Petang semalam saya telah membuat hantaran dengan teks berikut di Facebook...
Salam semua. Adapun saya dan isteri baru sahaja kembali daripada perjalanan terbaru yang memakan jarak pemanduan lebih 1,000 km. Hendak menulis cerita masih begitu penat dan belum ada kelapangan. Malam ini pula hendak ke majlis ilmu di UIA.
Hantaran dibuat setelah menyemak gambar-gambar lalu mendapati telah beriktikaf di 30 buah masjid dan dua buah surau. Sebuah masjid dan sebuah surau menjadi tempat penginapan sepanjang perjalanan 5 hari 5 malam. Namun biar dilepaskan cerita majlis ilmu yang berlangsung malam semalam terlebih dahulu. Majlis bermula selepas sehari setengah kembali daripada perjalanan.
Hari itu, semalam Rabu 4 Jun 2025 saya lebih banyak berbaring di rumah lantaran kepenatan amat. Hampir-hampir sahaja membatalkan rancangan untuk hadir ke majlis ilmu di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak pada malamnya kerana kepenatan itu. Namun mengingatkan janji kepada guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, Rektor UIA yang turut menjadi penyelia tesis PhD saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) akan hadir maka digagahkan juga. Alhamdulillah cuaca baik menyebabkan dapat menaiki motosikal besar kesayangan dengan lancar ke lokasi.
Lagipun tajuk majlis sangat menarik bagi orang yang sayangkan ilmu apa lagi yang menyampaikan adalah Osman. Memang saya selalu berusaha untuk mengikuti syarahan-syarahan beliau, kalau tidak ada komitmen lain yang memerlukan lebih tumpuan. Sejak mendapat tahu melalui WhatsApp umum ISTAC lebih tiga minggu lalu memang merancang untuk hadir. Osman sendiri ada menghantar poster seawal 11 Mei. Tetapi saya tak jawab kerana sedang disibukkan pelbagai perkara. Khamis malam Jumaat 29 Mei beliau menghantar sekali lagi. Ketika itu sudah memulakan perjalanan terbaru bersama isteri. Saya pun menjawab insyaallah akan hadir. Ertinya sudah memberikan komitmen, sudah berjanji untuk mengikuti majlis secara berhadapan, bukan sekadar online atau atas talian.
Sebetulnya ketika perjalanan terbaru itu sendiri berlaku tidak terasa sangat kepenatan. Walhal banyak perkara dilakukan, banyak tempat disinggahi. Sambil itu, di celah-celah itu tetap istiqamah membaca Quran satu juz sehari untuk proses pengkhataman bagi bulan Zulhijjah juga membuat kajian dan penulisan tesis. Yang sebenarnya banyak lapisan kepenatan tetapi cuma betul-betul disedari dan dialami setelah perjalanan selesai. Semasa memberikan komitmen tak sangka akan jadi begitu penat. Malah sepanjang perjalanan itu juga saya sebenarnya dilanda sakit tekak tangkap hingga ke telinga. Hingga terasa sakit amat setiap kali hendak menelan makanan. Sekarang baru nak kurang,
Apapun syarahan ini adalah yang kedua dalam siri berkenaan yang baru dimulakan awal Mei. Yang dahulu itu hadir bersama isteri menaiki kereta. Lihat Mengapa idea madani wajar dipopularkan. Majlis berlangsung Rabu malam Khamis 7 Mei sedangkan cerita ditulis dan dipersembahkan pada malam Jumaat 8 Mei. Sebelum itu telah berkongsi artikel Asbab ke Muar awal Zulkaedah, tentang satu perjalanan yang berlaku Selasa 29 April hingga Sabtu 3 Mei meliputi jarak pemanduan 855 km. Di celah-celah itu, pada suatu hari, saya mendaki lima puncak bukit seorang diri. Selepas itu teruk sakit otot dan lutut selain kepenatan. Maklumlah umur hendak masuk 55 tahun tapi masih nak lasak. Nasib baik ada empat hari untuk berehat sebelum hadir majlis ilmu di UIA.
