Selasa, November 23, 2010

Lawatan tak dijangka ke Brunei - Sampai ke bumi kenyalang, cukup semua 13 negeri dijejaki...

Assalamualaikum. Malam ini sampailah masa untuk merpersembahkan artikel ke 11 dalam siri Brunei ini. Siang tadi saya terlihat seorang kenalan menceritakan di FaceBook bagaimana dia telah bermimpi telah melawat sebuah makam di Kuching, Sarawak. Kenalan ini seorang perempuan Inggeris yang telah menjiwai silat Melayu lalu memeluk Islam beberapa tahun lalu sebelum menetap di Kuala Lumpur. Mimpi itu membuat saya terasa ingin mencari apakah wujud apa-apa makam yang bermakna di sekitar Kuching. Lalu saya mendapati di sekitar Gunung Santubong 25 km dari bandaraya terdapat makam satu-satunya Sultan yang pernah memerintah Sarawak.

Adapun Sultan yang mangkat sekitar 350 tahun lalu itu adalah anakanda seorang Sultan Brunei. Apabila ayahandanya mangkat kekandanya yang lebih tua telah naik menjadi Sultan baru Brunei tetapi baginda ingin merebut takhta. Maka sang kekanda memberikan wilayah Sarawak yang terletak di dalam kekuasaan Brunei untuk diperintahnya.

Untuk pengetahuan Sarawak ketika itu cuma meliputi sedikit kawasan sekitar Kuching dan Santubong. Kerajaan Brunei pula pernah menguasai seluruh pulau Borneo (perkataan Borneo adalah satu panggilan Barat untuk Brunei) berserta seluruh kepulauan di Filipina. Dari cerita ini baru saya faham bahawa Sarawak yang diberi kepada pedagang British bernama James Brooke (kemudian dikenali sebagai Rajah Brooke) abad ke 19 asalnya turut meliputi kawasan kecil yang sama. Tetapi atas helah penjajah semakin banyak wilayah milik Brunei 'ditelan' mereka lalu wujudlah Sarawak yang kita kenali sekarang.

Apapun saya tertarik untuk menyebut cerita tentang ini kerana kebetulan menurut giliran penceritaan tentang perjalanan yang dibuat saya dan isteri bersama anak di Brunei sebelum Ramadhan, hari ini masuklah bab mengenai Sarawak. Adapun bab ini perlu diselesaikan hari ini juga jika saya mahu mencapai matlamat menyelesaikan siri tentang Brunei sebelum hari Jumaat. Kalau tidak mungkin tidak muncul kebetulan seorang kenalan bermimpi tentang makam yang mungkin milik sang Sultan Sarawak pada hari saya ingin bercerita tentang negeri bekas jajahan takluk Brunei itu. Sekarang kita beralih kepada cerita perjalanan ya. Mari... :]



Pagi Sabtu 7 Ogos 2010, setelah puas tidur malam di rumah ibubapa Hajah Sopiah di Lumut, Seria sampailah masa untuk memulakan pengembaraan baru.


Sebenarnya bapa Hajah Sopiah (saya lupa namanya, panggil atuk tak pun Haji apa ya, lupa...) yang menyuruh saya anak-beranak bermalam di rumahnya. Hajah Sopiah pula kembali ke rumahnya di Muara kerana perlu menguruskan anak-anak kecil.


Bapa Haji Sopiah bercadang membawa kami untuk berjalan ke Sarawak. Dari bandar Seria cuma 31 km gitu ke sempadan, dari Lumut lebih kurang 41 km. Saya pun memang sudah lama teringin hendak ke sana. Dah cukup dekat dah dari Brunei, rugi kalau tak menjejakkan kaki ke bumi kenyalang itu...


Namun bapa Hajah Sopiah tidak jadi pergi kerana isterinya kurang sihat. Sebaliknya dia menyuruh pemandunya seorang rakyat Indonesia membawa kami ditemani 2 orang anak Hajah Sopiah iaitu Mariam dan Jep.


Kami pun mengambil jalan ke Seria. Kelihatan lapangan terbang yang kalau tak salah cuma digunakan kakitangan syarikat Shell yang memonopoli usaha carigali minyak di Brunei.


Bangunan tangki minyak yang ada menunjukkan kepesatan industri yang berpusat di sini.


Tidak lama kemudian kelihatan masjid jamek Seria.


Singgah sebentar di bandar untuk menguruskan sesuatu. Lihat artikel The town of Seria di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Seterusnya kami singgah di sebuah sekolah untuk mengambil seorang sepupu Mariam dan Jep.


Sepupu perempuan itu baru lepas mengambil satu kertas peperiksaan menengah. Dia mahu ikut sama ke Sarawak...


Tidak lama kemudian kami sampai ke bangunan ini.


Rupa-rupanya ia bangunan tol jalan, satu-satunya yang wujud di seluruh Brunei kalau tak salah ingatan. Maklumlah di negara kaya minyak ini tetapi kecil dan tidak ramai penduduk, cukai pendapatan pun tak perlu bayar malah rakyat yang tidak bekerja boleh mendapat elaun bulanan. Kebanyakan kemudahan termasuk kesihatan adalah percuma, mana-mana kemudahan seperti api air jika isi rumah itu dapat membuktikan mereka kurang mampu akan terus ditanggung kerajaan. Pendek-kata negara sedia menjaga segala keperluan rakyat hinggakan kalau nak buat pinjaman bank untuk apa-apapun boleh mohon kerajaan untuk memberikan jaminan.


Tetapi tol untuk jambatan ini sahaja yang kelihatan lain dari kebiasaan. Mungkin kerana ia tidak dianggap keperluan rakyat kerana terletak menghampiri sempadan Sarawak, cuma digunakan untuk keluar masuk negara...


Ternyata dari jambatan ke sempadan tidak terdapat apa-apa penempatan. Perjalanan sekitar 15 km cuma diapit hutan.


Apapun sampailah kami ke Sarawak. Bagi saya ia mencukupkan bilangan. Jika perjalanan ke Labuan hari Rabu (lihat Lawatan tak dijangka ke Brunei - Ke Labuan dan makam Syarif Kedah) bermakna saya sendiri dan isteri serta anak telah sampai ke ketiga-tiga Wilayah Persekutuan yang ada di dalam Malaysia (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) perjalanan ke bumi kenyalang ini pula bermakna saya sudah sampai ke semua 13 negeri dalam negara kita. Isteri saya pula cuma belum pernah ke Sabah... saya pernah ke sana sekali tahun 1998 kalau tak salah ingatan, untuk memanjat Gunung Kinabalu bersama rombongan Ketua Menteri ketika itu, Datuk Yong Teck Lee. Anak kecil kami Al-Rasyid juga belum merasa pergi ke Sabah. Selain itu kami telah membawanya ke setiap negeri di Malaysia... cuma di Terengganu dan Kelantan sahaja dia sampai ketika berumur 7 bulan dalam perut.


Oh. Walaupun kami secara rasminya sudah masuk ke Sarawak, kami perlu lagi melepasi pos immigresyen Malaysia. Yang tadi tu baru lepas pos immigresyen Brunei untuk keluar dari sempadannya.


Dari sempadan kita cuma perlu bergerak lagi 34 km sahaja untuk ke bandaraya Miri.


Sebagai kawasan penempatan kedua terbesar di Sarawak dan begitu dekat dengan sempadan ia sering dikunjungi warga Brunei yang ingin membeli-belah atau mencari apa-apa yang tidak disediakan di negara mereka.


Kami singgah di sebuah kompleks membeli-belah besar. Dari tingkat atas kawasan letak kereta kami dapat melihat kepesatan pembangunan di Miri. Lihat Views of Miri.



Sementara Mariam, Jep dan sepupunya pergi membela-belah ditemani pemandu, saya, isteri dan anak berjalan sendiri.



Selesai aktiviti masing-masing di kompleks kami menunaikan solat di masjid utama Miri. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Miri di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Selepas itu kami keluar untuk mencari sesuatu. Ketika mencari itu kami melalui satu kawasan di mana saya deja vu lama (bukan dalam gambar).



Sebenarnya saya cuma mahu menjejakkan kaki di kawasan pantai. Entah kenapa terasa mesti melihat Laut China Selatan di sekitar ini baru terasa lengkap.

Oh. Tentang Sultan Sarawak yang disebut pada awal artikel. Kenapa baginda boleh menjadi satu-satunya Sultan untuk wilayah ini? Cukuplah diberitahu baginda akhirnya dibunuh pahlawannya sendiri. Tetapi anak-cucu baginda pula muncul menjadi Sultan-sultan Sambas, sebuah negeri yang kini berada di dalam wilayah Kalimantan, Indonesia.

Satu lagi nota. Adapun link untuk artikel Views of Miri telah diletakkan di FaceBook saya sebaik sahaja selesai menulisnya kira-kira 3 jam lalu. Lalu ada kenalan FB bertanya jika saya ada ke satu tempat bernama Kuala Baram? Saya jawab tidak, tak terfikir pun di manakah ia. Kemudian baru saya meneliti peta lalu mendapati Sungai Baram ada diseberangi dalam perjalanan ke Miri dan kualanya terletak cuma 15 km sahaja dari jambatan, kalau ditolak jarak dari simpang ke Miri cuma 12 km...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan