Pagi Sabtu setelah menikmati sarapan secara buffet di hotel, pemandu dari syarikat Kak Ann datang menjemput untuk membawa kami berjalan. Kali ini pemandu yang datang adalah juga pemandu peribadi Kak Ann yang dipanggil Pak Tar (ke Pak Atar? Lebih kurang le tu...). Kereta yang digunakan juga sebuah kereta baru MPV Hyundai yang lebih canggih lalu kami dibawa menyusur sebuah jalan yang tidak pernah kami lalui sebelum ini...
Jalan ke timur Banda Aceh ini membawa kami menyeberangi bahagian Sungai Aceh yang lebih luas. Untuk pengetahuan, Sungai Aceh bercabang di selatan Banda Aceh untuk membentuk 2 aliran berasingan keluar ke laut. Semasa itu saya keliru bagaimana sungai di sebelah timur ini turut dipanggil Sungai Aceh atau bahasa tempatannya Krueng Aceh. Sedangkan saya tahu di tengah bandaraya memang mengalir Sungai Aceh dengan satu kuala yang berlainan.
Setelah melihat peta satelit melalui Google Earth, baru saya faham rupa-rupanya pecahan 2 aliran ini membentuk semacam pulau delta di tengahnya dengan 2 buah kuala terletak lebih 4 km antara satu sama lain. Baru saya faham kenapa Sheikh Abdul Rauf Singkel turut dipanggil Syiah Kuala (lihat artikel
Baru sampai ke makam Syiah Kuala yang amat terkenal itu! ). Kerana kedudukan makam itu terletak antara 2 kuala, masih lagi dalam lingkungan aliran air Sungai Aceh yang keluar ke laut gitu...
Apapun perjalanan diteruskan ke timur. Kelihatan bukit-bukau yang pernah saya lihat terserlah dari hotel, bukit-bukau yang pada malam harinya boleh kelihatan jalan dan bangunan-bangunan berlampu menunjukkan ada penempatan di lereng-lerengnya. Lihat artikel
Views of Aceh from our hotel early morning... Jalan ke timur, sesekali ke timur-laut ini mula membawa ke tepian pantai...
Tidak lama kemudian kami mengambil satu simpang kiri untuk melihat satu peninggalan lama...
Selamat datang ke Benteng Indrapatra, sebuah peninggalan purba yang menggamit satu sejarah pra-Islam...
Di sini terdapat beberapa buah benteng atau kubu besar hampir serupa yang terdapat di tempat sejarah lama Eropah. Untuk pengetahuan ia dipercayai dibina sekitar abad ke 7 Masihi iaitu 1,400 lalu! Kiranya zaman semasa Nabi Muhammad SAW baru lahir gitu...
OK. Semasa di Aceh saya ingat ada membaca sedikit sejarah tentang benteng ini yang menyebut ia asalnya dibina oleh sebuah kerajaan Hindu yang kemudian berjaya diIslamkan sekitar abad ke 12 Masihi. Saya sudah lupa nama kerajaan tersebut, apakah ia Lamuri, apakah Inderapuri. Yang pasti kedua-duanya ada kena-mengena... rasanya ada juga kena-mengena dengan Masjid Indrapuri seperti dipaparkan melalui artikel
Masjid Indrapuri, bukti agama Hindu memang berasal daripada syariat Nabi Ibrahim AS? yang dibuat lebih sebulan lalu.
Apapun, nama Lamuri lebih banyak dikaitkan dengan Aceh purba walaupun Indrapuri juga ada disebut sama. Ini turut mengingatkan saya pada nama Lemuria, sebuah benua dengan penduduk spiritual yang katanya pernah wujud sezaman dengan benua hilang Atlantis yang cerita kewujudannya persis dongengan kayangan.
Apakah Lamuri ini ada kena-mengena dengan Lemuria yang turut hilang? Yang pasti, ada teori menyebut Lemuria yang kemungkinan berdiri sebagai benua besar sebelum zaman banjir Nabi Nuh terletak di Asia Tenggara dan berdiri di atas Pentas Sunda di mana terletaknya sebahagian besar Nusantara!
Perjalanan pun diteruskan ke Teluk Lamreh. Tetapi saya lebih selesa menyebutnya sebagai Teluk Lamuri berdasarkan fakta ia pernah menempatkan pusat kerajaan purba Lamuri. Lagipun perkataan Lamuri dan Lamreh itu memang hampir sama bunyinya...
Selepas menyeberangi Kreung (sungai) Raya masuklah kami ke sebuah bandar pelabuhan yang dipanggil Pelabuhan Malahayati... sempena nama seorang pahlawan wanita terkemuka Aceh iaitu Laksamana Keumala Hayati @ Malahayati... Keumala itu ejaan Aceh yang sama sahaja dengan Kemala dalam bahasa Melayu biasa.
Perjalanan ke sini asalnya mahu dibuat hari Rabu. Tempat utama yang mahu dituju adalah Benteng Inong Balee, sebuah kubu lama yang pernah dibina Laksamana Malayahati serta angkatan laut 2,000 orang janda yang dipimpinnya 400 tahun lalu. Sebaliknya hari itu telah menyaksikan saya dan isteri mengikut Kak Ann dan rombongan ke Bireuen 230 km ke tenggara Banda Aceh sebelum bergerak lagi 220 km ke Langsa... dalam rangka perjalanan untuk menziarahi makam Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera Pasai yang telah mangkat lebih 800 tahun lalu (lihat koleksi cerita berkaitan melalui artikel
Himpunan cerita "Ke makam Sultan Malikus Salih" dan 999...). Selesai perjalanan itu serta sedikit rehat hari Jumaat, baru kami dapat membuat perjalanan yang ini pula hari Sabtu.
Sebenarnya saya pun tidak menyangka akan ke tempat ini pula selepas perjalanan itu. Adapun asalnya perjalanan ke Benteng Inong Balee cuma mahu dibuat sebagai aktiviti pengisi... aktiviti pengisi masa sementara menunggu peluang bilakah akan melangkah ke makam Sultan Malikus Salih. Untuk pengetahuan, sejak mengetahui siapakah dirinya pemerintah tersohor dalam sejarah lama Aceh ini, saya memang teringin sangat untuk menziarahi makam baginda. Seperti ada disebut dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh", perjalanan pertama saya ke Aceh yang dibuat Januari 2004 cuma dapat sampai ke Langsa sahaja.
Siapa sangka lebih 5 tahun kemudian baru saya dapat sampai ke makam Sultan Malikus Salih. Maka itu saya menyangkakan perjalanan ke makam itu adalah klimaks lawatan ke Aceh Jun 2009. Rupa-rupanya masih ada lagi satu klimaks yang sama tinggi. Malah ada kemungkinan yang ini lebih tinggi dan hebat lagi!
Apakah yang menyebabkan saya menyebut ada klimaks yang mungkin lebih tinggi dan hebat lagi? 'Petunjuk' awal saya dapati apabila terlihat bangunan stor menyimpan simen ini.
Adapun saya dapat merasakan nombor 191 yang tertera pada bangunan (lihat perkataan "Sejak 1910") membawa makna yang ada kena-mengena dengan mukasurat 191 di ketiga-tiga buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Sila lihat artikel lama
911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?) yang dibuat 2 tahun lalu, pada 11 September yang juga disebut 9/11 gitu!
Rupa-rupanya di sini terdapat makam Laksamana Keumala Hayati @ Malahayati. Siapakah laksamana wanita ini? Terlebih dahulu biar saya ceritakan melalui sedutan buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh: Mencari diri dan erti", dari Bab 3...
---------------
Rasyid sedikit pelik. Bagaimanakah Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu Ahmad bin Abdul Rahman boleh menaiki takhta Aceh? Setahunya, pangkat itu bukanlah sebesar pangkat Bendahara atau Perdana Menteri. Bukan juga pangkat kerabat diraja, apalagi baginda dikatakan berketurunan Bugis. Siapalah si Ahmad ini jika dibandingkan dengan keturunan Sayyid anak cucu Rasulullah SAW yang diakui ketinggian martabatnya? Lalu dia pernah bertanyakan hal ini kepada seorang tua berketurunan Aceh yang sekarang menetap di Perak. Jawaban orang tua itu senang... Sebenarnya Ahmad bin Abdul Rahman bukan sekadar bangsawan biasa. Dia berasal daripada keturunan yang terpilih...
