Selasa, Julai 28, 2009

Keramat Sungai Durian dan Kota Setia. Apa ceritanya?

Dari masjid lama Batak Rabit, saya dan isteri bergegas ke satu tempat lain bernama Sungai Durian...


Kami perlu menyeberangi Sungai Perak melalui satu-satunya jambatan menyeberangi sungai itu di Hilir Perak, melalui jalan yang boleh membawa ke Lumut dan Sitiawan juga untuk ke Pulau Pangkor...

Tujuan kami ke Sungai Durian ialah untuk melawat sebuah makam lama yang agak terpencil...


Adapun seperti lawatan terbaru ke Beting Beras Basah, ini adalah kali ketiga saya ke sini dan kali pertama membawa isteri juga kali pertama untuknya sendiri sampai ke sini. Ternyata kawasan di sini sudah lebih lapang berbanding dahulu. Dalam lawatan-lawatan yang lepas, saya tidak nampak Sungai Perak kerana pandangan terhalang oleh semak-samun dan hutan belukar.





Di celah semak samun pada gambar tadi boleh kelihatan batu-batu nesan seperti di dalam gambar ini. Dahulu saya cuma dapat melihatnya setelah meredah hutan belukar. Kini ia boleh kelihatan dari jauh.

Apapun makam yang ingin saya lawati bukan yang kelihatan ini. Namun ia tetap ada kena-mengena kerana boleh kata semua makam-makam besar di sekitar Hilir Perak adalah milik ahli-ahli keluarga besar saya...

Makam yang ingin saya cari masih terletak di dalam belukar. Untuk mencarinya, saya harus berpandukan dua batang pokok kelapa yang terletak di tengah gambar... itupun nasib baik ada pokok kelapa. Dalam lawatan pertama yang dibuat awal 2007, saya ditunjukkan arah ke makam oleh seorang tua yang ternyata datuk saudara saya. Tetapi saya tidak berjaya mencarinya... pertengahan tahun 2008 baru saya dapat apabila datang bersama seorang sepupu dan kawannya, itupun setelah pokok kelapa yang ada digoyang-goyangkan entah oleh siapa.

Sila lihat artikel lama Perjalanan terbaru ke Perak... Mencari makam Keramat Sungai Durian dan membuka sedikit taraf sebenar keluarga Laksamana Raja Mahkota! Semasa itu, ia kira perjalanan terbaru ke Perak leee.... sejak itu saya telah lebih 5 kali pergi.


Hutan belukar yang masih tebal di sini memaksa saya untuk menyuruh isteri menunggu di luar sementara saya cuba mencarinya...



Tengok-tengok, isteri saya turut mengekori masuk tidak lama selepas saya masuk ke dalam. Malah dialah yang menolong saya mencari balik kawasan makam...



Di sini terdapat beberapa buah makam yang diletakkan di dalam satu kepuk atau kawasan makam yang terkepung oleh batu-batu tembok. Kelihatan isteri saya menunjukkan arah pada makam utama, makam milik Keramat Sungai Durian @ Laksamana Toh Jambu. Tapi pemandangan agak terhalang oleh belukar...




Seperti di makam Marhum Durian Sebatang (lihat artikel Makam Keramat Kuala Bidor, Marhum Durian Sebatang dan sekitar Teluk Intan... ) kami membuat keputusan untuk membersihkan kawasan. Nasib baik parang tumpul saya kali ini lebih berkesan untuk menebas pokok-pokok kecil yang ada... mungkin sebab ia tidak begitu liat malah lebih kering. Kelihatanlah kepuk dan makam yang lebih terserlah...

Alhamdulillah, saya cukup puas hati dengan lawatan ke makam Keramat Sungai Durian kali ini. Ternyata kerisauan awal saya tentang bagaimana mahu mencari makam yang tersorok dalam belukar dengan membawa isteri yang sedang sarat mengandung sudah selesai. Syukur alhamdulillah kerana Allah SWT menganugerahkan seorang isteri yang mampu membantu dan menyelesaikan masalah.

Dalam artikel Ke Beting Beras Basah bersama isteri... nyaris tenggelam dalam selut daaa! yang dibuat lebih awal hari ini, saya ada menyebut...

Lawatan pertama saya ke Beting Beras Basah dibuat awal tahun 2007 kalau tak salah ingatan, selepas pertama kali menziarahi makam Laksamana Toh Jambu @ Keramat Sungai Durian di Sungai Durian sebelum bermalam di Kota Setia dan esoknya menyeberangi Sungai Perak menaiki bot dari Hujung Rintis untuk mendarat di Sungai Dulang. Ketika itu saya cuma berjalan kaki, menaiki bas atau hitch-hike menumpang kenderaan orang.

Maka itu saya rasa elok juga disusur balik perjalanan lebih 2 tahun lalu itu untuk ditunjukkan kepada isteri. Di atas adalah masjid tempat saya bermalam di Kota Setia dahulu. Sila lihat artikel Masjid (mosque of) Sungai Mangkuk, Kota Setia di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).

Ini pula adalah Sungai Perak dilihat dari tepian masjid...

Selanjutnya saya mengambil peluang untuk menziarahi kawasan perkuburan ini. Adapun dalam lawatan pertama ke Kota Setia lebih 2 tahun lalu, saya sekadar melepasi kawasan perkuburan apabila menaiki bas dari masjid terus ke jeti bot di Hujung Rintis. Semasa itu saya ada terlihat perkuburan dari dalam bas tetapi memikirkan betapa susahnya hendak mendapatkan kenderaan ketika itu sedangkan perkhidmatan bas pula cuma masuk 3 kali sehari gitu, saya tidak dapat menziarahinya.

Adapun sebab utama saya ke Kota Setia kerana teringat pesan almarhum Nenek tentang betapa kawasan ini ada kena-mengena dengan keluarga sebelahnya. Apabila saya menyebut pesan Nenek kepada Mak Uda iaitu adik kepada ayah, dia menyebut elok saya melawat tanah perkuburan di situ tetapi dia sendiri tidak tahu bagaimana atau apakah kena-mengenanya.


Lama juga saya termangu di perkuburan tidak pasti apakah yang mahu dicari. Akhirnya isteri saya mula menunjukkan, mungkin inilah makam yang ada kena-mengena. Saya pun menghadiahkan Al-Fatihah dan membacakan apa-apa ayat Al-Quran yang patut. Sambil itu saya teringat cerita orang di kedai hadapan masjid bahawa di satu bahagian Kota Setia di tepian Sungai Perak, orang pernah terlihat kota lama tiba-tiba muncul di tepian air.

Saya tidak tahu apakah cerita sebenar tentang Kota Setia. Dan setakat ini tiada siapapun dapat memberitahu saya tentangnya selain Nenek yang cuma memberikan sedikit hint atau petunjuk tentang kaitan tempat ini dengan keluarga.

Awal tahun, ketika menghadiri majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani dan Maulud Nabi di Masjid Negara (lihat artikel Majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani berserta Maulud Nabi di Masjid Negara dan percaturan politik terkini... ) saya terjumpa senaskah VCD bertajuk "Negeri Perak Kota Setia 1874-1875", satu-satunya naskah yang ada di sebuah gerai pasang-siap di sana. Terangsang oleh sifat ingin tahu, saya terus membelinya... walaupun peta pada kulit VCD meletakkan Kota Setia di tebing Sungai Dinding berhampiran Segari, bukan di tepian Sungai Perak seperti kedudukan Kota Setia yang memang ada di sebelah sini.

Apabila menonton VCD, ternyata penggambaran memang dibuat di tepian Sungai Perak. Cuma ceritanya rupa-rupanya adalah sebuah fiksyen berdasarkan perjuangan orang Melayu melawan Inggeris selepas berlaku Perjanjian Pangkor 1874, kata sesetengah orang, untuk menggantikan projek filem "Pasir Salak" yang terbengkalai. Maka nampaknya ia tidak boleh dijadikan petunjuk akan sejarah sebenar Kota Setia yang memang wujud di tepian Sungai Perak menghampiri ke kualanya.

Apapun di atas ialah gambar jeti di Hujung Rintis. Lihat artikel The Perak river from Hujung Rintis... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Dari jeti ini seseorang boleh mengambil bot menyeberangi Sungai Perak hingga ke Sungai Dulang. Laluan itulah yang saya gunakan dalam lawatan pertama ke sini awal 2007. Dari Sungai Dulang, saya menumpang motosikal orang hingga ke Bagan Datoh, kemudian mendapat kereta seterusnya motosikal hingga ke tepian Beting Beras Basah.


Di atas pula adalah jeti di tepian Sungai Bernam di Hutan Melintang. Lihat artikel Bernam river at Hutan Melintang... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Selesai di Hujung Rintis, saya dan isteri terus ke sana untuk melihat pemandangan Sungai Bernam yang agak meluas di situ.

Sebenarnya kami telah sampai di sini pada malam sebelumnya. Selepas melawat Beting Beras Basah, kami telah membuat satu pusingan jauh melawan arah jam mengambil jalan sejauh sekitar 40km, mungkin lebih gitu melalui Sungai Dulang dan kemudian nanti Sungai Tiang untuk mengelilingi 'semenanjung Bagan Datoh' yang terbentuk akibat diapit Sungai Perak di utara dan Sungai Bernam di selatan. Oleh kerana kami meninggalkan Beting Beras Basah selepas masuk Maghrib, maka kami cuma sampai ke Hutan Melintang selepas masuk waktu Isyak. Jadi tak dapatlah mengambil gambar sungai... itu yang kami datang lagi hampir waktu Maghrib, setelah selesai melawat tempat-tempat yang patut berdekatan Teluk Intan.

Oh. Tadi saya ada membaca kembali isi artikel Majlis hol almarhum Sheikh Abdul Qadir al-Jilani berserta Maulud Nabi di Masjid Negara dan percaturan politik terkini... . Baru saya tersedar bahawa saya pertama kali pergi ke majlis anjuran pihak Qadiriah ini sejak tahun 2007, seterusnya 2008 kemudian 2009. Terasa ia seolah-olah selari dengan lawatan pertama saya ke makam Keramat Sungai Durian dan Beting Beras Basah tahun 2007, diikuti lawatan 2008 dan terbaru 19 Julai 2009. Apakah ada kena-mengena? Rasanya macam ada... ada kena mengena juga dengan Nabi dan Sheikh Abdul Qadir al-Jilani.

Adapun lawatan saya ke Perak kali ini, dengan membawa isteri juga bertujuan untuk mendapat petunjuk tentang identiti sebenar Keramat Sungai Durian @ Laksamana Toh Jambu. Selain itu saya mahu mendapatkan kaitan lama antara Sungai Bernam dengan Sungai Perak. Selepas ini saya akan membuat sebuah artikel tentang lawatan ke Kampung Kota di seberang bandar Sabak Bernam. Semoga dengan selesainya siri penceritaan perjalanan ke Perak 18-19 Julai, Allah akan mengilhamkan saya dengan jawaban-jawaban kepada persoalan saya tentang semua ini.

p/s: Entah kenapa, 2 malam lepas saya ada mendapat gerak hati untuk mengaitkan Laksamana Toh Jambu dengan Sultan ke 17 Perak, Maulana Paduka Sri Sultan 'Ala ud-din Mansur Iskandar Muda Shah Khalifat ur-Rahman Sulong ibni al-Marhum Sultan Muhammad Shah Amanu'llah. Entah betul entah tak...

3 ulasan:

  1. Tok Jambu, bukanlah Keramat Sungai Durian. Keramat Sungai Durian adalah seorang perempuan. Tok Jambu "dinaikkan" sebagai "keramat Sungai Durian" oleh keturunan isteri kedua nya untuk menaikkan darjat nya semata, demi harta.....

    BalasPadam
  2. Hmm. Kalau begitu bagaimanakah ceritanya? Apakah perempuan yang dimaksudkan itu puteri Nakhoda Hitam?

    BalasPadam
  3. Kota setia penempatan arwah moyang saya.sebelum peperagan orgnputih dn org melayu..raja setia kosan.

    BalasPadam