Syarahan bermula dengan berkongsi sejarah kota Yathrib. Dinyatakan ia sudah wujud beratus tahun sebelum kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW (pada tahun 570 Masihi). Malah ia ada dinyatakan dalam peta sarjana purba Yunani, Ptolemy pada tahun 150 Masihi atas nama lain. Dinyatakan penduduknya yang terdiri daripada beberapa kabilah Arah dan beberapa kabilah Yahudi malah menunggu kemunculan baginda, Yahudi berdasarkan cerita dan ramalan para pendeta mereka tentang kemunculan seorang nabi akhir zaman, cuma diharapkan adalah daripada kalangan orang Yahudi, orang Arab pula menunggu nabi yang dapat menyatukan dan menyelesaikan masalah puak-puak mereka yang selalu bersengketa. Itu yang kemudian membawa kepada Perjanjian Aqabah satu dan dua yang mana sejumlah para pemuka Yathrib telah bertemu baginda di luar kota Mekah untuk menyatakan taat setia sambil meminta Nabi berhijrah lalu menjadi ketua.
Pada kala kebanyakan orang Arab Quraish di Mekah termasuk kaum kerabat sendiri menolak keRasulan baginda majoriti penduduk Yathrib menunggu kedatangan setelah lama mendapat khabar berita. Tidak lama kemudian berlakulah peristiwa Hijrah dari Mekah ke Yathrib lalu baginda diberi nama baru Al-Madinah. Kata Osman itu sendiri suatu keajaiban. Nabi diberikan satu wilayah dengan penduduk setia untuk dibentuk tanpa perlu melakukan apa-apa bentuk penaklukan.
Sebetulnya perkataan Madinah itu sendiri cuma bermaksud kota dalam bahasa Arab. Umumnya semua kota adalah Madinah. Dalam Quran pun ada disebut perkataan itu (rujuk Surah Al-Kahfi di mana seorang daripada beberapa pemuda yang tertidur lama dalam gua diminta pergi ke Madinah ataupun kota untuk membeli makanan). Cuma Yathrib menjadi Al-Madinah, THE city, sebagai kota contoh sejagat yang dibangunkan menurut perintah wahyu yang dilaksanakan Nabi. Sila rujuk artikel Madinah sebagai manifestasi keTauhidan Muhammad dalam kehidupan bermasyarakat - Rujukan bagi setiap kota semua zaman, juga berdasarkan syarahan Osman, tetapi pada tahun 2019.
Teori pembangunan kota berdasarkan Madinah Nabi sebagai contoh inilah yang membawa pada konsep Madani yang diperkenalkan oleh Al-Farabi 300 tahun kemudian. Osman pula mahu menerbitkan teori sendiri tentang pembangunanan perabadan kotaraya. Kata beliau ia harus berdiri di atas empat perkara asas :-
1. Asas kewilayahan - Perlu ada wilayah atau daerah, tanah yang menempatkan kota.
2. Asas pendudukan - Perlu ada penduduk. Ada tanah, ada tempat, tapi kalau tiada orang, manakan boleh terbit sebuah kota.
3. Asas perundangan & etika-moral - Mesti ada sistem bagi menguruskan interaksi antara penduduk supaya sentiasa selamat dan aman. Tanpa jaminan tersebut peradaban tidak dapat didirikan kerana selalu berlaku kekacauan, sengketa.
4. Asas kepercayaan/akidah/ideologi - Mesti ada kepercayaan yang dapat menyatukan hati rakyat. Dalam kes Madinah disebabkan kepercayaan terhadap agama Islam. Walaupun ada orang bukan Islam seperti Yahudi masih ada kepercayaan terhadap Tuhan dan ketauhidan sebagai penyatu
Seterusnya dinyatakan bagaimana konsep Madani daripada Madinah Nabi itu mahu diterapkan dalam membangunkan negara kita Malaysia. Cukuplah perkongsian daripada saya. Untuk lebih butiran ikuti sendiri majlis melalui video bawah...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan