Sabtu, Jun 07, 2025

Asbab urusan di Kuala Selangor dan Alor Setar - Memulakan perjalanan jauh terbaru 1 Zulhijjah

Salam tengah hari Sabtu 7 Jun 2025 bersamaan 10 Zulhijjah 1446 Hijriah. Selamat Hari Raya Haji, Eid Adha Mubarak. Dalam artikel Dari Yathrib ke Madinah Nabi : Sebuah Transformasi Madani yang dipersembahkan petang Khamis baru ini ada dinyatakan, ketika menghadiri majlis ilmu berkenaan malam sebelumnya saya baru sahaja 16 jam lebih kembali dari perjalanan terbaru yang memakan jarak pemanduan lebih 1,000 km. Hendak menulis cerita masih begitu penat dan belum ada kelapangan. Sekarang, mengambil berkat hari mulia ini biar mula dikongsikan cerita.



Pagi Khamis 29 Mei bersamaan 1 Zulhijjah. Menghantar isteri ke Kuala Selangor kerana beliau ada urusan kesatuan sekerja di pejabat-pejabat syarikat belah sana.



Sementara menunggu urusan tersebut selesai beriktikaf di masjid ini. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Sultan Ibrahim, Kuala Selangor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).







Selesai urusan isteri perjalanan diteruskan ke arah utara melalui laluan utama terdekat ke Pantai Barat.











Perjalanan diteruskan ke arah utara kerana beberapa hari sebelum itu ada saudara belah bapa  memberitahu mahu membuat mesyuarat Isnin 2 Jun di Alor Setar bagi mengatur salasilah bagi keperluan mahkamah. Tentang hal tersebut rujuk artikel lama Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan. Cuma ada keluar dari laluan menghala ke barat untuk ke Beting Beras Basah. Dalam perjalanan singgah ke dua buah masjid lagi. Lihat Lawatan baru (New visit to) masjid lama (old mosque of) Panchang Bedena diikuti Masjid (Mosque of) At-Thohiriah, Rungkup Kecil. Kemudian baru ke beting atau lebih tepat jeti tepian lalu 'beriktikaf' sehingga malam. Lihat artikel Jetty of Beting Beras Basah in 2025 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Kalau ikut rancangan asal, iaitu selepas mengetahui ada mesyuarat perlu dihadiri di Alor Setar, selepas singgah masjid lama di Panchang Bedena mahu ke masjid warisan keluarga di Batak Rabit lalu bermalam. Esoknya baru meneruskan perjalanan ke utara. Tetapi timbul rasa untuk ke Beting Beras Basah timbul beberapa lama selepas meninggalkan Kuala Selangor. Selepas itu ke masjid jamek pekan Lumut untuk menjamakkan solat Maghrib dan Isyak.




Semasa di Beting Beras Basah kami ada membuat rakaman video lalu dimasukkan ke dalam Tiktok kemudian. Pautan akan dikongsikan selepas segala penceritaan selesai. Didapati ada yang mempersoalkan kenapa menyebut 'beriktikaf' di beting? Kenapa tidak beriktikaf di masjid? Malas nak jawab. Kalau sahaja mereka tahu berapa kerap kami beriktikaf di masjid-masjid di merata Malaysia malah di luar negara sehingga bermalam, sejak hampir 20 tahun kebelakangan. Kalau saya sendiri sejak tahun 2001.



Begitu juga apabila bercakap tentang sejarah. Generasi kemudian mungkin melihat saya sebagai baru kebelakangan ini muncul sibuk bercakap tentang perkara, disebabkan baru menggunakan Tiktok. Walhal sejak tahun 2001 sudah turun ke lapangan menjejak tempat-tempat, sejak tahun 2006 menulis dan menerbitkan buku-buku berkenaan selain rajin menulis di blogspot. Oh, selepas bersolat kami melepak lama menikmati persekitaran malam di Lumut.



Di celah-celah itu menyambung kajian dan penulisan tesis PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), ada juga membaca Al Quran untuk proses pengkhataman bulan Zulhijjah. Pendek kata bermacam perkara dilakukan selain memandu jauh dan singgah ke tempat-tempat.


Khamis, Jun 05, 2025

Dari Yathrib ke Madinah Nabi : Sebuah Transformasi Madani

Petang semalam saya telah membuat hantaran dengan teks berikut di Facebook...

Salam semua. Adapun saya dan isteri baru sahaja kembali daripada perjalanan terbaru yang memakan jarak pemanduan lebih 1,000 km. Hendak menulis cerita masih begitu penat dan belum ada kelapangan. Malam ini pula hendak ke majlis ilmu di UIA. 

Hantaran dibuat setelah menyemak gambar-gambar lalu mendapati telah beriktikaf di 30 buah masjid dan dua buah surau. Sebuah masjid dan sebuah surau menjadi tempat penginapan sepanjang perjalanan 5 hari 5 malam. Namun biar dilepaskan cerita majlis ilmu yang berlangsung malam semalam terlebih dahulu. Majlis bermula selepas sehari setengah kembali daripada perjalanan. 



Hari itu, semalam Rabu 4 Jun 2025 saya lebih banyak berbaring di rumah lantaran kepenatan amat. Hampir-hampir sahaja membatalkan rancangan untuk hadir ke majlis ilmu di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak pada malamnya kerana kepenatan itu. Namun mengingatkan janji kepada guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Rektor UIA yang turut menjadi penyelia tesis PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) akan hadir maka digagahkan juga. Alhamdulillah cuaca baik menyebabkan dapat menaiki motosikal besar kesayangan dengan lancar ke lokasi.




Lagipun tajuk majlis sangat menarik bagi orang yang sayangkan ilmu apa lagi yang menyampaikan adalah Osman. Memang saya selalu berusaha untuk mengikuti syarahan-syarahan beliau, kalau tidak ada komitmen lain yang memerlukan lebih tumpuan. Sejak mendapat tahu melalui WhatsApp umum ISTAC lebih tiga minggu lalu memang merancang untuk hadir. Osman sendiri ada menghantar poster seawal 11 Mei. Tetapi saya tak jawab kerana sedang disibukkan pelbagai perkara. Khamis malam Jumaat 29 Mei beliau menghantar sekali lagi. Ketika itu sudah memulakan perjalanan terbaru bersama isteri. Saya pun menjawab insyaallah akan hadir. Ertinya sudah memberikan  komitmen, sudah berjanji untuk mengikuti majlis secara berhadapan, bukan sekadar online atau atas talian.




Sebetulnya ketika perjalanan terbaru itu sendiri berlaku tidak terasa sangat kepenatan. Walhal banyak perkara dilakukan, banyak tempat disinggahi. Sambil itu, di celah-celah itu tetap istiqamah membaca Quran satu juz sehari untuk proses pengkhataman bagi bulan Zulhijjah juga membuat kajian dan penulisan tesis. Yang sebenarnya banyak lapisan kepenatan tetapi cuma betul-betul disedari dan dialami setelah perjalanan selesai. Semasa memberikan komitmen tak sangka akan jadi begitu penat. Malah sepanjang perjalanan itu juga saya sebenarnya dilanda sakit tekak tangkap hingga ke telinga. Hingga terasa sakit amat setiap kali hendak menelan makanan. Sekarang baru nak kurang,




Apapun syarahan ini adalah yang kedua dalam siri berkenaan yang baru dimulakan awal Mei. Yang dahulu itu hadir bersama isteri menaiki kereta. Lihat Mengapa idea madani wajar dipopularkan. Majlis berlangsung Rabu malam Khamis 7 Mei sedangkan cerita ditulis dan dipersembahkan pada malam Jumaat 8 Mei. Sebelum itu telah berkongsi artikel Asbab ke Muar awal Zulkaedah, tentang satu perjalanan yang berlaku  Selasa 29 April hingga Sabtu 3 Mei meliputi jarak pemanduan 855 km. Di celah-celah itu, pada suatu hari,  saya mendaki lima puncak bukit seorang diri. Selepas itu teruk sakit otot dan lutut selain kepenatan. Maklumlah umur hendak masuk 55 tahun tapi masih nak lasak. Nasib baik ada empat hari untuk berehat sebelum hadir majlis ilmu di UIA.




