Selasa, Mei 26, 2009

Mari kita bantu baik pulih Dewan Tok Kenali sampai siap! Amacam?



Assalamualaikum para pembaca, saudara dan saudari yang dimuliakan sekalian. Ini ada satu cerita dan pengumuman. Dalam artikel Salam daripada Kota Bahru, Kelantan! Salam Tok Kenali? yang dibuat lebih setahun lepas, saya ada menulis:

Ketika bermalam seorang diri di Masjid Tok Kenali, baru saya sedar betapa masjid itu memerlukan dana untuk memperbaikinya. Malam itu hujan sangat lebat dan ternyata bumbung masjid bocor di beberapa tempat.

Di sini, ingin saya ambil kesempatan membuat pengumuman... Kepada mana-mana insan mulia yang ingin memberikan sumbangan demi memastikan kesinambungan sebuah warisan peninggalan ulamak Melayu bertaraf wali, boleh hubungi Ayah Man @ Haji Lokman bin Ahmad bin Muhammad Yusuf (nama sebenar Tok Kenali) di talian 012-9540237 dan 09-7654666. Boleh juga datang sendiri mencarinya dan ahli keluarga di Dewan Tok Kenali, Pondok Tok Kenali, Lorong Tok Kenali, Jalan Tok Kenali, 16150 Kota Bahru, Kelantan. Sila! :]

Lebih kurang 2 minggu lepas, ada orang meninggalkan pesan dalam ruangan chatbox di blog dwi-bahasa saya SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Katanya dia baru sahaja kembali dari menziarahi makam Tok Kenali di Kelantan dan ada berjumpa dengan cucu Haji Lokman @ Ayah Man. Katanya Ayah Man meminta agar saya dapat menghubunginya. Saya tidak tahu untuk apa tetapi saya kemudian menjawab insyaallah akan berbuat begitu.

Hari demi hari berganti dan saya sibuk dengan pelbagai hal lain hingga terlupa langsung tentang itu. Tetapi sebagai seorang Islam, saya harus mengotakan kata lalu sehari dua ini cuba menghubungi Ayah Man melalui nombor telefon bimbitnya yang ada disimpan di dalam telefon bimbit saya. Malangnya yang kedengaran cuma nada dering seperti telefon dalam silent mood gitu diikuti pesanan peti suara. Saya cuba lagi hingga beberapa kali dan itu juga yang berlaku. Akhirnya saya pun melupakan hasrat mahu menghubungi Ayah Man.

Pagi tadi sebelum masuk kerja tiba-tiba isteri saya menelefon seseorang dari rumah. Kedengaran dia menyebut nama Haji Lokman dan saya yang ketika itu sedang terbaring letih terus dapat merasakan isteri saya dapat menghubungi Ayah Man! Rupa-rupanya dia teringat tentang kertas bertulis nombor telefon cucu Tok Kenali itu yang turut mengandungi nombor telefon rumahnya lalu mencarinya di sebuah bilik atas yang dijadikan stor sedikit barangan. Itulah kertas yang gambarnya dipaparkan di atas. Anda boleh membesarkannya untuk melihat apa yang tertera termasuk sebuah doa panjang-lebar yang katanya diamalkan Tok Kenali setiap kali selepas solat lima waktu.

Kedengaran isteri saya memperkenalkan diri lalu menyebut nama saya dan pesanan yang ditinggalkan orang di chatbox SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) agar saya menghubunginya. Alhamdulillah, Ayah Man terus ingat apabila disebut saya seorang penulis berasal dari Muar yang pernah beberapa kali pergi ke makam dan masjid Tok Kenali, kedua-duanya di Kubang Kerian, Kota Bahru, Kelantan. Rupa-rupanya telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi kerana katanya selalu ditutup apabila dia berada di rumah. Ayah Man terus meminta nombor telefon bimbit saya. Tidak lama kemudian telefon itupun berdering...

Melihat nombor 09 yang tertera di paparan, saya terus menyebut nama Ayah Man sebaik sahaja kedengaran suara di telefon. Terus kami berbual lalu dia menceritakan bahawa baru-baru ini telah datang seorang pengunjung dari Muar ke tempatnya lalu memberi sumbangan dana peribadi yang agak besar, kalau tak salah ingatan sekitar RM70,000 gitu! Kata Ayah Man, orang itu ialah seorang ahli korporat. Dia mendapat tahu yang pihak anak cucu Tok Kenali memerlukan bantuan untuk memperbaiki Dewan Tok Kenali setelah terbaca mengenainya di dalam blogspot saya.

Ayah Man lalu mengucapkan terimakasih kepada saya. Saya pula bertanya apakah sumbangan itu sudah cukup untuk membuat kerja baik-pulih yang diperlukan. Jawabnya masih belum cukup, masih memerlukan lagi RM280,000 lagi kerana belanjawan penuh yang perlu dipakai untuk segala kerja baik-pulih adalah RM350,000. Itu yang membuat saya mahu membuat satu cerita baru dalam blogspot ini, untuk memaparkan keperluan itu agar ada sesiapa sudi lagi meringankan beban samada dengan sumbangan wang atau apa-apa sumbangan lain yang dapat membantu. Moga-moga diberkati Allah, apalagi dengan berkat dan karamah Tok Kenali yang cukup terkenal kewaliannya di Tanah Melayu.

Dengan itu saya berharaplah para pembaca yang berkemampuan sudi-sudi menghulurkan bantuan untuk pihak mereka. Saya ulangi sekali lagi pengumuman yang pernah dibuat dalam artikel Salam daripada Kota Bahru, Kelantan! Salam Tok Kenali? Kepada mana-mana insan mulia yang ingin memberikan sumbangan demi memastikan kesinambungan sebuah warisan peninggalan ulamak Melayu bertaraf wali, boleh hubungi Ayah Man @ Haji Lokman bin Ahmad bin Muhammad Yusuf (nama sebenar Tok Kenali) di talian 012-9540237 dan 09-7654666. Boleh juga datang sendiri mencarinya dan ahli keluarga di Dewan Tok Kenali, Pondok Tok Kenali, Lorong Tok Kenali, Jalan Tok Kenali, 16150 Kota Bahru, Kelantan.

Biar ditambah di sini, jika anda tidak mampu menghulurkan wang, maka tolonglah dengan sekurang-kurangnya menyampaikan hal ini kepada sesiapa sahaja yang anda kenali. Kalau anda tak tahu bagaimana mahu memulakan bicara tentang ini, maka copy dan sampaikan sahaja artikel ini. Semoga dengan itu ia dapat sampai kepada orang-orang yang memiliki kemampuan lalu bersedia untuk menghulurkan tangan.

Sebenarnya saya bercadang untuk meletakkan pengumuman ini sebagai tambahan bagi sebuah artikel baru yang ingin ditulis nanti, berkenaan satu majlis mengenai peranan Ahlul Bait yang dihadiri hujung minggu lalu. Tetapi biasalah saya, saya cuma akan dapat menulis sesuatu apabila telah menyelesaikan suatu turutan kerja. Untuk saya dapat menulis itu, saya harus memulakan dahulu satu kerja sukarela penterjemahan artikel yang telah dijanjikan atas permintaan seorang pendakwah yang baru dikenali semasa majlis itu. Dan saya juga harus melepaskan dahulu satu lagi artikel berkenaan An-Nur yang mahu ditamatkan terus kalau boleh hari ini juga.

Masalahnya kerja membuat artikel-artikel ini memakan masa selain saya ada kerja penting lain yang seminggu dua ini sungguh membuat saya amat keletihan dan sakit-sakit kepala. Oleh itu elok dilepaskan dahulu cerita mengenai Ayah Man dan permintaan bantuan dana untuk membaik pulih Dewan Tok Kenali ini. Nanti bila saya dah buat artikel lain lalu artikel ini 'terturun' ke bawah, akan saya letak bahagian pengumumannya di bawah slide sebelah chatbox agar dapat dilihat pengunjung sampai selama mana yang perlu, insyaallah. Untuk memberi sedikit mood, elok juga diletakkan links untuk beberapa artikel lama yang ada melibatkan nama Tok Kenali di sini.

Hmm... baru teringat. Buku terbaru saya "Rumah Azan" yang baru diterbitkan sebulan ini oleh syarikat Karnadya dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka turut memaparkan sebuah cerita bergambar tentang Masjid Tok Kenali, ada gambar makam juga madrasah beliau sekali. Sila lihat artikel Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC . Ia boleh didapati di kedai-kedai buku terpilih MPH, Popular Bookstore, Books Kinokuniya dan satu dua rangkaian kedai lain, jika ada stok le. Sekarang baru saya boleh makan pagi. Sekian buat masa ini! Sila le jenguk-jenguk cerita lama di bawah...

p/s:
Baru sekejap tadi terfikir, dalam parti PAS kini sibuk mahu memilih pemimpin-pemimpin baru, apa kata calon-calon pemimpin tertinggi turun padang membuat sumbangan membaiki Dewan Tok Kenali? Dari sibuk-sibuk bercerita tentang politik wang, elok juga wang itu 'dipolitikkan' untuk membela sebuah institusi lama agama yang pernah menaikkan nama Kelantan ke seluruh Nusantara. Sekurang-kurangnya ada le juga berkat... kecuali duit yang dimiliki datang dari sumber haram. Tentu Tok Kenali tak mahu terima wooiii! :]

2 ulasan: