Khamis, September 17, 2009

Deja vu panjang di dayah pimpinan ulamak Abu Madinah...

Kiranya ini bersambung daripada artikel Hari Ahad yang santai di Aceh diikuti majlis penuh warna-warni... ya! Mari...


Selepas majlis di hotel tamat, saya dan isteri duduk bersama Kak Ann berehat di lobi. Tempat kami terus didatangi 2 orang ulamak terkemuka Aceh kini, seorang dipanggil sebagai Walid, seorang lagi yang lebih tua dan senior dipanggil Abu Madinah. Walid sendiri merupakan seorang ulamak besar yang dihormati, turut dirujuk para pembesar Indonesia dari Jakarta. Tetapi di hadapan Abu Madinah dia kelihatan segan. Diciumnya tangan orang tua berumur sekitar 60an itu (kalau tak salah saya le) menunjukkan tanda hormat yang amat sangat.

Di ketika hadirin lain rata-rata berkumpul bersama sekutu politik masing-masing menyambung cerita mahupun rancangan dan percaturan, kami pula agak santai bercerita tentang keadaan semasa masyarakat, masuk sedikit bab-bab agama. Entah kenapa Abu Madinah yang tidak banyak bercakap tetapi lebih selesa memasang telinga tertarik dengan saya dan isteri. Terus dia mengajak kami berjalan-jalan melihat sebuah dayah (bahasa Aceh untuk institusi pengajian pondok, juga dipanggil pesantren dalam bahasa Indonesia) pimpinannya di pinggir Banda Aceh. Rupa-rupanya Abu Madinah yang pernah duduk lama di Madinah, Tanah Arab memimpin 2 buah dayah di sekitar bandaraya...


"Sudilah naik van buruk saya," dia menjemput. Walaupun jam sudah masuk 1 pagi kami menerima sahaja. Bukan selalu dapat peluang begini. Lagipun siang nanti kami akan kembali ke Malaysia.

Abu Madinah pun membawa kami ke dayah yang terletak sekitar 5 km dari hotel. Rupa-rupanya ada sebab kerana di situ sekali lagi saya mengalami deja vu panjang.



Saya percaya para pembaca setia blogspot ini sudah sedia maklum betapa saya selalu mengalami deja vu... pengalaman seperti pernah sampai di suatu tempat di mana segala yang berlaku, apa yang dilihat, jalan yang dilalui, perbualan yang terkeluar sama sahaja seperti apa yang pernah dilihat samada dalam mimpi ataupun bayangan . Walaupun di Aceh juga saya selalu deja vu, tetapi seingatnya saya cuma beberapa kali sahaja mengalami deja vu panjang melihat apa yang berlaku sama sahaja seperti 'pengalaman lepas' sehingga menjangkau tempoh melebihi 5 minit.

Di sini biar disenaraikan kembali pengalaman deja vu panjang di Aceh... seingat saya tiada yang lain sebegini...

1. Ziarah ke Makam Lapan hari Rabu. Lihat artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - kenapa pula deja vu lama di Makam Lapan?

2. Ziarah ke makam Laksamana Malahayati dan bukit sekitarnya. Lihat artikel Benteng Laksamana Malahayati, kerajaan lama Lamuri dan satu rahsia yang tersembunyi... .

3. Singgah restoran karaoke berdekatan aliran timur Sungai Aceh. Lihat artikel Tutup cerita hari Sabtu : Deja vu di restoran karaoke, 'mengopi' di Ulu Kareng dan membeli buah-tangan di Jalan Sultan Malikus Salih! .

4. Di dayah pimpinan Abu Medinah pada awal pagi Isnin sejurus sebelum kembali ke Malaysia!



Abu Medinah menunjukkan kawasan sekitar dayah dengan beberapa bangunan sedang diperbaiki atau diperbesarkan. Maaf gambar-gambar yang ada kelam-kelam belaka... tetapi begitulah keadaannya seperti saya lihat hingga menjadi deja vu. Apabila mendengar saya berhajat untuk melihat Banda Aceh daripada menara di tengah bandaraya (semasa saya datang ia sedang ditutup), dia menawarkan untuk membawa saya naik ke menara masjid utama Aceh iaitu Masjid Baitur Rahman! Tapi tak mengapalah, ini cuma dapat dilakukan selepas waktu Subuh sedangkan kami harus bersiap-sedia untuk kembali ke Malaysia selain saya masih perlukan sedikit rehat di hotel, tak larat jalan-jalan lagi dah.

Ulamak yang dihormati ini memberikan pesan... carilah dia jika datang lagi ke Aceh. Dia akan membawa kami berjalan-jalan. Saya mengangguk-angguk kepala, terasa malu juga dilayan begitu hormat oleh seorang ulamak besar. Sejurus kemudian dia menghantar kami kembali ke hotel. Cukuplah lawatan sekitar setengah jam ke dayah pimpinannya untuk menzahirkan satu pengalaman melihat masa hadapan melalui proses deja vu yang mungkin nanti akan saya pecahkan makna sebenarnya nanti Insyaallah. Sekian laporan...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan