Ahad, Oktober 30, 2011

Misi makam Tun Saban : Membuka langkah ke Ipoh

Assalamualaikum semua. Adapun saya dan keluarga baru kembali dari Muar semalam untuk menghadiri pengkebumian seorang datuk saudara. Cerita tentang itu akan dipaparkan nanti insyaallah. Sebelum itu elok dilepaskan dahulu cerita perjalanan ke Perak yang dibuat hujung minggu lepas. Rujuk artikel sebelum ini, Perjalanan terbaru di Perak dan batu bersurat Gangga Negara? yang dibuat 5 hari lalu.



Petang Jumaat 21 Oktober 2011. Kami anak beranak mengorak langkah menghala ke negeri Perak melalui jalan utama lama ke utara.


Di sini kelihatan jalan kecil dari Chenderiang ke Kuala Dipang, jalan yang akhirnya bertemu kembali jalan utama lama di sekitar Kampar. Sebelum itu kami telah melepasi Tanjung Malim, Behrang, Slim River, Trolak, Sungkai, Bidor dan Tapah. Di setiap kawasan ada diambil rakaman video. Tapi isterilah yang membuatnya sementara saya memandu kereta...


Adapun perjalanan terbaru ke Perak ini dibuat untuk beberapa tujuan. Sudah lama kami tidak naik ke Kuala Kangsar, kalau tak salah sudah setahun setengah tidak menziarahi makam-makam di sana. Kami juga mahu ke Taiping terutama ke Muzium Perak untuk melihat satu makam lama yang telah dialih dari Sungkai. Saya mahu memastikan betulkah ia makam seorang laksamana seperti disebut seorang kenalan dari Sungkai atau ia memang sebuah makam purba seperti diberitahu pihak muzium kepada isteri saya melalui telefon.

Selain itu kami mahu menziarahi makam pembesar lama Perak, Tun Saban yang hidup 500 tahun lalu. Saya baru 2-3 bulan tahu ia terletak di Lawin, antara Lenggong dan Gerik di utara Kuala Kangsar dan sejak itu menyimpan niat untuk ke sana. Kami juga mahu menguji perakam video full HD yang baru sahaja dibeli beberapa hari sebelum itu. Maka itu banyak yang dilihat petang Jumaat itu dirakam dengan video. Tak perlulah dipaparkan di sini ya kerana banyak kerja perlu dibuat untuk menyajikannya. Untuk cerita perjalanan ini cukuplah dengan gambar-gambar dan ini lebih banyak diambil pada hari-hari berikutnya...

Asalnya perjalanan ini mahu dibuat dengan terus pergi ke Kuala Kangsar lalu bermalam di Kampung Temong. Fikirnya selepas menziarahi makam Tok Temong kami akan terus ke Lawin untuk menziarahi makam Tun Saban sebelum mengorak langkah ke Taiping. Kemudian timbul rasa untuk ke Ipoh dahulu terutama apabila memikirkan saya tidak pernah membuat artikel tentang Masjid Sultan Idris Shah II iaitu masjid negeri untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Semalam baru dibuat. Lihat Masjid (Mosque of) Sultan Idris II, Ipoh. Perjalanan pun dimulakan ke Ipoh melalui jalan lama. Selepas Tapah masuk Chenderiang mengambil jalan kecil yang melepasi Lata Kinjang dan kampung-kampung orang asli semata-mata untuk melihat keadaan sekitar.

Dalam pada itu teringat hajat saya dan isteri untuk menikmati hidangan laksa istimewa di Kota Lama Kanan. Kalau bermalam di Temong kami perlu berpatah balik beberapa kilometer sebelum ke Lawin. Saya pun membuat keputusan untuk bermalam di rumah seorang rakan di Sungai Siput. Dari sana kami boleh menyambung perjalanan ke Kuala Kangsar sebelum naik ke Lawin. Di atas adalah gambar ketika makan malam tidak jauh dari stesyen kereta api Ipoh. Kita sambung cerita nanti...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan