Rabu, Julai 29, 2009

Mencari makam-makam lama malam-malam di Kampung Kota...

OK. Biar ditamatkan terus sahaja cerita-cerita berkenaan perjalanan ke Perak 18-19 Julai ya...




Ini adalah masjid di Kampung Kota, sebuah kampung kecil di Perak...


Ini pula adalah bangunan di jeti berhampiran...

Jeti ini membawa ke tepian Sungai Bernam...


Di tepian jeti terdapat kata-kata aluan yang menyebut Kampung Kota sebagai sebuah desa warisan. Apakah warisan yang dimaksudkan?


Kampung ini terletak cuma sekitar 300 meter sahaja dari bandar Sabak Bernam, kalau menyeberang Sungai Bernam yang menjadi sempadan negeri Perak-Selangor. Untuk pengetahuan, seluruh daerah Bernam pernah berada di dalam negeri Perak sebelum menjadi sebahagian dari Selangor. Saya mula mendapat tahu tentang kewujudan Kampung Kota apabila pertama kali bermalam di Sabak Bernam sekitar 2-3 tahun lalu.

Saya tak ingat bagaimana dan dari mana sebenarnya saya boleh sampai ke Sabak Bernam. Seingat saya ketika itu saya dalam penghujung perjalanan ke sekeliling Perak. Di Sabak Bernam saya telah bermalam di sebuah bangunan awam di tepian sungai. Di sebelahnya terdapat sebuah menara dan dari situlah saya dapat melihat Kampung Kota di seberang dan perkhidmatan bot ataupun feri yang membawa ke sana.

Keesokannya saya pun pergi ke Kampung Kota, sempat berehat sebentar dan bersolat di masjid sebelum kembali ke Sabak Bernam. Dalam perjalanan kali ini pula, perjalanan kedua ke Kampung Kota, saya sampai bersama isteri dengan menaiki kereta setelah singgah sebentar melihat Sungai Bernam yang lebih luas di Hutan Melintang. Kami mengambil jalan darat melalui simpang masuk terus ke kampung itu. Untuk pengetahuan, jalan darat yang menyambungkan Kampung Kota dengan Sabak Bernam jaraknya sekitar 10 km atau lebih!




Saya menggunakan lawatan kali ini untuk mencari makam-makam lama yang saya tahu wujud di sekitar ini. Dalam lawatan lalu saya tidak menemuinya. Kali ini, daripada orang-orang yang ditemui di jeti, baru saya dapat tahu makam-makam lama yang ingin dicari terletak sungguh dekat dengan masjid. Cuma keadaan begitu gelap malam itu maka saya harus menyuluh dengan lampu kereta...



Lihat tanah perkuburan yang disuluh...


Terserlah sebuah bangunan kayu makam...




Di dalamnya terdapat sepasang makam dengan batu-batu nesan berbalut kain kuning menandakan milik kerabat diraja...


Begitu juga di luar belakang makam...




Nampaknya ada lagi makam lain kerabat diraja...




Seterusnya kami pergi ke bandar Sabak Bernam lalu singgah di taman rekreasi tepian Sungai Bernam...




Saya masih ingat lagi di tepian itu terdapat papan maklumat yang tertera sejarah Sabak Bernam, ada kena-mengena juga tentang Kampung Kota. Malangnya lampu-lampu yang ada tidak dihidupkan lalu saya tidak dapat mengambil gambar yang cukup terang. Apapun, saya sudah membuat sedikit kajian melalui Internet. Biar saya copy and paste di sini...

Dengan ini kira tamatlah cerita perjalanan ke Perak baru-baru ini ya. Selepas ini saya akan melepaskan cerita perjalanan hujung minggu lalu ke empangan Talang di Negeri Sembilan dan sekitar sebelum ke Pulau Besar, Melaka. Kemudian baru cerita-cerita perjalanan ke Aceh bulan lalu dapat disambung. Sekian, selamat malam! :]

