Isnin, Julai 09, 2007

Janda baik tempat rehatku

Assalamualaikum para pembaca sekalian. Saya kini berada di sebuah kedai komputer di Raub, Pahang menggunakan line wi-fi berbayar untuk membuat posting baru dalam setiap blogspot saya sebelum melanjutkan pengembaraan ke Kuala Lipis, rasanya esok, Insyaallah!
Di sini, saya akan merakamkan lagi gambar-gambar yang diambil di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, kali ini semasa berehat di sana Jumaat hingga Ahad. Sesungguhnya memang Janda Baik ada semacam tarikan mistik yang membuat saya selalu ingin ke sana terutama apabila ingin berehat melarikan diri daripada hiruk-pikuk kehidupan harian.
Seperti biasa, saya akan cuba bercerita setakat boleh, setakat yang terkeluar daripada jiwa yang sering kepenatan akibat dugaan hidup yang melanda diri ini. Maka terimalah persembahan yang diberikan seadanya ya! Bacalah... Bacalah dengan nama Allah yang mencipta dan mengerakkan setiap penulisan...

Ini adalah gambar bahagian Sungai Chemperoh yang terletak bersebelahan dengan kawasan rumah bapa angkat saya S.H. Alattas atau Pak Habib. Suatu masa dahulu, kawasan ini menjadi tempat rehat utama serta tempat bermain-main saya apabila berehat di Janda Baik.

Sebahagian daripada kompleks rumah Pak Habib.



Balai polis Janda Baik.

Hmm... Ini nak dipanggil apa ya. Takkan panggil tugu kot? Yang pasti ia adalah satu bentuk penanda yang menyatakan seseorang itu sudah masuk ke Kampung Janda Baik.
Oh... Mungkin ada yang tertanya-tanya, kenapa kampung ini dikenali sebagai Janda Baik? Janda mana pula yang baik sangat sampai namanya melekat menjadi nama sebuah kampung di tengah-tengah kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa.
Sebenarnya ada beberapa versi cerita tentang bagaimana kampung ini boleh dipanggil Janda Baik. Tetapi saya lebih percaya akan cerita seorang wanita yang suaminya telah keluar meninggalkannya... Ada cerita menyebut suami ini seorang yang buruk perangai, suka berjudi dan sebagainya. Ada yang menyebutnya sekadar keluar merantau lalu tak kembali lagi.
Yang pasti, si isteri adalah seorang yang setia. Walaupun kecantikannya mengundang ramai peminat yang ingin melamarnya sebagai isteri, dia tetap setia menunggu kepulangan suaminya.
Kalau mengikut hukum Islam, seorang isteri yang ditinggalkan tanpa nafkah zahir dan batin lebih daripada tempoh tertentu (kalau tak salah, tiga bulan) mempunyai hak untuk memutuskan pertalian perkahwinan. Mungkin sebab itu wanita dalam cerita ini dipanggil Janda Baik? Kerana walaupun mengikut ceritanya, dia tidak pernah memutuskan perkahwinan, mungkin dari segi hukumnya, dia boleh dikira sebagai janda lebih-lebih lagi kerana wanita ini dikatakan meninggal dunia dalam keadaan suaminya (atau bekas suami?) tidak kembali langsung. Atau mungkin suaminya telah meninggal dunia terlebih dahulu, lalu wanita inipun mendapat gelaran janda?
Cerita yang lebih misteri pula menyebut, Janda Baik yang dimaksudkan masih hidup sampai ke hari ini di kawasan pergunungan berdekatan! Dia hidup dalam alam ghaib, cuma sekali-sekala sahaja muncul di alam nyata terutama apabila ada orang sangat memerlukan pertolongan!


Ini pula pintu gerbang bagi sebuah kawasan rumah persendirian. Perhatikan ukiran kayunya serta pokok-pokok yang menghiasi kiri-kanan. Cantik kan!



Ini adalah sebuah rumah berdasarkan binaan buloh yang sedang dibina oleh seorang sahabat, Ahmad Nazim. Nazim adalah seorang rakyat British yang sudah lama memeluk Islam dan berkahwin dengan rakyat tempatan.
Binaan yang dilihat ini telah dibina dengan qudrat sendiri dengan pertolongan beberapa orang kawan. Kelihatan dalam gambar adalah Nazim dan seorang anak perempuannya.


Perhatikan betul-betul gambar ini. Di sebalik pepohon di belakang ini terletak sebuah rumah lama daripada Perak yang dikatakan sebuah istana lama... Ceritanya ada di sini... Rumah lama Perak di Janda Baik (An old Perak house...


Oh... Mungkin ada yang tertanya-tanya, di manakah saya sering duduk sekarang apabila berada di Janda Baik? Lagipun pada permulaan artikel ini, saya ada menyebut, suatu masa dahulu saya duduk di rumah Pak Habib, bermakna sekarang saya tidak lagi duduk di situ bukan?
Jawabannya ada pada link yang diberikan di atas juga pada posting baru mengenai promosi buku yang akan dibuat di blospot CATATAN SI MERAH SILU nanti. Buat masa ini, biarlah saya membuat apa-apa pembaharuan yang patut di blogspot lain ya... Wassalam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan