pameran lukisan lagi setengah jam. Kelihatan pihak yang terlibat sudah bersedia di ruang legar.
Baru saya tahu acara akan dirasmikan menteri berkenaan, Dato' Seri Utama Rais Yatim.
Oh. Semasa sesi bicara tadi Prof. Latiff ada memberitahu bahawa lukisan-lukisan yang dipamerkan, sekitar 50 gitu adalah hasil perbincangan pelukis dengan para cendikiawan berkenaan isi kitab Sulalatus Salatin. Saya membayangkan lukisan-lukisan ini haruslah berupaya menonjolkan kebesaran kerajaan Melayu Melaka yang selama ini belum dapat diungkap pelukis lain, kebesaran yang boleh membanggakan dan menaikkan jati diri setiap anak Melayu. Saya terfikir tentang rupa sebenar istana-istana Melaka yang mampu membuat orang Eropah tercengang, pelabuhan besar dan paling moden pada zamannya dengan jaringan perdagangan begitu meluas sehingga mampu membuat Venice di Italy, kota terbesar Eropah zaman itu bergantung wujud pada Melaka. Saya teruja apabila mengenangkan betapa hal persenjataan api milik orang Melayu sudah dibincangkan ramai orang dan kini mungkin boleh dilihat dalam bentuk lukisan yang boleh ditatap setiap orang.
Dengan itu saya pun melangkah masuk ke dewan pameran. Rasminya ia belum dibuka. Lebih elok saya mengambil gambar sebelum orang ramai masuk menghalang pemandangan.
Malah sejak sesi bicara tadi saya sudah berkira-kira - ada 50 keping lukisan bukan? Saya akan mengambil gambar kesemuanya berserta teks yang ada. Akan saya pecahkan menjadi isi tiga buah artikel sokongan di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH kemudian disambung dengan artikel utama di sini.
Sayangnya apabila melihat rupa muka-muka dalam lukisan utama ini saya terus terasa kecewa. Perkataan waad yang tertulis di atas merujuk kepada cerita persetiaan antara Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun, perjanjian antara raja dengan seorang bekas pemimpin yang mewakili seluruh rakyatnya. Pada saya biarlah lukisan ini bersifat neutral, jangan digunakan rupa mana-mana watak pemimpin kontemporari atau zaman sekarang. Kalau perlu juga menggunakan wajah pemimpin masa kini maka watak utama haruslah memakai muka Yang Dipertuan Agong, bukan Perdana Menteri... apalagi bila ada isterinya sekali, isteri yang kenyataannya telah menimbulkan rasa jelek begitu ramai orang.
Melihat lukisan-lukisan lain saya semakin kecewa.
Kalau ini pameran di ruang legar PWTC di mana terdapat ibu pejabat UMNO tak mengapalah juga. Ini di Balai Seni Visual Negara yang merupakan pentas paling utama negara untuk mempamirkan karya-karya seni. Terus terbetik di hati... "Ini bukan karya seni... ini pelacuran bakat melukis demi mencari makan dan mendapatkan kedudukan serta pengiktirafan". Hati saya meraung lagi. Lukisan-lukisan sebegini kalau ditunjukkan kepada pihak yang membangkang kerajaan tentu membenarkan lagi tuduhan mereka selama ini. Ia bukan menaikkan maruah sebaliknya menjatuhkan darjat...
Walaupun ada juga lukisan wajah Yang Dipertuan Agong, pada saya ia sekadar menyedapkan hati.
Sulalatus Salatin adalah kitab yang memperihalkan bab raja-raja pada kedudukan utama sebelum bercerita tentang hal para pembesar diikuti rakyat. Dalam keadaan politik negara yang semakin celaru kini raja-raja diharap dapat menjadi tonggak kesatuan yang dapat memperbaiki kembali hubungan yang terpecah akibat sistem demokrasi membuat orang berpihak dan berpuak-puak. Saya mengharapkan pameran ini dapat menggambarkan kedudukan raja-raja mengatasi segala institusi politik yang bermuka-muka. Dengan kedudukan itulah kita boleh menyatukan kembali ummah demi agama, bangsa dan negara. Sebaliknya yang saya lihat adalah hasil kerja yang harus terbit dari seorang penjilat bontot...
Kekecewaan ini menyebabkan saya 'potong stim', tidak mahu lagi mengambil gambar. Saya cuma mengambil video di atas sebagai pelanjut cerita. Sampai satu peringkat saya nyaris mahu mengambil video lagi apabila sejumlah remaja perempuan berpakaian tradisional Melayu mula menari dengan alunan lagu tradisional Melayu yang menaikkan semangat. Namun sebaik sahaja bangun untuk mengambil video, lagu berubah menjadi rentak Cina dan begitulah seterusnya... sedangkan kita sedang bercerita tentang kitab besar Melayu bernama Sulalatus Salatin. Rata-rata hadirin adalah orang Melayu. Yang membuat persembahan semuanya memakai baju tradisional Melayu. Semata-mata nak jaga konsep 1Malaysia? Pigi daah. Kemudian saya pun belah...