Jumaat, Ogos 14, 2026

Dalam bengkel tukang tembikar : Hidup, takdir dan keabadian menurut Omar Khayyam

Salam petang Jumaat 1 Rabiulawal 1447. Satu tarikh yang cantik untuk mengikuti majlis ilmu lalu menulis tentangnya.



Tengah hari tadi 14 Ogos 2026 meredah hujan agak lebat untuk ke Kuala Lumpur.



Terus ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Sampai ketika azan Zohor baru  berkemundang.



Ini adalah kali pertama ke ISTAC bagi bulan Ogos. Ke masjidnya terlebih dahulu untuk menunaikan solat Jumaat.



Awal bulan Ogos sepatutnya datang untuk menghadiri satu majlis ilmu petang Selasa. Tetapi tak jadi kerana harus memanjangkan masa untuk bersama bapa yang duduk keseorangan di kampung di Muar. Namun tetap mengikuti mengikuti melalu siaran langsung atas talian. Lihat Pelajaran jiwa daripada cerita-cerita Rumi.




Majlis kali ini merupakan kesinambungan kerana ia juga adalah tentang tokoh silam Islam yang terkenal dengan puisi-puisi berunsur mistik. Tajuk yang boleh diterjemahkan sebagai "Dalam Bengkel Tukang Tembikar : Hidup, Takdir dan Keabadian Menurut Omar Khayyam' disampaikan oleh Profesor Dr Amir H. Zekrgoo, seorang warga Iran yang sudah lama bertugas di ISTAC.






Disebutlah sedikit tentang Omar Khayyam dan latar belakang.






Beliau hidup hampir 1,000 tahun lalu, dua abad sebelum tokoh yang diperkatakan dalam Pelajaran jiwa daripada cerita-cerita Rumi.



Kedua-dua tokoh menulis dan menyampaikan dalam bahasa Parsi.



Khayyam dinyatakan sebagai seorang genius yang menguasai pelbagai bidang ilmu.



Menggunakan kepakaran dalam bidang matematik dan astronomi beliau telah membentuk kalendar tradisional Parsi berdasarkan perubahan musim.



Menurut Amir ia adalah kalendar paling tepat dalam sejarah manusia.






Beliau juga telah mengarang beberapa kitab falsafah.



Namun lebih dikenali dengan kumpulan puisi yang diberi tajuk Rubaiyyat.



Disebut tentang struktur puisi yang merupakan cara Parsi sejak zaman berzaman.



Diberitahu, Khayyam adalah seorang yang suka menyendiri lalu menyimpan puisi-puisinya untuk diri sendiri. Dengan itu tulisannya itu cuma dikenali bertahun selepas meninggal dunia.



Amir pun membawa beberapa rangkap dalam bahasa Parsi kemudian terjemahan yang dibuat sendiri ke dalam bahasa Inggeris. Yang ini adalah tentang bagaimana kita sebenarnya tidak tahu apa yang akan berlaku besok. Oleh itu berikan perhatian penuh pada apa yang sedang berlaku sekarang.



Yang ini adalah tentang pemilikan (harta benda). Ia cuma ibarat bayu sahaja. Semuanya akan pupus akhirnya.



Yang dimiliki cuma saat ini. Maka manfaatkanlah sepenuhnya...



Bebaskanlah diri daripada ilmu pengetahuan yang memerangkap. Jadilah seorang pencinta yang menghirup penuh makna hidup.



Disebut pula tentang dua tokoh Barat paling terkenal dengan terjemahan Rubaiyyat ke dalam bahasa Inggeris.



Masuk pada puisi-puisi Khayyam yang menggunakan tukang dan pembuatan tembikar sebagai tamsilan hidup, dibacakan lalu dibuat perbandingan terjemahan beliau (sebagai seorang warga Iran yang mana Parsi adalah bahasa ibunda, membesar dalam keadaan puisi ibarat makan harian) dengan apa yang dihasilkan oleh tokoh Barat.



Secara rata apa yang hendak disampaikan adalah setiap tembikar mengandungi zat manusia baik raja mahupun hamba. Ini kerana setiap manusia mati lalu tubuh mereput kembali menjadi tanah dalam bumi. Sedangkan daripada tanah/bumi itulah dibuat tanah liat untuk menghasilkan tembikar.






Ini paling mengingatkan bagaimana dahulu semasa belajar di London awal tahun 1990an saya selalu membaca Rubaiyyat. Saya ada naskah terjemahanan bersaiz kecil, tak ingat sama ada tulisan Fitzgerald atau Arberry, dua tokoh Barat yang disebut tadi. Yang pasti saya pernah membaca banyak hasil terjemahan mereka terhadap puisi dan tulisan bersifat Sufi.



Amir yang mengkaji banyak tradisi kemudian mengemukakan konsep Kinstugi yang merupakan satu tradisi lama Jepun. Ia adalah tentang bagaimana tembikar yang pecah disambung kembali dengan cara tertentu sehingga boleh menjadi lebih cantik dan bernilai daripada yang asal.



Ia adalah penghormatan pada tradisi. Dapat menghargai kecantikan dan menerima sesuatu yang pecah kemudian diperbaiki sebagai sejarah suatu benda.



Amir melihat ia lebih menarik dan terserlah berbanding benda asal yang tidak pecah.



Beliau menghubungkannya dengan satu lagi konsep Jepun dipanggil Wabi-Sabi di mana kita dapat melihat kecantikan pada ketidaksempurnaan, ketidakkekalan dan ketidaklengkapan.



Lalu ditamsilkan pada diri yang 'pecah' akibat pelbagai masalah tetapi dapat dipulihkan melalui taubat. 



Dikaitkan kembali dengan puisi Khayyam. Melalui satu rangkap yang menyatakan bagaimana tembikar pecah pun sebenarnya berasal daripada diri-diri yang bangga (kerana akhirnya kembali ke tanah) .

Sila ikuti sendiri majlis melalui video ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan