Salam petang Jumaat pertama Ramadan 1447 Hijriah. Pada permulaan artikel Jejak langkah sehingga "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" mendapat perhatian yang dipersembahkan pada hari Ahad 8 Februari iaitu 19 hari lalu ada dinyatakan bahawa insyaallah untuk solat Jumaat berikutnya akan dilakukan di Mekah. Ini adalah kerana akan menunaikan umrah. Turut dinyatakan akan membuat transit di Istanbul. Sekarang semuanya sudah selesai alhamdulillah. Sudah kembali ke tanah air Isnin 23 Februari sebenarnya. Cuma sampai sekarang saya dan isteri masih demam batuk selsema sejak masuk Ramadan di Mekah. Namun mengambil berkat atas hari ini Jumaat pertama bulan puasa yang mulia biar mula dikongsikan cerita.
Gambar ini diambil pada Isnin 9 Februari 2026 di rumah biras saya di Bukit Changgang. Saya dan keluarga telah bertolak dari rumah sendiri pada malam sebelumnya lalu menginap di situ. Ini supaya dapat bergerak lebih dekat ke lapangan terbang di Sepang.
Barang-barang yang dibawa untuk perjalanan. Ini adalah untuk saya, isteri dan 3 orang anak. Seorang lagi anak akan terus ke lapangan terbang dari tempat kerja dengan barangannya kemudian.
Selepas jam 4.30 bergerak ke lapangan terbang menggunakan dua kereta sewa GRAB. Ini tidak dapat dielakkan kerana barangan kami banyak.
Isteri dan anak-anak bersama barangan di perkarangan dewan berlepas.
Adapun kami dijadualkan berlepas dengan penerbangan Turkish Airlines jam 11.45 malam. Kaunter untuk mendaftar masuk barangan pula cuma mula dibuka 3 jam sebelum penerbangan. Tapi sampai ke lapangan terbang seawal jam 5 supaya tidak terkejar-kejar. Sementara menunggu, menyambung bacaan Al Quran bagi proses pengkhataman bulan Sya'aban. Ada sasaran hendak dicapai supaya dapat khatam di tempat tertentu di Mekah.
Gambar ini diambil jam 9.23 malam, selepas selesai mendaftar dan memasukkan barangan, satu proses yang memakan masa agak lama juga. Ini paspot dan pas penerbangan bagi kami 6 enam beranak. Oh. Anak seorang lagi sampai sekitar jam 6.
Gambar dalam kereta api ke terminal tengah lapangan terbang. Turut kelihatan ibu saudara, adik kepada almarhum ibu saya (kedua dari kiri) dan sepupu, anak kepada seorang lagi adik almarhum ibu yang telah lebih awal kembali ke rahmatullah (berdiri tengah). Ada dua orang lagi ahli rombongan tiada dalam gambar. Seorang sebaya saya tetapi pangkat ibu saudara kerana merupakan balu kepada almarhum adik ayah saya. Beliau memimpin membuat umrah secara DIY membawa seorang kawan menjadikan rombongan kami 10 orang.
Dalam kapal terbang jam 11 malam. Setelah berapa lama menunggu di lapangan terbang tentunya lega dapat berada di dalam. Teringat peristiwa yang mana dalam umrah bersama isteri 13 tahun lalu pesawat tak sampai-sampai. Akhirnya harus menginap di hotel tempatan satu malam. Lihat artikel lama Ziarah dan umrah 2013 - 'Menjakunkan' diri di KLIA dan dugaan 1 April diikuti Ziarah dan umrah 2013 - Sampai Jeddah setelah lebih 26 jam tertunda....
Harus paling seronok adalah anak lelaki bernama Haziq (tengah dalam gambar). Ini adalah kali pertama beliau menaiki pesawat. Kakaknya Awadah pula ada menaiki dengan kawan ke Vietnam dan Medan tahun lalu.
Adik mereka Rasyid seronok dapat duduk di sebelah tingkap. Seperti saya dan isteri beliau dan anak bongsu, Johan kali terakhir naik kapal terbang hampir 7 tahun lalu. Lihat Kompilasi artikel perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos - 4 September 2019. Selepas itu cuma keluar negara melalui jalan darat. Lihat artikel-artikel berikut :-
1. Kompilasi cerita perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 (Tidak lama kemudian berlaku wabak virus Covid-19 yang menghalang perjalanan buat beberapa lama)
3. Misi kedaulatan Singgora (2023)
4. Kompilasi cerita perjalanan selatan sempena cuti Aidil Fitri 2023 (sehingga ke Singapura)
Sebelum 2019, mereka sudah beberapa kali dibawa menaiki pesawat di Asia Tenggara. Lihat artikel-artikel berikut :-
1. Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa" (2012, ketika Johan berumur 2 setengah bulan)
3. Berjayanya misi HIKMAH Aceh (2014)
Di celah-celah itu ada keluar negara melalui jalan darat :-
2. Jejak Wasilah Patani - The compilation (2018)
Ketika saya dan isteri melakukan umrah berdua 13 tahun lalu Johan ditinggalkan bersama keluarga akak ipar dalam keadaan masih menyusu. Beliau yang berumur setahun lebih dan Rasyid 4 tahun tidak diberitahu pun ke mana kami akan pergi. Tahu-tahu sahaja menghilang. Cuma kami ada meninggalkan bekalan. Lihat Ziarah dan umrah 2013 - Dari mula sampai ke tamat....
Sejak itu ada menyimpan hasrat untuk membawa bersama anak-anak lain. Kali ini baru menjadi. Cuma ada sedikit cabaran terasa tetapi tidak diberitahu kepada mereka. Seperti ramai sudah sedia maklum Amerika Syarikat telah menghantar sejumlah kapal perang juga menyediakan jet-jet pejuang dan banyak peralatan perang di sekitar Teluk Parsi untuk memaksa Iran tunduk pada permintaan mereka dan Israel. Sedangkan ini terletak dalam laluan penerbangan.
Keadaan ketika itu kelihatan seperti bila-bila masa sahaja boleh berlaku perang. Laluan kapal terbang yang terpapar pada skrin ketika awal perjalanan menunjukkan pesawat akan mengelak Teluk Parsi dengan melalui India dan Pakistan menuju ke Laut Kaspian. Terlupa hendak mengambil gambar. Sedar-sedar sahaja sudah masuk kawasan potensi perang.
Gambar seterusnya ini diambil apabila kelihatan pesawat baru melepasi ruang udara Oman. Teringat penyelia PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar harus masih berada di negara itu untuk lawatan ke kementerian pendidikan, atas kapasiti beliau sebagai Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), untuk satu kerjasama berkenaan. Laluan yang diubah sehingga boleh lalu di Teluk Parsi menunjukkan keadaan masih terkawal. Namun di bawah perairan bawah sebenarnya terdapat banyak kapal perang sedang menunggu untuk bertindak.
Cuma isteri sahaja yang tahu tentang kerisauan kerana saya ada memberitahu. Apabila beliau turut merasa risau saya cakap serahkan segalanya kepada Allah SWT. Tidak diberitahu, sebetulnya dalam hati sudah memikirkan kemungkinan boleh sampai ajal kalau berlaku perang. Ini kerana difahamkan kalau mengelak Teluk Parsi sekalipun, kalau Amerika menyerang, ada kemungkinan Iran menyerang balas dengan menembakkan peluru berpandu ke merata Timur Tengah dan sekitar, negara-negara yang dilihat ada memberikan sokongan kepada Amerika. Pesawat boleh terperangkap dalam serang menyerang.
Kerisauan kedua adalah kalau tercetus perang sebelum berlepas, penerbangan dibatalkan. Entah bila baru cukup aman. Sedangkan kami anak beranak sudah lama menunggu untuk membuat perjalanan. Ia juga bagi melepaskan nazar isteri hendak membawa anak-anak menunaikan umrah. Bagaimana pula tentang hotel dan sebagainya yang sudah siap ditempah? Kami bukan banyak duit boleh bagi lupus.
Gambar ini diambil ketika pesawat sudah mendarat. Ketika ini sudah jauh melepasi kawasan konflik. Isteri tersenyum senang hati. Dalam fikiran bagaimana ya cuaca dan suhu apabila keluar nanti. Kami sudah bersedia dengan baju panas (thermal wear) juga baju tebal. Itu antara sebab perlukan banyak bag.
Masuk ke lapangan terbang.
Selamat datang ke Istanbul di Turki, destinasi transit kami sebelum ke Jeddah lalu ke Mekah untuk umrah. Ketika itu masih musim sejuk, cuaca dijangka sekitar 6 darjah Celsius. Walaupun jauh dari Teluk Parsi, Turki dilihat sebagai sekutu Amerika yang boleh dipersalahkan. Ia antara negara sekitar yang menempatkan pengkalan tentera Amerika.
Difahamkan Iran sudah ada kemampuan untuk menghantar peluru berpandu ke Turki malah lebih jauh kalau mahu. Turki masuk dalam jangkauan perlebaran konflik sebagai alat supaya Amerika berfikir banyak kali sebelum menyerang. Iran sendiri ingin mengelakkan perang kerana tahu kesannya sangat memudaratkan. Bukan sahaja kepada negara dan rantau malah ada kesan berantai yang boleh menyusahkan seluruh dunia. Cuma Israel sahaja yang nampak beriya-iya sangat hendak segalanya musnah. Iran akan bertindak nekad kalau diserang.