Syarahan bermula dengan berkongsi sejarah kota Yathrib. Dinyatakan ia sudah wujud beratus tahun sebelum kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW (pada tahun 570 Masihi). Malah ia ada dinyatakan dalam peta sarjana purba Yunani, Ptolemy pada tahun 150 Masihi atas nama lain. Dinyatakan penduduknya yang terdiri daripada beberapa kabilah Arah dan beberapa kabilah Yahudi malah menunggu kemunculan baginda, Yahudi berdasarkan cerita dan ramalan para pendeta mereka tentang kemunculan seorang nabi akhir zaman, cuma diharapkan adalah daripada kalangan orang Yahudi, orang Arab pula menunggu nabi yang dapat menyatukan dan menyelesaikan masalah puak-puak mereka yang selalu bersengketa. Itu yang kemudian membawa kepada Perjanjian Aqabah satu dan dua yang mana sejumlah para pemuka Yathrib telah bertemu baginda di luar kota Mekah untuk menyatakan taat setia sambil meminta Nabi berhijrah lalu menjadi ketua.



Pada kala kebanyakan orang Arab Quraish di Mekah termasuk kaum kerabat sendiri menolak keRasulan baginda majoriti penduduk Yathrib menunggu kedatangan setelah lama mendapat khabar berita. Tidak lama kemudian berlakulah peristiwa Hijrah dari Mekah ke Yathrib lalu baginda diberi nama baru Al-Madinah.  Kata Osman itu sendiri suatu keajaiban. Nabi diberikan satu wilayah dengan penduduk setia untuk dibentuk tanpa perlu melakukan apa-apa bentuk penaklukan.

Sebetulnya perkataan Madinah itu sendiri cuma bermaksud kota dalam bahasa Arab. Umumnya semua kota adalah Madinah. Dalam Quran pun ada disebut perkataan itu (rujuk Surah Al-Kahfi di mana seorang daripada beberapa pemuda yang tertidur lama dalam gua diminta pergi ke Madinah ataupun kota untuk membeli makanan). Cuma Yathrib menjadi Al-Madinah, THE city, sebagai kota contoh sejagat yang dibangunkan menurut perintah wahyu yang dilaksanakan Nabi. Sila rujuk artikel Madinah sebagai manifestasi keTauhidan Muhammad dalam kehidupan bermasyarakat - Rujukan bagi setiap kota semua zaman, juga berdasarkan syarahan Osman, tetapi pada tahun 2019.




Teori pembangunan kota berdasarkan Madinah Nabi sebagai contoh inilah yang membawa pada konsep Madani yang diperkenalkan oleh Al-Farabi 300 tahun kemudian. Osman pula mahu menerbitkan teori sendiri tentang pembangunanan perabadan kotaraya. Kata beliau ia harus berdiri di atas empat perkara asas :-


1. Asas kewilayahan -  Perlu ada wilayah atau daerah, tanah yang menempatkan kota.

2. Asas pendudukan - Perlu ada penduduk. Ada tanah, ada tempat, tapi kalau tiada orang, manakan boleh terbit sebuah kota.

3. Asas perundangan & etika-moral - Mesti ada sistem bagi menguruskan interaksi antara penduduk supaya sentiasa selamat dan aman. Tanpa jaminan tersebut peradaban tidak dapat didirikan kerana selalu berlaku kekacauan, sengketa.

4. Asas kepercayaan/akidah/ideologi - Mesti ada kepercayaan yang dapat menyatukan hati rakyat. Dalam kes Madinah disebabkan kepercayaan terhadap agama Islam. Walaupun ada orang bukan Islam seperti Yahudi masih ada kepercayaan terhadap Tuhan dan ketauhidan sebagai penyatu




Seterusnya dinyatakan bagaimana konsep Madani daripada Madinah Nabi itu mahu diterapkan dalam membangunkan negara kita Malaysia. Cukuplah perkongsian daripada saya. Untuk lebih butiran ikuti sendiri majlis melalui video bawah...