Assalamualaikum semua. Entah kenapa, seminggu dua kebelakangan ini saya rasa kurang sihat dan kurang cergas. Perjalanan untuk ke Pantai Timur yang sepatutnya dibuat hujung minggu lepas telah ditunda ke hujung minggu ini... mintak-mintak jadi le sebab masa semakin suntuk untuk menyiapkan segala kerja berkaitan projek terbaru untuk penerbitan coffee-table book atau buku mewah mengenai masjid yang sedang diusahakan, yang kini telah dibuat bahagian selatan seperti disebut dalam artikel-artikel berikut...
OK. Sebenarnya saya mahu meluahkan sesuatu sebelum dapat menyambung kerja. Adapun tadi, akibat terasa kurang sihat, saya telah tidur selepas Maghrib, masuk jam 11 malam baru terbangun dengan niat mahu mengolah-kembali penulisan awal yang telah saya buat untuk projek buku masjid ini. Sebaliknya saya 'disedut' untuk melihat perkara-perkara lain di Internet sebelum mandi, bersolat Isyak dan makan sedikit. Kemudian timbul pula rasa untuk melepaskan rasa bercerita sedikit agar dapat pula gerak penulisan-balik untuk isi cerita masjid itu nanti? Wallahuhalam.
Apapun, saya sempat membuat 2 postings baru di blogspots saya yang lain. Lihat artikel A visit to Templer's Park di BERPETUALANG KE ACEH dan di Masjid Negara (the national mosque) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Dan kini saya terasa mahu membuat beberapa postings di sini berdasarkan penceritaan asal yang telah saya buat untuk projek buku tersebut.
Hmm... elok juga dilepaskan sedikit rasa yang terbuku. Mungkin ia boleh membantu.
Sebenarnya selain tubuh-badan kurang sihat akibat penat bekerja dan melayan pelbagai perkara terus-menerus 2 minggu lepas berserta gangguan-gangguan biasa terutama bersifat batiniah yang cuba menghalang perjuangan peribadi saya berkenaan mendaulatkan makna sebenar Melayu dan Islam, saya sebenarnya terasa ketidak-hadiran Nur pertama. Ah... biar saya luahkan sahaja ya. Harap Nur kedua faham.
Sejak satu pergaduhan yang muncul entah kenapa (tiba-tiba jadi panas sahaja) 2 minggu lalu kemudian saya menyatakan akan melangsungkan perkahwinan dengan Nur kedua, Nur pertama terus menyepi tanpa berita. Hakikatnya, saya harus memilih dan saya telah pun memilih Nur kedua yang lebih banyak menolong saya dalam susah dan senang setahun kebelakangan. Tetapi Nur pertama tetap amat bermakna dan saya harap kami terus dapat berkawan seperti dahulu.
Itu luahan pertama. Sekali lagi, harap Nur kedua faham. Saya tetap menyayangi kamu dan mahukan kamu menjadi isteri. Walaupun mungkin Nur pertama mahu memutuskan terus hubungan, walaupun ada masanya saya tetap marah dengan keadaannya yang terlibat dengan dunia politik atasan yang pada saya penuh dengan taik-taik pembohongan jual bangsa, agama dan negara, saya sebenarnya rasa terhibur apabila mereka berdua berhubungan bertanyakan khabar. Tetapi kini entah apa jadinya sejak dapat tahu saya dan Nur kedua akan melangsungkan satu ikatan.
Luahan kedua pula. Semangat saya untuk membuat projek buku masjid ini sebenarnya sedikit terganggu. Saya begitu bersemangat mahu menyiapkan segalanya seboleh-boleh sebelum tamat bulan ini tetapi jurugambar saya pula sering ada hal lain yang menunda perjalanan, itupun diberitahu selepas beberapa waktu. Memang saya ada pilihan untuk meneruskan kerja dengan jurugambar lain. Tetapi mungkin ini juga ujian kesabaran untuk saya kerana ia juga melibatkan satu persahabatan yang telah dijalin sejak zaman kolej lagi. Allah!
Luahan ketiga. Semangat saya dalam projek ini juga sedikit terganggu kerana diminta menukar cara bercerita dan penekanan yang diberikan. Saya akur, ini hak pihak penerbit kerana ia adalah buku terbitan mereka, maka seharusnya sayalah yang menurut selera serta pemahaman mereka. Mungkin saya ini yang terlalu 'taksub' untuk menceritakan hal-hal yang melibatkan makam-makam sedangkan seperti disebut pihak penerbit, ini mungkin boleh menjadi 'phobia' bagi pihak lain.
Saya juga diminta untuk menukar cara bercerita dari cerita ala kembara yang saya siapkan hampir 2 minggu lepas menjadi bentuk dokumentari. Saya juga akur tentang ini. Memang sepatutnya ia dibuat begitu agaknya. Apapun akan saya ubah mana yang patut sebaik sahaja selesai meluahkan apa yang terbuku. Maka itu biar saya letak bab mukadimah untuk projek buku itu seperti yang saya beri hampir 2 minggu lalu. Ini dia...
-----------------------------------------
Mukadimah
Apabila ... (maaf, perlu dirahsiakan) menghubungi awal Ramadhan meminta saya menyertai satu projek penerbitan coffee-table book, buku mewah baru tentang masjid-masjid di Malaysia, saya jadi teruja. Sejak berhenti menjadi wartawan akhbar The New Straits Times penghujung 2001, saya selalu mengembara lalu sering bermalam di masjid-masjid. Maka tidak sukar untuk menterjemahkan pengalaman itu menjadi satu siri cerita yang bermakna. Lagipun sejak penghujung 2006, saya ada menjalankan sebuah laman blog dwi-bahasa yang mengenengahkan masjid-masjid juga surau-surau yang dilawati dalam pengembaraan berserta gambar-gambar. Artikel-artikel hasil tulisan sendiri yang dipaparkan (lebih 180 kesemuanya) sudah cukup mantap untuk dijadikan bahan cerita.
Saya diberi kebebasan penuh untuk menentukan arah cerita, isi dan masjid mana. Oleh kerana .... (pihak yang menghubungi) ada memberitahu ... (syarikat penerbitan) baru sahaja mengambil beberapa gambar Masjid Tengkera di Melaka, timbul satu ilham. Apa kata diambil pendekatan penceritaan sejarah sekitar dan sebalik masjid? Ini kerana Masjid Tengkera yang dikatakan dibina 1728 Masihi bukan sahaja salah satu masjid terawal yang masih wujud di Malaysia, di perkarangannya terdapat makam Sultan Hussin Shah yang memerintah bahagian utara empayar Johor-Riau-Lingga 1819-1835.
Untuk makluman, empayar Johor-Riau-Lingga adalah tinggalan empayar Melaka setelah pusatnya dahulu di kota Melaka ditawan Portugis 1511. Sejak itu empayar besar Melayu ini mula berpusat di sekitar selatan Semenanjung. Zaman Sultan Hussin Shah pula menyaksikan empayar itu dipecah dua melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, satu situasi yang bakal mewujudkan negara-negara Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Sebagai peminat sejarah yang sayangkan bangsa, saya melihat projek penerbitan ini sebagai satu peluang untuk mengenengahkan apa yang berlaku untuk dijadikan iktibar. Masjid-masjid tertentu yang memiliki sejarah berkaitan boleh dijadikan pelonjak cerita. Tetapi sebaik sahaja memulakan langkah ke masjid terpilih pertama satu petang Jumaat, timbul kesedaran – penceritaan dari sudut sejarah semata mungkin kurang memberangsangkan. Lebih baik cerita dibuat dari sudut pengembaraan. Kemudian di celah-celah itu baru diketengahkan sejarah.
Ya, pendekatan ini lebih menarik malah lebih mudah dan ‘semulajadi’. Jika pengolahan menurut perspektif sejarah semata memerlukan bab dan masjid diatur menurut era misalnya masjid-masjid abad ke 18 diikuti abad ke 19 sedangkan masjid yang terlibat mungkin terletak amat jauh satu sama lain, pendekatan kembara membolehkan saya bercerita menurut masjid yang dilawati dari hari ke hari. Dengan ini, pembaca boleh turut mengembara sama santai. Insyaallah, sejarah yang bermakna juga dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
Tajuk ... (tajuk buku juga harus dirahsiakan) membawa maksud yang sangat luas. Lihat panggilan azan... selepas pernyataan “Allah maha besar” diikuti penyaksian dua kalimah syahadah, kita diajak bersolat lalu menuju kejayaan. Untuk menuju kejayaan, kita harus mengambil iktibar daripada apa yang pernah berlaku di masa silam. Sebab itu Al-Quran itu sendiri dipenuhi kisah-kisah masa lalu, maka bersedialah kita untuk mengambil pelajaran. Wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan