Bersambung daripada artikel Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian IV).
Kebetulan wasiat mengenai Samudera itu disempurnakan anak cucu Nabi sendiri dan orang-orang terdekat dengan baginda. Misalnya Sharif Mekah yang menitahkan Sheikh Ismail supaya pergi mencari negeri Samudera untuk melaksanakan wasiat itu.
Tahukah anda siapa itu Sharif atau Raja Mekah? Kalau hendak tahu kajilah sejarah awal Islam dalam-dalam! Mereka ini adalah keturunan anak cucu Nabi daripada sebelah Saidina Hassan...
Selepas keKhalifahan Islam jatuh ke tangan Bani Umaiyah, kekuasaan ke atas Mekah telah ditarik-balik daripada Bani Hashim iaitu kaum kerabat Nabi yang telah berkurun-kurun menjadi penguasa Mekah, bermula dengan moyang mereka Nabi Ismail AS yang menemui telaga Zam-zam. Penindasan demi penindasan terhadap anak cucu Rasulullah SAW diteruskan pula oleh para pemerintah Bani Abbasiyah yang berjaya menjatuhkan keKhalifahan Bani Umaiyah abad ke 8 Masihi, selepas mendapat sokongan rakyat dengan memakai nama seorang anak cucu Saidina Hassan bernama Muhammad Nafs Al-Zakiyah, kononnya untuk diangkat sebagai Khalifah pertama berketurunan Nabi selepas Saidina Hassan dijatuhkan oleh Muawiyah.
Tetapi penguasaan pemerintahan Bani Abbasiyah terhadap wilayah-wilayah Islam yang semakin membesar akibat penaklukan demi penaklukan yang berterusan tidak sekuat cengkaman Bani Umaiyah dahulu. Tidak lama selepas memegang tampuk kekuasaan, beberapa wilayah telah melepaskan diri lalu menerbitkan keSultanan-keSultanan sendiri. Apapun, kecuali dua tiga pihak yang ingin mendirikan daulah bebas malah bersaing pula sebagai keKhalifahan sendiri seperti Daulah Fatimiyah di Mesir, mereka masih menerima keKhalifahan Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad sebagai penaung seluruh umat Islam walaupun hanya sebagai lambang.
Sekitar abad ke 13 Masihi, telah terjadi satu kekacauan besar akibat pergolakan politik di Mekah. Rakyat yang tidak senang dengan keadaan ini telah meminta seorang pembesar berketurunan Saidina Hassan bernama Qitada untuk campur tangan menenangkan keadaan. Lalu pembesar yang berpusat di Yanbu ini telah mengarahkan anak-anaknya untuk membawa sebuah angkatan untuk menawan Mekah.
Sejak itu, kota suci inipun jatuh ke bawah kekuasaan keturunan Saidina Hassan yang juga merupakan cabang keturunan Bani Hashim. Mereka mendapat pengiktirafan Bani Abbasiyah sebagai khadamul haramaian atau penguasa dua kota suci Islam, Mekah dan Madinah lalu mula memakai gelaran Sharif di pangkal nama, seperti yang pernah digunakan nenek-moyang mereka Bani Hashim yang memerintah Mekah dahulukala. Maka timbullah gelaran bangsawan yang dikenali sebagai Sharif Mekah...
Ada pihak percaya, Sharif Mekah mendapat tahu tentang kewujudan Samudera daripada para jemaah haji Nusantara yang datang ke Mekah. Tetapi tidak dapat dipastikan daripada manakah baginda mendapat wasiat Nabi mengenai negeri itu, apakah ia melalui keluarganya daripada jalur keturunan Saidina Hassan atau ada pihak lain yang menyimpan wasiat itu lalu menyampaikannya apabila sampai masanya...
Apapun, sudah ditakdirkan negeri Samudera yang diasaskan Sultan Malikus Salih sekitar tahun 1250an (ada yang kata awal 1260an) muncul beberapa tahun selepas Mekah mula diperintah keturunan Saidina Hassan. Maka wasiat Rasulullah SAW inipun disempurnakan Sharif Mekah seperti yang diceritakan di dalam Hikayat Raja-raja Pasai.
“Kamu tahu tak, selain Sharif Mekah, wasiat itu juga disempurnakan oleh seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad yang sanggup turun takhta menjadi fakir semata-mata untuk turut serta menjalankan amanah Nabi?” Rasyid masih cuba meyakinkan Badrul. “Ini diperkuatkan dengan kehadiran Sultanul Ariffin, Sultan orang-orang arif iaitu Sheikh Ismail yang diketahui memiliki nasab keturunan Saidina Hassan daripada sebuah jurai yang amat diagung-agungkan dalam dunia pengajian Tasawuf dan orang-orang Sufi iaitu keturunan Sultanul Awliya, raja para wali Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!”
“Bukankah ini menunjukkan Sultan Malikus Salih itu sendiri mempunyai hubungan kekerabatan ataupun pertalian kerohanian yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW?” dia bertanya pula. “Kalau tidak mengapa wasiat mengenai Samudera ini disempurnakan dua orang bertaraf Sultan daripada keturunan Nabi melalui Saidina Hassan iaitu Sharif Mekah dan Sheikh Ismail, ditambah dengan kehadiran seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, sahabat karib Nabi dan Khalifah pertama seluruh umat Islam? Bukankah ini satu pengiktirafan yang kuat?”
“Mereka juga disuruh membawa perkakas dan alat-alat kerajaan daripada Mekah untuk menabalkan Sultan Malikus Salih menurut adat pertabalan Raja-raja Islam,” pemuda itu menyambung. “Apakah ada raja lain di Nusantara atau mana-mana pun yang pernah menerima pengiktirafan sebegini?” katanya lalu merenung tepat muka rakan itu.
Badrul sudah tidak terkata apa lagi. Walaupun apa yang diceritakan kawan lama ‘sepermainan’ di London itu memang menarik perhatian, bekas ustaz ini kurang senang kerana kaitan segala persoalan ini dengan sebuah wasiat Nabi yang tidak dapat dipastikan kesahihannya...
“Lantak kamulah,” jawabnya agak kasar. “Aku sudah beritahu setakat yang boleh mengenai hadis dan penerimaannya. Sebagai kawan, aku cuma hendak ingatkan kamu... Berhati-hatilah jika menulis tentang ini. Jangan sampai menimbulkan kontroversi. Takut kamu juga yang susah nanti!”
Rasyid tersenyum nakal. Tahu pensyarah ini mula meluat...
“Oh... Nanti dulu!” tiba-tiba Badrul terfikir sesuatu lalu bertanya: “Apa kamu nak jawab jika orang ramai bertanya bagaimana pula wasiat Nabi yang tidak wujud dalam sumber lain boleh muncul dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai? Mungkin kamu boleh mengenepikan nasihat aku tetapi apakah alasan kamu di hadapan beribu, mungkin berjuta umat Islam nanti?”
Nampaknya rakan ini juga tidak mahu mengalah. Maklumlah, bekas ustaz sekolah menengah kemudian pensyarah pengajian ilmu wahyu universiti terkemuka tanahair. Dan sebagai seorang graduan Universiti Al-Azhar yang memiliki Masters dan PhD dari universiti terkemuka London, sudah tentu dia juga memiliki ego yang mahu dipertahankan...
Rasyid telah menjangkakan lambat-laun soalan sebegini pasti akan timbul juga. “Seperti dihuraikan awal tadi, kemungkinan wasiat ini tidak pernah disiarkan kepada umum, cuma berlegar di sekitar keluarga anak cucu Nabi sahaja memang ada... Pergolakan politik Islam di Timur Tengah pula menyebabkan ramai Ahlul Bait dan para penyokong mereka melarikan diri ke Nusantara, khususnya bumi Serambi Mekah di mana mereka diterima baik malah diangkat sebagai raja dan para penguasa. Maka apalah yang hendak dihairankan jika wasiat ini akhirnya diabadikan dalam Hikayat Raja-raja Pasai, (kemudian Sejarah Melayu)? Lebih-lebih lagi selepas ia selamat disempurnakan dengan kemunculan kerajaan Samudera yang diasaskan Sultan Malikus Salih abad ke 13 Masihi?”
Sekali lagi Badrul menggeleng-gelengkan kepala. Ada-ada sahaja jawaban rakannya itu. Tanya begini jawabnya begitu, tanya begitu dia dok pusing corner ikut jalan lain pula. Susah... “Inilah jadinya kalau sudah genius sangat, “getusnya dalam hati. “Tak kuasa aku hendak melayan lagi. Asyik nak menang sahaja. Macamlah dia saja yang betul...”
Rasyid dapat menduga apa yang bermain di fikiran bekas ustaz itu. Dia tahu walaupun Badrul berfikiran luas, dia amat berhati-hati apabila bercakap apa-apa perkara berkenaan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi. Maka tidak hairanlah pensyarah itu susah hendak menerima kenyataannya tentang wasiat Nabi yang menyentuh negeri Samudera selagi tidak ada bukti tentang kewujudannya daripada kitab-kitab para ulamak muktabar. Apapun, anak muda ini telah cuba mendapatkan second opinion daripada orang yang berkelayakan dalam bidang agama dan mempunyai ilmu hadis seperti yang disarankan Nasri. Sekarang sampailah masanya untuk mengupas lebih lanjut tentang peristiwa-peristiwa berkaitan wasiat itu. Tetapi bukan dengan Badrul lagi, rasanya lebih elok dengan Nasri...
Oh... Hampir terlupa... Apahal pun, berdamailah dulu dengan si Badrul ni... Takkanlah sebab wasiat Nabi, kawan bertukar jadi lawan pula?
“Ada pengkaji menganggap pertabalan Sultan Malikus Salih ini tidak lebih daripada pengiktirafan kerajaan Mekah terhadap Samudera.” Nasri memberikan pandangan dalam perjumpaan terbaru mereka. “PengIslaman negeri Samudera pula dianggap sekadar pertukaran mazhab daripada Syiah kepada Shafie. Kerana Mekah dikatakan telah lama menjunjung Mazhab Shafie sedangkan kajian rasmi sejarah menyebut, negeri-negeri di Sumatera sudah lama memeluk agama Islam versi Syiah.”
“Contohnya, keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi dirajai Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah, cicit kepada Imam Ja’afar Al-Sadiq yang dikultuskan sebagai salah seorang imam maksum Syiah,” lulusan Undang-undang dari England ini mempamerkan pengetahuan. “Selain itu, telah muncul beberapa penempatan awal Islam seperti Barus di pantai barat Sumatera yang juga dikatakan sejarawan telah diterajui golongan Syiah, para penyokong kepimpinan Saidina Ali dan Ahlul Bait. Maka itu tidak hairanlah jika kerajaan-kerajaan di Sumatera dahulu dikatakan menganut fahaman Syiah lalu perlu ditukarkan mazhab. Lebih-lebih lagi kerana kerajaan Mekah pimpinan para Sharif anak cucu Saidina Hassan mahukan penganut Islam bertaut semula di bawah panji-panji Ahlus Sunnah Wal Jamaah demi kesejahteraan umat sejagat.”
Ternganga juga Rasyid mendengarnya. Nampaknya rakan yang pernah bersama mengurat perempuan ketika di kolej dahulu semakin faham arah tujuan dan sebab-musabab pemuda itu meminati kisah-kisah lama. Pengetahuannya tentang sejarah Melayu serta kedatangan Islam di Nusantara juga menjadi semakin mendalam semenjak mereka sering bertukar cerita, kebetulan setelah persahabatan lama bertaut kembali...
Dahulu, Nasri pernah ‘merajuk’ kerana rakan lamanya tidak pernah membalas suratnya ketika mereka mula-mula masuk universiti, seorang di Wales, seorang di London. Kemudian Rasyid tidak menunjukkan simpati apabila dia mengaku putus cinta dengan gadis yang telah dikenalinya sejak dari Malaysia lagi, ketika mereka terserempak kembali di ibukota Great Britain apabila Nasri menyambung pengajian undang-undangnya ke peringkat kelulusan professional Bar di Lincoln’s Inn. Tetapi Nasri akhirnya sedar rakan lamanya bersikap begitu kerana persoalan-persoalan hidup yang membelenggu jiwanya selama ini... Persoalan-persoalan yang menjadi semakin kalut ketika dia melangkah ke universiti lalu membawanya menggali cerita-cerita lama berkaitan Aceh nanti.
“Memang Sumatera, terutama bumi Serambi Mekah telah beberapa kali didatangi rombongan demi rombongan para ulamak dari Tanah Arab dan Timur Tengah... Kerana ia diketahui melindungi ramai anak cucu Nabi,” Rasyid pula mengemukakan hasil pengkajiannya. “Salah-satunya, rombongan Sheikh Abdullah Arif yang dikatakan datang ke Aceh sekitar 1166 Masihi (ada yang kata 1177), bersama anak muridnya Sheikh Burhanuddin yang akan berdakwah ke wilayah Minangkabau nanti.”
“Eh... Bukankah orang ini juga bertanggungjawab membawa sebuah kitab Tasawuf bertajuk Bahr Lahut (lautan keTuhanan) ke Nusantara?,” Nasri menyampuk. Memang kisah ini agak terkenal di kalangan mereka yang pernah membaca sejarah awal kedatangan Islam ke Nusantara.
“Dialah orangnya itu!” jawab kawannya teruja. “Tetapi kitab itu dikatakan berbau falsafah Syiah kerana menjunjung konsep Nur Muhammad sebagai sumber penciptaan alam, lalu membayangkan kelebihan dan keutamaan Rasulullah SAW serta para Ahlul Bait keturunannya ke atas makhluk-makhluk lain! Apakah kerana orang-orang Sumatera dahulu menjunjung tinggi kemuliaan dan kedaulatan anak cucu Nabi maka mereka semua dikira Syiah?” Rasyid bertanya pula. “Kalau begitu, ingatlah kata-kata Imam Shafie ‘Kalau aku dikatakan Syiah Rafidhah (Syiah sesat) kerana mencintai Ahlul Bait, maka saksikanlah bahawa aku ini Syiah Rafidhah.’”
Nasri seronok mendengar ulasan ini. “Mungkin peristiwa pengIslaman Samudera dan rajanya Merah Silu seperti diceritakan Hikayat Raja-raja Pasai sebenarnya adalah proses meluruskan akidah?” dia mengulas wasiat Nabi mengenai Samudera dari sudut lain pula. “Bukankah hikayat itu menyatakan ayahandanya Merah Gajah adalah anak angkat kepada seorang pemerintah bernama Raja Ahmad? Bondanya Puteri Buluh Betong pula adalah anak angkat Raja Muhammad? Bukankah mereka memakai nama-nama Rasulullah SAW yang terang-terang berbau Islam?”
“Itu memang logik,” Rasyid bersetuju. “Mungkin mereka memang sudah lama memeluk Islam tetapi pengetahuan agama Merah Silu kurang lengkap. Kerana baginda telah menjadi anak yatim piatu selepas bondanya hilang dan ayahandanya terbunuh. Kemudiannya negerinya pula hancur akibat peperangan di antara Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Lagipun ada kajian akademik menyatakan Sultan Malikus Salih ini berasal daripada keturunan Dinasti Makhdum di Perlak yang diasaskan oleh Sultan Abdul Qadir Syah Johan Berdaulat tahun 918 Masihi,” pemuda itu menambah.
“Kajian ini juga menyebut ayahandanya Merah Gajah sebenarnya bernama Makhdum Malik Abdullah, anakanda Makhdum Malik Ibrahim bin Makhdum Malik Mesir bin Makhdum Malik Ishaq bin Sultan Makhdum Malik Ibrahim Syah Johan Berdaulat (memerintah Perlak 976-1012 Masihi),” Rasyid mendedahkan hasil satu kajian yang tidak diketahui umum malah kurang disedari para sejarawan. “Nah... bukankah ini nama-nama Islam? Lebih-lebih lagi Dinasti Makhdum ini diakui sejarah rasmi sebagai pembawa fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah ke Perlak?”
Nasri mengangguk bersetuju. Rasyid pula gembira kerana ternyata rakan yang mula-mula dikenalinya 17 tahun dahulu, pernah duduk sebilik di asrama program “A” Levels KPP/ITM selama hampir dua tahun amat serasi dibawa berbincang, seringkali sependapat dalam mengupas sejarah Islam dan cerita-cerita lama Melayu walaupun adakalanya mereka bertikam-lidah juga. Teringat pula zaman kolej dahulu, ketika sama-sama suka mengurat dan menyakat pelajar-pelajar perempuan, suka keluar ke kelab-kelab malam dan lain-lain tempat ‘gelap’ bersama pasangan masing-masing melayari kehidupan remaja, membuat pelbagai perkara mengarut...
Kereta Honda Accord merah model 1985 milik Nasri pernah menjadi saksi bagaimana Rasyid selalu bertukar pasangan (Nasri kurang aktif kerana lebih setia kepada pasangannya), apa yang sering berlaku di tempat duduk belakang, apa pula yang ditemui tuan-punya kereta setelah pemuda itu meminjamnya sebentar untuk ‘beriadah’ di tempat-tempat seperti parking lot di luar disko Faces, Jalan Ampang. Kereta itu jugalah yang sering digunakan untuk menyusup keluar kawasan asrama bersama rakan-rakan lain untuk berseronok hujung minggu, pernah naik lapan orang sekaligus, tiga pasangan di belakang dengan yang perempuan duduk bertenggek atas yang laki-laki sehingga ditahan polis ketika road-block. Banyak juga kena soal, nasib baik lepas...
Mereka juga telah beberapa kali bersama berdesup lari macam lipas kudung dikejar pengawal keselamatan kolej ketika cuba menyeludup masuk kembali ke asrama setelah semalaman berdansa dan ber... entah apa-apa lagi di luar. Pernah sekali muka Rasyid bengkak sebelah dengan bibirnya pecah kerana terhentak besi railing tangga dalam gelap ketika lari menuju ke bilik di tingkat empat. Terpaksalah bertahan seminggu dua dengan muka lebam...
Rasyid, Nasri serta beberapa orang kawan rapat lain juga pernah menyakat para pelajar junior yang duduk bersama di bilik 51C dengan kisah-kisah hantu yang menyeramkan. Kemudian melaksanakan sebuah rancangan teratur yang berjaya menakut-nakutkan mereka sehingga anak-anak muda yang mudah terpedaya ini nyaris-nyaris melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan kolej, meminta untuk ditukarkan ke bilik lain.
Pemuda itu masih ingat bagaimana Nasri telah membakar kemenyan secara senyap, dia pula berlagak sebagai hero yang mencabar ‘hantu-hantu’ supaya menonjolkan diri sementara rakan-rakan di atas bumbung bilik menyorong batu-bata di atas atap genting lalu mengeluarkan bunyi yang menyeramkan sebelum menyemburkan minyak wangi masuk ke dalam bilik. Lakonan mereka dengan sound effects yang diterbitkan sungguh berkesan sehingga pelajar-pelajar junior ini, kalau tidak salah ingatan 15 orang, semuanya anak orang berada telah berpelukan beramai-ramai ketakutan sambil melaungkan azan kemudian membaca Yasin dengan nyaring. Sedangkan ramai di antara mereka tidak tahu pun membaca Al-Quran! Bukankah kelakar jadinya?
Apa yang Rasyid dan Nasri tidak tahan nak tergelak (tetapi terpaksa control, buat-buat serius), adik-adik ini masih tidak dapat mengesan gurauan para senior sehingga boleh terpedaya pula dengan lakonan seorang lagi kawan yang berlagak sebagai seorang ustaz. Kawan itu datang siap berjubah dan berkopiah tiga hari kemudian untuk “menghalau hantu”, satu lakonan yang terpaksa dilakukan supaya mereka tidak jadi melaporkan perkara ini kepada pihak pengurusan. Kalau tidak Rasyid dan rakan-rakannya juga yang kena... Turun-naik mahkamah pelajarlah jawabnya nanti... Kan susah?
Anak muda ini juga pernah mengetuai satu sesi ‘suai-kenal’ buatan sendiri bersama lebih 50 orang pelajar junior yang terpaksa datang “menyerahkan diri” setelah dia memberikan amaran akan datang menyerang bilik-bilik mereka jika tidak muncul di bilik 51C sebelum jam 6 petang.
Ini berlaku apabila ramai rakan-rakannya mengadu kepadanya bahawa para pelajar elit di bawah program BTU (British Top University) yang bakal terbang ke England tiga bulan lagi tidak tahu menghormati pelajar senior, langsung tidak mengendahkan mereka. Lalu sekitar 10 orang kawan-kawan rapat termasuk Nasri telah menyaksikan bagaimana pemuda berdarah Aceh ini berjaya menggertak kesemua anak-anak muda ini, siap mencabar sesiapa sahaja yang berani untuk bertumbuk dengannya! Ajar mereka supaya respect sedikit, belajar hormat kepada mereka yang lebih tua.
Walaupun sesi itu bermula dengan kasar, adalah beberapa buah almari pecah dalam proses, Rasyid berjaya menukarkannya menjadi satu sesi “riang-ria” setelah pasti adik-adik ini telah mendapat sedikit pengajaran. Sejak itu, pelajar-pelajar junior ini akan memberi salam dan bertegur-sapa setiap kali berselisih dengan para senior. Hubungan mereka juga menjadi lebih erat kerana saling bertukar-tukar fikiran dan pandangan.
Ah... Begitu banyak sekali kenangan zaman kolej, daripada sesi-sesi permainan snooker di sebuah kelab berdekatan, santai minum teh tarik di mapley ( warung-warung di hadapan asrama) sambil mengurat gadis-gadis cantik dan berbagai lagi aktiviti muda-mudi pra-universiti. Dan selalunya Nasri juga turut serta lebih-lebih lagi jika membuat hal-hal yang mengarut, sesetengahnya tidak boleh diceritakan dalam mana-mana media... Lalu seluruh warga kolej mengenali mereka dan kawan-kawan, kira famous lah kata orang. ‘Saham’ pula meningkat naik tinggi, maka lagi senanglah dapat teman-teman perempuan... Siapa sangka, setelah hubungan mereka terputus sejak ke luar negara, lebih 10 tahun kemudian baru bertemu kembali, itupun terserempak di sebuah warung minuman, kini mereka telah sama-sama insaf, boleh pula berbincang tentang sejarah Melayu dan kedatangan Islam dengan begitu mendalam.
“Bro... Aku ada satu lagi perkara nak confirm tentang Samudera,” tiba-tiba Nasri memotong lamunan. “Aku ada terjumpa sebuah kajian yang menyebut bukan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan ini pada abad ke 13 Masihi tetapi seorang raja bernama Mahmud Syah yang membuka Samudera tahun 1042 Masihi, 200 tahun lebih awal. Apabila Mahmud Syah mangkat tahun 1078, baginda digantikan pula oleh Mansyur Shah yang memerintah sehingga tahun 1133. Kemudian Khiyasyuddin Shah (1133-1155) diikuti Nuruddin Sultan Al Kamil (1155-1210)...”.
“Hmm... Teruskan,” Rasyid memberi jalan.
“Menurut kajian ini lagi, selepas Sultan Al Kamil mangkat, telah berlaku satu kekecohan besar, tidak pastilah apa yang menyebabkan Samudera tidak beraja dalam satu tempoh yang agak lama. Sampailah Sultan Malikus Salih muncul untuk memimpin kerajaan itu tahun 1261. Maka Sultan ini bukanlah pengasas Samudera seperti disebut Hikayat Raja-raja Pasai tetapi boleh dikira sebagai penyelamat kerajaan itu.”
Rasyid tersenyum mendengar pendedahan rakannya lalu membuat pengakuan: “Aku juga pernah terbaca kajian akademik yang menyebut hal yang sama tetapi aku tetap yakin Sultan Malikus Salih lah pengasas sebenar Samudera. Nak tahu mengapa?”
“Silakan,” jawab Nasri.
“Baiklah,” kata rakannya. “Tetapi ini bukanlah hasil kajian akademik OK. Cuma kajian rambang hasil penelitian fakta sejarah yang diketahui.”
“No problem,” sahut Nasri. “Asalkan plausible, boleh diterima akal, sudah! Aku kan lawyer... Berikan hujah yang berkesan dan aku sedia menerimanya... Principals of modern justice... Siapa pandai berkata dialah pemenangnya...”
Rasyid pun meneruskan: “Sejarah keSultanan Perlak menyebut, selepas kedatangan Sultan Abdul Qadir Syah Johan Berdaulat yang mengambil-alih kekuasaan (tahun 918 Masihi) daripada keturunan Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah, kerajaan itu pernah terpecah menjadi dua tahun 976 – Perlak Baroh yang diperintah Sultan Mahmud Syah dari Dinasti Sayyid dan Perlak Tunong, diperintah Sultan Ibrahim Syah dari Dinasti Makhdum. Eh... Atau terbalik kot? Mahmud Syah yang dari Dinasti Makhdum, Ibrahim Syah Dinasti Sayyid, aku tak ingat pula... Apapun Perlak pernah berpecah dua pada zaman itu,” katanya lagi.
“Apa kebendanya Perlak Baroh dan Perlak Tunong tu?” Nasri sedikit pelik. Inilah kali pertama dia mendengar perkataan-perkataan ini.
“Entahlah,” jawab rakannya jujur. “Aku pun tak tahu. Agaknya Perlak Hulu dan Perlak Hilir lah kot? Atau Perlak Utara dengan Perlak Selatan? Tak tahulah mana yang betul tetapi rasanya lebih kurang begitulah...”
“Sultan Mahmud Syah pula dikatakan memerintah sehingga tahun 988 Masihi sedangkan Sultan Ibrahim Syah akhirnya berjaya menyatukan kembali Perlak dan terus memerintah sehingga tahun 1059,” dia meneruskan. “Sekarang cuba kamu lihat nama-nama dan tarikh yang disebutkan. Perhatikan bagaimana nama Mahmud Syah muncul dalam tempoh masa yang selari dengan kemunculan kerajaan Samudera dalam kajian yang kamu sebut tadi. Mungkin raja inilah yang dikatakan telah mengasaskan kerajaan Samudera tahun 1042? Mungkin apa yang sebenarnya berlaku adalah baginda telah kehilangan Perlak Baroh kepada Sultan Ibrahim Syah tetapi berjaya mempertahankan sedikit wilayah yang kebetulan mengandungi tapak pusat kerajaan Samudera akan datang? Atau baginda lari membuka negeri lain tetapi di tapak yang sama juga?”
“OK,” kata Nasri. “Logik juga telahan kamu ini... Tetapi bagaimana pula Sultan-sultan lain yang dikatakan memerintah Samudera sebelum Sultan Malikus Salih? Dari manakah mereka ini datang?”
“Well, mungkin mereka berasal daripada keturunan Mahmud Syah? Atau mereka adalah raja-raja dari keturunan lain yang datang mengambil-alih kekuasaan sepertimana Dinasti Makhdum pernah menggantikan Dinasti Sayyid untuk menguasai Perlak.” jawab Rasyid. “Mungkin dari satu keturunan yang asal-usulnya telah digelapkan?”
“Ah... Mungkin juga Nuruddin Sultan Al Kamil yang dikatakan memerintah Samudera sehingga tahun 1210 Masihi itu adalah gelaran bagi samada Raja Ahmad ataupun Raja Muhammad dalam Hikayat Raja-raja Pasai!” anak muda itu membuat ‘teori’ baru pula. Tiba-tiba dapat ilham... “Bukankah hikayat itu menyebut raja-raja ini berperang sehingga negeri mereka musnah dan mereka sendiri terkorban? Agaknya sebab itu, selepas tahun 1210 wilayah yang terbabit ini tidak mempunyai raja sampailah Sultan Malikus Salih muncul 50 tahun kemudian.” dia meneruskan ‘thesis’nya.
“Tetapi pada aku, ini tidak bermakna mereka adalah raja-raja yang memerintah Samudera,” baru Rasyid menekankan keyakinannya tentang asal-usul kerajaan itu. “Mungkin benar mereka telah menguasai wilayah yang sama tetapi semasa itu, ia dikenali dengan nama lain sepertimana Singapura dahulu pernah dikenali dengan nama Temasik. Walaupun Temasik mungkin memiliki raja-rajanya sendiri, hakikatnya Singapura tetap diasaskan oleh Sang Nila Utama kerana ia adalah nama yang diberikan baginda. Begitu juga asal-usul kerajaan Samudera... Bukankah Hikayat Raja-raja Pasai menyebut, nama Samudera ini muncul berdasarkan semut besar yang ditemui oleh Merah Silu atau Sultan Malikus Salih?”
“Lagipun jika kerajaan itu telah dikenali sebagai Samudera sebelum zaman Merah Silu, tentu wasiat Nabi mengenai kerajaan itu telah disempurnakan lebih awal lagi,” pemuda itu menambah. “Ia patut dilaksanakan sekurang-kurangnya pada zaman Sultan Al Kamil kerana ketika itu Mekah telah pun diperintah oleh Qitada (1201-1220) yang berasal dari keturunan Saidina Hassan. Mengapa perlu menunggu lama sehingga kemunculan Sultan Malikus Salih, selepas Mekah diperintah Muhammad Abu Numay (1254-1301)?” Rasyid menyimpulkan persoalan.
Wasiat Rasulullah SAW dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga menyebut negeri Samudera mesti diIslamkan kerana di sana nanti ramai orang akan jadi wali. Jika ramai rakyatnya akan jadi wali, siapakah pula raja yang layak memerintah kalau baginda sendiri bukan raja bertaraf wali atau raja para wali? Bukankah pemimpin mesti lebih arif daripada yang dipimpin?
Selain ini, hikayat yang dianggap teks tertua Melayu Islam itu juga menyebut Nabi sendiri yang memberikan nama Sultan Malikus Salih yang bermakna Sultan dan raja kepada orang-orang salih. Walaupun ini berlaku dalam mimpi, tidakkah ia menunjukkan Merah Silu adalah seorang manusia yang berdarjat tinggi, baik sebagai pemerintah mahupun sebagai seorang Islam dan Mukmin sejati?
Seorang tua educated, memiliki Masters in Education daripada University of Harvard, sebuah univeristi terkemuka Amerika tetapi kemudian lebih selesa menjadi petani di sebuah kampung terpencil di Negeri Sembilan pernah memberitahu, raja bertaraf wali ini boleh diibaratkan seperti seorang Brahmin Hindu yang diangkat menjadi raja. Dalam sistem kasta Hindu, raja-raja biasanya berasal daripada golongan Kesatria yang juga mengandungi pahlawan, pendekar dan hulubalang sedangkan Brahmin yang merupakan golongan alim ulamak lebih mementingkan akhirat daripada dunia.
“Maka kasta Brahman ini adalah kasta yang tertinggi dalam hierarki agama Hindu, lebih setingkat daripada golongan Kesatria termasuk raja-rajanya kerana mereka lebih dekat kepada Sang Pencipta,” dia menambah. “Maka itu juga, seorang raja dari golongan Brahmin adalah lebih tinggi kedudukan dan tarafnya daripada seorang raja Kesatria, ibarat kelebihan seorang raja bertaraf wali ke atas raja-raja biasa, tidak kiralah berapa tinggi pun daulat raja itu.”
Kata pakcik itu lagi, adab seorang raja wali juga berbeza dengan raja biasa. Lebih dekat kepada cara Rasulullah SAW yang pada hakikatnya adalah raja segala raja walaupun penampilannya sekadar seperti seorang hamba.
“Raja biasa lebih menunjukkan kebesaran yang diringi berbagai perhiasan seperti sering dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain yang dikatakan moyang Raja-raja Melaka sedangkan seorang raja wali lebih mendekati kezuhudan, amat merendah diri dan sangat ringkas penampilannya walaupun peribadinya jauh lebih terserlah kerana keakrabannya dengan hadirat Ilahi.”
Sultan Malikus Salih yang mangkat tahun 1297 Masihi (ada yang menyebut 1292) telah mendirikan kerajaan Samudera kemudian Pasai untuk meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, bukan untuk bermegah-megah. Baginda memakmurkan kerajaan dengan asas Iman dan Takwa, bermula daripada diri baginda sendiri sebagai Ulil Amri, pemerintah dan ulamak pewaris Nabi yang layak memerintah bumi para wali.
Maka itu tercatat di batu nesan baginda di makamnya di tapak pusat kerajaan Samudera, terjemahan dari bahasa Arab: “Ini kuburan almarhum yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadat, penakluk yang bergelar Sultan Malik Al-Salih.” Sifat-sifat seperti inilah yang akan diwarisi anak-cucu baginda nanti, meneruskan perjuangannya menegakkan syiar Islam di muka bumi ini, perjuangan yang juga diwarisi dari Nabi...
Sebuah catatan menyebut, pengembara Arab, Ibnu Batuttah yang melawat Pasai sekitar tahun 1345 Masihi menggambarkan pemerintahnya Sultan Malikul Zahir sebagai seorang yang sangat soleh, pemurah dan rendah hati. Selalu memberi perhatian terhadap fakir miskin meski pun telah menaklukkan banyak kerajaan. Sikap ini ditunjukkan baginda apabila menyambut rombongan Ibnu Batuttah. Mereka dipersilakan duduk di atas hamparan sedangkan baginda sendiri duduk di atas tanah.
Seperti kata pepatah Melayu: Ular menyusur akar takkan hilang bisanya... Cucu Sultan Malikus Salih ini tidak merasa perlu dimuliakan walaupun baginda adalah seorang raja besar yang memerintah kerajaan Islam terulung di bumi Timur zaman itu.
Sultan Malikul Zahir juga dikatakan selalu pergi bersolat Jumaat berjalan kaki sedangkan Sultan-Sultan Melaka sering digambarkan pergi ke masjid menaiki gajah dengan segala macam pengiring, alat kebesaran dan kemegahan. Lalu Ibnu Batuttah yang juga seorang duta keSultanan Delhi mencatatkan Sultan Malikul Zahir sebagai seorang raja yang terkenal kerana kealimannya, sangat mengambil berat tentang perkara yang bersangkut-paut dengan Islam. Baginda dikatakan sangat arif dalam ilmu Fiqah, selalu mengadakan majlis agama bersama para pembesar dan rakyat jelata pada hari Jumaat. Istananya pula sering dikunjungi para alim-ulamak dan bijak pandai daripada seluruh pelusuk dunia Islam!
“Kemakmuran dan kesejahteraan Samudera Pasai telah diakui para sejarawan sejak awal lagi,” kata Rasyid dalam satu pertemuan dengan beberapa orang rakan lama di sebuah kedai makan di Sri Hartamas. “Pengembara dari Itali, Marco Polo mencatatkan beliau pernah sampai ke sana tahun 1292 Masihi, ketika Sultan Malikus Salih masih memerintah. Katanya, beliau dan ahli rombongan kapalnya yang telah berlepas dari negeri China sedang menunggu pertukaran angin untuk kembali ke Eropah. Lalu mereka terpaksa menetap beberapa bulan dan dalam tempoh itu, mereka telah dilayan dengan baik seperti sebuah keluarga Islam.”
Rakan-rakannya seronok mendengar cerita ini. Maklumlah ada cerita tentang seorang pengembara Mat Saleh yang terkenal di seluruh dunia...
Anak muda itu menambah. “Marco Polo juga menyatakan kemewahan kerajaan ini adalah hasil perniagaan lada hitam daripada ladang-ladang yang luas dicampur pungutan cukai daripada kapal-kapal yang berlabuh di situ, kebanyakannya datang untuk berniaga. Pentadbiran kerajaan pula berjalan lancar teratur dan aman, tidak terdapat pergaduhan dan kecurian.”
Nasri yang hadir sama terasa musykil. Macam ada yang tidak betul...
“Eh, Acid... Bukankah negeri yang Mat Saleh itu singgah adalah Perlak? Bukannya Pasai ataupun Samudera” dia menegur jujur...
“Bagaimana pula?” Rasyid bertanya balik. “Setahu aku, dia memang pergi ke Samudera. Bukankah ia adalah kerajaan utama di Sumatera? “
“Yakah?” Nasri tidak puas-hati. “Aku pun sudah kaji tentang ini, sudah meneliti beberapa kisah sejarah awal bumi Serambi Mekah. Banyak sumber menyatakan dia singgah ke Perlak, atau dalam catatannya Ferlec.”
Rasyid tersenyum mendengar ini. “Betullah apa yang kamu katakan itu. Aku tidak boleh hendak nafikan... Memang catatan perjalanannya menyebut dia singgah secara khusus di Perlak,” pemuda itu sedia mengaku. “Tetapi Marco Polo juga menyebut ada sekurang-kurangnya enam buah pelabuhan besar dan sibuk di Utara Sumatera selain Perlak, salah satunya, Samudera,” sambungnya. “Takkanlah pengembara ini boleh sampai ke sana tanpa singgah juga di Samudera? Lagipun, kalau dikaji balik, Perlak telah pun diserapkan ke bawah pemerintahan kerajaan Samudera Pasai sejak Sultan Malikus Salih memerintah, sebelum kedatangan Marco Polo lagi. Maka singgah di Perlak boleh dikira juga sebagai singgah di Samudera!”
Samudera Pasai juga diketahui pernah menjalinkan hubungan rapat dengan banyak kerajaan Islam termasuk beberapa buah kerajaan besar dari benua Hindi dan Timur Tengah. Sebagai seorang pengembara terkenal dan duta terhormat keSultanan Delhi, Ibnu Batuttah pernah beberapa kali menghadiri majlis-majlis kerajaan di istana Pasai selain majlis-majlis ilmu yang dipenuhi ulamak serata dunia. Maka itu dalam catatan-catatannya yang setanding dengan kisah pengembaraan Marco Polo, meliputi perjalanan dan persinggahan ke hampir seluruh dunia bertamadun zaman itu , beliau telah menyebut terdapat para pembesar dari Delhi dan Parsi menolong Sultan Malikul Zahir dalam pemerintahannya.
Ketika itu, kerajaan Samudera yang berpusat tidak jauh daripada pusat pemerintahan Pasai telah diserapkan ke bawah kekuasaan Sultan Malikul Zahir. Maka kerajaan itu juga dikenali sebagai Samudera Pasai, kemudian diringkaskan kepada Pasai...
Menurut sebuah riwayat, cucu Sultan Malikus Salih ini telah berkahwin dengan Puteri Chandana, anakanda seorang raja besar yang dikenali dengan nama Raja Chermin. Mengikut ceritanya, raja ini menguasai sebuah empayar lama yang mewarisi jajahan takluk kerajaan purba Langkasuka lalu merangkumi negeri-negeri Pattani, Kelantan dan Kedah!
Puteri ini pula adalah saudara kandung kepada Chek Siti Wan Kembang, pemerintah perempuan kerajaan lama Tanah Serendah Sekebun Bunga yang amat dibangga-banggakan rakyat Kelantan sampai sekarang sedangkan seorang lagi saudara mereka, Puteri Linang Cahaya telah berkahwin dengan seorang pendakwah terkenal, Sayyid Jamadil Kubra. Beliau adalah anakanda Sayyid Ahmad Syah Jalal, seorang gabenor keSultanan Delhi semasa zaman pemerintahan Dinasti Tughluq (1325-1551 Masihi).
Maka itu tidak dapat dinafikan, memang terdapat jalinan ikatan diplomatik juga pertalian kekeluargaan yang kuat di antara keSultanan Samudera Pasai dengan kerajaan-kerajaan tersebut. Dan tentunya mereka juga mempunyai hubungan dengan kerajaan Mekah dan Madinah yang dipimpin para Sharif... Kerana anak cucu Saidina Hassan inilah yang bertanggungjawab menjalankan wasiat Rasulullah SAW untuk mengIslamkan Samudera zaman Sultan Malikus Salih dahulu.
Sebagai biras Sultan sebuah kerajaan yang menjunjung tinggi syiar serta penyebaran Islam ke seluruh Nusantara, Rasyid percaya Sayyid Jamadil atau Jamaluddin Kubra yang dikenali sebagai pendakwah besar berketurunan Nabi tentu pernah singgah dan bermastautin di Pasai.
“Maka saudara-saudara seangkatannya seperti Sayyid Qamaruddin, Sayyid Majduddin dan Sayyid Thanauddin (yang menurut sesetengah pendapat adalah Adi Putera, guru Hang Tuah) juga pernah bertapak di bumi para wali itu sebelum bertebaran ke merata tempat,” pemuda itu memberi penerangan sambil menyanggah sedikit pendapat seorang anak Kelantan yang baru dikenalinya ketika singgah minum kopi di sebuah warung di Chow Kit. “Maka itu tidak hairanlah jika kerajaan Pasai yang mengandungi bumi Samudera terus dikerumuni ramai pendakwah termasuk para Ahlul Bait dan melahirkan ramai wali,” tambahnya lagi.
Ketika itu, hamba Allah dari Kota Bharu itu sedang giat memperbesar-besarkan sejarah negeri kelahirannya. Lalu terkeluarlah nama Sayyid Jamadil Kubra yang diketahui bakal menurunkan ramai pendakwah Ahlul Bait termasuk para Wali Songo, pelopor penyebaran Islam di Tanah Jawa, Mengikut ceritanya, Sayyid Jamadil juga menurunkan Sultan Qumbul Ali Nurul Alam yang dikatakan nama sebenar Perdana Menteri Majapahit atau Patih Gajah Mada. Pembesar ini sangat terkenal dalam sejarah sebagai orang yang bertanggungjawab meluaskan kekuasaan kerajaan Majapahit hingga meliputi hampir seluruh Nusantara. Ali Nurul Alam juga dikatakan moyang kepada Raja-raja Kelantan dan Pattani sampai sekarang. Mendengarkan cerita ini, Rasyid yang berada di sebelah pun mencelah lalu memusingkannya menjadi cerita kebesaran Aceh pula.
Hamba Allah itu kurang senang ceritanya diganggu tetapi dia terus terdiam apabila menyedari kawasan itu dikuasai para peniaga dari Aceh yang seronok mendengar kisah bumi Serambi Mekah. Lagipun apa yang dikatakan itu ada juga kebenarannya. Lalu dia terpaksa mendengar bagaimana Maulana Malik Ibrahim yang dicatatkan sebagai Wali Songo pertama diketahui memang berasal dari Pasai, begitu juga Sunan Gunung Jati atau Sharif Hidayatullah yang datang ke Pulau Jawa kemudian.
“Sunan Giri yang dilahirkan dan dibesarkan di Jawa pula adalah anakanda Maulana Ishaq yang berasal dari Pasai dengan seorang puteri Jawa. Malah ada riwayat menyatakan ayahandanya ini sebenarnya bekas Sultan Pasai yang turun takhta menjadi fakir!” pemuda itu menambah.
Rasyid juga menceritakan bagaimana Pasai yang telah terlebih dahulu menjadi pusat perdagangan seluruh Nusantara, juga payung agama Islam di bumi Timur telah menyerahkan peranannya kepada Melaka apabila kerajaan itu memeluk Islam. Ini kerana keSultanan Pasai dan Melaka mempunyai hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan Sultan Megat Iskandar Shah yang memerintah Melaka sekitar tahun 1414 hingga 1423 Masihi dengan seorang puteri Raja Pasai.
Cuma peranannya sebagai pusat ilmu tidak boleh diganti. Kerana Pasai yang termasuk di dalamnya tanah asal Samudera adalah bumi para wali yang tidak ada galang ganti, tiada yang sepertinya di sebelah Timur ini...
“Sebab itu kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang menyebut Melaka akan bertanya ke Pasai setiap kali terdapat masalah mengenai agama yang tidak dapat ditanganinya,” kata anak kelahiran Muar, Johor itu lagi. “Sehingga diceritakan kitab Tasawuf bertajuk Darul Mazlum tulisan Maulana Abu Ishaq dari Tanah Arab yang telah dipermudahkan bahasanya dari bahasa zat ke bahasa sifat, kemudian ke bahasa af’al terpaksa dihantar ke Pasai untuk diertikan, barulah boleh difahami dan diajarkan untuk orang-orang Melaka.”
Anak Kelantan di sebelah terus terkunci mulut. Jika pada awalnya dia memang berniat mahu memperbesarkan negeri kelahirannya sebagai bumi Serambi Mekah yang asal, Rasyid pula menyatakan Kelantan cuma mendapat gelaran itu sejak muncul ulamak negeri itu yang terkenal iaitu Tok Kenali, hujung abad ke 19 Masihi. Sebaliknya Aceh telah beratus tahun, mungkin lebih seribu tahun (sejak zaman kerajaan Perlak) diakui sebagai bumi Serambi Mekah... Kalau dilihat pada peta pun memang Aceh lebih dekat ke Mekah! Setiap kapal yang mahu keluar melepasi Nusantara menghala ke Tanah Arab mesti melalui perairannya. Kalau dari Kelantan pula, mesti turun ke selatan melalui perairan Terengganu, Pahang dan Johor, kemudian baru membelok ke utara masuk ke Selat Melaka menyusuri Pulau Sumatera. Terpaksa juga melalui Aceh, baru boleh sampai ke laut lepas...
“Maka itu yang manakah sebenarnya Serambi Mekah... Aceh atau Kelantan? Atau kedua-duanya sekali kerana ada orang lama menyebut kedua bumi itu pernah bercantum menjadi sekeping tanah suatu masa dahulu?” Rasyid meninggalkan teka-teki sebelum berangkat pergi.
4 Oktober 2005 bersamaan 1 Ramadhan 1426 Hijrah. Badrul duduk di hadapan televisyen menunggu waktu berbuka puasa sambil menyelak helaian kitab versi moden Hikayat Raja-raja Pasai yang ditemuinya awal pagi tadi. Ketika itu, dia sedang mencari bahan bacaan untuk anak-anaknya di gedung buku Books Kinukuniya Suria KLCC. Sampai ke bahagian buku-buku berbahasa Melayu khusus untuk sastera dan agama, terjumpa pula beberapa cetakan baru kitab-kitab Melayu lama seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Aceh, Tuhfat al Nafis serta hikayat itu...
Pensyarah itu teringat pertemuannya dengan Rasyid dua minggu lepas. Dia pun tergerak untuk membaca wasiat Rasulullah SAW tentang Samudera lalu meneliti setiap perkataan yang tertera satu demi persatu.
Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama.
“Hmm.... Dahsyat juga kandungan wasiat ini,” fikirnya. “Dalam sungguh maknanya... Macam ada petunjuk tertentu tentang peristiwa akhir zaman nanti. Tetapi betulkah kata-kata ini pernah dituturkan Rasulullah SAW?”
Lama Badrul memerah otak memikirkannya. Tadi, dia telah membaca mukadimah buku yang menyatakan betapa bernilainya hikayat itu dalam dunia pemikiran Melayu. Pensyarah ini terfikir, jikalau kata-kata Nabi ini palsu, bagaimana pula ia boleh dikekalkan dalam penulisan yang dianggap sebagai teks sastera tertua bahasa Melayu? Boleh pula dikutip Bendahara Johor, Tun Sri Lanang untuk disertakan dalam kitab karangannya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu... Kalau kata-kata ini adalah hadis yang dibuat-buat, kenapa tidak dilupuskan terus daripada kedua-dua buah kitab yang menjadi bahan rujukan utama sejarah Melayu lama? Kenapa dibiarkan terus ditelaah berjuta manusia dari dahulu sampailah sekarang? Sehingga muncul pula cetakan-cetakan moden daripada institusi-institusi berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, juga Yayasan Karyawan lalu boleh didapati di gedung-gedung besar buku seperti Books Kinokuniya?
Dalam pada itu, terngiang-ngiang pula nama Sultan Malikus Salih, orang yang dikatakan bertanggungjawab mengasaskan kerajaan Samudera. Sejak pertemuannya dengan Rasyid di Janda Baik dahulu, bekas ustaz ini tidak dapat melupakan nama itu, juga perbincangan mereka yang berjela-jela sehingga terkeluar nama tokoh-tokoh besar seperti Saidina Ali, Saidina Hassan, Saidina Hussein juga Sheikh Ismail dan Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani yang nampaknya amat disanjungi pemuda itu.
Tiba-tiba Badrul tersentak apabila nama Sultan itu dilaungkan di televisyen. “Eh... Betulkah apa yang aku dengar ini?” getus hatinya.
Rupa-rupanya ada sebuah rancangan sedang bercerita tentang Sultan Malikus Salih. Keluar pula beberapa footage, gambar-gambar rakaman yang berkenaan termasuk gambar makam Sultan itu di tapak pusat kerajaan Samudera dengan batu nesan Acehnya yang berkepak... Makam yang tidak disentuh ombak Tsunami yang melanda Aceh 26 Disember 2004.
“La... Program Jejak Rasul terbaru, Jejak Rasul ke-11, Sicupak dari Istanbul rupanya,” terpacul perkataan ini sambil dia menepuk dahi...
Baru pemegang ijazah doctorate dalam bidang comparative religion atau perbandingan agama dari London itu mendapat tahu kaitan di antara Sultan Malikus Salih dengan raja-raja lain yang pernah memerintah Aceh. Kaitan yang menyebabkan semua Raja-raja Aceh juga memiliki titisan darah Rasulullah SAW. Sekali lagi dia teringat pertemuannya dengan Rasyid, bagaimana pemuda itu begitu beriya-iya mahu membela kelebihan dan kepimpinan Ahlul Bait bagai ‘hendak rak’, sanggup berhujah tentang hadis-hadis Nabi yang digelapkan yang menurutnya disebabkan angkara pemerintahan Bani Umaiyah, kemudian Bani Abbasiyah yang membenci keturunan Rasulullah SAW. Semuanya dikemukakan rakan lama itu dengan penuh semangat semata-mata untuk menyokong kesahihan wasiat Nabi mengenai Samudera dalam Hikayat Raja-raja Pasai!
Ayah kepada lima orang anak itu juga teringat penerangan Rasyid tentang peranan Sharif Mekah dari keturunan Saidina Hassan, Sheikh Ismail dari keturunan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani dan Fakir Muhammad dari keturunan Saidina Abu Bakar Al-Sidiq sebagai orang-orang yang bertanggungjawab melaksanakan wasiat Nabi dan menabalkan Sultan Malikus Salih... Bagaimana ini menunjukkan kaitan Sultan itu dengan Rasulullah SAW. Baru dia sedar betapa beratnya amanah yang dipikul mereka tidak kiralah jika wasiat itu bukan hadis Sahih...
Ah... Baru Badrul faham... Patutlah rakannya itu begitu bersemangat bercerita tentang semua ini. Patutlah anak muda itu ingin menulis buku berkaitan Aceh dan peristiwa-peristiwa perkaitan sehingga menjangkau kisah-kisah lama di sebalik pergolakan politik Islam jauh di Timur Tengah! Rupa-rupanya dia memiliki kaitan tersendiri dengan semua watak-watak tersebut, satu kaitan peribadi yang tidak dimiliki semua orang...
“Hmm... Sekarang, baru aku faham kenapa Rasyid begitu marah apabila mengenangkan segala penindasan yang pernah berlaku ke atas para Ahlul Bait anak cucu Nabi. Ini rupanya alirannya...”
Aliran apakah yang dimaksudkan bekas ustaz itu? Apakah hubungan sebenar Muhammad al-Aminul Rasyid dengan watak-watak tersebut? Kita ikuti nanti apabila cerita-cerita dalam buku “Berpetualang ke Aceh” ini berkembang meliputi banyak lagi kisah-kisah lama yang telah digelapkan atau dipinggirkan daripada sejarah rasmi... Termasuk kisah Malikul Mansur, pewaris takhta yang disisihkan. Teruskan membaca... Amin.

—————————