Khamis, Julai 30, 2009

Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - singgah di makam Tuan Tulis

Bersambung dari artikel Jalan hujung minggu Negeri Sembilan - dari Kajang ke Tanjung Ipoh...


Sejurus selepas memasuki simpang kiri di Tanjung Ipoh, terlihat pula sekawan lembu ini. Timbul rasa untuk mengambil gambar, tak tahulah kenapa. Isteri saya pula mengira... ada 9 ekor lembu kesemuanya. Terus saya teringat cerita Datuk Sempedang yang dikatakan telah mengetuai 9 buah keluarga yang berhijrah dari Pasai di Aceh lalu mudik Sungai Muar sehingga sampai ke Jempol, Negeri Sembilan. Sila lihat artikel-artikel lama Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam?

Semasa itu kami berada tidak jauh dari simpang ini. Hmm... rupa-rupanya banyak juga tempat bernama Serdang ya. Yang biasa saya tahu adalah Serdang di Selangor yang ada UPM. Kemudian baru saya teringat, di Kedah berdekatan Kulim juga ada tempat bernama Serdang. Teringat pula satu cerita lama yang berlaku di Kedah. Sila lihat artikel Kuala Ketil, Mastura dan Char Koew Teow...

Sejurus kemudian sampailah kami ke sini, Masjid Tuan Tulis...


Untuk makluman, di sini terdapat makam seorang wali besar yang dikenali sebagai Tuan Tulis...



Kali terakhir kami sampai adalah pada waktu malam 2 atau 3 minggu sebelum itu. Yang pasti ia adalah pada hujung minggu selepas saya dan isteri kembali dari Aceh. Hmm... oleh kerana kami kembali 22 Jun hari Isnin, maka seharusnya kami sampai ke makam ini pada 28 Jun sebab ia hari Ahad.

Adapun hari Jumaat pada minggu kembali dari Aceh itu, kami telah kembali ke Muar untuk bertemu keluarga. Hari Ahad kami pergi ke Gunung Ledang sebelum timbul rasa untuk ke Pengkalan Kota di Bukit Kepong seterusnya Segamat, masuk ke Jelai di Negeri Sembilan lalu ke Rompin, Bahau seterusnya Kampung Jambu Lapan untuk melihat pertemuan Sungai Muar dengan Sungai Jempol sebelum bersolat jamak Maghrib dan Isyak di Masjid Tuan Tulis.

Ketika itu makam ini berkunci sepertimana pada hari-hari biasa kecuali jurukuncinya ada di makam dan setahu saya kalau dia ada pun cuma siang hari. Dalam perjalanan hujung minggu ini pula ternyata makam tidak berkunci. Dapatlah kami melihat ke dalamnya lagi.



Ini adalah kali kedua saya masuk ke dalam makam bersama isteri. Kali pertama adalah sekitar setahun lalu. Sebelum itu saya pertama masuk ke sini 2-3 kali kalau tak salah ingatan. Tetapi setiap kali masuk saya masih terpegun melihat apa yang ada di dalamnya...



Manakan tidak. Berapa banyakkah makam atau kuburan yang mempunyai tanah membusut seperti ini? Tanah yang menurut cerita sesetengah orang adalah tanah suci dari Mekah!




Kalau nak fikir pakai akal logik, guarantee tak masuk akal. Bagaimana tanah dari Mekah boleh ada kat sini? Tapi Tuan Tulis dikenali sebagai wali yang banyak karamah. Kalau tak salah ingatan beliau boleh melangkah dari Negeri Sembilan ke Mekah dalam sekelip mata!



Apapun, kali ini saya tergerak untuk mengambil beberapa gambar makam dari sudut berlainan. Bandingkan dengan gambar-gambar yang diletakkan pada artikel Makam (Tomb of) Tuan Tulis di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tahun lepas.





Kali ini juga baru saya terlihat batu nesan bahagian kepala yang turut dipenuhi busut. Dan kali ini timbul rasa bahawa Tuan Tulis mempunyai kaitan dengan Datuk Sempedang yang datang ke Jempol lebih 600 tahun lalu. Mungkin kerana kali ini perjalanan ke Negeri Sembilan dibuat untuk dikaitkan dengan hulu Sungai Muar?

3 ulasan: