Jumaat, Mei 22, 2009

Perjalananan terbaru ke Muar dan Ledang... ada kena-mengena ke dengan Ahlul Bait?

Ini adalah gambar Gunung Ledang diambil dari pekan Sagil pada waktu senja.


Gambar yang lebih dekat...

Ini pula gambar suasana langit merah dalam perjalanan menghala ke bandar Muar. Untuk pengetahuan, baik Sagil mahupun Gunung Ledang dahulunya terletak di dalam daerah Muar. Tetapi baru beberapa tahun ini daerah Muar dipecah dua dengan bahagian utara dari Sungai Muar dijadikan daerah baru dipanggil Ledang.

Adapun gambar-gambar in diambil pada petang Jumaat lepas masuk malam Sabtu. Inilah pertama kali saya kembali ke Muar tahun ini. Sudah enam bulan saya tidak kembali ke kampung ibu, daerah kelahiran saya dan kali terakhir saya ke Muar adalah pada Disember tahun lepas sejurus selepas kembali berumah-tangga.

Dalam tempoh enam bulan ini, saya dan isteri cuma bertemu ibu dan ayah di sekitar Kuala Lumpur apabila mereka bertandang ke sini, sekali di Pahang kemudian bersama pergi ke Perak. Kami kembali kali ini untuk memenuhi permintaan mereka agar dapat menghantar mereka pagi Isnin dari Muar ke lapangan terbang KLIA untuk menunaikan umrah di tanah suci Mekah. Kalau tak salah ingatan, ini adalah kali ke 6 atau 7 mereka ke sana. Isteri saya sanggup mengambil cuti kerja agar dapat bersama menghantar hari Isnin.

Oleh kerana saya dan isteri sudah lama tidak ke Muar, saya rasa elok juga kalau kami tidur di sana 3 malam. Untuk itu, kami perlu berlepas petang Jumaat sebaik sahaja isteri tamat waktu kerja lalu sempat sampai ke kawasan tol Tangkak sejurus sebelum waktu senja. Itu yang timbul rasa untuk bertandang ke Gunung Ledang sebentar, kali pertama saya pergi bersama isteri.

Cukuplah setakat dapat bermain-main air di bahagian bawah gunung kerana kami sampai ke sana waktu senja. Lagipun kali terakhir saya ke Gunung Ledang adalah lebih setahun lalu iaitu pada awal tahun lepas. Teringat pula artikel Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama...

Ada orang bertanya kenapa sudah lebih seminggu saya tidak membuat apa-apa posting baru. Jawabnya saya sibuk dengan beberapa perkara. Selepas selesai menghantar ayah dan ibu ke lapangan terbang saya dan isteri berehat di Kajang 2 malam dan langsung tidak menghadap Internet.

Saya juga ada satu kerja penting yang perlu diselesaikan kalau boleh sebelum tengah bulan Jun. Nantilah, satu masa yang sesuai baru saya cerita. Di sini saya ingin meletakkan satu pengumuman yang diterima melalui e-mail. Insyaallah esok akan saya cuba hadiri acara yang disebut dalam e-mail itu, anda semua turut dijemput sama. Untuk makluman, ini adalah artikel ke 505 di sini. Selamat malam! :]

AHLULBAIT: PERANAN DAN TANGGUNG JAWAB

Salam semua,para jemaah dan ahli forum semua dijemput menghadiri sesi ceramah serta menimba ilmu di Program Anjuran Persatuan Keluarga Jamalullail Perak Malaysia. butiran adalah seperti berikut:

program: Majlis Ilmu

tajuk: AHLULBAIT: PERANAN DAN TANGGUNG JAWAB

tempat: Masjid UKM Bangi

tarikh: 23 hb Mei 2009

masa: pukul 2 petang

penceramah: Yang Mulia Ust. Syed Hassan Al Attas (Habeb Hassan Aceh)

no untuk dihubungi: 016 244 3539 (Abdullah Jamalullail) 019 337 3743 (Abu Hassan Jamalullail)


2 ulasan: