Isnin, Julai 09, 2007

Tour terbaru "Berpetualang"... Berita dari Raub

Lihat gambar di atas. Perhatikan dengan teliti... Nampak tak poster atau bunting promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang tergantung di tengah-tengah?
Adapun ingin dilaporkan saya kini berada di Raub dalam rangka-kerja mengembara sambil membuat promosi jalanan buku yang Insyaallah akan meliputi tempat-tempat tertentu di Pahang, Kelantan seterusnya Kedah dan Perak sebelum kembali ke Kuala Lumpur bulan Rejab. Ini kerana gerak hati saya menyuruh untuk menyambung apa yang perlu dalam penulisan buku ketiga saya, "Berpetualang ke Aceh: Sirih Pulang ke Gagang?" atau BKA III hanya apabila sudah masuk bulan Rejab. Sementara itu, gunakan masa yang ada untuk membuat apa yang patut demi memastikan buku kedua "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" juga baki buku pertama "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" dapat menemui khalayak seramai yang mungkin.
Oleh kerana diri ini sudah mula gatal hendak mengembara dan timbul pula gerak menyuruh pergi ke Kelantan, maka saya gunakan peluang ini untuk meneruskan promosi secara jalanan. Lagipun saya dapat merasakan perlu ke Kelantan sekali lagi untuk menghabiskan perjalanan di sana Disember lalu yang terpaksa dipendekkan kerana diserang demam dan sakit beguk di samping terpaksa berkejar ke kampung ibu di Muar untuk sambutan Hari Raya AidilAdha... Perjalanan yang terdahulu itu sepatutnya meliputi ziarah ke Danau Tok Uban dan Bukit Panau tetapi saya menjadi terkejar masa apabila perjalanan sebelumnya di Terengganu menjadi lebih panjang daripda yang dijadualkan akibat gerak hati baru yang muncul secara spontan.
Maka perjalanan ke Kelantan yang terdahulu itupun diakhiri dengan menaiki keretapi ke Kuala Lipis, kemudian naik bas ke Raub... Kebetulan juga seorang sepupu baru mendapat anak sulung ketika itu, maka memang sesuai saya ke sana. Cuma masalah beguk menyebabkan saya tidak boleh rapat dengan si bayi kerana takut ia berjangkit pula.

Perjalanan kali ini bermula hari Jumaat daripada Bukit Damansara, selepas bermalam di Zawiyah atau rumah suluk tariqat Naqsyabandiah Haqqani di sana. Perhatikan... Saya sempat meletakkan bunting di hadapan masjid Bukit Damansara sejurus sebelum bersolat Jumaat.
Sebelum itu, saya singgah makan tengahari di kawasan Plaza Damansara. Signal wi-fi free yang wujud di situ membolehkan saya membuat posting bertajuk Poster BKA 'beranak" tiga! Dan pengembaraan tetap diteruskan jua.
Posting terbaru ini menyebabkan seorang pembaca blog bernama Nordin sedar bahawa saya berada di kawasan itu. Pembaca yang bekerja di Plaza Damansara ini telah cuba menghubungi saya tidak lama selepas selesai solat Jumaat. Ketika itu saya sudah berada di pondok menunggu bas berhampiran Pusat Bandar Damansara.
Bas ke pusat bandar Kuala Lumpur pula datang lambat. Ternyata ini berlaku kerana Allah hendak menemukan saya dengan Nordin yang tertarik dengan sejarah lama Melayu terutama kisah-kisah yang digelapkan. Dipendekkan cerita, kami bertemu di pondok bas itu, dapat juga berbual-bual mengenali diri masing-masing sebelum dia mendapatkan buku BKA I dan BKA II. Nordin lah yang menghantar saya ke stesyen bas Pekeliling di mana saya dapat menaiki bas ke Raub untuk turun ke Bukit Tinggi seterusnya masuk ke Kampung Janda Baik, salah sebuah destinasi rehat kegemaran saya.


Inilah surau di Sungai Chemperoh dalam kawasan Janda Baik yang sering menjadi tempat saya tidur dan berehat di sana sekarang... Sempatlah gantung poster ini sebagai 'perhiasan'...



Ini pula kedai Zaini, salah satu tempat saya selalu makan dan minum di Janda Baik. Elok juga diletakkan bunting di sini kerana orang selalu lalu-lalang terutama orang luar yang sering datang hujung minggu untuk menikmati udara bersih Janda Baik.


Tu dia... Sebuah selekoh di Simpang Kallang, hampir 2km daripada pusat bandar Raub. Ia terletak di jalan utama menghala ke Kuala Lipis, jalan yang juga digunakan untuk ke Kelantan melalui Gua Musang.
Tidak jauh daripada selekoh ini terletak sebuah warung makan yang ada menjual masakan ikan keli gulai asam rong kegemaran saya. Sementara menikmati makanan pedas yang menyelerakan ini, elok juga diwar-warkan akan kewujudan buku "Berpetualang ke Aceh" ke seantero dunia.


Bunting digantung di luar kedai komputer tempat saya sedang menulis cerita ini. Kan elok berbuat begini daripada membuang masa berbuat yang bukan-bukan ya tak? :]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan