Khamis, Jun 17, 2010

Lawatan ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab

Hmm... entah kenapa saya masih tidak dapat meluahkan cerita tentang perjalanan menaiki keretapi ke utara yang dibuat hingga masuk ke Hatyai, Thailand lebih 3 minggu lalu. Kalau siap itu saya bercadang mahu melepaskan cerita perjalanan ke Perak yang turut meliputi tempat-tempat di Bernam, Selangor selain Lumut, Beruas dan sekitar Pantai Remis, Perak. Perjalanan itu boleh dikira kesinambungan dari perjalanan menziarahi kesemua makam Sultan dan tokoh-tokoh utama di sepanjang aliran Sungai Perak yang dibuat 6 minggu lebih awal.

Kalau cerita perjalanan Perak itu selesai, saya bercadang untuk akhirnya melepaskan cerita perjalanan pertama saya dan isteri ke Aceh membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid penghujung Januari 2010. Ketika itu Al-Rasyid berumur lebih sedikit dari 3 bulan. Namun atas sebab-sebab tertentu ia masih belum dapat dilepaskan hingga kini. Sebaliknya perjalanan seterusnya ke Aceh untuk menyambut Maulidur Rasul penghujung Februari pula telah selesa menjadi artikel...

Kali ini saya bertekad, sebaik sahaja selesai cerita perjalanan keretapi hingga ke Hatyai, saya akan meluahkan cerita perjalanan kesinambungan ke Perak diikuti perjalanan pertama kali ke Aceh dengan membawa Al-Rasyid. Namun untuk dapat membuat cerita perjalanan Hatyai itu nampaknya saya harus melepaskan beberapa cerita kecil dahulu. Mari! :]


Ketibaan bulan Rejab baru ini sangat diharapkan agar dapat memberikan kekuatan dalaman yang dapat menjadikan saya seorang manusia yang lebih elok. Lalu sejak minggu lepas saya sudah berkira-kira di manakah saya patut berada apabila ia masuk kerana adakalanya lokasi sangat membantu dalam kita cuba menginsafi dan memperbaiki diri. Sepertimana sebuah perpustakaan menyediakan suasana yang lebih baik untuk menyerap bahan bacaan berbanding duduk membaca di tepi jalanraya sibuk, begitu juga lokasi boleh mempengaruhi jiwa. Lalu petang Ahad saya tergerak membawa anak dan isteri naik ke Kampung Janda Baik dan sebaik sahaja melepasi pintu gerbangnya yang berbentuk gading, timbul rasa untuk terus singgah ke sebuah rumah lama di satu ceruk.


Rasanya rumah ini telah beberapa kali diperkatakan di blogspot ini tetapi biarlah saya bercerita lagi seolah-olah kali pertama memperkenalkannya. Rumah lama ini asalnya berada di sekitar Gunung Semanggol, Perak. Ia telah dibeli oleh seorang kerabat diraja terdekat lalu dipindahkan ke sini sejak sekitar 10 tahun lalu. Kerabat diraja itu bertujuan untuk menjadikannya tempat berzikir untuk satu tariqat. Namun entah kenapa ia dapat dimanfaatkan cuma beberapa kali sahaja. Selain itu rumah lama yang kata sesetengah orang sebuah istana hinggap ini sering dibiarkan hingga rosak dan bersemak.

Sejak melihat rumah ini sekitar tahun 2002 gitu saya seolah-olah jatuh hati. Sejak itu saya sering singgah seorang diri dan pernah beberapa kali bermalam di sini walaupun pada awalnya tidak terdapat bekalan elektrik langsung. Dahulu ada juga penjaga tetap untuk memastikan ia agak kemas tetapi sejak 3 tahun kebelakangan kalau tak salah ingatan ia seolah dilupakan. Kali terakhir saya datang penghujung Februari iaitu sebelum menyambut Maulidur Rasul di Aceh perkarangannya dipenuhi semak lebih tinggi dari pinggang sementara keadaan dalamnya kelihatan tunggang-langgang tak terjaga.


Alhamdulillah, dalam lawatan terbaru hari Ahad segala semak-samun sudah diterangkan sedangkan isi rumah juga telah dicuci dan dalam proses pembersihan yang lebih berkesan...



Saya sangat bersyukur melihat perkembangan terbaru ini lalu turut menunaikan solat Tahiyatul Masjid di ruang hadapan yang hampir menyerupai mihrab.




Oh. Kami datang ketika hujan renyai-renyai. Adapun lewat petang itu baru kami ada membaca suratkhabar lalu baru menyedari bahawa tarikh Islam hari itu seperti yang tertera pada suratkhabar adalah 30 Jamadil Akhir, bukan 1 Rejab. Namun kami difahamkan, di Arab Saudi dan negara-negara yang mengikuti perkiraan falaknya Ahad sudah masuk 1 Rejab.

Apapun, kami pergi ke Janda Baik sempena masuk bulan Rejab dan apabila masuk Maghrib rasmilah bahawa di Malaysia juga sudah masuk bulan ini yang dikatakan bulan Allah. Untuk makluman, ia adalah bulan yang baik untuk menyediakan diri untuk menghadapi bulan Sya'aban yang dikatakan bulan Muhammad diikuti bulan Ramadhan yang dikatakan bulan ummat. Bagi manusia lemah dan dhaif seperti saya yang mungkin tidak mampu berlaku baik setiap masa setiap detik sepanjang tahun, jangkamasa ini adalah yang terbaik untuk memperbaiki diri. Bulan Rejab ibarat bulan menanam di mana hasilnya dapat dituai setelah cukup berpuasa bulan Ramadhan, Insyaallah! :]





Oh, petang itu juga kami sempat masuk ke rumah penulis buku politik terkenal, Pak Habib atau Syed Hussein Al-Attas. Saya sudah lama tidak berjumpa beliau, salah satu sebabnya kerana saya masih menyimpan rasa marah atas apa yang telah berlaku antara kami beberapa tahun dahulu. Namun kata orang batu yang keras pun boleh lekuk kalau terus-menerus ditimpa air. Setelah beberapa lama baru perasaan marah jadi reda tetapi itupun ada sisa-sisanya.

Awal bulan Mac saya tergerak meluahkan segala yang terbuku. Melalui artikel bertajuk Jalan-jalan anak-beranak : "International port" Janda Baik sebagai pelengkap? baru saya betul-betul rasa ia berjaya dilepaskan dan saya sedia menerima kembali Pak Habib sebagai orang yang dipanggil Abah selain bapa kandung sendiri...



Adapun sejak minggu lepas ada timbul rasa dalam diri untuk berjumpa ayah angkat saya ini dan memohon maaf atas apa-apa kesilapan mahupun kata-kata yang lalu. Alhamdulillah petang Ahad sebelum masuk bulan Rejab di Malaysia (ingat, di Arab Saudi dan beberapa negara lain Rejab sudah bermula lebih setengah hari awal) saya dapat berjumpa Pak Habib di rumahnya di Janda Baik sedangkan belum tentu pun kami boleh berjumpa kerana saya main datang sahaja... dan Pak Habib bukan selalu ada kerana rumah ini cuma rumah hinggap. Dan dia juga selalu keluar ke merata tempat.

Malam itu setelah bermalam di surau, saya membawa anak dan isteri berjalan-jalan menghala ke hulu Sungai Chemperoh. Di satu bahagian masih berdiri sebatang pokok kelapa gading yang membawa kenangan tersendiri...




Saya teringat 4 tahun lalu cuba menjolok 2 biji kelapa dari pokok ini untuk dijadikan ubat buat mengubati seorang gadis yang nyaris-nyaris menjadi isteri saya. Entah kenapa gadis itu jadi kerasukan sedangkan keluarganya sendiri hilang punca lalu bercadang untuk membawanya masuk ke wad sakit jiwa. Saya pula yang bersusah-payah mencari orang yang boleh tolong mengubat sambil menyediakan bahan-bahannya kemudian menjalankan apa yang patut. Namun akhirnya saya pula difitnah lalu dituduh menyihirkannya. Lihat apa yang telah diluahkan setahun lalu dalam artikel Cerita An-Nur yang membawa kepada Umrah 2005 dan seterusnya....


2 ulasan:

  1. Itulah..mudah sangat orang membuat tuduhan. tapi itu dah lama berlalu. Sabar dan reda.
    Musim cuti sekolah..mama membaca semua catatan anakanda di sini.. betapa kamu begitu kental dengan cabaran
    Teruskan.

    BalasPadam