--------------------


Sejarah ringkas Sabak Bernam

Mengikut apa yang telah dapat dikumpulkan daripada orang-orang tua di Sabak Bernam, bahawa nama Sabak Bernam ini adalah berpunca dari perkataan 'Sahabat Berenam'. Menurut ceritanya, adalah diketahui bahawa terdapat seramai enam (6) orang yang bersaudara telah mudik ke hulu Sungai Bernam dan mereka dapati ada sebatang kayu yang tumbang dan menghalang laluan sungai. Mereka telah bertindak memotong kayu tersebut dan meneruskan perjalanan ke hulu sungai. Sungguhpun kesahihan cerita ini tidak dapat dibuktikan, namun terdapat sedikit sebanyak bukti yang berkaitan dengan Sahabat Berenam ini iaitu kubur-kubur mereka dikatakan masih boleh dijumpai hingga hari ini, iaitu di kawasan yang dikenali sebagai keramat-keramat berikut :

1. Keramat Pantai Landu;
2. Keramat Kemboja;*
3. Keramat Lubuk Pusing;
4. Keramat Sepong;
5. Keramat Keranji; dan
6. Keramat Teluk Rubiah.

Ke semua mereka dipercayai meninggal dunia di tempat yang berbeza dalam Daerah Sabak Bernam. Ada pendapat mengatakan, setiap seorang daripada mereka meninggal dunia di Ulu Bernam, Pantai Landu, Seberang Kota, Sungai Langat atau Tanjung Medan, Keranji dan Pantai Kampung Kemboja. Sebab kedatangan mereka pula tidak diketahui. Seorang daripada mereka yang tiba di Keranji telah dianggap pahlawan oleh penduduk kampung itu kerana membantu penduduk menentang orang-orang Aceh yang datang menyerang Keranji.

Menurut cerita yang lain pula, nama Sabak Bernam diperolehi daripada satu peristiwa iaitu pada tahun 1880, terdapat seramai enam(6) orang iaitu terdiri daripada bekas pembesar Aceh dan Sumatera yang telah meninggalkan negeri masing-masing dan datang ke Tanah Melayu ini. Mereka berenam yang merupakan golongan pembesar dan bangsawan dikatakan melarikan diri akibat peperangan yang berlaku di negara mereka. Mereka telah berpakat mengharungi Selat Melaka dan masuk ke kuala sebuah sungai,yang mana sebelum itu sungai tersebut masih belum ada namanya yang diketahui. Sungai ini kemudiannya dinamakan Sungai Bernam mangambil sempena jumlah enam (6) orang ketua yang menyertai pelayaran tersebut.Mereka kemudiannya telah mudik ke hulu sungai tersebut. Dalam perjalanan untuk bermalam, mereka telah berjumpa dengan satu tempat yang sedikit tinggi seperti busut, maka disitulah mereka membuat pondok untuk berteduh.Untuk memasak makanan, mereka telah menebuk tanah untuk dijadikan sebagai tungku dapur. Maka dapur daripada tanah itulah dipanggil sebagai 'Sabak' mengikut bahasa mereka.

Oleh yang demikian, mengambil sempena peristiwa memasak makanan dengan dapur yang diperbuat daripada tanah itu, maka kawasan itu diberi nama 'Sabak' dan kerana mereka pula ada berenam orang, sungai yang menjadi laluan tersebut dinamakan 'Sungai Bernam' dan tempat mereka tinggal pula dinamakam 'Sabak Bernam'. Menurut cerita lagi, mereka yang berenam itu terdiri daripada:

(i) Tuan Syed Ahmad;
(ii) Tuan Sharifah Intan/Mastura;
(iii) Tuan Sharifah Robiah;
(iv) Tuan Haji Salim;
(v) Datuk Dalang; dan
(vi) Datuk Menteri.

Menurut sejarah orang dahulu pula, Sabak Bernam dikatakan telah wujud sejak tahun 1720 yang mana di masa itu Sabak Bernam berada dibawah pemerintahan Raja Muda Perak yang bergelar Raja Inu. Semasa itu, Putera Sultan Ibrahim iaitu Sultan Selangor yang kedua dan memerintah dari tahun 1778 hingga 1826, yang bernama Raja Onus bersama kaum keluarga dan isterinya telah berpindah ke Sabak Bernam dengan seorang sahabat karibnya bernama Haji Ali yang juga membawa keluarga dan isterinya. Raja Onus telah memilih tempat tinggal di tebing Sungai Bernam iaitu di sebelah Negeri Selangor. Raja Onus mempunyai putera seramai lima (5) orang iaitu Raja Hitam, Raja Indut, Raja Mat Aris, Raja Abidin dan Raja Nordin.

Apabila Raja Onus meninggal dunia, maka puteranya yang sulung iaitu Raja Hitam dengan dipersetujui oleh semua saudaranya telah menggantikan tempat Raja Onus. Beliau telah memilih tempat tinggalnya di sebelah Negeri Selangor dan mendirikan kota yang dikenali dengan nama Kota Raja Hitam. Tempat tersebut pernah dikenali juga dengan nama Istana Hinggap Sultan Selangor.

Raja Hitam telah beristerikan seorang wanita bernama Dasimah dan mereka mendapat beberapa orang putera dan puteri iaitu Raja Tahir, Raja Ja'afar, Raja Nuteh, Raja Chik dan Raja Enson. Raja Tahir, Raja Ja'afar dan Raja Chik telah meninggalkan beberapa orang anak laki-laki dan perempuan. Apabila Raja Hitam menggantikan Raja Onus, maka Raja Hitam telah melantik saudaranya Raja Indut menjadi Majistret untuk membicarakan jika ada kes-kes untuk dibicarakan. Semasa pentadbiran Raja Hitam, Residen British Negeri Selangor telah beberapa kali memujuk Raja Hitam agar bersetuju supaya Sabak Bernam diletakkan di bawah pentadbiran Inggeris di Negeri Selangor, tetapi permintaan ini telah ditolak oleh Raja Hitam.

Pihak Inggeris tidak berputus asa dan telah menghantar pegawainya bernama Mr.Roger bagi memujuk Raja Hitam dengan memberikan janji-janji untuk kebaikkan anak cucu Raja Hitam pada masa akan datang. Akhirnya Raja Hitam telah berunding dengan saudara-saudaranya dan telah bersetuju meletakkan Sabak Bernam di bawah tadbiran Inggeris di Negeri Selangor. Residen British Selangor telah memberikan surat bercap mohor yang memberi jaminan kepada semua waris Raja Hitam.

Setelah Sabak Bernam diletakkan di bawah tadbiran Negeri Selangor, pada tahun 1876, dalam surat bertarikh 13 haribulan Ogos, Residen British Selangor Bernama Kapten Bloomfield Douglas telah menulis surat kepada Raja Hitam yang berbunyi seperti berikut: "Surat daripada Kapten Bloomfield Douglas Residen British Negeri Selangor kepada Raja Hitam ibni Al-Mahrum Raja Yunus di Sabak Bernam bertarikh pada 13 haribulan Ogos 1876 mengenai peraturan baru untuk mengadakan pegawai orang putih Edward Neubroner memegang jawatan Collector of Land Revenue (Pemungut Hasil) Magistrate Police Sabak Bernam." Dengan penerimaan surat tersebut, maka kuasa pemerintahan Raja Hitam di Sabak Bernam telah berakhir.

p/s: Selepas membaca betul-betul tulisan yang di copy and paste ini baru saya perasan, tiada apa-apa cerita tentang Kampung Kota. Apapun, seingat saya maklumat yang terdapat di taman rekreasi tepian Sungai Bernam ada mengaitkan pemerintahan di Kampung Kota dengan kaum kerabat Raja Onus @ Raja Unos @ Raja Yunus. Maka saya percaya makam-makam diraja yang ada disana adalah milik mereka, kaum kerabat diraja Selangor yang turut ada kaitan dengan kerabat diraja Perak.

3 ulasan:

  1. Dasimah bukan isteri raja hitam tetapi menantunya..dasimah berkahwin dengan raja rahmat bin raja hitam..anak-anak dasimah seperti di atas.. :)

    BalasPadam
  2. Baik. Terima kasih atas pembetulan ini.

    BalasPadam
  3. Kampung saya ni , kubu bgi raja2 dlu kata orang tua2 sebab tu di panggil kg kota

    BalasPadam