Ahad, Februari 25, 2007

Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian II)

Sambungan daripada artikel Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian I)...


“Kitab Sejarah Melayu juga menyebut peristiwa yang serupa tentang pengIslaman Melaka pada zaman Sultan Muhammad Syah,” kata Nasri selepas membaca sedikit tulisan Rasyid mengenai pengIslaman Samudera. “Sultan ini dikatakan memerintah tahun 1424 hingga 1444 Masihi, selepas kemangkatan pengasas keSultanan Melaka, Sultan Iskandar Zulkarnain Shah yang dikenali sejarawan Barat sebagai Parameswara. Baginda juga bermimpi berjumpa Rasulullah SAW lalu disuruh mengucap kalimah syahadat. Kemaluannya telah dikhatankan apabila bangkit dari beradu dan baginda tidak henti-henti mengucap kalimah syahadah. Tidak lama kemudian, sebuah rombongan yang diketuai seorang ulamak bernama Saiyid Abdul Aziz pun sampai untuk mengIslamkan penduduk Melaka.”

Rasyid tersenyum mendengar penerangan bekas pelajar University of Aberystwyth, Wales yang ditemui kembali di Kuala Lumpur setelah bertahun mereka tidak berhubung. Sebelum itu dia tidak pernah menduga rakan lamanya juga mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah lama Melayu. Maklumlah mereka berdua dahulu agak keBaratan... Jadi orang Melayu pun setakat memenuhi syarat sahaja, boleh berbahasa Melayu, beragama Islam dan faham sedikit adat-istiadat. Lalu sejak kebelakangan ini, peguam muda yang pernah duduk sebilik dengannya di kolej itulah yang sering menjadi teman rujukan dalam usaha pemuda itu menulis bukunya tentang kisah-kisah lama berkaitan Aceh.

“Betul tu!” sahut Muhammad Al Aminul Rasyid. “Tetapi peristiwa pengIslaman Merah Silu dan rakyat Samudera berlaku 200 tahun lebih awal. Lebih istimewa lagi, ia mendapat mandat yang tidak dimiliki mana-mana kerajaan lain, mandat wasiat Nabi yang disertai perkakas dan alat kerajaan dari Mekah,” tambahnya lalu menyuakan tulisan seterusnya...

Selesai sahaja pengIslaman Samudera, Sheikh Ismail pun menyuruh orang-orangnya menurunkan segala alat dan perkakas yang dibawa dari Mekah untuk disampaikan kepada Sultan Malikus Salih. Hikayat Raja-raja Pasai menceritakan: Maka pada ketika dan saat yang baik, berhimpunlah segala para menteri, hulubalang, orang-orang besar dan sekalian rakyat dari segala teluk rantau datang mengadap baginda. Sultan Malikus Salih pula memakai selengkapnya pakaian kebesaran yang turut dibawa dari Mekah kerana baginda hendak ditabalkan sekali lagi, kali ini menurut cara pertabalan Raja-raja Islam.

Sekalian orang-orang besar, para menteri, hulubalang dan rakyat yang hadir pun duduk bersaf-saf di balairong seri mengadap. Sekalian bentara berdiri di tempat masing-masing untuk menunaikan pekerjaan. Nobat Ibrahim Khalilullah diletakkan di hadapan baginda dan bermulalah upacara. Semuanya teratur penuh istiadat...

Gendang nobat pun dipalu orang lalu sekalian orang yang mengadap mengangkat sembah dan berkata: “Daulat dirgahayu tuanku dzillullahu fil’ alam (bayangan Tuhan di alam ini)”.

Maka rasmilah pertabalan Sultan Malikus Salih menurut cara Islam, disaksikan Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad.

Selesai segala adat istiadat dan selepas duduk beberapa lama di Samudera, Sheikh Ismail pun bermohon hendak kembali ke negerinya. Sultan Malikus Salih menyampaikan hadiah daripada berjenis-jenis barang iaitu ambar, kapur barus, gaharu, cendana, kemenyan, khalambah, lada hitam, cengkih dan sebagainya, semuanya barangan berharga sebanyak kira-kira tiga bahara, setengahnya untuk Sharif Mekah.

Sheikh Ismail pun belayar meninggalkan Samudera. Tinggallah Fakir Muhammad dan anaknya terus mengembangkan ajaran Islam.


————————


“Sekarang timbullah beberapa persoalan yang agak berat!” Rasyid menarik nafas lalu memulakan satu polemik. “Siapakah Sultan Malikus Salih ini sehingga pertabalannya telah diwasiatkan Rasulullah SAW melalui arahan baginda supaya dibawa perkakas dan alat kerajaan daripada Mekah? Mengapa ini cuma berlaku di Samudera, tidak di negeri-negeri lain? Mengapa tidak di Pasai, sebuah lagi kerajaan besar yang akan diasaskan Sultan ini nanti, mengapa tidak di Melaka yang raja-rajanya sering diagung-agungkan sebagai keturunan berdaulat anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain yang turun ke Bukit Siguntang?”

Nasri baru hendak bersuara tetapi kawannya terus memotong: “Nanti! Tak habis lagi... Mengapa seorang anak cucu Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad sanggup turun takhta lalu menjadi fakir untuk turut menjalankan wasiat Nabi ini?” dia menambah. “Apakah keistimewaan Samudera sehingga ini semua terjadi? Kenapa Rasulullah SAW menyebut kerajaan itu mesti diIslamkan kerana di situ akan muncul ramai wali?”

Nasri terpaksa berfikir secara lebih mendalam. Otak peguam muda inipun mula berputar ligat. Setelah memerhatikan dari beberapa sudut baru dia bersuara: “Soalan-soalan yang kamu timbulkan ini menarik juga, memang mencabar minda yang analitik. Tetapi kalau nak dimasukkan ke dalam buku yang akan ditatap khalayak ramai, aku rasa agak bahaya ni!”

Rasyid kelihatan hairan. Bahaya bagaimana pula? Ini bukannya soalan-soalan berbentuk ideologi politik atau reformasi yang boleh menjatuhkan kerajaan. “Mengapa pula kamu kata begitu?” dia menyoal...

Rakannya membalas soalan itu dengan muka serius. Sebagai lulusan undang-undang daripada United Kingdom yang terlatih dengan teknik-teknik memaparkan hujah yang berkesan serta arif dengan implikasi sesuatu perbuatan terhadap perspektif masyarakat, dia tahu isi sesuatu buku itu boleh dipersoalkan khalayak ramai lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hal-hal berkaitan agama. Perkara begini bukan boleh dibuat main...

“Acid, kamu dengar baik-baik,” dia menyusun kata-kata. “Kamu menulis cerita dan menimbulkan persoalan-persoalan yang agak berat berdasarkan sebuah wasiat Nabi yang disebut dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai. Masalahnya, setahu aku tidak pernah wujud kata-kata sebegini dalam mana-mana kitab kumpulan hadis seperti Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Takut ini boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat Islam nanti!”

Ah... Itu rupanya masalahnya. Ingatkan apa...

“Hmm... Betul juga kata kamu,” Rasyid menjawab. “Aku pun pernah memikirkan hal ini. Tetapi aku rasa aku sudah memiliki sedikit hujah untuk menyokong wasiat Nabi tentang kemunculan Samudera itu. Aku sudah lama mengkaji pelbagai cerita-cerita lama serta sejarah berkaitan Aceh malah sejarah perkembangan awal Islam termasuk banyak cerita yang tidak diketahui umum, cerita-cerita daripada sumber-sumber tertentu...”

“Aku percaya kamu tentu ada alasan,” Nasri memotong. “Aku tahu kamu tidak akan menulis sembarangan, mesti ada sokongan yang kukuh. Tetapi berhati-hatilah... Apapun, dapatkan second opinion dahulu daripada orang yang lebih tahu tentang hadis, orang yang berkelayakan. Kalau tidak, aku takut nanti ada pihak yang akan mempertikaikan kewujudan wasiat ini sebagai tidak lebih daripada cerita dongengan malah pemalsuan kata-kata Nabi untuk mengagung-agungkan kebesaran Raja-raja Pasai.”


—————————


Lama juga Rasyid termenung memikirkan cara terbaik menangani masalah ini. Walaupun hati kecilnya tetap yakin wasiat Rasulullah SAW berkenaan Samudera itu bukannya dongengan, walaupun dia mempunyai hujah tersendiri untuk menyokongnya, bagaimanakah cara terbaik untuk mengenengahkan ini tanpa menyinggung pegangan umum?

Seperti yang ramai maklum, setiap perkataan Rasulullah SAW adalah hadis Nabi, selain wahyu yang menjadi ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Qudsi yang merupakan firman Allah SWT. Lagipun dari segi bahasa, perkataan ‘hadis’ itu bermaksud apa-apa perkataan yang keluar daripada mulut seseorang. Maka pemuda ini percaya, kemungkinan wasiat tentang Samudera itu keluar daripada mulut Nabi memang ada kerana selama 23 tahun baginda menjadi Rasul, tentu banyak perkara yang diperkatakannya, boleh dikumpul menjadi beribu-ribu jilid buku jika mahu.

Apapun, seperti diungkit kawannya Nasri, selain hikayat itu dan kitab Sejarah Melayu, tidak ada mana-mana kitab lain menceritakan wasiat Rasulullah SAW ini, apa lagi kitab-kitab rasmi hadis yang diterima umum seperti Sahih Bukhari mahupun Sahih Muslim. Maka itu, kalau kitab-kitab hadis ini dijadikan ukuran utama untuk menentukan kesahihan sesuatu hadis atau apa-apa perkataan yang keluar daripada mulut Rasulullah SAW, boleh dikatakan wasiat Nabi ini tidak pernah wujud sama sekali!

Kalau begitu, mengapa pula kitab Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu yang merupakan sumber-sumber utama pensejarahan keSultanan-keSultanan Melayu lama boleh meriwayatkannya? Apakah pengarang kitab-kitab ini begitu buta ilmu hadis atau bersifat dusta, penipu sehingga sanggup mengenengahkan sebuah wasiat palsu? Tambahan pula kedua-dua kitab ini pernah menjadi bahan rujukan utama pelajar sastera Tingkatan Enam di semua sekolah-sekolah di Malaysia suatu masa dahulu. Dan cetakan moden kitab-kitab ini masih tersebar luas sehingga sekarang. Takkanlah ini boleh berlaku jika wasiat itu hanya dusta semata-mata?

Ah... Mungkin betul juga kata Nasri. Dia perlu mendapatkan second opinion, pendapat yang bernas daripada orang yang mempunyai kelayakan tentang ilmu hadis... Perkara berat begini tidak boleh dihuraikan seorang diri. Sekurang-kurangnya ringan sedikit beban pemikiran yang dihadapi.



4 ulasan:

  1. BKA. informasi sejarah yang menarik walau ada sedikit percanggahan dengan informasi sejarah yang ada dalam pengetahuan saya. but the best is the journey more that the history. so are you trying to tell us your journey or the history?

    dan bagaimana nak buktikan history yang awak cuba beritahu ni adalah shahih? atau base on awak punya teori je? ahli matematik kan?

    BalasPadam
  2. Sebab tu buat dalam bentuk novel... Nak terima atau tak terima, akhir kata, saya boleh cakap ini semua setakat cerita... Kalau nak buktikan secara ilmiah, banyak barang bukti dah dihilangkan oleh pihak berkepentingan. Susah... Sebagai seorang Islam yang percaya kepada perkara ghaib, ada masanya kita perlu yakin terhadap sesuatu perkara sebelum sampai buktinya. Ada kalanya pula, kita boleh sahaja buat solat Hajat atau Istikharah meminta supaya diberi petunjuk. Insyaallah, kita akan jumpa jawabannya samada dalam mimpi atau berlaku peristiwa-peristiwa tertentu yang membawa kita menyedari kebenaran sesuatu cerita. Misalnya, kita plan nak pi KLCC... Tengok-tengok jam semacam, tukar program le pi Central Market. Tengah jalan-jalan situ, tiba-tiba terlanggar bahu orang. Rupanya member lama tak jumpa. Terus terkeluar cerita ke mana member ini menghilang... Rupa-rupanya merayap sana-sini cari sejarah Melayu yang digelapkan... Tengok-tengok cerita dia tally plak dengan cerita yang saya beri... Tapi ini contoh aje le, hehe! :]

    BalasPadam
  3. Maka... segala hikayat kerajaan Melayu di ganti dengan theory Darwin pada zaman aku sekolah dulu.

    Jadi sekarang, aku yakin dengan hikayat ini dan yakin dengan apa yang di rawikan sebagai "hadis rasulullah saw" dalam hikayat tersebut. Dan cerita benar ini di hikayat kan supaya menjadi sebuah dongengan... oleh pemikir pemikir yang berlatar belakangkan Masson..Free masson yang belambak kat malaysia ni for the sake of Power and Money. jadi... hikayat di faham kan kepada Melayu bodoh ini sebagai dongengan ..bagi menjauhkan kesedaran hakiki..dan melewakan golongan ini dari mengetahui tugas mereka di akhir zaman ini. Saya yakin... hikayat ini bukan dongengan tapi mungkin juga di jadikan "hikayat" agar kebenaran terpelihara ke akhir zaman ..dan bila yang empunya diri akhirnya muncul untuk mengibar bendera hitam itu nanti...

    BalasPadam
  4. salam, awak yakin sangat dengan seyakin-yakinnya kebenaran hikayat-hikayat ulama dan pemimpin islam masa lampau... awak tak yakin kalau banyak kisah-kisah yang diceritakan orang-orang barat, ada orang porugis yang abis-abisan berperang membumihanguskan sejarah-sejarah dan dokumen-dokumen sejarah melayu, aceh, belanda yang sangat degil dan jahat yang menghancurkan kesulthanan nusantara.... ada british yang lebih lunak dengan model penjajahan yng berbeda...

    pak radjie sapiee, awak selama ini sedikit sahaja tahu nama mirah silu karena pernaha membaca sebuah tulisan di sebuah surat kabar aceh serambi indonesia, usai tsunami, tentang sedikit sejarah mirah silu, itupun awak dah lupa nama ini, tapi kerana semalam awak bermimpi awak ini bertemu dengan seorang yang dalam mimpi dia mengaku turunan mirah silu, maka awak carilah apa dan siapa mirah silu, awak temukanlah blog pak radjie ini. Awak semakin yakin apa yang jadi kisah-kisah para pembawa Islam dulu ada banyak benar adanya. Salam

    BalasPadam