“Ayahandanya, Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu terdahulu, juga Laksamana bernama Abdul Rahman bin Zainal Abidin adalah anakanda Laksamana Raja Keumala Hayati, satu-satunya panglima perang perempuan yang pernah memimpin sebuah armada kapal laut yang terulung di Nusantara,” orang tua itu membuka cerita. “Angkatan perang yang terdiri daripada janda-janda para pejuang yang mati syahid itu pernah mengalahkan armada Belanda dalam peperangan di Teluk Aru.”
“Raja Keumala Hayati pula adalah generasi keempat keturunan Sultan Ali Mughayat Shah (1511-1530), raja besar dan pahlawan berwibawa yang diiktiraf sejarah sebagai Sultan pertama Aceh Besar kerana berjaya menggabungkan kerajaan-kerajaan Daya, Pedir, Pasai dan Haru ke dalam Aceh. Maka memang Ahmad bin Abdul Rahman mempunyai darah keSultananan Aceh dan memiliki kelayakan untuk menaiki takhta,” dia menyambung.
Kata orang tua itu lagi, ayahanda Ahmad, Abdul Rahman bin Zainal Abidin pula pernah berkahwin dengan Sultanah Naqiatuddin, raja perempuan kedua Aceh. Tetapi tidak pastilah jika baginda dilahirkan hasil perkahwinan ini atau daripada ibu yang lain.
“Nendanya, Zainal Abidin juga bukan calang-calang orang. Suami Laksamana Raja Keumala Hayati ini merupakan Orang Kaya kaya Maharajalela Melayu juga Laksamana di zaman Sultan Alauddin Sayyid al Mukamil,” dia meneruskan. “Selain itu beliau juga dikenali sebagai anakanda seorang ulamak yang amat disanjung tinggi di Aceh, Daeng Mansur bin Sheikh Abdullah Al-Malikul Amin, ayahanda kepada Puteri Ratna Sendi Istana, Permaisuri kepada Sultan Iskandar Muda dahulu.”
Lagipun pangkat Laksamana di Aceh bukannya pangkat kecil-kecilan. Ia adalah satu pangkat besar kerabat diraja yang dahulunya sering digunakan oleh raja muda atau tengku mahkota, bakal Sultan Aceh!
Hmm. Sebenarnya sedutan tadi asalnya ditulis untuk meneroka keadaan bagaimanakah satu jalur keturunan yang katanya berasal daripada bangsawan Bugis dapat merajai Aceh bermula abad ke 18 Masihi. Rasanya sesuai juga dibaca sekali artikel
Apa cerita bangsawan Bugis pula boleh menjadi raja Aceh? yang dibuat lebih 2 bulan lalu.
Sesuatu yang amat terserlah tentang makam Laksamana Malahayati ialah kedudukannya yang begitu strategik dan amat cantik. Tidak disangka, di sini saya dapat merasakan semacam aura yang lebih hebat daripada apa yang dirasai di makam Sultan Malikus Salih juga makam Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah (lihat artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak...). Dan tentunya aura di sini lebih hebat daripada yang terdapat di makam tengah Banda Aceh yang disebut secara rasmi sebagai makam Sultan Iskandar Muda sedangkan gerak hati saya menyanggah kesahihannya.
Sila lihat artikel Makam (tomb of) Sultan Iskandar Muda? yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) lebih 2 bulan lalu. Di sini saya mahu meletakkan pula sedutan berkaitan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal"... dari Bab 8 yang ada menceritakan sesuatu di sebalik Teluk Haru, sebuah teluk di selatan sempadan tenggara Aceh...
--------------
Teluk Aru memiliki keindahan serta sejarahnya yang tersendiri. Selain pernah menjadi pusat awal kerajaan lama Haru, sebuah kuasa besar bumi Melayu ketika awal kegemilangan Melaka 600 tahun dahulu, teluk yang nampak begitu permai ini pernah menyaksikan sebuah peperangan dahsyat di antara angkatan laut Aceh dengan armada Belanda.
Lebih menarik, peperangan yang berlaku penghujung abad ke 16 itu menonjolkan ketokohan seorang Laksamana perempuan, Laksamana Raja Kemala Hayati yang pernah memimpin sebuah angkatan laut perempuan! Angkatan itu terdiri daripada 2,000 orang janda yang kehilangan suami... Gugur akibat menentang percubaan penjajahan kufar Barat di rantau ini. Maka mereka berperang dengan azam yang sangat jitu lalu berjaya mengalahkan angkatan laut Belanda yang cuba bertapak di teluk itu.
“Raja Kemala Hayati sendiri telah kehilangan suami yang gugur syahid ketika menentang Portugis yang cuba menceroboh Aceh dahulu,” seorang tua berketurunan Aceh yang menetap di Perak pernah memberitahu. “Generasi ke-empat keturunan Sultan Ali Mughayat Shah ini (Sultan yang berjaya menyatukan Aceh, Daya, Pedir dan Pasai, juga Haru untuk mewujudkan Aceh besar sebagai pengganti kedaultan Melaka) diakui sejarah sebagai satu-satunya laksamana atau admiral dan pemimpin perang perempuan yang tersohor dalam sejarah Nusantara malah sejarah dunia!”
Untuk pengetahuan, orang tua inilah yang menerangkan bagaimana seorang yang dikatakan bangsawan Bugis, Laksamana juga Orang Kaya Maharaja Lela Melayu Ahmad bin Abdul Rahman boleh diangkat menjadi Sultan Aceh. Baca balik Bab 3 buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti.” Banyak juga cerita lama berada di dalam simpanan orang ini.
Katanya, Raja Kemala Hayati ternyata unggul dalam banyak bidang yang selalunya dikuasai lelaki malah sifat kepahlawannya mampu membuat ramai kaum Adam terasa malu pula! Selain memimpin angkatan perang Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah Alam Sayyid al Mukammil (1589-1604), anggota perempuan kerabat diraja Aceh ini pernah menjadi kepala barisan pengawal istana panglima rahsia (pengawal peribadi) dan ketua protokol istana.
Ah... memang Rasyid nampaknya disuruh ke sini untuk menyusuri sejarah dan susur-galur tertentu. Laksamana Kemala Hayati ini juga merupakan salah-satu daripada... Oh... Tidak boleh cerita ini. Kena ingat pesan orang tua-tua... Cukuplah setakat berkata mereka ada kaitan juga.
Walaupun kompleks makam ini dikenali sebagai makam Laksamana Malayahati, saya rasa turut sama terserlah malah mungkin lebih menonjol adalah makam di sebelahnya iaitu makam si suami! Walaupun sejarah cuma menyebut nama sang suami iaitu Laksamana Zainal Abidin cuma sepintas lalu, kajian peribadi saya menyebut ada kemungkinan besar lelaki ini memiliki identiti diraja yang sangat gah dan besar namanya, identiti yang sengaja disembunyikan dengan menyatakan sang suami telah gugur melawan Portugis terlebih dahulu...
Yang nyata makam beliau (atau baginda sebenarnya?) ditanda dengan batu nesan Aceh bentuk diraja yang hampir-hampir menyerupai apa yang terdapat di makam Sultan Malikus Salih. Mungkin kaitan rahsia yang dapat saya rasakan inilah yang menyebabkan suasana serta aura sekitar makam ini dirasakan lebih hebat daripada mana-mana makam yang pernah dilawati sepanjang berada di Aceh?
Seterusnya saya tergerak untuk menerokai kawasan lereng bukit di belakang makam.
Sebenarnya saya tergerak untuk meneroka kerana menyangkakan Benteng Inong Balee yang asalnya menjadi tujuan utama kami ke kawasan yang terletak 30 km dari Banda Aceh ini terletak dekat-dekat sini juga...
Sejurus kemudian baru saya tahu Benteng Inong Balee terletak 3 km ke timur lagi. Tetapi ada hikmahnya saya menyangkakan ia terletak sekitar ini kerana atas sebab itulah saya meneroka kawasan belakang makam lalu sampai pula di kawasan lapang lain yang selari...
Gambar-gambar sekitar lereng bukit ini saya ambil daripada artikel
Deja vu at the hillside facing the bay of Lamuri yang dibuat di
blogspot BERPETUALANG KE ACEH lebih awal tadi. Ada banyak lagi gambar di artikel itu, saya tunjukkan kerana di sinilah berlaku satu perasaan
deja vu yang paling lama sejak saya berada di Aceh!
Kelihatan dalam gambar atas adalah bangunan makam yang terletak selari tetapi sedikit rendah dengan kawasan lapang bukit yang saya temui ini. Di sini saya dapat merasakan bahawa ia pernah menjadi serambi istana lama dengan pemandangan indah lagi strategik menghadap ke laut lepas...
Lihat pemandangan ke laut yang amat indah ini. Dalam artikel
Deja vu at the hillside facing the bay of Lamuri saya cuma menyebut perasaan
deja vu panjang yang muncul di sekitar ini. Saya terlupa hendak menyebut bahawa saya telah terlebih dahulu mendapat rasa
deja vu yang panjang lagi nyaman sejak berada di kawasan makam lagi!
Saya pun turun kembali ke bangunan makam untuk membacakan Surah Ya Sin. Lihat bagaimana romantiknya makam pasangan ini di'sambung'kan dengan kain putih. Nampak seperti pasangan dua sejoli yang ada memegang janji untuk menyimpan identiti alternatif atau identiti lebih besar diri masing-masing demi mempertahankan Aceh daripada musuh luar dan dalam, lebih-lebih lagi dengan adanya kehadiran musuh-musuh dalam selimut yang cuba menghancurkan nasab berdaulat yang mampu mengembalikan kegemilangan Aceh seterusnya kegemilangan Islam di Nusantara!
Identiti alternatif yang dimaksudkan adalah sesuatu yang ditemui secara tidak sengaja apabila mengkaji lebih dekat susur-galur diraja kerajaan Aceh serta Perak yang turut berkaitan. Ia berkenaan sesetengah orang memakai pelbagai nama atas sebab-sebab tertentu lalu ada yang disangkakan sebagai 2 orang yang berlainan sedangkan ia cuma merupakan 2 nama panggilan bagi satu tubuh-badan!
Maka di sini saya tergerak pula untuk meletakkan sedutan daripada buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?"... daripada bab bertajuk "Dari Aceh ke Perak : Nakhoda Hitam Laksamana Tok Kuala Bidor"...
---------------
Salah satu misi utama Rasyid mengkaji cerita-cerita lama Melayu dahulukala terutama yang berkaitan keSultanan Perak dan Aceh adalah untuk mencari asal-usul keluarga Laksamana Perak yang ramai bermastautin dan beranak-pinak di sekitar Teluk Intan. Pemuda itu pernah diberitahu keluarga ini berasal daripada keturunan Sultan Malikus Salih pengasas kerajaan Samudera Pasai yang tersohor dalam sejarah Aceh... Mereka adalah keturunan anak cucu Sultan itu yang pernah membawa diri meninggalkan bumi Serambi Mekah atas sebab-sebab tertentu termasuk perang saudara dan perebutan takhta. Ada yang dapat kembali ke sana beberapa abad kemudian tetapi anak cucu mereka pula dipaksa untuk menyeberang lagi ke Perak. Maka hiduplah mereka turun-temurun di bumi sebelah sini sehingga dikenali sebagai keluarga Laksamana Raja Mahkota.
Kata almarhum Nenek dan bapa-bapa saudara, dahulu mereka ada menyimpan sebuah salasilah lama yang menyatakan secara tepat siapakah nenek-moyang keluarga Laksamana sampai ke pengasas kerajaan Samudera Pasai itu lebih 700 tahun dahulu. Malangnya salasilah ini telah hancur bersama beberapa barangan lama peninggalan turun-temurun apabila sebuah rumah ahli keluarga di Teluk Intan yang terletak di dalam lingkungan sebuah kota lama terbakar lebih 20 tahun dahulu. Ahli keluarga yang tua pula ramai sudah meninggal dunia, tinggal generasi muda yang kurang tahu cerita. Memandangkan tidak ada seorang pun masih ingat isi salasilah ini atau cukup berminat untuk mencarinya kembali, maka Rasyid yang pernah mendapat sebuah mimpi berkaitan keSultanan Perak juga keSultanan lama Aceh telah terpanggil untuk mencuba...
Sebenarnya, ada saudara yang berminat dan pernah cuba menggali cerita ini tetapi tidak berjaya. Malah ada yang mendapat amaran dalam mimpi menyatakan dia tidak layak mencari! Berdasarkan cerita almarhum Nenek bahawa moyang keluarga Laksamana yang pertama sampai ke Perak telah membawa diri daripada bumi Serambi Mekah setelah adinda sendiri merebut takhtanya, pemuda ini yang mempunyai latarbelakang kewartawanan pun cuba mencari identiti mereka. Ini dilakukan dengan mengkaji beberapa salasilah raja-raja termasuk hasil kajian Barat, disokong perasa dan gerak hati sambil meminta petunjuk daripada Allah Subhanahuwata’ala.
———————
Maka tersebutlah nama Sultan Salehuddin ibni Sultan Ali Mughayat Shah yang memerintah Aceh tahun 1530 kemudian dimakzulkan iaitu diturunkan takhta oleh adindanya yang menjadi Sultan Alauddin Riayat Shah al Qahar 1539. Ini ada tercatit dalam kitab Hikayat Aceh, juga salasilah kajian Barat yang diperolehi Rasyid... Tetapi kitab itu setakat menyebut Alauddin al Qahar menyumbatnya ke dalam penjara sedangkan kajian Barat pula menyebut Sultan Salehuddin akhirnya dibunuh adinda sendiri!
Apa yang menarik perhatian pemuda itu adalah bagaimana anak cucu Sultan Salehuddin yang tersisih daripada takhta Aceh mula memakai gelaran Laksamana... Bermula dengan anakandanya Raja Muhammad Said Shah dan diteruskan anakanda Raja Muhammad yang dikenali sebagai Laksamana Raja Mahmud Shah. Lalu dia tertanya-tanya, adakah ini permulaan keluarga Laksamana Perak memakai gelaran Laksamana?
Rupa-rupanya ini bukan jawaban yang tepat kerana Laksamana seterusnya adalah anak perempuan Laksamana Raja Mahmud Shah yang bernama Raja Kemala Hayati. Apa yang dicari adalah susur-galur lelaki atas lelaki yang dapat menyambungkan keluarga Laksamana Perak dengan nenek moyang yang paling awal di bumi Serambi Mekah. Walaupun Laksamana Raja Kemala Hayati memang termasuk salah seorang moyang mereka, orang yang dimaksudkan Nenek sebagai moyang pertama datang ke Perak adalah moyang terdahulu yang telah meninggalkan sebuah kerajaan besar di Sumatera sekitar 1,000 tahun lalu, bersesuaian dengan zaman kewujudan keSultanan Perlak. Hamba Allah ini cuma dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor. Makamnya masih wujud di Teluk Intan.
Selesai ziarah ke makam, kami singgah sebentar ke Masjid Malahayati yang terletak di kaki bukit. Di sini ada penanda yang menunjukkan kawasan ini pernah dilanda ombak tsunami setinggi 2.5 meter. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Malahayati di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) .
Di masjid ini kami ditegur oleh seorang pakcik (datuk barangkali lebih sesuai!) yang telah berumur 80 tahun tetapi masih kuat berjalan-jalan. Cuma gayanya sedikit janggal... seperti orang nyanyuk pun ada, mungkin kerana dia ada cuba melepaskan suatu perasaan yang terbuku di tanpa mengira pandangan orang ramai...
Kedengaran pakcik ini pandai bertutur dalam bahasa Jepun. Lalu dia menghulurkan kad menyatakan dirinya sebagai penterjemah bahasa Jepun. Katanya, dia pernah berkhidmat ketika Jepun memasuki Indonesia lebih 60 tahun lalu.
Selesai hal di masjid baru kami pergi ke Benteng Inong Balee yang menjadi tujuan utama kami ke sekitar ini. Sila ikuti dahulu perjalanan yang dinyatakan secara bergambar pada artikel Walking to Malahayati's fortress, the Benteng Inong Balee... blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...
Gambar-gambar sekitar benteng ini pula lebih banyak diletakkan pada artikel Benteng (fortress of) Inong Balee, satu peninggalan (a legacy of) Laksamana Malahayati di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...
Begitulah Allah SWT telah mengatur segala perkara. Perjalanan untuk ke Benteng Inong Balee rupa-rupanya membuka banyak perkara... dapat melawat Benteng Indrapatra juga makam Laksamana Malahayati dan suami serta lereng bukit di belakang dan tepi yang ada makna tersendiri. Sedangkan asalnya ia cuma rancangan sampingan yang saya fikir boleh ditolak ke tepi...
Siapa sangka perjalanan untuk ke Benteng Inong Balee yang terletak tinggi di pinggir bukit tepian laut ini boleh memberikan rasa klimaks atau kemuncak yang lebih bererti. Sedangkan sebelum ini saya menganggap ziarah ke makam Sultan Malikus Salih itulah kemuncak perjalanan di Aceh. Siapa sangka setelah memikirkan tidak perlu lagi ke benteng ini, pemandu pula muncul untuk membawa kami ke sana... cuma berdasarkan perancangan yang dibuat untuk hari Rabu iaitu sebelum mengorak langkah ke makam Sultan Malikus Salih. Lalu tanpa dipinta mahupun dirancang oleh saya, pemandu turut membawa kami ke makam Laksamana Malahayati.
Sambil saya meneroka sekeliling dan mengambil gambar-gambar pemandu pula berbincang dengan 2 orang warga tempatan sambil isteri saya mendengar... rupa-rupanya tentang perniagaan lada kerana mereka ini ada menanam lada di kawasan beberapa ekar tidak jauh dari benteng. Satu masa dahulu wilayah-wilayah tepian pantai Aceh merupakan pembekal utama lada bagi seluruh Nusantara. Komoditi ini turut dieksport sehingga ke pasaran Eropah. Ini menjadi salah satu asbab yang menarik kuasa-kuasa Barat untuk cuba menjajah Aceh...
Lawatan ke Benteng Inong Balee juga mengharuskan kami turut melawat ke sebuah lagi benteng yang lebih teratur. Itulah Benteng Iskandar Muda yang terdapat pada hujung barat Teluk Lamreh atau Teluk Lamuri, dalam perjalanan kembali ke Banda Aceh...
Melalui pamplet yang ditinggalkan di dalam kereta semasa naik bukit ke makam Malahayati inilah saya dapat tahu kedudukan sebenar Benteng Inong Balee. Lalu saya juga dapat tahu akan kewujudan serta kedudukan Benteng Iskandar Muda yang seakan-akan mengapit Teluk Lamreh @ Lamuri seiring dengan Benteng Inong Balee! Lihat artikel
Benteng (fortress of) Iskandar Muda di
blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) untuk maklumat lanjut serta gambar-gambar lain.
OK. Tergerak saya untuk menggunakan Google Earth untuk memaparkan lokasi tempat-tempat penting yang dilawati atas niat asal untuk ke Benteng Inong Balee semata-mata. Maaf jika perkataan yang menunjukkan kedudukan makam Malahayati iaitu yang paling bawah kurang terang...
Tergerak juga saya untuk mengatur gambar-gambar berkaitan pada gambar satelit
close-up yang mengenengahkan Teluk Lamreh @ Lamuri. Dengan ini tamatlah artikel yang dimulakan jam 2 pagi membawa kepada ayat terakhir yang ditulis hampir jam 7 pagi. Selepas ini, saya akan cuba menulis sedikit lagi cerita tentang perjalanan hari Sabtu sebelum menutup buku buat masa ini. Sekian buat sementara saya mahu bersolat Subuh...